Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Monday, February 27, 2006

Tengku Adnan kecewakan Pemuda UMNO
Petikan : Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Biro Kebajikan dan Pembelaan Masyarakat Pergerakan Pemuda UMNO kecewa dengan cara Menteri Pelancongan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor mengendalikan isu bekas Pengarah Akaun Hotel Renaissance Habsah Jaafar yang dilarang bertudung.

Pengerusinya, Datuk Subahan Kamal berkata, ini kerana kementerian itu hanya mendapatkan penjelasan daripada pihak hotel terbabit melalui telefon tanpa memanggil Habsah yang menjadi mangsa kepada masalah ini.
Beliau berkata, menteri berkenaan sepatutnya bertindak adil dengan memanggil kedua-dua pihak bagi mendengar penjelasan mereka.

``Tindakan pihak kementerian yang hanya menelefon bagi mendapatkan kesahihan dakwaan Habsah dari pihak hotel sangat tidak bijak malah berat sebelah.

``Dengan menelefon, sesuatu masalah itu tidak dapat diselesaikan dengan cara yang betul, malah berupaya mewujudkan pelbagai masalah pada masa hadapan.

``Pihak kementerian patut turun padang dan memanggil kedua-dua pihak bagi mendengar penjelasan, saya berasa sungguh kecewa dengan tindakan beliau (Tengku Adnan),'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Tengku Adnan semalam bahawa Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Victor Wee telah menelefon pihak pengurusan hotel bagi mendapatkan kesahihan dakwaan tersebut.

Menurut Tengku Adnan, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh hotel tersebut.
Habsah Jaafar, 46, terpaksa melepaskan jawatan yang dipegangnya sejak lebih 10 tahun lalu di hotel bertaraf lima bintang itu semata-mata kerana memakai tudung.