Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, February 10, 2006

Ahli Pas bebas tuduhan tunjuk kemaluan
Petikan : Berita Harian

ALOR STAR: Mahkamah Majistret di sini, semalam membebaskan ahli Pas, Abdul Razak Abas daripada tuduhan menyelak kain dan menunjukkan kemaluan kepada ahli Pergerakan Puteri Umno ketika pilihan raya kecil Anak Bukit, lebih tiga tahun lalu.

Majistret Badrul Munir Mohd Hamdy membebaskan Abdul Razak, 62, daripada tuduhan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.Dalam alasan penghakimannya yang dibacakan selama kira-kira 15 minit, Badrul Munir antara lain berkata, keterangan saksi pendakwa pertama dan kedua bercanggah, sekali gus menjejaskan kes pendakwaan.

“Saksi pertama mengatakan tertuduh memanggil mereka datang ke rumah itu dua kali, manakala seorang lagi saksi memberitahu tertuduh memanggil sekali saja,” katanya.Selain itu, katanya, kegagalan saksi pendakwa kelapan untuk mengadakan kawad cam dengan alasan tidak perlu berbuat demikian turut menjejaskan kes pendakwaan.

Pendakwaan kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud manakala Abdul Razak diwakili peguam Jagdeep Singh Deo.

Bekas calon pilihan raya Pas itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di rumah bernombor 147, Kampung Cegar, Anak Bukit, di sini pada 11 Julai 2002 ketika kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit.Dia didakwa melakukan perbuatan menyelak kain dan menunjukkan kemaluannya kepada ahli Puteri Umno, Yusnita Romli dan jika didapati bersalah boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau keduanya

Pada 26 Disember 2002, Majistret Mohd Redzuan Abdullah membebaskan tertuduh yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan daripada tuduhan berkenaan tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan melampaui keraguan munasabah.Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi di sini mengetepikan keputusan itu selepas mendapati wujud kes prima facie terhadap tertuduh dan Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani mengarahkan kes itu dirujuk semula ke Mahkamah Majistret.

Sementara itu, Abdul Razak yang ditemani isterinya, Syarifah Harzan Syed Agil, 59, ketika ditemui selepas penghakiman itu berkata, dia bersyukur dengan keputusan itu.Katanya, walaupun dibebaskan daripada pertuduhan itu, dia tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa selepas ini.

"Saya tidak akan mengambil sebarang tindakan lanjut terhadap sesiapa. Saya juga tidak berdendam dengan sesiapa dan biarlah Allah yang menentukan sebarang pembalasan. Yang penting, nama dan maruah saya dan keluarga sudah dibersihkan," katanya.