Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, February 10, 2006

Edisi Utara: Hidupkan amalan memulau
Petikan : Harian Metro

KANGAR: Amalan memulau yang pernah dilakukan sesetengah kariah di Perlis, akan dihidup semula kepada individu tertentu yang gagal membayar zakat fitrah dan mengerjakan solat Jumaat.

Akibat dipulau itu, individu yang gagal menunaikan kewajiban agama itu akan terpinggir daripada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Datuk Abu Bakar Ismail, berkata masyarakat sebelum ini amat prihatin dengan tuntutan agama dan mereka bertindak memulaukan individu tertentu jika tidak menunaikan kewajiban itu.

“Kami mungkin akan memperaktikkan semula tradisi masyarakat dahulu dan mana-mana individu yang tidak mengeluarkan zakat fitrah atau menunaikan solat Jumaat akan dipulaukan penduduk setempat.“Ini kerana ada umat Islam mengambil mudah soal zakat dan solat Jumaat hingga gagal menunaikan tanggungjawab berkenaan,” katanya, semalam.

Beliau berkata, masyarakat diminta tidak menghadiri majlis tertentu seperti pernikahan yang dianjurkan individu yang ingkar perintah agama Islam.

“Jawatankuasa kariah masjid seluruh negeri diminta memantau kariah masing-masing bagi mengenalpasti mereka yang mengabaikan tuntutan agama berkenaan dan jika perlu pulau mereka terbabit,” katanya.

Harian Metro sebelum ini memetik Abu Bakar berkata, lelaki di Perlis yang tidak menunaikan solat Jumaat tiga kali berturut-turut boleh didakwa mahkamah syariah.

“Kami mempunyai enakmen secukupnya untuk mendakwa lelaki terbabit dan mereka boleh dikenakan hukuman denda. Pihaknya bercadang mewujudkan nazir masjid memantau anak kariah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, lelaki tidak menjelaskan zakat dan menunaikan solat Jumaat itu terlebih dulu diberi khidmat kaunseling daripada pakar agama.

“Golongan ini akan dikumpulkan dalam satu perjumpaan sama ada peringkat negeri atau kariah untuk diberi bimbingan. Jika masih ingkar, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.