Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Sunday, February 26, 2006


Pemuda Perlis bantu mangsa kebakaran
Oleh Bashir Ishak
Petikan : Harakahdaily

SIMPANG EMPAT, 25 Feb (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) semalam telah melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Permatang Pauh dekat sini.

Dalam kejadian berkenaan, sebuah rumah hangus dijilat api dalam keadaan angin timur yang bertiup kencang baru-baru ini.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.00 petang itu hampir-hampir melibatkan beberapa buah rumah.
Mangsa yang terlibat, Kamal Azian Abdullah tidak berada di rumahnya pada masa kejadian. Menurut jiran-jirannya apabila pasukan bomba tiba rumah tersebut sudah hangus dijilat api.

"Mereka membuat laporan kira-kira pukul 4.12 petang, namun angin yang bertiup kencang memarakkan lagi api dan pihak bomba hanya dapat menyelamatkan rumah sebelah daripada terbakar teruk," katanya.

Rumah jiran yang berdekatan juga sempat disambar api tetapi hanya sedikit bahagian hadapan rumah yang terbakar. Namun begitu, mereka terputus bekalan elektrik akibat wayarnya disambar api.

Punca kejadian masih disiasat tetapi menurut jiran mangsa yang ditemui mengatakan kebakaran bermula dari bilik tidur.

"Mungkin berlaku litar pintas kerana kami lihat api bermula dari bilik itu," kata seorang dari mereka.

DPPPs yang diwakili oleh ketuanya, Ustaz Ahmad Fadzil turut meninjau keadaan sekeliling tempat kejadian di samping menyampaikan sumbangan kepada Kamal.

Turut menemani beliau ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Arau, Zulmi Sabri serta Exco DPPPs.

Sebahagian dari sumbangan telah dikutip di dalam majlis ceramah yang diadakan baru-baru ini di Markas PAS UPU Behor Mali tidak jauh dari tempat kejadian.

Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin bersama rombongannya telah melawat tempat kejadian pagi semalam.

Kamal yang bekerja sebagai buruh binaan bersama isterinya kini terpaksa menumpang di rumah saudaranya.
Beliau yang memerlukan sumbangan orang ramai untuk membaiki rumahnya boleh dihubungi di alamat 323Kampung Permatang Pauh, 02700 Simpang Empat, Perlis atau di talian 012-4669230 (Farid, anak saudaranya).