Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, February 17, 2006


PLKN : Lee Lam Thye sambut baik aduan Pemuda PAS
Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
Petikan : Harakah

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Hrkh) - Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Tan Sri Lee Lam Thye menyambut baik aduan-aduan yang dikemuka Dewan Pemuda PAS berhubung masalah yang timbul dalam perjalanan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dalam pertemuan muhibbah kedua-dua pihak di pejabatnya di Menara TH Selborne dekat sini hari ini.

Menurut Lee, pihaknya sanggup menerima apa sahaj bentuk aduan melibatkan PLKN jika aduan itu mempunyai asas yang kukuh dan bertujuan memperbetul kelemahan PLKN, katanya.

"Maklum balas dari peserta, pihak ibubapa, parti politik, ngo dan orang ramai amat penting dan diutamakan sebagai proses penambahbaikan PLKN," katanya ketika mengulas memorandum dan aduan yang dikemuka Pemuda PAS melalui Naib Ketua Pemuda PAS, Mazlan Aliman dalam pertemuan sebentar tadi.

Rombongan Pemuda PAS turut disertai Exco Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan, Pegawai Khas Pemuda PAS dan Safrizal Ahmad, sementara PLKN diwakili, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Saudagar Singh, Pengarah Penyelidikan, Mohd Yusof Ahmad dan beberapa pegawai kanan JLKN.

Terdahulu Mazlan dalam sesi perbincangan dengan Lee menyatakan bahawa Pemuda PAS telah mengadakan satu pasukan khas bagi memantau dan menerima aduan dari peserta PLKN dan ibubapa.

Daripada pelbagai aduan itu Pemuda PAS mendapati beberapa aspek terutamanya dari segi keagamaan dan pergaulan amatlah membimbangkan, katanya.

Menurut Mazlan, terdapat aduan mengenai pergaulan bebas antara peserta lelaki dan perempuan yang mana dakwanya sehingga menimbulkan kebimbangan kepada ibubapa, katanya.

Bagi Pemuda PAS, kebimbangan itu berasas kerana pergaulan bebas akan menjurus kepada percambahan maksiat, katanya.

Selain itu berdasarkan kepada aduan peserta dan ibubapa, sesetengah kem yang menjalankan PLKN didakwa tidak mementingkan aspek keagamaan kerana program penghayatan dilihat tidak memberi kesan kepada peserta, katanya.

Ini kerana ada ibubapa mengadu bahawa anak-anak mereka tidak prihatin kepada soal menjalankan solat selepas menjalani latihan berbanding sebelum, katanya.

Menjawab kepada aduan dari pemuda PAS itu, Mohd Yusof yang bertanggungjawab ke atas modul dan pengisian berkata, pihaknya telah mengatur program yang mampu membina peribadi peserta.

Bagaimanapun kelemahannya mungkin kepada perlaksanaanya kerana berdasar aduan dari Pemuda PAS itu dibimbangi mungkin ada kem-kem yang tidak menjalankan arahan yang dikeluarkan pihak MLKN dan JLKN, katanya.

Beliau juga berjani akan mengkaji aduan itu dan meminta Pemuda PAS mengemukakan sebarang aduan dengan bukti kepadanya untuk tindakan susulan, katanya.