Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Monday, February 27, 2006

Pegawai kanan kerajaan menyatakan sokongan kepada PAS
Oleh : Nikon
Kategori : Berita

Jejawi 27hb Feb : Pegawai-pegawai kanan kerajaan sudah mula menyedari akan hakikat kelemahan kerajaan Umno dan telah menyatakan sokongan mereka kepada PAS.

Kenyataan ini disampaikan oleh Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharudin Mat Isa dalam ceramah penutupan majlis Ulangtahun ke-30 PAS Kawasan Kangar yang diadakan selama tiga hari berakhir semalam.

Bagi beliau, pengakuan itu adalah perkhabaran gembira terbaru yang beliau perolehi dari beberapa pegawai kanan kerajaan sendiri.

Menurut beliau lagi pegawai kanan kerajaan sekarang sudah hilang keyakinan terhadap corak pemerintahan Pak Lah yang pada pandangan mereka sangat tidak bermaya.

Pak Lah kelihatan amat lemah apabila timbul isu tentang melayu dan juga Islam.

“Pegawai kanan kerajaan dah mula sedar dan nak bagi sokongan kepada PAS.Yang belum nak sedar, kita yang duduk di bendang.Yang kerja sawah.Dapat RM50 mabuk sampai empat tahun,”kata beliau disambut gelak para hadirin.

Ustaz Nasharudin kemudiannya mendedahkan cerita terbaru dari Selangor berkenaan sebuah surau di Puchong yang hendak dirobohkan oleh JAIS.

Cerita berkenaan perobohan surau sudah tidak menjadi pelik lagi di Selangor sekarang ini.

Beliau kemudiannya meminta agar Kerajaan Negeri Selangor menjelaskan adakah benar kerajaan negeri telah memberikan peruntukan sebanyak lima juta untuk pembinaan berhala paling besar di Batu Caves.

“Saya nak minta penjelasan dari Kerajaan Negeri Selangor walaupun disini bukan negeri Selangor tetapi tape ni akan sampai juga ke Selangor.Kalau betul, kata betul kalau salah, sila buat penafian,”cabar beliau kepada Kerajaan Negeri Selangor.

Apa yang dikesali beliau ialah kenapa agama lain bebas mengamalkan ajaran mereka tetapi dalam masa yang sama agama Islam, iaitu agama mereka sendiri disekat sambil beliau kemudiannya membaca kandungan arahan pengosongan surau oleh JAIS itu.

Dalam surat itu, alasan yang diberikan JAIS ialah surau itu berada lebih kurang suku kilometer dari masjid terdekat.

Sedangkan menurut Ustaz Nasharudin ada tiga lagi surau lain yang berada dalam lingkungan suku kilometer dari masjid terdekat malah salah sebuah darinya berada kurang dari suku kilometer dari masjid tetapi tidak dikenakan apa-apa tindakan.

Dan apabila diselidiki, alasan untuk merobohkan surau itu tidak lain tidak bukan ialah kerana surau itu aktif menjalankan aktiviti kuliah agama walaupun jemaah disitu bukan ahli PAS.

Inilah mentaliti Umno yang sebenarnya.Mereka menjadi sakit hati apabila ada surau yang mengadakan kuliah walaupun bukan kuliah politik.

Atas alasan itu beliau tidak merasa hairan apabila bukan Islam berani mengusik agama Islam.

Contoh yang beliau kemukan lagi ialah apabila seorang kakitangan hotel baru-baru ini Puan Habsah Jaafar, telah meletakkan jawatannya kerana telah diberi kata dua oleh majikannya samada membuka tudung atau melepaskan jawatannya.

Yang melucukan dalam hal ini menurut beliau, Puan Habsah tidak pula membuat pengaduan ini kepada Wanita Umno tetapi kepada Pemuda Umno.

“Pasal apa tak mengadu kat Wanita Umno? Pasal ¾ wanita Umno sendiripun tak pakai tudung,”sindir beliau.

Pengurusan hotel itu tidak merasa takut sedikitpun kerana mereka percaya yang kerajaan tidak akan mengambil tindakan terhadap mereka.

Dan bukan Islam sebenarnya telah mengambil contoh dari perlakuan sembilan orang menteri yang menghantar memo kepada PM baru-baru ini yang mana menurutnya lagi kandungan memo itu yang khabarnya antara lain ialah meminta untuk menghapuskan majlis membaca doa waktu pagi di sekolah.

Tetapi kerajaan Maalysia tanpa segan silu telah mengeluarkan kenyataan bahawa negara-negara arab sekarang ini sangat ingin belajar Islam Hadhari dari Malaysia.

Semua ini disifatkan oleh Ustaz Nasharudin sebagai lakonan unutk menunjukkan yang kerajaan sekarang ini kononnya Islamik.

Satu lagi pendedahan menarik beliau ialah tentang kandungan Free Trade Agreement (FTA) diantara Malaysia dengan Jepun yang telah ditandatangani oleh Datuk Paduka Rafidah Aziz baru-baru ini dan disaksikan oleh PM sendiri.

Kandungan itu menurut beliau mengatakan bahawa Jepun bebas membawa masuk barangan seperti kereta ataupun komponennya ke Malaysia dan tidak dikenakan cukai.

Dan sebagai balasannya Jepun turut tidak mengenakan cukai kepada sayur-sayuran dan buah-buahan dari Malaysia.

“Bila masa Malaysia tanam sayur nak buat eksport?,” soal beliau yang membuatkan hadirin tergelak.

Beliau akhirnya menuntut supaya semua ahli terus bergerak memberikan penerangan secara berterusan kepada rakyat bahawa tiada sebab kerajaan sekarang perlu dikekalkan setelah rakyat semua didedahkan dengan kepincangan demi kepincangan kerajaan sekarang.

Sekiranya kerajaan ini dikekalkan dikhuatiri kita akan merempat di negara sendiri.

“Kita kena lakukan perubahan kerana negara ini negara kita dan agama (Islam) ini adalah agama kita,”katanya sebagai mengakhiri ceramah.