Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, December 15, 2006

Surat Pembaca:

Saudara pengarang,

Rakyat Malaysia akan membayar kadar tol yang lebih tinggi menjelang 1 Jan ini sepertimana yang diumumkan oleh Samy Vellu. Samy boleh menyindir rakyat Malaysia yang lembek dan bangang dengan katanya siapa yang mahu menggunakan lebuhraya mestilah bersedia untuk membayar tol.

Rakyat Malaysia adalah rakyat yang paling baik di dunia. Sepatutnya kerajaan BN menaikkan kadar tol sehingga 300% sebagai hadiah paling bermakna kepada rakyat yang baik ini. Percayalah wahai kerajaan BN bahawa rakyat sanggup membayar tol walaupun kadarnya dinaikkan sehingga tahap itu.

Di samping kenaikkan kadar tol, kerajaan BN juga harus mengkaji semula harga bahan api di Malaysia kerana walaupun telah dinaikkan sebanyak 30 sen, ianya masih murah berbanding negara lain. Saya syorkan walaupun harga bahan api dalam pasaran dunia sekarang menurun, kerajaan BN haruslah menaikkan harganya ke tahap RM 2.50 seliter bagi menambahkan lagi kantung kewangan negara untuk diagihkan kepada pemimpin BN.

Rakyat yang tinggi mentaliti feudalistiknya akan setia membayar harga bahan api petrol walaupun pada kadar RM 2.50 seliter.

Saya sudah bosan dengan sikap rakyat Malaysia. Justeru, saya berharap agar kerajaan BN dapat menunaikan cadangan saya menjelang tahun baru ini demi kebaikan pemimpin BN!

Cemerlang, gemilang, terbilang, temberang!


Nama Pena: Rakyat Yang Kecewa


Terima Kasih kepada Pengirim

Monday, December 04, 2006

Meremehkan perkara utama timbulkan masalah kepada umat
Oleh : Nikon
Kategori : Berita

Kangar 3hb Dis : Kecenderungan pihak berwajib yang dilihat suka meremehkan-remehkan dalam perkara hukum yang melibatkan keseluruhan umat Islam seperti perkara aqidah adalah suatu perkara yang tidak wajar dan tidak boleh diterima.

Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis,Ustaz Adnan yang dihubungi semalam menganggap kenyataan mufti Perlis Dr.Asri Zainal Abidin dalam temubual beliau dengan Malaysiakini baru-baru ini sebagai main-main kerana mufti itu menganggap kongsi raya sebagai isu kecil.

Dalam temubual Malaysiakini dengan mufti Perlis itu,beliau berharap tiada pihak menggunakan perbezaan pendapat tentang isu “kongsi-raya” sebagai alasan untuk menjejaskan keamanan dan keharmornian pelbagai kaum dalam negara ini.

Beliau yang baru dilantik sebagai Mufti negeri itu awal bulan ini juga berkata, tumpuan masyarakat sekarang sepatutnya pada perkara-perkara asas yang lebih penting seperti keadilan dan kebebasan.

“Kongsi raya bukan isu kecil.Ia melibatkan aqidah.Perkara ini mesti dibincang dengan betul-betul,”kata Ustaz Adnan.

“Sebagai mufti, beliau tidak boleh membuat kenyataan yang remeh.Kalau boleh kata boleh,pasal dia mufti,”tambah beliau lagi.

Perkara ini menurut Ustaz Adnan membelakangkan kenyataan Dr.Asri yang asal iaitu supaya umat Islam mengenepikan perkara remeh dari diperdebatkan.

Menurutnya lagi Dr Asri telah salah meletakkan keutamaan apabila isu besar itu diturunkan menjadi kecil dan isu Salafi menjadi isu besar di Perlis.

Ustaz Adnan juga meluahkan rasa kesalnya kerana Mufti Perlis itu pada anggapannya terlalu memikirkan perasaan orang bukan Islam dalam soal kongsi raya itu.

Dan apabila dia menyebut tentang perkara keadilan dan kebebasan,Ustaz Adnan mencabar beliau untuk mengeluarkan fatwa tentang ISA.

“Saya cabar dia agar mengeluarkan fatwa yang khusus tentang ISA yang mana akta itu jelas telah meragut kebebasan dan keadilan terhadap individu dan keluarga mereka.,”tegasnya.

“Adakah ISA ada dizaman rasulullah iaitu hukuman tanpa pendakwaan? Jelaskan hadis yang mana jika ianya sunnah,”cabar beliau.

Beliau turut menyentuh bahawa PAS juga merujuk kepada salaf (golongan sahabat dan golongan tabiin kira-kira 200 tahun selepas rasulullah) dalam berhukum perkara asas.

Tetapi apabila timbul perkara qias, ulama’ PAS tidak menolak pandangan dari imam-imam mazhab iaitu penafsiran mereka kepada hadis-hadis rasulullah.

“Golongan imam-imam mazhab ini berpandukan al-Quran dan sunnah bila berhukum,”jelasnya.


“Kecenderungan untuk tafsirkan kebenaran hanya dalam salafiah dan golongan imam mazhab itu tidak betul adalah salah,”ujarnya lagi.

Mufti Perlis: Ketepikan perbezaan pendapat isu kecil
Petikan : Malaysiakini

Mufti baru Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin berharap tiada pihak menggunakan perbezaan pendapat tentang isu “kongsi-raya” sebagai alasan untuk menjejaskan keamanan dan keharmornian pelbagai kaum dalam negara ini.
Beliau yang baru dilantik sebagai Mufti negeri itu awal bulan ini berkata, tumpuan masyarakat sekarang sepatutnya pada perkara-perkara asas yang lebih penting seperti keadilan dan kebebasan.

Dr Asri, 35, yang berasal dari Pulau Pinang mnambah, perbahasan samaada orang Islam boleh mengucapkan “selamat....” kepada bukan Islam patut diasingkan dari pertimbangan politik.

“Kita tidak perlu memberi fokus kepada isu-isu ini. Apa gunanya kalau kalau seseorang itu merayakan hari kebesaran agama saya dan saya merayakan hari raya mereka tetapi jauh di lubuk hati masing-masing mereka telah dilayan dengan tidak adil,” soal beliau.

“Yang menentukan keamanan dan keharmornian ialah keadilan dan kesaksamaan serta hak setiap komuniti melakukan apa yang dirasakannya wajar.

“Jangan semata-mata kerana saya tidak pergi ke majlis Deepavali seseorang, maka saya dianggap menekan pihak berkenaan dan saya juga tidak boleh merasakan tertindas semata-mata kerana seseorang tidak datang meraikan majlis keagamaan saya,” tegasnya.

Dr Asri mengulas kontroversi keputusan mesyuarat mufti-mufti pada awal tahun ini yang memutuskan majlis “kongsi raya” atau “Deeparaya” adalah haram di sisi Islam.

Isu tersebut hangat menjelang hari raya Aidil Fitri yang lalu apabila ketua unit Syriah Takaful Malaysia mengedarkan kenyataan kepada kakitangan syarikat itu yang antara lain menyeru jangan mengucapkan “Selamat Deeepavali...” kepada pelanggan beragama Hindu kerana dibimbangi akan merosakkan akidah.

Dr Asri bagaimanapun menegaskan perayaan-perayaan Islam tidak boleh dianjurkan bersama dengan perayaan agama lain kerana perayaan Islam perlu dirayakan mengikut ajaran dan nilai Islam. “Perayaan agama kita terikat dengan akidah.

Sebagai contoh hari raya Aidil fitri, Tuhan mahu kita merayakan kejayaan berpuasa dan memuji-mujiNya serta membesar-besarkanNya kerana telah memberi kekutaan dnan rezeki kepada kita,”jelas Dr Asri yang merupakan Mufti termuda di negara ini.

Beliau bagaimanapun sependapat dengan Mufti Qatar, Yusuf Al-Qaradhawi yang tidak melarang umat Islam mengucap “ Selamat....” kepada penganut agama lain pada hari perayaan masing-masing.

Tekanan luarTiada apa-apa yang salah dalam perbuatan itu asalkan tidak membesar-besarkan atau memuja agama dan tuhan mereka, katanya lagi.

Menurutnya lagi, dalam membincangkan isu-isu agama seperti ini, dan memutuskan fatwanya, pihak-pihak luar jangan mengenakan sebarang tekanan kepada pihak berkuasa agama.

“Hanya dengan cara ini, barulah mufti–mufti dan pakar-pakar agama dapat membincangkan dengan wajar dan munasabah,”ujarnya..

“Kami perlu membuat keputusan secara bebas. Kami perlukan kebebasan. Saya tidak boleh membuat keputusan bagi menyokong keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan.

Saya tidak akan berbuat begitu. Kalau kebetulan keputusan itu sama, itu satu hal lain. Tapi kalau saya diberi pilihan “buat keputusan bagi menyokong kerajaan atau tinggalkan jawatan ini...” saya akan pilih meninggalkan jawatan ini” tegas Dr Asri.

Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu juga menyatakan, beliau menerima tawaran menjadi Mufti Perlis tanpa meletakkan syarat-syarat khusus.

Katanya, yang ada hanyalah persefahaman bahawa beliau akan berperanan sebagai Mufti dan bukan dibayangi oleh sesiapa yang berkuasa di negeri itu.

“ Peranan saya sebagai Mufti ialah untuk mengeluarkan fatwa dan memberikan pandangan serta membincangkan fatwa. Saya tidak boleh berfungsi di sebalik bayang-bayang tokoh-tokoh tertentu dan menurut semua kata-kata atau tindakannya.”

“Personaliti saya sebagai Mufti tidak boleh ditenggelamkan dalam personaliti orang lain. Jika identiti Mufti ditenggelami oleh identiti pihak berkuasa, apa guna negeri ini ada Mufti?” tambahnya.

Sebagai Mufti Perlis, Dr Asri juga mempunyai tanggungjawab untuk memberi nasihat kepada Raja negeri itu dan kerajaan negeri berkaitan undang-undang Islam.