Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Wednesday, February 22, 2006

NGO, PAS buat laporan polis akhbar siar kartun kontroversi
Petikan : Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Tiga badan bukan kerajaan (NGO) dan PAS hari ini membuat laporan polis terhadap sebuah akhbar utama tempatan berbahasa Inggeris kerana menyiarkan kartun berkaitan karikatur kontroversi mengenai Nabi Muhammad s.a.w., semalam.

Akhbar itu menyiarkan kartun yang dilukis Willie Miller di muka surat lapan dalam ruangan coffee break. Kartun itu menggambarkan seorang pelukis karikatur sedang duduk menunggu pelanggan sambil melukis sesuatu di atas kertas.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), yang bergabung di bawah Majlis Angkatan Permuafakatan NGO-NGO Malaysia (Mapan), membuat laporan polis masing-masing di Ibu pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini, pukul 3.30 petang.

Satu lagi laporan polis dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub di Balai Polis Dang Wangi di sini kira-kira pukul 3 petang

Sebelum ini, permit penerbitan akhbar tertua di Sarawak, Sarawak Tribune, ditarik balik serta merta pada 9 Februari lepas dan penerbitan akhbar Guang Ming Daily, edisi petang, digantung selama dua minggu mulai 16 Februari kerana menyiarkan semula karikatur yang menghina Nabi Muhammad.

Kedua-dua harian itu dikenakan tindakan berkenaan mengikut Subseksyen 6 (2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta 301.

Salahuddin, yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian ketika ditemui pemberita berkata pihaknya menganggap kartun yang disiarkan oleh akhbar berkenaan sengaja mempersendakan isu yang dianggap sensitif dan merupakan satu penghinaan terhadap masyarakat Islam seluruh dunia.

Mempersendakan:

``Ketika kita menentang akhbar Eropah yang menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad dan selepas kejadian Sarawak Tribune, kita kesal kerana akhbar ini pula menyiarkan kartun yang mempersendakan isu ini.

``Perbuatan menyiarkan kartun itu juga boleh mengancam keselamatan negara kerana ia berunsur hasutan dan mampu memecah belahkan perpaduan di negara ini,'' kata beliau.

Sementara itu, Pengarah Latihan PPIM, Izham Nayan berkata penyiaran kartun itu menunjukkan akhbar berkenaan tidak menghormati perlembagaan negara dan beliau menganggapnya sebagai biadap.

``Kita merasakan ini adalah niat jahat untuk menghina agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan menghina umat Islam. Kita mahu editor akhbar ini diambil tindakan sewajarnya,'' katanya.

Bendahari Agung GPMS, Azan Ismail berkata akhbar berkenaan cuba menguji sensitiviti orang Islam di negara ini dengan menyiarkan kartun itu.

``Malahan mereka dilihat mencabar arahan Perdana Menteri agar tidak menyiarkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad dan Perdana Menteri juga telah menjelaskan secara terperinci mengenai isu menyentuh sensitiviti umat Islam,'' katanya.

Sehubungan itu, jurucakap Pas dan Mapan berkata mereka mahu akhbar terbabit dikenakan tindakan sewajarnya bagi membendung sebarang kejadian yang tidak diingini.

Pihak pengurusan harian itu tidak dapat dihubungi petang ini untuk mengulas laporan polis yang dibuat terhadap akhbar berkenaan.