Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Wednesday, February 08, 2006


AIDS antara pembunuh utama di Perlis
Petikan : Utusan Malaysia

Kangar 5hb Februari : Kira-kira 30 kes kematian akibat AIDS dilaporkan di negeri ini pada setiap tahun dan ia merupakan antara pembunuh utama selain daripada penyakit kardiovaskular dan juga kemalangan jalan raya.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Azmi Hashim bagaimanapun berkata kadar kematian akibat AIDS di negeri ini yang berpunca daripada jangkitan virus HIV masih rendah berbanding dengan peratusan di peringkat nasional atau pun di negeri-negeri yang lain.

“Setiap tahun kita menerima antara 90 hingga 100 kes HIV yang baru dengan kira-kira 75 peratus daripadanya berkaitan dengan penyalahgunaan dadah,” katanya kepada para pemberita selepas majlis perasmian Hari Terbuka Klinik Kesihatan Kampung Gial dekat sini semalam.

Menurutnya kira-kira 20 peratus punca jangkitan HIV itu juga adalah akibat daripada aktiviti seks dan baki selebihnya akibat sebab-sebab lain termasuk jangkitan daripada pembawa HIV.

Azmi memberitahu, Pejabat Kesihatan Negeri turut membuat pemantauan terhadap mereka yang didapati positif HIV dengan memberi mereka rawatan perubatan dan khidmat kaunseling supaya mereka dapat menjalani kehidupan normal dan tidak menjangkiti orang lain.

“Mereka boleh diubati dan rawatan yang diberikan mungkin dapat memanjangkan tempoh usia mereka kerana mereka juga sebenarnya masih produktif,” ujarnya.

Beliau turut menyeru mereka yang positif HIV agar mendapatkan rawatan perubatan kerana sesetengahnya gagal dikesan oleh pihak hospital selepas membuat ujian pemeriksaan.

Dalam usaha menangani masalah AIDS dan HIV itu, katanya, Pejabat Kesihatan Negeri telah mengambil pelbagai langkah termasuk mengadakan kempen kesedaran dan program pendidikan khususnya golongan muda tentang bahayanya AIDS.

Selain itu Azmi berkata, langkah kerajaan negeri mewajibkan bakal pengantin menjalani ujian pemeriksaan darah dan pemeriksaan darah dikalangan ibu yang mengandung juga merupakan langkah yang baik dalam membendung masalah tersebut.

Menurutnya sejak ujian darah itu diwajibkan terhadap bakal pengantin beragama Islam mulai Disember tahun lalu, sebanyak 800 orang telah melakukannya dan kesemua mereka bebas daripada jangkitan HIV.

“Ujian ini bukan bertujuan menghalang mereka yang positif HIV daripada berkahwin tetapi untuk membantu mereka menjalani kehidupan lebih selamat dan tidak menyebarkan virus itu kepada pasangan mereka,” ujarnya.

Majlis perasmian Hari Terbuka itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Khairi Hassan yang ketika berucap menasihatkan orang ramai agar lebih prihatin terhadap kualiti makanan yang diambil bagi memastikan mereka sentiasa hidup sihat.