Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Saturday, February 18, 2006


Jadikan mesyuarat agung medan kukuhkan cawangan
PM Oleh Bashir Ishak
Petikan : Harakah

KANGAR, 18 Feb (Hrkh) - Mesyuarat agung cawangan pada tahun ini perlu dijadikan sebagai medan untuk memperkukuhkan cawangan bagi menghadapi pilhan raya umum akan datang.

Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Perlis, Haji Abdul Karim Md Rejab berkata demikian dalam amanatnya sempena musim mesyuarat agung cawangan yang sedang berlangsung di Perlis sekarang.

Menurutnya, semua Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) cawangan perlulah memberikan tumpuan penuh terhadap mesyuarat agung dan dapat memastikan semua ahli mengambil berat tentang kehadiran mereka.

“AJK cawangan perlu memberikan contoh kepada ahli di cawangan tentang komitmen mereka terhadap kerja-kerja di cawangan,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Pilihan raya Negeri (JPN) menyeru agar semua ahli PAS di negeri ini mengambil tanggungjawab untuk menghadiri mesyuarat agung cawangan mahu pun di peringkat kawasan walaupun tiada pemilihan jawatan dibuat pada tahun ini.

“Kerja jemaah adalah wajib dan berdosa jika kita tinggalkannya tanpa sebarang keuzuran syarie. Jangan pula ada yang pergi ke majlis lain seperti mendengar ceramah atau sebagainya kerana mesyuarat agung adalah yang terlebih utama,” tambahnya.

Selain itu, beliau meminta agar ukhuwah di kalangan AJK dan ahli di cawangan terus diperkukuhkan dengan meninggalkan elemen-elemen yang boleh merencatkan gerak kerja parti.

"Kekuatan parti kita duduknya di cawangan. Perkara-perkara kecil janganlah dipanjangkan sehingga boleh membantutkan perjalanan cawangan," katanya lagi.