Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, February 10, 2006

Faezan janji beri khidmat terbaik
Petikan : Berita Harian

KANGAR: Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang baru, Faezan Omar, berazam untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan membantu kerajaan negeri mempromosikan sektor pelancongan.

Beliau yang mengangkat sumpah jawatan itu di depan Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, pada satu majlis ringkas di sini kelmarin berkata, pelbagai langkah akan diambil bagi menggerakkan semua unit dalam MPK ke arah mencapai tujuan itu.

"MPK jentera untuk membangunkan negeri Perlis bersama-sama dengan kerajaan negeri. Kita tidak mahu hanya dikenali dengan imej mengutip cukai dan menguruskan tempat meletak kenderaan,” katanya selepas majlis angkat sumpah di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar.

Faezan, 53, yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) menggantikan Musa Hassan yang kini menjawat jawatan Pegawai Kewangan Negeri. Pelantikan itu berkuat kuasa 15 Januari lalu.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Perlis, Bakar Saad mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar yang baru, menggantikan Jamil Saad yang kini dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Rangkaian Putra, anak syarikat kerajaan negeri dan juga Penolong Pengurus Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).

Faezan berkata, selain memberi tumpuan pada pembangunan negeri dan juga sektor pelancongan, tugas teras MPK tetap terus diberikan perhatian khususnya dalam aspek pengindahan, kebersihan, pengurusan sisa pepejal dan kutipan cukai.

Sehubungan itu, katanya, Unit Pelancongan MPK juga akan diperluaskan fungsinya bagi menggerakkan usaha untuk memajukan kawasan pelancongan.MPK katanya, akan menyokong dan mengadakan kerjasama dengan agensi pelancongan lain termasuk Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) bagi memajukan industri itu.

"Tempat pelancongan seperti Gua Kelam diuruskan oleh agensi yang berkenaan termasuk Pejabat Hutan Negeri tetapi daripada segi pengurusan sepenuh masa tidak ada lagi," katanya.