Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, February 03, 2006


Jangan Perbesarkan Isu Yang Remeh-temeh, Titah Pemangku Raja Perlis
Tuanku Syed Faizuddin Putra
Kategori : Petikan Berita

KANGAR, 2 Feb (Bernama) -- Pemangku Raja Perlis menggesa umat Islam tidak memperbesar dan mempertikaikan isu remeh-temeh tetapi berpeluk tubuh apabila berhadapan persoalan yang lebih besar seperti berkaitan dakwah dan penyelewengan akidah.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah sikap negatif dan mazmumah seperti hasad dengki, tamak dan syak wasangka yang boleh membibitkan api persengketaan perlu dihindari dan dikikis.

Saban tahun kita menanam azam baru namun pada masa yang sama masih perlahan dalam "penghijrahan" terutama aspek dakwah dan penyelewengan akidah, titah baginda pada sambutan Maal Hijrah 1427 peringkat negeri di Masjid Al-Raudhah, Sungai Batu Pahat di sini malam tadi.

Selain itu, titah baginda umat Islam mesti sentiasa berusaha meningkatkan ilmu dan jangan membiarkan anggota masyarakat terpinggir daripada aktiviti keilmuan.

Baginda bertitah umat Islam harus memberi keutamaan kepada kerjasama dan permuafakatan dalam setiap perbincangan serta tindakan bagi memastikan kesinambungan tanggungjawab dapat dijalankan dengan kemas dan teratur.

Pada majlis itu, Pemangku Raja Perlis menyampaikan Anugerah Maal Hijrah Negeri kepada bekas anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri Datuk Selamat Saad, anggota jawatankuasa fatwa Perlis Prof Madya Dr Mohamed Radhi Othman, pensyarah Universiti Sains Malaysia Dr Mohamed Asri Zainol Abidin, bekas pengarah kesihatan negeri Perlis Datuk Dr Faisol Ibrahim dan bekas anggota dewan undangan negeri Bintong Sofiah Ahmad.

Baginda turut menyampaikan Anugerah Didik Maal Hijrah kepada Ahmad Shahir Jamil dan Aisyah Aminuddin, kedua-duanya pelajar cemerlang yang memperoleh 10A1 pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dua tahun lepas.

Anugerah Masjid Terbaik disandang Masjid Ar-Rahman, Simpang Sanglang bagi parlimen Arau manakala Masjid Al-Hassan, Jejawi dan Masjid Al-Syakirin, Oran dipilih untuk parlimen Kangar dan Padang Besar.

Pada majlis itu, Pemangku Raja Perlis turut berkenan merasmikan Masjid Al-Raudhah, masjid ke-101 di Perlis, dan melancarkan pemeriksaan kesihatan HIV bakal pengantin peringkat negeri.Yang turut hadir ialah Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim.