Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Monday, February 20, 2006

Taman Rekreasi Sungai Kechor tempat maksiat
Oleh Basri Basir
Petikan : Berita Harian

KANGAR: Taman Rekreasi Sungai Kechor, cabang Sungai Perlis, di sini yang menjadi tumpuan orang ramai membawa keluarga untuk bersantai dan menghabiskan masa bersama kini dicemari dengan perbuatan vandalisme.

Perbuatan merosak kemudahan awam, termasuk permainan kanak-kanak, kerusi, hiasan landskap dan papan tanda yang dibina di kawasan itu dipercayai dilakukan kumpulan remaja pada waktu malam.

Sungai yang terletak bersebelahan stadium lama dan Kediaman Rasmi Menteri Besar itu, asalnya sungai kotor yang dipenuhi sampah-sarap, kini ditutupi dengan batu landskap sepanjang 500 meter.

Setiap malam, kawasan itu bergemer­lapan dengan kerdipan pelbagai jenis lampu sekali gus menarik penduduk tempatan untuk beriadah dan menenangkan fikiran bersama keluarga terutama pada sebelah malam.

Malangnya, kemudahan yang disedia­kan kerajaan negeri itu tidak dihargai segelintir penduduk, sebaliknya mereka merosak dan menconteng kemudahan yang ada di situ.

Seorang pengunjung, Abdullah Ahmad, 56, berkata pusat rekreasi itu kini menjadi tumpuan remaja melakukan maksiat. Ada kalanya perbuatan itu dilakukan secara terbuka hingga menimbulkan rasa malu di kalangan ibu bapa yang membawa anak.

Tinjauan Berita Harian menda­pati papan tanda diconteng, sampah dibuang di merata tempat dan paling menyedihkan botol minuman keras dan ubat batuk turut berselerak di celah bangku.

Kaca botol turut bertaburan di situ. Kawasan itu juga menjadi tumpuan pemancing dan sebahagiannya pula mengambil kesempatan untuk menyaksikan ‘adegan panas’ pasangan remaja.

Difahamkan, taman rekreasi itu adalah antara kawasan tumpuan remaja Islam bermadu kasih dan melakukan perbuatan tidak senonoh termasuk minum minuman keras.

Memandangkan lampu berwarna warni di taman rekreasi itu ditutup selepas jam 11 malam, ia memberi peluang kepada remaja, sebahagian besarnya Melayu, untuk melepak dan melakukan adegan memalukan itu.