Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, February 17, 2006

Mustapa Mohamed dicabar tunai janji bina universiti di Kelantan
Oleh Harakahdaily

TUMPAT, 17 Feb (Hrkh) - Umno Kelantan dicabar mengotakan janji untuk membina sebuah universiti awam di negeri ini, sebagaimana dilafaz pemimpinnya pada pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir awal Disember lalu.

Malah, peluang itu lebih terbuka lagi selepas Ketua Umno Bahagian Jeli, Dato’ Mustapa Mohamed dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi pada rombakan kabinet oleh Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Selasa lalu.

Mustapa sebelum ini adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai ekonomi negara. Beliau sekarang menggantikan tempat Dato’ Dr Shafei Mohd Salleh yang digugurkan sebagai anggota kabinet.

Anggota Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub mencabar Menteri Pengajian Tinggi yang baru mengotakan janji Umno untuk mewujudkan sebuah universiti di negeri ini.

“Saya mencabar Dato’ Mustapa untuk membina universiti terbabit. Kalau hendak buat di Jeli pun tak ada masalah, asalkan universiti tersebut diwujudkan di negeri ini,” katanya pada forum rakyat anjuran Parti Keadilan Rakyat dan PAS di Pantai Sri Tujuh, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Kedah, Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim dan Ketua PKR Tumpat, Haji Saupi Daud serta bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Dato’ Paduka Ibrahim Ali.

Pada pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir pada 6 Disember lalu, pemimpin Umno menjanjikan mahu mewujudkan sebuah universiti di Kelantan sekiranya parti itu menang pada pilihan raya berkenaan.

Janji itu sedikit sebanyak dikatakan berjaya mempengaruhi pengundi apabila calon BN, Haji Hanafi Mamat menang dengan majoriti 134 undi mengatasi calon PAS, Haji Hanifa Ahmad dan calon Bebas, Ibrahim Ali.

Naib Presiden PAS, Haji Husam Musa juga berharap Umno benar-benar mengotakan janjikan bagi membina sebuah universiti di Kelantan, setelah Mustapa dilantik menjadi Menteri Pengajian Tinggi.

“Kita berharap Kelantan mendapat sebuah universiti kerana Menteri Pengajian Tinggi berasal dari negeri ini,” katanya.