Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, February 10, 2006

15 murid SK Guar Nangka keracunan
Petikan : Berita Harian

KANGAR: Seramai 15 murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan Klinik Kesihatan Kampung Gial kerana cirit-birit, muntah dan loya dipercayai keracunan makanan, kira-kira jam 8 pagi semalam.

Kejadian itu kali kedua di sekolah berkenaan dalam tempoh tidak sampai sebulan. Pada 20 Januari lalu, 49 murid sekolah itu dikejarkan ke HTF apabila muntah dan cirit-birit selepas sarapan di kantin.

Semalam, kantin sekolah itu sekali lagi diarahkan tutup dua minggu berkuat kuasa jam 3 petang semalam sehingga 23 Februari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.Arahan itu dibuat selepas Pengarah Kesihatan negeri, Dr Azmi Hashim mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Pelajaran negeri dan pentadbiran sekolah selepas kejadian itu.

“Arahan penutupan itu bagi membolehkan Jabatan Kesihatan menjalankan siasatan terperinci bagaimana kejadian itu berulang,” katanya, semalam.

Lapan murid dikejarkan ke HTF, manakala tujuh lagi dirawat di klinik kesihatan.Semua mangsa mendapat rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang.Media tidak dibenar menghampiri murid berkenaan malah seorang guru mengarahkan mereka tidak ‘buka mulut’.

Semua 15 daripada 48 murid Tahun Enam yang mengalami keracunan makanan itu tinggal di asrama desa dan menyertai acara merentas desa, kelmarin.

Seorang pekerja kantin berkata, mereka menyediakan nasi putih, ikan kembung goreng, sambal tauhu, tembikai dan air kosong untuk makan malam jam 7 malam semalam manakala jam 9 malam murid berkenaan dihidangkan teh dan roti.

Dr Azmi berkata, pihaknya belum dapat memastikan punca keracunan makanan itu kerana ada sesetengah makanan yang dihidangkan kepada murid asrama tidak dimasak di kantin itu.

“Kemungkinan kejadian ini disebabkan bekalan air atau pembekalan makanan yang disediakan di tempat lain,” katanya.

No comments: