Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, February 17, 2006

Pulaukan juga pembuat maksiat yang lain
Oleh : Nikon
Kategori : Berita

Jejawi 16hb Feb : Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPP) menyarankan kepada kerajaan negeri hari ini supaya tidak hanya menumpukan untuk menghukum orang yang tidak bersembahyang Jumaat sahaja tetapi mesti juga memberikan tumpuan dan mencari jalan tentang bagaimana untuk mencegah maksiat lain dari berleluasa.

Kenyataan DPPP ini adalah respon kepada cadangan Exco Agama Perlis Datuk Abu Bakar Ismail yang mana beliau dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan negeri mungkin akan melaksanakan sistem pemulauan kepada orang yang tidak mengerjakan sembahyang Jumaat seperti yang telah dilakukan oleh penduduk di Perlis satu ketika dahulu.

DPPP melalui ketuanya Ustaz Ahmad Adnan Fadhil juga mencadangkan agar kerajaan negeri membuat gerakan menghapuskan maksiat secara menyeluruh di semua tempat terutamanya kawasan-kawasan rekreasi yang diketahui umum bahawa ianya menjadi tempat tumpuan utama untuk melakukan maksiat.

Sambil menyatakan sokongan terhadap cadangan Datuk Abu Bakar itu, beliau juga berharap Jabatan Agama Perlis akan lebih menekankan kepada khutbah yang lebih bermutu yang menurut beliau lagi, salah satu faktor penarik kepada sembahyang Jumaat itu sendiri ialah khutbahnya.

“Kalau setakat khutbah yang sentuh tentang “Cintailah Sungai Kita” atau “Makanlah Buah-buahan Tempatan”, payahlah sikit,” komen beliau terhadap tajuk-tajuk khutbah yang dianggap oleh beliau tidak kena dengan masa yang pernah dibaca oleh khatib sebelum ini.

Khatib juga menjadi faktor penting bagi menarik minat orang ramai untuk mengerjakan sembahyang Jumaat.

“Khatib pula janganlah ‘membaca’ khutbah tetapi ‘menyampaikan’ khutbah,” tambah beliau sambil menyatakan perbezaan antara menyampaikan dengan membaca ialah semangat khatib itu sendiri.Kalau menyampaikan khutbah, khatib akan bersemangat tetapi jika sebaliknya khatib akan kelihatan lembik dan makmum juga akan menjadi lembik sama.

Beliau juga menyarankan agar pintu masuk stadium tidak dibuka terlalu awal ketika adanya perlawanan bola sepak kerana bimbang orang akan meninggalkan solat maghrib.

“Ini juga perlu dititik beratkan oleh Jabatan Agama” kata beliau.