Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Tuesday, February 28, 2006


Isu tudung : Menteri Pelancongan tidak faham sensitiviti
Oleh : Mat Teropong
Kategori : Berita

Kangar 28hb Feb : Isu Habsah Jaafar, pekerja yang diberhentikan oleh majikannya kerana enggan menanggalkan tudung ketika bekerja adalah satu isu yang hampir sama dengan isu menghina Rasulullah S.A.W.Demikian pendapat yang diluahkan oleh Ustaz Taib Azzamudin Mohd Taib di sini semalam.

Menurut beliau lagi, kalau isu karikatur itu menghina fizikal Rasulullah maka isu ini secara jelas telah menghina syariat yang telah ditinggalkan oleh baginda kepada ummat Islam.

Beliau yang ditemuramah selepas kuliah bulanannya di sini semalam turut merasa kesal dengan cara Menteri Pelancongan menyelesaikan isu terbabit iaitu hanya dengan menggunakan telefon sahaja melalui Ketua Setiausaha Kementeriannya Datuk Victor Wee tanpa memanggil Puan Habsah untuk memberikan keterangan.

“Adakah dia ( Menteri Pelancongan) dapat faham sensitiviti ini?,”soal beliau.

“Kalau faham adakah semudah itu ianya diselesaikan begitu sahaja?,”soal beliau lagi yang jelas kesal dengan apa yang berlaku.

Semalam akhbar arus perdana melaporkan bahawa Pemuda Umno melalui Biro Kebajikan dan Pembelaan Masyarakatnya merasa kecewa dengan cara Menteri Pelancongan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor mengendalikan kes tersebut.

Pengerusinya Datuk Subahan Kamal dilaporkan sebagai berkata tindakan pihak kementerian yang hanya menelefon bagi mendapatkan kesahihan dakwaan Habsah dari pihak hotel sangat tidak bijak malah berat sebelah.

Ustaz Taib kemudiannya meminta supaya Menteri Pelancongan mendedahkan penjelasan pihak pengurusan hotel berkenaan kepada umum dan tidak hanya mengeluarkan kenyataan bahawa ianya telah selesai.

Penjelasan ini menurut beliau perlu kerana ianya melibatkan ummat Islam secara khusus dan perlembagaan negara secara umumnya kerana perlembagaan negara telah mengazetkan bahawa setiap individu boleh mengamalkan ajaran agama mereka tanpa halangan.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat turut meminta orang ramai untuk melihat sendiri apa yang kerajaan Islam Hadhari telah lakukan kepada Islam.

“Sebab itu anggota kabinet sewajarnya terdiri daripada orang-orang yang bertanggungjawab dan mempunyai keperibadian yang dihormati,”ujarnya.

“Apabila personaliti yang diragui keperibadiannya menduduki tempat seperti ini lebih-lebih lagi untuk bawa produk pelancongan, kita nampak bagaimana budaya dan keperibadian negara akan turut dipengaruhi oleh pelancong dan bangsa asing,”tambah beliau lagi.

Bagi beliau jika ini terjadi, maka pada masa hadapan, negara akan dibebani dengan gejala sosial yang telah jelas tidak dapat diatasi di negara luar sebelum ini.

“Inilah yang akan berlaku sekiranya sesuatu itu dibuat hanya diasaskan atas dasar kepentingan material semata-mata tanpa diambil kira kepentingan yang lebih utama iaitu kesan jangka panjang terhadap masyarakat,”kata beliau lagi.

“Usahlah disalahkan kepada rakyat kalau sebahagian besar rakyat yang terpelajar kurang yakin dengan kepimpinan yang ada hari ini,”kata beliau mengakhiri perbualan.