Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Saturday, February 18, 2006


Ahli PAS diseru jadi jentera penerangan dan dakwah
Oleh Bashir Ishak
Petikan : Harakah

PADANG BESAR ,18 Feb (Hrkh) - Semua ahli PAS diminta menjadi jentera penerangan dan dakwah parti untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Padang Besar, Haji Mhd Shariff Mohd Haniffah membuat seruan demikian ketika menyampaikan ucapannya di taklimat khas menjelang musim mesyuarat agung cawangan PAS di kawasan Padang Besar yang akan bermula 26 Februari ini.

Beliau menyeru semua ahli terutamanya jawatankuasa cawangan agar mempersiapkan diri dengan ilmu yang mencukupi bagi memenuhi tujuan tersebut.

"PAS mengadakan banyak majlis ilmu terutamanya kuliah dan ceramah dan ini adalah medan terbaik bagi ahli menimba ilmu yang akan disampaikan kepada masyarakat," katanya.

Menurutnya lagi, semua tempat dan situasi boleh digunakan sebagai medan untuk menyampaikan maklumat serta berdakwah.

"Di kampung, kedai kopi, masjid mahupun di rumah kenduri kita boleh sampaikannya asalkan ada kemahuan dan menggunakan teknik yang betul," tambahnya.

Semua Ahli Jawatankuasa Harian PAS Padang Besar termasuk Yang DiPertuanya telah turun ke semua Majlis Tindakan DUN (MTD) di kawasan ini selama lima malam berturut-turut untuk berjumpa dengan ahli jawatankuasacawangan-cawangan.

Kawasan Padang Besar mempunyai lima MTD iaitu Titi Tinggi, Beseri, Chuping, Mata Ayer dan Santan.

Taklimat yang disampaikan adalah berkaitan perjalanan mesyuarat agung cawangan, tanah wakaf, projek ekonomi, program pemuda dan juga persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.