Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Wednesday, March 29, 2006

Buruh dituduh bunuh pelajar
Petikan : Utusan Malaysia

KANGAR 28 Mac - Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 4 Mei ini untuk sebutan semula kes terhadap seorang buruh, Azizul Abdul Aziz, 20, yang dituduh membunuh pelajar kolej swasta yang ditemui mati dalam keadaan terapung di sebatang sungai, Februari lalu.

Tertuduh yang berbaju T-shirt hitam dan berseluar jeans dihadapkan ke mahkamah kira-kira pukul 9.30 pagi ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Inspektor Khairul Anuar Mohamad manakala Azizul tidak diwakili peguam.

Majistret Chiang Kian Hong menetapkan tarikh tersebut selepas dimaklumkan oleh pegawai pendakwa bahawa pihaknya masih belum menerima laporan kimia dan bedah siasat dari Hospital Tuanku Fauziah serta Jabatan Kimia di Pulau Pinang.

Mengikut kertas pertuduhan, Azizul, dari Chuping, Padang Besar dituduh membunuh Norhidayu Ramli, 19, antara 10 malam pada 11 Februari lalu dan 8.30 pagi keesokan harinya, di Sungai Santan, Jalan Alor Sena di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Menurut laporan akhbar, mayat pelajar berusia 19 tahun itu yang masih lengkap berpakaian ditemui oleh seorang penduduk kampung yang sedang berjoging di kawasan sungai tersebut kira-kira pukul 8 pagi pada 12 Februari.

Pelajar kursus kesetiausahaan di Kolej Cosmopoint berkenaan berasal dari Kampung Sungai Berembang, Kuala Perlis.

Tambahkan peruntukan biasiswa
Oleh : Mat Teropong
Kategori : Berita

Kangar 27hb Mac : Kos pendidikan yang semakin meningkat akan menjadi satu penghalang kepada pelajar dalam usaha untuk mengejar kecemerlangan dalam pendidikan mereka.

Sekiranya pelajar yang kurang mampu ini tidak diberi bantuan dengan sewajarnya maka negara akan mengalami kerugian dalam menghasilkan tenaga kerja mahir dan berpelajaran.

Ini adalah antara komen yang diberikan oleh Ustaz Taib Azamuddin Mohd Taib ketika beliau menyuarakan pendapatnya mengenai permohonan biasiswa luar negara yang mencatatkan lebihan permintaan yang melampau berbanding tawaran.

Akhbar Berita Harian semalam melaporkan biasiswa luar negara yang ditawarkan ialah hanya untuk 1300 pelajar dan permohonan yang diterima Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ialah sebanyak 15388 permohonan.

Kebanyakkan pemohon adalah pelajar dari bidang perubatan dan kejuruteraan

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat berpendapat jumlah yang tidak sampai 10 peratus yang diperuntukan untuk yang berjaya itu adalah amat tidak wajar.

Bagi beliau walaupun bersetuju dengan kerajaan untuk tidak memberikan biasiswa kepada semua pemohon tetapi kerajaan sepatutnya menaikkan jumlah peruntukan kepada bidang pendidikan.

“Dalam Islam pendidikan adalah perkara yang paling utama.Kalau kerajaan boleh belanja berbilion ringgit untuk perkara lain, kenapa tidak boleh menambah peruntukan kepada pendidikan?,” soal beliau.

“Banyak perkara lain yang boleh diketepikan dahulu seperti rancangan untuk mendirikan universiti kesenian dan kebudayaan,”kata beliau.

“Rakyat tak akan jadi mundur kalau tanpa universiti ini.Perkara seperti ini patut ditangguhkan dulu demi untuk mengurangkan masalah biasiswa pendidikan ini,” ujar beliau lagi.

Beliau juga khuatir sekiranya pembahagian biasiswa itu tidak mengikut peraturan kerana ianya pernah terjadi sebelum ini di Terengganu.

Dan menurut beliau yang akan menjadi mangsa ketidakadilan ini sekiranya berlaku, ialah golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Saturday, March 25, 2006


Jangan ada “double standard” dalam melaksanakan undang-undang
Oleh : Nikon
Kategori : Berita


Jejawi 23hb Mac : Negara kita tidak perlu kepada undang-undang yang berbeza diantara warga asing dan rakyat tempatan.Demikian yang disuarakan oleh Ketua Pemuda PAS Kawasan Arau saudara Zulmi Haji Sabri.

Beliau yang ditemui selepas majlis usrah Pemuda negeri berpendapat yang undang-undang sedia ada adalah mencukupi tetapi yang harus ditekankan ialah penguatkuasaannya supaya ianya menjadi lebih berkesan.

Laporan Bernama pada 22 Mac lalu menyebut bahawa kerajaan mungkin mencadangkan hukuman berat terhadap pihak yang melakukan jenayah kepada pelancong asing.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Donald Lim Siang Chai itu adalah bertujuan untuk memulihkan keyakinan pelancong berhubung dengan keselamatan di Malaysia.

Tetapi ianya lebih dilihat sebagai lebih menjaga keselamatan pelancong asing daripada keselamatan penduduk tempatan sendiri.

Sambil menolak cadangan yang dikemukan oleh Timbalan Menteri itu beliau yang juga seorang peguam turut mempersoalkan cadangan undang-undang itu.

“Tak perlu double standard dalam perlaksanaan undang-undang,” kata beliau.

“Kenapa apabila sesuatu jenayah dilakukan terhadap penduduk tempatan hukuman kepada pesalah diringankan tetapi bila jenayah itu dilakukan kepada pelancong asing,pesalah menerima hukuman berat?,”soalnya.

Menurut beliau lagi tidak timbul soal keselamatan pelancong tidak terjamin sekiranya kerajaan betul-betul menekankan soal penguatkuasaan.

Bagi beliau yang juga exco DPP Perlis jelas sekali menolak ketidaksamaan perlaksanaan undang-undang di Malaysia.
Takkan Perlis berani buat satu demo saja???
Kategori : Surat Pembaca

Saya mengutuskan surat ini kepada tuan moderator atas hal demonstrasi, saya agak hairan kenapa kita di Perlis hanya berani buat satu demo sahaja.

Adakah kita di Perlis seolah-olah terlupa bahawa harga minyak masih belum turun? saya harap pemimpin muda Perlis dapat berfikir supaya demo mesti diadakan setiap minggu di Perlis.

Kita sepatutnya malu bagaimana Pulau Pinang mampu adakan demo setiap minggu. Jadi, kita juga boleh!

Ayuh, demo sehingga minyak turun!


Ikhlas,
Ammar Yasir

Terima kasih kepada pengirim.

Friday, March 24, 2006

Writ Saman Angkatan Pemuda Insaf (Baru) terhadap
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badwi
Kategori : Surat Pembaca


DI DALAM MAHKAMAH RAKYAT
(BAHAGIAN CRIMINAL)
GUAMAN SIVIL NO: 2007

ANTARA

ANGKATAN PEMUDA INSAF (BARU) (PLAINTIF)

DAN

DATUK SERI ABDULLAH AHMAD BADWI (DEFENDAN PERTAMA)

KERAJAAN BARISAN NASIONAL (DEFENDAN KEDUA)

WRIT SAMAN

“YANG AMAT ARIF SELURUH RAKYAT MALAYSIA,
HAKIM BESAR MALAYSIA
DAN BAGI PIHAK SELURUH RAKYAT JELATA”

Kepada :

DATUK SERI ABDULLAH AHMAD BADWI
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN PUTRAJAYA

KAMI PERINTAHKAN KAMU bahawa dalam tempoh lapan (8) hari selepas penyampaian Writ ini ke atas kamu, termasuklah hari penyampaian itu, kamu hendaklah menyebabkan kehadiran dimasukkan untuk diri kamu dalam kausa atau guaman dan ambil perhatian bahawa jika kamu ingkar berbuat demikian, Plaintif boleh meneruskan untuk mendapatkan penghakiman dan pelaksanaan.

DISAKSIKAN OLEH ……………………………………………….., Timbalan Pendaftar di Mahkamah Rakyat pada 20 haribulan Mac 2006

…………………… ..……………………………..
Peguamcara Plaintif Timbalan Pendaftar
Mahkamah Rakyat
Malaysia

MEMORANDUM YANG HENDAK DITURUNKAN PADA WRIT

Writ ini tidak boleh disampaikan lebih daripada enam (6) bulan kalendar selepas tarikh di atas melainkan jika diperbaharui melalui perintah Mahkamah Rakyat.

Defendan (atau Defendan-Defendan) mesti hadir sendiri di Pejabat Pendaftaran, Mahkamah Rakyat Malaysia, Malaysia

Defendan yang hadir sendiri boleh dikehendakinya mamasukkan kehadirannya malalui pos dan borang-borang tertentu bolehlah didapati dengan menghantar Kiriman Pos berharga RM 10.00 berserta sampul surat beralamat sendiri kepada Pendaftar, Mahkamah Rakyat Malaysia, Malaysia.

PENGINDORSAN TUNTUTAN

Seperti di dalam Pernyataan Tuntutan sehingga penyelesaian penuh dengan meletakkan jawatan beramai-ramai. (Seperti di dalam Pernyataan Tuntutan yang difailkan bersama-sama ini).

Plaintif menuntut daripada Defendan,

(a) Injunksi untuk menahan Defendan sama ada menerusi Defendan sendiri, agen dan/atau pekerja dan/atau sesiapapun daripada meneruskan perkhidmatan kepada kami semua seluruh Rakyat Malaysia;


WRIT SAMAN ini telah difailkan oleh Tetuan Angkatan Pemuda Insaf (Baru) & Partners (seluruh Rakyat Malaysia), Peguamcara Plaintif yang mempunyai alamat penyampaian di Malaysia. (Ref: API (Baru)/Dollah Badwi/kerajaan BN/06)

DI DALAM MAHKAMAH RAKYAT
DALAM MALAYSIA
(BAHAGIAN CRIMINAL)
GUAMAN SIVIL NO: 2007

ANTARA

ANGKATAN PEMUDA INSAF (BARU) (PLAINTIF)

DAN

DATUK SERI ABDULLAH AHMAD BADWI (DEFENDAN PERTAMA)

KERAJAAN BARISAN NASIONAL (DEFENDAN KEDUA)


PERNYATAAN TUNTUTAN

1. Plaintif ialah sekumpulan Marhaen Prihatin yang mewakili seluruh Rakyat Malaysia.

2. Defendan pertama merupakan Perdana Menteri Malaysia.

3. Defendan kedua merupakan seluruh entiti kabinet kerajaan peringkat persekutuan dan negeri.

4. Defendan semakin menyusahkan Rakyat Malaysia dengan menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen pada tahun ini sahaja dan 45 sen pada tahun lepas. Tindakan defendan telah menyebabkan Rakyat Malaysia sedang menghadapi bala bencana yang menimpa kami semua kesan daripada kenaikan harga minyak ini, harga barang keperluan melambung; kehilangan kesenangan hidup seperti sekarang; kereta ditarik balik dan rumah dilelong oleh bank; para isteri Rakyat terpaksa menawarkan diri menjadi pelacur bagi menampung kos hidup sekeluarga; Rakyat bakal merempat sedikit hari lagi dengan menetap dalam kotak di bawah fly-over (kerana akhirnya minyak akan naik sehingga RM2.50 seliter).

5. Tindakan defendan pertama dan kedua amat tidak bermaruah kerana ia berlaku di saat negara adalah pengeksport bersih minyak dan telah dan sedang menikmati hasil pendapatan bersih daripada minyak yang berjumlah sehingga RM 1000 Billion sejak 30 tahun yang lalu. Plaintif menganggap defendan tidak lagi layak terus menjadi wakil kami (Rakyat Malaysia) atas sebab ini.

6. Defendan juga bersikap begitu lunak terhadap Singapura sehingga mampu menjejaskan kepentingan negara seperti isu defendan pertama selaku Menteri Kewangan yang telah meluluskan dalam pembelian 31% saham Pantai Holdings oleh syarikat Singapura, Parkway Holdings. Ini menimbulkan kesan secara langsung kepada Rakyat kerana Pantai Holdings adalah merupakan operator hospital yang juga turut memiliki program penswastaan Malaysia melalui pemilikan Pantai Holdings ke atas Fomema dan Medivest yang mempunyai kepentingan dalam projek penswastaan bekalan ubat bagi seluruh hospital kerajaan. Singapura juga buat pertama kalinya dalam sejarah negara akan memiliki bank pelaburan di Malaysia melalui pegangan Parkway Holdings ke atas Avenue Asset selepas berlaku penggabungan di antara Avenue dengan ECM Libra sebanyak 7.46% kerana Pantai Holdings memiliki 17% pegangan dalam Avenue.

6. Defendan juga telah melafazkan kata-kata menyinggung seluruh Rakyat Malaysia dengan niat untuk merendah-rendahkan Plaintif serta Rakyat Malaysia di dalam kapasiti peribadi dan rasmi.

7. Defendan telah bercakap mengenai kata-kata menyinggung tersebut di dalam pengetahuan bahawa kata-kata menyinggung tersebut atau intipatinya akan diterbitkan di media tempatan dan antarabangsa, termasuk media elektronik dan akhbar, yang berkata Rakyat perlu mengubah cara hidup akibat kenaikan harga minyak; "Era minyak murah sudah berakhir"; kenyataan-kenyataan tentang subsidi yang menyindir Rakyat seolah-olah defendan adalah bos kepada Rakyat sedangkan yang sebenarnya Rakyat adalah bos!

8. Justeru, tuntutan kami adalah agar kamu, defendan pertama dan defendan kedua meletakkan jawatan beramai-ramai tanpa sebarang syarat dan sekiranya kamu gagal melaksanakannya, kamu akan menghadapi revolusi Rakyat yang bersejarah.

BUTIR-BUTIR

i) Kenyataan pejabat perdana menteri tentang kenaikan harga minyak dan dilaporkan oleh media massa perdana sewaktu Rakyat sudah tidur.

ii) Defendan mengetahui bahawa Rakyat adalah bos mereka tetapi tetap menyalahgunakan kuasa; kenyataan diterbitkan di berbagai-bagai ‘wire services’, agensi berita, suratkhabar, dan diterbitkan semula di peringkat kebangsaan dan antarabangsa di dalam lain-lain suratkhabar, majalah-majalah dan media, termasuk media elektronik, dan/atau pengulangan dibenarkan.

iii) Defendan telah enggan dan ingkar berterusan untuk memohon maaf kepada Rakyat.



Bertarikh pada 20 haribulan Mac 2006

------------------------------------
Peguamcara Plaintif

PERNYATAAN TUNTUTAN ini difailkan oleh Tetuan Angkatan Pemuda Insaf (Baru) & Partners (seluruh Rakyat Malaysia), Peguamcara Plaintif yang mempunyai alamat penyampaian di Malaysia. (Ref: API (Baru)/Dollah Badwi/kerajaan BN/06)
Angkatan Pemuda Insaf ( Baru)
Terima kasih kepada pengirim
44 Penduduk Kg Titi Tinggi Dekat Padang Besar Dipindahkan Akibat Banjir
Petikan Bernama

PADANG BESAR, 24 Mac (Bernama) -- Sebanyak 44 penduduk di Titi Tinggi dekat sini dipindahkan ke dewan orang ramai Titi Tinggi Hilir sejak awal pagi ini, selepas beberapa kawasan rendah di kampung terbabit dilanda banjir.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Lt Azmi Salim berkata mereka dipindahkan oleh anggota polis, JPA3 serta Jabatan Bomba dan Penyelamat antara pukul 2 dan 5 pagi Jumaat.

"Hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan kampung itu dinaiki air sedalam kira-kira satu meter," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Azmi berkata paras air di kampung itu kini masih kekal sehingga kini dan pihaknya sentiasa memantau perkembangan bagi menghadapi kemungkinan lebih banyak penduduk akan dipindahkan.

Sehingga kini kebanyakan tempat di Perlis masih mengalami hujan.
Muara dicemari sampah : Kerajaan Negeri digesa utamakan keselesaan penduduk
Oleh : Nikon
Kategori : Berita

Jejawi 23hb Mac : Kerajaan Negeri Perlis digesa untuk lebih mengutamakan kepentingan dan keselesaan penduduk daripada bercakap benda-remeh temeh ataupun khilafiah.Gesaan itu disuarakan oleh Ketua Pemuda PAS Negeri Ustaz Ahmad Adnan Fadhil ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau juga melihat isu muara Sungai Perlis yang dicemari dengan sampah-sarap sebagai isu yang penting kerana ianya menjejaskan sumber pendapatan dan juga kesihatan rakyat.

Harian Metro dalam keluarannya pada 21 Mac baru-baru ini telah menyiarkan desakan penduduk di Kuala Perlis supaya operasi tapak perlupusan sampah di muara Sungai Perlis segera ditutup.

Dalam laporan itu juga menyebut bahawa tapak pelupusan yang sudah berusia 25 tahun itu sudah penuh sehingga melimpah ke tebing dan tenggelam apabila air laut pasang.

Lebih membahayakan lagi, tapak pelupusan sampah itu terbukti telah mencemarkan kualiti air serta menjejaskan kesihatan penduduk.

Bagi Ustaz Adnan ini sekaligus memberi gambaran bahawa kerajaan negeri tidak memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kebajikan rakyat.

“Menteri Besar hanya suka nak tunjukkan kehebatan dirinya sahaja sehingga perkara yang kecilpun dia nak masuk campur.Tetapi masalah besar seperti ini gagal pula dia nak selesaikan,” ujar beliau.

Dengan pendapatan para nelayan terjejas sehingga 60 peratus iaitu hanya RM20 sahaja sehari sekarang, maka ini akan lebih memburukkan keadaan mereka apatah lagi negara sedang berkabung dengan kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen baru-baru ini.

Dan bagaimana pula sekiranya penduduk diserang penyakit kerana pencemaran sungai? Adakah mereka mampu untuk menanggung kos perubatan dengan pendapatan mereka itu?

Ini semua menjadi bebanan yang harus dihadapi oleh penduduk di tujuh buah perkampungan nelayan yang berhampiran sekiranya tindakan segera dari kerajaan negeri tidak diambil.

Wednesday, March 22, 2006

Mesej Umum:
Bantahan Aman anti kenaikan harga minyak
oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Kepala Batas
dan Pemuda PAS Tasek Gelugor

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kepala Batas bersama Dewan Pemuda PAS Tasek Gelugor dengan beberapa badan NGO lain akan terus mengadakan demonstrasi aman bagi pusingan ke-2 di tempat yang disifatkan sebagai 'jantung' Perdana Menteri sendiri iaitu Komplek Dato' Kailan, Kepala Batas pada 26 Mac 2006 jam 5.00 petang.

Tujuan Dewan Pemuda PAS Kawasan melaksanakan demontrasi di komplek itu adalah untuk mengingatkan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pesanan ibu beliau selepas menjawat Jawatan Perdana Menteri ke-5 pada 31 Oktober 2003.

Dewan pemuda menyeru seluruh rakyat Malaysia agar dapat berkumpul di sana dengan secara aman . Kepada rakyat tempatan , Dewan Pemuda menyeru agar orang ramai turut serta untuk menyatakan bantahan aman ini .

Dewan pemuda juga akan menyebarkan risalah tentang kenaikan harga minyak kepada orang ramai di Pekan Hari Ahad di Penaga pada sebelah pagi Ahad 26 March 2006 , untuk memberitahu rakyat supaya lebih peka terhadap isu yang melibatkan semua lapisan masyarakat.

Dewan Pemuda menyeru seluruh pimpinan PAS , keADILan , DAP dan NGO agar
datang ke Kepala Batas pada hari Ahad untuk kita nyatakan kekesalan kenaikkan harga minyak yang paling tinggi . Kita nyakan hasrat rakyat di depan kompleks yang di beri nama sempena nama IBU Perdana Menteri .

Kepada pihak keselamatan , Kami berharap berilah peluang kepada kami untuk berkumpul secara aman , tidak hantar Unit Polis Simpanan Persekutuan (FRU) .

Pada hari Ahad lalu (19 Mac 2006) pihak polis telah menghantar Unit Polis Simpanan Persekutuan (FRU) setelah mereka mendapat maklumat bahawa akan diadakan Bantahan Aman di Tapak Pasar Malam (bersebelahan dengan rumah PM) , tetapi kehadir hampa kerana tidak ada sebarang DEMONTRASI di sana .

Oleh itu, Dewan Pemuda PAS berharap Unit Polis Simpanan Persekutuan FRU harus memberikan peluang untuk demontrator memberikan pandangan, meluahkan ketidakpuashatian rakyat kerana itu lebih baik dari rakyat melakukan aktiviti keganasan yang melampaui batas perundangan.

Malaysia sebagai negara demokrasi harus memberikan peluang pada rakyat untuk menyatakan pandangan dan menzahirkan apa yang mereka tidak suka.Rakyat punya hak untuk bersuara.

Tunjukan ketidakpuashatian anda. Ini bukan isu bagi penyokong PAS dan pembangkang sahaja. Ini isu bagi semua rakyat. Kita harus bersatu tanpa mengira latar belakang politik dan bangsa.

Justeru itu, DPPKKB & DPPKTG menggesa agar rakyat terus bangkit dan melakukan aksi-aksi protes melalui tulisan, demontrasi, pertemuan dengan pimpinan BN dan sebagainya. Kita mahu mereka dengar pandangan dan keluhan rakyat. Rakyat harus sedar dan jangan biar diri dipermainkan. Ayuh kita bangkit. Teruskan kempen hingga Kerajaan BN turunkan harga minyak.

Nor Suzriman bin Mohamad
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kepala Batas .

Tuesday, March 21, 2006

Edisi Utara: Muara disemari sampah
Oleh Rashidi Karim
Petikan : Harian Metro

KUALA PERLIS: Sumber pendapatan nelayan yang menjalankan kegiatan menangkap ketam di muara Sungai Perlis, di sini, terjejas teruk kerana kawasan itu dicemari dengan sampah-sarap berikutan operasi tapak pelupusan di situ.

Justeru, mereka bersetuju dengan desakan penduduk perkampungan nelayan di sini supaya tapak berkenaan yang beroperasi sejak 25 tahun lalu, segera ditutup.

Seorang nelayan terbabit, Osman Yatim, 56, dari Kampung Tandiap, di sini berkata, pendapatannya kini merosot teruk apabila ketam berkurangan berikutan muara sungai sudah tercemar dengan sampah-sarap.

“Saya sebelum ini mampu memperoleh pendapatan sehingga RM50 sehari tetapi sekarang merosot sehingga RM20 sehari. Ini kerana sisa buangan seperti plastik dari tapak pelupusan ini memenuhi muara sungai ini.

“Setiap kali saya mengangkat tangkul (alatan menangkap ketam) hanya plastik dan sisa buangan yang diperolehi, bukannya ketam,” katanya yang mendayung sampan kayu untuk menangkap ketam ketika ditemui di muara sungai itu di sini, semalam.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini, banyak plastik berada di dalam sungai kerana tapak pelupusan itu sudah penuh sehingga melimpah ke tebing dan tenggelam apabila air laut pasang.

“Pihak berkuasa ada membina tembok pukat di sepanjang tebing sungai bagi menahan limpahan sampah berkenaan tetapi sudah koyak dan pecah,” katanya.

Semalam akhbar ini melaporkan penduduk di tujuh perkampungan nelayan di sini mendesak kerajaan Perlis segera menutup tapak pelupusan sampah berhampiran muara sungai Perlis itu kerana terbukti mencemarkan kualiti air serta menjejaskan kesihatan penduduk.

Selain menimbulkan pencemaran kepada beribu-ribu penduduk di perkampungan nelayan, tapak pelupusan itu menjejaskan kesihatan pelajar yang mendiami Kolej Kediaman, Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (Kukum) yang terletak kurang 50 meter.

Tinjauan akhbar ini kelmarin mendapati sampah di situ sama tinggi dengan bumbung perumahan kolej Kukum manakala sampahnya turut memenuhi jalan raya dan Sungai Perlis.

Limpahan bahan buangan dan sisa kumbahan di tapak yang terbuka itu turut mengalir ke sungai manakala sebahagiannya melekat di pokok bakau.

Mohd Zaki Abu, 28, dari Seberang Alor pula berkata, beliau dan rakan yang mencari rezeki menangkap ketam di sungai itu sering memperoleh hasil sampah seperti plastik dan bahan buangan lain.

“Kami mahu tapak pelupusan ini segera ditutup dan pihak berkuasa perlu mencari tapak baru yang sesuai bagi menggantikannya,” katanya.

Beliau berkata, tembok pukat yang dibina di tebing sungai itu gagal menahan sampah sehingga menyebabkannya koyak dan pecah manakala sisa kumbahan mengalir ke sungai apabila hujan.

Pada 12 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengarahkan semua tapak pelupusan yang tidak memenuhi piawaian pemuliharaan alam sekitar hingga boleh menjejaskan keselamatan dan keselesaaan penduduk ditutup.
MB jamin pelajar terjun bangunan jadi jururawat
Petikan : Berita Harian

KANGAR: Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, memberi jaminan memastikan cita-cita pelajar perempuan yang nekad terjun bangunan sekolah selepas kecewa dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), untuk menjadi jururawat dicapai.

Shahidan menyatakan komitmen itu kepada bapa mangsa, Moogon Menon, 45, selepas melawat pelajar itu, M Valsala Menon, 18, di Wad Kecemasan, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam.

"Kita akan membantu mangsa mengikuti kursus sebagai jururawat selepas dia sembuh kelak. Kegagalan dalam peperiksaan bukannya pengukur untuk menghalang dia mencapai cita-citanya," katanya.

Beliau menyifatkan kejadian yang menimpa pelajar itu takdir dan bukannya disebabkan sistem pendidikan.

"Kita mementingkan konsep keceriaan di sekolah...semua pelajar ‘enjoy' di sini tanpa berasa sebarang tekanan ketika mengikuti pelajaran," katanya.

Sementara itu, Valsala yang mengalami kecederaan di bahagian dalaman, selamat menjalani pembedahan selama sejam membuang darah beku di bahagian badannya, jam 3 petang kelmarin.

Pakar Bedah Am HTF, Dr Jaya Prakas Rao, berkata mangsa kini dalam keadaan stabil dan akan menjalani pembedahan susulan untuk membetulkan beberapa tulang yang patah.

Katanya, selain patah kedua-dua tangan, kaki dan paha, lidah pelajar itu turut cedera.

Bagaimanapun, beliau boleh bercakap seperti biasa apabila sembuh nanti.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi kelmarin, Valsala, bekas pelajar Sekolah Menengah Perlis (SMPs), cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat tiga sekolah itu selepas kecewa dengan keputusan SPM yang diperolehnya.

Monday, March 20, 2006

MESEJ PENTING DARI PULAU PINANG
AYUH RAKYAT...!!!

KITA GEGARKAN PARLIMEN Perdana Menteri - Bantahan Aman
Pada Hari Ahad -26 March 2006 -
Jam - 5:00 Ptg -

Bertempat : Kompleks Dato' Kailan (berhampiran pejabat POS) Kepala Batas ,
Seberang Perai Utara ..

Tolong Sebarkan seluruh Rakyat .... Kita akan protes sampai harga minyak turun @
PM Letak Jawatan ...
121 (1A) Memartabatkan fungsi Mahkamah Syariah
Oleh : Mat Teropong
Kategori : Berita

Jejawi 19hb Mac : Banyak kes-kes yang melibatkan agama sekarang sekurang-kurangnya telah membawa kepada pengiktirafan Mahkamah Sivil kepada fungsi Mahkamah Syariah selepas Artikel 121 (1A) diwujudkan.Demikian penjelasan yang diberikan oleh AJK Pemuda PAS Pusat saudara Hanifa Maidin.

Menurut beliau lagi walaupun Artikel ini bukanlah penyelesaian muktamad kepada permasalahan Islam tetapi sekurang-kurangnya ia menjelaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Beliau berucap dalam Majlis Penerangan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Malaysia anjuran Lajnah Penerangan PAS Perlis di sini pagi tadi.

Hampir 100 orang peserta yang terdiri daripada ahli jawatankuasa Pemuda dan Kawasan mengikuti seminar ini yang turut disertai oleh bekas Ketua Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Dato’ Sheikh Azmi Ahmad sebagai ahli panel bersama saudara Hanifa Maidin.

Saudara Hanifa kemudiannya mengajak seluruh ahli PAS untuk mempertahankan artikel ini kerana baginya ummat Islam di Malaysia hanya mempunyai artikel ini sahaja bagi menggerakkan fungsi Mahkamah Syariah.

Manakala Dato’ Sheikh Azmi pula menegaskan sekiranya artikel ini dihapuskan maka Islam di negara ini boleh dianggap sebagai tidak mempunyai apa-apa.Dan perkara ini diketahui dengan jelas oleh orang Umno sendiri.

Baginya lagi artikel ini menunjukkan kepintaran allahyarham Professor Ahmad Ibrahim.

Allahyarhamlah yang telah bersungguh-sungguh membawa cadangan ini kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk digazetkan dalam parlimen satu ketika dahulu sedang dia tiada mempunyai kepentingan lain kecuali untuk Islam.

Akan tetapi menurut beliau agak malang kerana ada undang-undang syariah lain dibuat semata-mata kerana memenuhi kehendak pimpinan Umno sahaja.

Seminar ini agak lewat diadakan kerana ianya menghadapi masalah pertembungan masa dengan beberapa program lain.

Tetapi seperti kata Dato’ Sheikh Azmi ianya lebih baik lambat daripada tiada langsung.

Saturday, March 18, 2006


Pemimpin Umno berhibur ketika rakyat diminta berjimat cermat
Oleh mj
Petikan : Harakahdaily

MACHANG, 18 Mac (Hrkh) - Adilkah bagi sebuah kerajaan ketika mendesak rakyat supaya berjimat cermat, sedangkan dalam masa yang sama membelanjakan jutaan ringgit bagi membayar persembahan penyanyi antarabangsa pada program Gala Grand Prix F1.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa mendakwa beliau difahamkan jutaan ringgit dibayar kepada penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Dancing On The Ceiling', Lionel Richie.

"Malah ada sumber memberitahu kerajaan membelanjakan kira-kira RM98 juta bagi mempromosikan Grand Prix F1 yang akan berlangsung esok. Masihkah kita ingat iklan seorang budak Melayu bercakap bahasa Jerman dan budak Inggeris bercakap Melayu.

"Belanja iklan itu begitu besar, sedangkan manfaatkan kepada rakyat tidak banyak ketika kerajaan meminta seluruh rakyat berjimat cermat ekoran kerajaan menaikkan harga minyak akhir Febuari lalu," katanya selepas ceramah di Taman Siti Aisyah, Wakaf Bata, malam tadi.

Pada perlumbaan Grand Prix Malaysia esok sebanyak 22 pasukan akan berentap menerus cabaran kedua bagi musim ini. Negara ini menjadi tuan rumah bagi perlumbaan itu sejak 1999, selepas jutaan duit rakyat dibazirkan bagi melonjat nama Perdana Menteri ketika itu.

Malam kelmarin persembahan Lionel Riche diadakan di pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang turut dihadiri Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan pemimpin Umno lain.

Nasharuddin berkata, sikap kerajaan seperti itu menyebabkan rakyat sudang hilang kepercayaan sehingga ramai di kalangan mereka mahu meninggalkan perjuangan bersama Umno.

Pada ceramah yang dihadiri ribuan penduduk itu seramai 70 ahli Umno dari Cawangan Taman Siti Aisyah dan Cawangan Changkat 2, Paloh Rawa menyerah borang menyertai PAS kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Umno Changkat 2 diketuai ketua cawangannya, Zaki Ramli, 35 bersama bapanya, Ramli Che Mamat, 63. Ekoran itu kedua-dua cawangan Umno terbabit dibubarkan.

Friday, March 17, 2006



Rumah veteran PAS hangus dalam kebakaran
Oleh Bashir Ishak
Petikan : Harakahdaily

SANGLANG, 17 Mac (Hrkh) – Sebuah keluarga ahli veteran PAS hanya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka hangus dijilat api dalam kebakaran yang berlaku pagi semalam.

Haji Junus Mat yang tinggal di Kampung Jawi Seratus dekat sini hanya dapat melihat rumahnya yang telahhangus itu dengan rasa yang amat pilu memandangkan tiada apapun barang yang dapat diselamatkan.

Dalam kejadian yang berlaku jam 9.00 pagi itu, Haji Junus tiada di rumah kerana sedang membantu persiapan di sebuah majlis kenduri di kampung berdekatan.

Isteri dan menantunya yang berada di rumah tidak sempat berbuat apa-apa kerana api cepat menyambarrumah kayu berkenaan dengan cepat dalam keadaan cuaca yang kering dan berangin sekarang.

"Pakcik hanya tinggal pakaian ini sahaja. Maklumlah kita pergi tolong rumah kenduri macam nilah kitapakai. Isteri dan menantu pakcik pun tak sempat buat apa-apa," katanya.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS cawangan menjangkakan kejadian tersebut mungkin berpuncadaripada litar pintas.

"Kita baru sahaja membuat pendawaian baru bagi menggantikan wayar lama yang sudah berusia 28 tahun dan menukar atap. Boleh jadi ada yang tak kena dengan wayar yang baru," jelasnya.

Timbalan-timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Abdul Karim Mat Rejab dan Hairy Hashim serta SetiausahaPerhubungan PAS Perlis, Hisharuddin Hassan telah meluangkan masa melawat tempat kejadian bagi mewakili Pesuruhjaya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sanglang, Ustaz Hashim Jasin yang sedang berada di luar kawasan.

Seludup minyak: Perketatkan penguatkuasaan, basmi rasuah
Oleh Bashir Ishak
Petikan : Harakahdaily

KANGAR, 17 Mac (Hrkh) – Penguatkuasaan yang telus dan berterusan di samping membasmi rasuah perlu dibuat oleh kerajaan dalam membendung masalah penyeludupan minyak di sempadan.

Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Perlis, Hairy Hashim membuat seruan demikian ketika mengulas isu berkenaan yang didedahkan oleh sebuah akhbar berbahasa Melayu baru-baru ini.

Menurut Hairy, isu penyeludupan minyak di sempadan seperti yang dilaporkan bukanlah cerita baru dansepatutnya kerajaan telah lama menyelesaikan masalah ini.

"Seperti yang dilaporkan akhbar berkenaan, kita nampak ada elemen yang tidak sihat dalam proses pemeriksaan di sempadan yang mana prosedurnya boleh dipersoalkan," katanya.

Akhbar berkenaan turut melaporkan tentang satu perkara yang dikira "ajaib" apabila wujudnya dua buah stesen minyak yang membekalkan minyak untuk hanya kira-kira 300 orang penduduk di Wang Kelian, pekan kecil berhampiran sempadan Thailand.

Hairy meminta pihak berkuasa terutamanya penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyalahgunakan lesen yang diberikan untuk menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Sudahlah harga minyak naik, jangan ada pula pihak mengambil kesempatan menyeludupnya ke luar negara pula dan mendapatkan untung berlipat kali ganda kerana harganya yang relatif lebih murah berbanding negara jiran," katanya lagi.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perlis beberapa bulan yang lalu wakil rakyat di kawasan terbabit, Loh Yoon Foo (BN-Titi Tinggi) mendedahkan bahawa terdapat lebih kurang sebelas buah stesen minyak beroperasi di kawasan terbabit.

Bagi Hairy, situasi ini perlu dipantau dengan serius agar pihak yang terbabit tidak mengambil kesempatan diatas penguatkuasaan yang tidak ketat.

Tambahnya lagi, walaupun wujudnya sektor industri dan pengangkutan di kawasan terbabit seperti di PekanPadang Besar, namun jumlah stesen minyak adalah terlalu banyak sedangkan permintaan pengguna tidaklah begitu tinggi.

"Kita tidak mahu adanya unsur-unsur tidak sihat seperti rasuah yang berlaku. Jika ada dalang yangterbabit dalam kes ini, mereka perlu segera dikenakan tindakan undang-undang," serunya.
Hairy juga menyarankan agar kerajaan mengkaji balik pemberian lesen terhadap stesen-stesen minyak terbabit berdasarkan keperluan setempat.

Baginya, jika benar laporan akhbar yang mengatakan jualan di stesen minyak di kawasan terpencil sebegitutinggi, memang jelas berlakunya penyeludupan ke negara jiran.

"Rakyat di negara jiran pula yang memperolehi kebajikan kerana minyak di sini lebih murah sedangkan rakyat di sini diseru supaya mengubah gaya hidup hinggakan ada yang menyeru supaya naik basikal ke tempat kerja," katanya.

Tuesday, March 07, 2006

PANTUN HARGA MINYAK NAIK
Kategori : Surat Pembaca


Kepada Pak Lah, Perdana Menteri Malaysia Boleh.......Blah

Hari nie tah hari berapa Pak Lah jadi PM kami
Memang dari dulu kami sokong sampai lani
Tapi hari nie, buka mata, senak perut anak bini
Tengok Pak Lah habag minyak naik lagi

Memang kami tak tau pasai ekonomi
Yang tau semua Pak Lah ngan kroni
Tapi sampai bila nak jadi lagu nie
Dapat gaji habis tak berbaki

Pak Lah habag tak boleh buat apa
Nie semua ekonomi dunia
Kalau tak naik nanti dunia kata apa
Habis tu yang rakyat dok menderita, tak pa ka

Dulu Pak Lah kata nak jaga rakyat
Kunun Pak lah nak kerja sama sama dengan rakyat
Nie dok nampak macam nak telan kederat
Dok nampak kami yang nak melarat

Pak Lah kata masalah rakyat nak ambik berat
Kunun tak mau tengok rakyat hidup melarat
Tapi kalau macam nie punya sarat
Darah rakyat pun boleh sejat

Kerajaan ada kata rakyat manja subsidi
Kunun asyik kerajaan saja dok bagi
Sapa kata kami rakyat tak pernah bagiT
u...yang lima tahun sekali tu....sapa bagi??

Tiap kali naik harga, dok banding sini sana
Hampa tengok, kat Thailand lagi mahai dari kita
Apa jenis depa punya kira
Awat tak ikut pulak Brunai punya harga

Brunai tak leh kira
depa punya minyak berlambak tak terkira
Awat, minyak Malaysia tak dak harga ka?
kalau tidak, tak kan jual minyak kita beli minyak depa

Ada Petronas pun tak leh buat apa
Ada duit sikit, dah nak mengada
Pi buat segala menara pagoda kembaq dua
Nak tunjuk, kami la kaya

Petronas kata kami tak tau apa
Kerajaan yang buat kira bicara
Kami ikut apa depa kata
Royalti jadi ehsan pun kami tak leh kata apa

Kunun dok habag petronas hak rakyat semua
Pakailah minyak petronas, nanti untung dapat kat kita
Nie, nak tanya la....tiap tahun untung beribu juta
Rakyat dapat apa ????? kudis buta....

Hari nie petrol naik, tahan la lagi
Tengok pulak apa cerita esok pagi
Habis ikan, ayam, itik sampai ke cili
depa pun sama tumpang naik sekali

Nanti ada la menteri tolong bercakap
Sapa naik harga dia nak pi tangkap
Sampai bila la dia nie nak ubah sikap
Ingat yang dok meniaga kat market tu heran kot dia punya cakap

Pak Lah mau renung nasib kami
Kais hari nie makan untuk kemarin pagi
Anak kecik pun dok ada lagi
Boleh hidup ka kami lagu nie

Dah tak larat nak tanggung cukai
Sini cukai, sana cukai
Dari tanah sampai ke pintu punya ada cukai
Dah sampai masa kot Pak Lah kena guna akai

Jangan dok ingat rakyat macam Pak Lah
Gaji berpuluh ribu hidup tak susah
Ada anak pulak bisnes sebelah sebelah
Dapat tender pun tak payah susah susah

Kami rakyat bukan macam tu
Malah la nie pun dah ada rebus siput babi dgan batu
Sedih sungguh ohhhh negara ku
Biar tak merdeka terus pun tak pa kalau lagu tu

Dah sampai masa Pak Lah ingat
Selesai masalah rakyat cepat cepat
Nanti kot rakyat naik meluat
satu undi pun Pak Lah tak dapat

Cukup la sampai di sini
Tobat dah...aku tak mengundi BN kali nie
Parti Barang Naik pulak kot jadi depa lani
Kot ada sapa nak Barang Naik lagi undi la depa lagi...

Yang Benar,
Rakyat yang semakin tak larat

Terima kasih kepada pengirim

Rahsia Datuk Seri Shahidan didedah!
Petikan : Umno Reform

1. Baru-baru ini dalam satu perjumpaan dengan saya dan beberapa penyokong kuat beliau yang lain, Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim telah berkongsi banyak maklumat yang amat membimbangkan saya. Walaupun saya orang kuat beliau, tapi saya rasa bersalah jika terus bersekongkol dengannya dan mengambil keputusan secara rahsia untuk mendedahkannya kepada pengetahuan umum.

2. Rupa-rupanya dalam hal kenaikan harga petrol, Datuk Seri Shahidan mengambil sikap bertentangan dengan polisi kepimpinan parti di peringkat tertinggi. Beliau berpura-pura mengkritik demonstrasi yang dianjurkan pembangkang Jumaat lepas di sebuah masjid di Kangar. Beliau maklumkan kepada kami beliau sangat menyokong demonstrasi tersebut kerana ia melambangkan satu tekanan terhadap kepimpinan Pak Lah. Hasrat beliau Pak Lah akan meletakkan jawatan sebelum pilihanraya umum yang akan datang.

3. Rupa-rupanya Datuk Seri Shahidan menyokong Timbalan Presiden Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk menjadi Perdana Menteri. Katanya beliau terpaksa bermuka-muka dalam menunjukkan sokongan terhadap Pak Lah memandangkan Pak Lah masih PM. Beliau tetap memandang Pak Lah sebagai orang Semangat 46 walaupun kita semua tahu Pak Lah tak pernah masuk ahli S46. Tetapi Datuk Seri Shahidan berkata Pak Lah adalah antara pemimpin yang menyokong S46.

4. Datuk Seri Shahidan juga selalu pertikai secara diam-diam perlantikan Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad sebagai Setiausaha Agung parti kerana perlantikan itu menyebabkan Datuk Radzi sentiasa kacau daun di Perlis. Tetapi pertikaian ini disimpan rapi demi menjamin kedudukan beliau sebagai MB terus selamat.

5. Datuk Seri Shahidan juga berkata cadangannya yang menggesa penduduk Perlis menunggang basikal ke pejabat ekoran kenaikan harga petrol itu sebenarnya adalah satu usaha beliau menyindir keputusan Pak Lah dalam hal kenaikan harga petrol. Beliau sendiri mengakui kenaikan harga petrol itu membebankan rakyat dan beliau agak gusar bagaimana caranya beliau hendak terangkan kepada majoriti rakyat Perlis yang sedang marah secara senyap tentang kenaikan harga petrol. Datuk Seri Shahidan juga menerangkan kepada kami walaupun subsidi minyak dikurangkan sehingga penjimatan sebanyak RM4.4 Bilion, tetapi beliau tidak berpuas hati kerana peruntukan pusat untuk Perlis tetap tidak bertambah.

6. Datuk Seri Shahidan juga mendedahkan beliau agak terkilan apabila Saudara Khairy Jamaluddin yang dijemput datang merasmikan majlis anjuran Pergerakan Pemuda Perlis di Batu Bertangkup. Sebenarnya beliau mahukan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien merasmikan majlis tersebut. Beliau mengatakan bahawa beliau agak kurang gemar dengan saudara Khairy tetapi beliau terpaksa menghormatinya kerana faktornya sebagai menantu PM. Beliau berkata sekiranya Pak Lah meletakkan jawatan nanti, beliau tahu bagaimana caranya untuk mengajar saudara Khairy yang melebih-lebih yang sangat berbeza berbanding dengan kelakuan anak-anak Tun Mahathir ketika Tun masih PM.

7. Ketika majlis perasmian saudara Khairy di Batu Bertangkup Perlis, Datuk Seri Shahidan tidak hadir dan sedang minum bersama kami di Kuala Perlis. Ketika saudara Khairy sedang berucap, kebetulan Datuk Seri Shahidan menelefon Senator Wan Nordin Che Murat menyuruhnya supaya meninggalkan majlis tersebut dan bertolak ke Kuala Perlis untuk minum bersamanya. Selepas perbualan telefon itu, Datuk Seri Shahidan kata Senator Wan Nordin akan sampai.

8. Datuk Seri Shahidan pernah berkata sebelum ini bahawa beliau agak marah kepada Saudara Rozabil Abdul Rahman, Ketua Pergerakan Pemuda Perlis kerana saudara Rozabil seolah-olah tidak boleh ditegur langsung oleh Datuk Seri Shahidan kerana maklumlah saudara Rozabil adalah boleh dikatakan sangat rapat dengan saudara Khairy. Datuk Seri Shahidan banyak kali berkata sejak saudara Rozabil menjadi Ketua Pemuda Arau dan Ketua Pemuda Perlis, beliau nampak saudara Rozabil semakin besar kepala seolah-olah seorang pemimpin besar di Perlis. Datuk Seri Shahidan telah mengatur orang yang bersedia untuk mencabar saudara Rozabil pada pemilihan parti yang akan datang dan beliau yakin saudara Rozabil akan kalah.

9. Saya tidak mengharapkan sesuatu balasan di atas surat pendedahan perlakuan Datuk Seri Shahidan ini. Saya cuma mahukan kepimpinan tertinggi parti melakukan sesuatu yang terbaik untuk Perlis. Saya ucapkan terima kasih kepada pembaca dan saya mengharapkan agar semua faham mengapa saya tidak mampu dedahkan nama saya.Wassalam.

Bakar Bin Saad

Penduduk Kaki Bukit-Padang Melangit mohon lampu isyarat
Oleh Bashir Ishak
Petikan : Harakah

BESERI, 7 Mac (Hrkh) - Sekumpulan penduduk yang prihatin dengan keselamatan orang ramai telah merayu untuk diadakan lampu isyarat di persimpangan Jalan Kaki Bukit - Padang Melangit dekat sini.

Rayuan terbabit melibatkan penduduk Kampung Darat di Batu 6 1/4 Jalan Kaki Bukit, Kampung Tunjung, Bukit Temiang, Kampung Paya, Kampung Beseri dan sekitar Pekan Balai Baru.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Rayuan penduduk, Ishak Kassim, banyak faktor yang membawa kepada permohonan ini.

"Di kawasan berhampiran simpang ini kerap terjadi kemalangan jalan raya di samping berlakunya kesesakan lalu-lintas terutamanya pada waktu pagi," katanya.

Menurutnya lagi, persimpangan ini digunakan oleh murid-murid dari tiga buah sekolah dan sebuah Pasti untuk melintas pada waktu pagi dan tengahari.

"Pelajar dan ibubapa yang mahu menghantar anak-anak ke Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Tunjung, Sekolah Rendah Islam At-Taqwa, Sekolah Menengah Tengku Sulaiman dan Pasti Darul Taqwa menghadapi risiko untuk melintas berikutan kesesakan lau-lintas," tambahnya.

Sementara itu, seorang mekanik, Wan Abdul Rahman Wan Adam yang membuka kedainya berhampiran melahirkan kebimbangannya berikutan tiada tanda amaran had laju jalan di samping tiadanya garisan atau petak kuning berdekatan simpang tersebut.

"Keadaan bertambah bahaya apabila kenderaan sering memecut laju berikutan jalan yang lurus dari arah utara di samping banyaknya lori tanah melalui jalan tersebut pada waktu siang," katanya.

Beliau turut menyeru agar pihak polis menyediakan petugas buat sementara waktu ini sehinggalah lampu isyarat diadakan.

"Kalau boleh ada seorang polis mengawal lalu-lintas sejam waktu pagi dan sejam waktu tengahari," pohonnya.

Dalam pada itu, seorang pengusaha kedai kopi, Abang Syed menyokong langkah yang diambil Jawatankuasa Rayuan penduduk itu kerana ahli kariah Masjid Al-Ehsan berhampiran yang sering berulang untuk berjamaah di situ juga menghadapi risiko terutamanya pada waktu malam.

"Keadaan di simpang agak gelap pada waktu malam walaupun adanya lampu di seberang jalan," jelasnya.

Menurutnya lagi, ramai orang suka meletakkan kenderaan di bahu jalan berhampiran simpang sehingga menghalang pengelihatan pengguna jalan dari arah Jalan Padang Melangit untuk bergerak ke jalan utama sam ada ke arah Padang Besar atau ke Kangar.

Sehubungan dengan itu, jawatankuasa berkenaan telah menghantar permohonan kepada pihak Jabatan Kerja Raya negeri Perlis dan salinan surat turut ditujukan kepada Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim dan ADUN Santan, Sabry Ahmad.

Ratusan tanda tangan dari penduduk sekitar telah dikumpulkan bagi mengukuhkan lagi permohonan mereka.

Laporan yang diperolehi, telah ada pihak yang datang mengambil gambar persimpangan berkenaan. Jadi, menurut Ishak, pihaknya berharap agar proses pembinaan lampu isyarat berkenaan dapat dipercepatkan supaya keselamatan orang ramai terjamin.

"Kita tidak mahu lagi berlakunya kemalangan yang meragut nyawa di samping kemudahan orang ramai melintas dengan selamatnya," katanya.

Friday, March 03, 2006

Kami memohon maaf kepada pengirim kerana lewat menyiarkan surat ini yang sepatutnya dikategorikan SEGERA.Walau bagaimanapun kami menyiarkan juga surat ini berdasarkan beberapa fakta terbaru yang menarik yang telah pengirim dedahkan yang boleh dikongsi bersama.
Balasungkawa kepada seluruh rakyat Malaysia 2
Kategori : Surat Pembaca

Pagi 28 Feb 2006, rata-rata rakyat Malaysia termasuk kami menerima hadiah istimewa daripada kerajaan Malaysia yang merupakan pemegang mandat 90% kerusi Parlimen sejak 2004. Kerajaan telah menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen, kenaikan sebanyak 18 peratus dari harga minyak yang ada dan tertinggi sepanjang sejarah negara.

Rakyat Malaysia seolah-olah amat gembira menerima hadiah kenaikan harga minyak ini kerana mereka berpusu-pusu di malam hari tadi untuk mengisi penuh tangki minyak kereta mereka dengan harga minyak yang lama. Seolah-olah tindakan ini merupakan satu tindakan yang amat menguntungkan mereka dalam jangka masa yang panjang.

Sekiranya perkara ini berlaku di Thailand mahupun Indonesia, rakyat di sana bukan berebut-rebut mengisi minyak, tetapi sebaliknya berebut-rebut keluar ke jalan raya memprotes tindakan pemerintah yang sebegini rupa sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa mengkaji semula tindakan yang telah diambil.

Sikap sebeginilah baru melambangkan sesebuh negara itu demokrat tulen ataupun tidak kerana partisipasi politik yang bebas semacam ini adalah elemen penting dalam demokrasi.

Kerajaan Malaysia dalam kenyataan rasmi pengumumannya itu, seperti biasa akan membandingkan harga minyak yang didakwa masih rendah berbanding dengan negara-negara ASEAN seperti Singapura. Kenapa agaknya kerajaan tidak membandingkannya dengan harga minyak di Brunei. Kenapa tidak dibandingkan harga barangan yang lain di Thailand dan Indonesia khususnya yang jauh lebih murah daripada Malaysia?

Brunei yang mana hasil pendapatan negaranya hanya bergantung semata-mata kepada minyak dapat memberikan subsidi harga minyak yang tinggi kepada rakyatnya sedangkan negara kita yang mempunyai pendapatan dari pelbagai sumber termasuk balak dan sektor perlancongan serta elektronik masih tidak mampu menjelma sebagai sebuah kerajaan kebajikan pro rakyat.

Kenaikan ini berlaku ketika Petronas, syarikat pengeluar minyak milik rakyat Malaysia, mencatatkan keuntungan lebih RM50 bilion tahun 2005. Ke mana pergi aliran agihan RM50 bilion ini? Adakah RM50 bilion itu turut menjadi sebahagian daripada jumlah sebanyak RM800 bilion sepanjang pemerintahan Mahathir yang dijadikan kos untuk menampung mana-mana projek mega yang tak berfaedah dan bail-out syarikat kroni atau syarikat milik negara yang rugi? Kenapa sampai sekrang aktiviti Petronas hanya menjadi rahsia PM seorang sahaja? Kenapa ianya tidak pernah dibentangkan di Parlimen?

Kerajaan Malaysia juga telah berani menaikkan harga minyak kerana sedar bahawa protes rakyat tak akan sampai ke mana dan mungkin berlanjutan dalam tempoh seminggu sahaja, itupun paling lama. Kerajaan sedar dan berbangga memiliki majoriti rakyat yang bersikap boleh dicucuk hidung. Dengan itu, kerajaan kiranya bagi rakyat Malaysia amat bermurah hati kerana hanya menaikkan harga minyak sekadar 30 sen sahaja dan bukannya seringgit ataupun dua ringgit.

Terdapat suatu rahsia umum yang kurang didedahkan bahawa walaupun kerajaan menaikkan harga minyak dengan alasan tidak adil baginya untuk terus memberi subsidi minyak kepada rakyat Malaysia di waktu harga minyak dunia sekarang ini melambung naik, tetapi dalam masa yang sama pegawai tinggi kerajaan dan menteri masih mendapat elaun subsidi minyak dari kerajaan untuk kegunaan kenderaan rasmi mereka melalui pemberian kad Petronas. Secara tidak langsung, rakyat Malaysia sedang menanggung kos penggunaan minyak untuk golongan ini. Adakah ini adil?

Nah, wajarkah rakyat Malaysia turun ke jalan raya secara aman untuk membantah tindakan terbaru kerajaan ini? Pas katanya akan mengadakan demonstrasi di KLCC pada Jumaat depan. Bolehkah perhimpunan itu mencapai jumlah sekurang-kurangnya seratus ribu orang? Kita cuba, mana tahu rakyat Malaysia sudah bosan dengan kerajaan.Pas kena keluarkan arahan rasmi kepada jentera dan organisasinya di seluruh negara agar turun beramai-ramai ke KL pada Jumaat ini.

Kita mahukan kehadiran lebih daripada seratus ribu orang. Jangan lagi seperti hangat-hangat tahi ayam sebagaimana tragedi demonstrasi membantah keputusan pilihanraya yang telah dibatalkan pada saat akhir tahun 2004 dahulu. Pimpinan tertinggi Pas seperti Tuan Guru Nik Aziz dan Haji Hadi juga mesti turun sama memimpin demonstrasi ini. Ditambah dengan kehadiran Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah, Lim Kit Siang, pemimpin mahasiswa dan gerakan pengguna serta kesatuan sekerja.

Bagi mereka yang berada di Perlis, diharap dapat berdemo secara aman di Masjid Putra Kangar selepas solat Jumaat esok.

Sejarah perubahan yang berlaku di mana-mana negara memerlukan jalanraya bagi menjatuhkan sesebuah kerajaan authoritarian dan korup. Lihat, di Iran, dinasti Shah Iran mampu dijatuhkan oleh kuasa rakyat pimpinan Imam Khomeini. Diktator Soeharto di Indonesia boleh tumbang hanya apabila tiga orang Mahasiswa Universiti Trisakti mati ditembak polis sewaktu demonstrasi di Jakarta.

Adakah ada sinar perubahan di Malaysia? Bilakah akan wujud sebuah parti pembangkang yang kuat? Sampai bilakah baru akan muncul gerakan mahasiswa dan kesatuan sekerja yang digeruni penguasa yang korup? Kenapa rakyat Malaysia masih bersikap “biarlah, tak apa”? Bilakah rakyat Malaysia akan berani dan berubah menjadi bijak? Sama-samalah kita nantikan pada permulaan episod Jumaat ini.


Angkatan Muda Insaf (Baru)


Terima kasih kepada pengirim.

Thursday, March 02, 2006


Wahhabi : Apa perlunya seminar ketika ini ?
Oleh : Mat Teropong
Kategori : Berita

Kangar 1hb Mac : Tindakan kerajaan negeri mengadakan Seminar Pemikiran Muhammad Abdul Wahab ketika ummat Islam dalam keadaan terkepung dengan isu penghinaan kepada Rasulullah dan pemberhentian seorang pekerja Islam kerana memakai tudung dikesali.

Menurut Naib Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Perlis Ustaz Yussainee Yahya seminar itu tidak kena pada masanya.

“Disaat ummat Islam sepatutnya fokus kepada kemuliaan agama, seminar yang membincangkan bidaah dan furu’ dijalankan,” Katanya kesal.

Beliau yang juga Timbalan Ketua DPP kemudiannya mengemukakan rasional kepada kenyataannya itu ialah bila perhatian ummat Islam yang sepatutnya bersama-sama menghadapi tentangan dan penghinaan ini dialihkan, ianya akan menimbulkan perpecahan.

Perpecahan pada pandangannya akan timbul apabila satu puak bercakap dan membidaahkan satu puak lain sedang dalam masa yang sama musuh Islam tidak peduli apa mazhab yang kita pegang asalkan Islam jatuh tersungkur.

Semalam Berita Harian Edisi Utara melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa ada tokoh agama tempatan bersikap jumud dan gagal menguasai ilmu dengan tepat apabila menuduh Perlis mengamalkan fahaman Wahhabi

Beliau juga menyatakan tuduhan itu tidak akan dibuat jika tokoh agama, termasuk di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berfikiran terbuka dan menguasai ajaran Islam sepenuhnya.

Ustaz Yussainee kemudiannya mempersoalkan kenyataan Shahidan itu yang menurutnya sebagai satu isyarat bahawa Shahidan sendiri tiada keyakinan dengan Jakim.

“Kalau dah Jakim dia tak percaya, siapa lagi yang dia nak harap untuk jaga perkara agama ? Pasal Jakim tu Umno juga yang tubuhkan,” Soalnya.

Dia kemudiannya menyarankan agar Perlis tidak terlalu cepat melatah dengan apa yang Perlis anggap tuduhan dari Jakim itu sebaliknya bertenang kerana baginya sesiapa yang terlalu cepat melatah dengan satu-satu tuduhan itu tandanya tuduhan itu betul.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Dewan Pemuda Pas (DPP) Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadhil pula berpendapat Wahhabi di Perlis ini bukan idea asal Muhammad Abdul Wahab.

Ini kerana katanya Muhammad Abdul Wahab ialah seorang tokoh reformis Islam yang bukan hanya bercakap mengenai bidaah semata-mata tetapi yang paling utama yang dia fikirkan ialah bagaimana hendak mencegah mungkar.

Perbezaan antara bidaah dan mungkar menurutnya lagi ialah bidaah tidak disebut didalam al-Quran tetapi perkataan mungkar, banyak sekali disebutkan.

“Macamana agaknya pandangan Muhammad Abdul Wahab berkenaan dengan kedai judi yang ada di sekitar Kangar dan Konsert Sure Heboh bidaah atau tidak?,” Soalnya.

Beliau menjelaskan yang Muhammad Abdul Wahab menggelarkan thoghut antaranya kepada golongan pemimpin yang tidak melaksanakan hukum Islam dan juga seorang penggubal undang-undang yang mengubah hukum Allah.

“Mengapa benda yang jelas ini tak disebut tapi hanya sibuk sebut perkara furu’ sahaja,” Tanya beliau lagi.


Isu Minyak : Kerajaan lebih pentingkan pelabur luar dari rakyat sendiri
Oleh : Nikon
Kategori : Berita

Jejawi 1 Mac : Kerajaan pimpinan Barisan Nasional ( BN ) dilihat lebih mengutamakan pelabur luar dari kesusahan rakyat mereka sendiri.Demikian pandangan Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis ( DPPP ) Ustaz Ahmad Adnan Fadhil mengenai isu kenaikan harga minyak.

Beliau yang dihubungi sebentar tadi berpendapat sedemikian bertolak dari kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan jika kerajaan terlalu memberikan subsidi kepada rakyat, maka ini akan dilihat sebagai perkara negatif dikalangan pelabur luar.

Najib juga memberikan alasan yang sama setiap kali berlaku kenaikan minyak iaitu rakyat akan menjadi malas kerana budaya subsidi dan negara-negara lain sudah lama menarik subsidi.

“Kalau kita bagi subsidi ini menunjukkan bahawa kita banyak duit dan kita guna itu bagi kepada rakyat.Tapi kalau kita tak bagi subsidi, maknanya kita tak ada duitlah tu,”kata beliau

“Kerajaan cuma nak tunjuk pandai mengurus depan pelabur asing tapi tak kisah dengan kesusahan yang akan ditanggung rakyat,”tambahnya lagi.

“Kerajaan yang ada sekarang bukan pelabur luar yang lantik tetapi rakyat di negara ini.Sebab apa kita nak sibuk-sibuk dengan pelabur asing ?,”soal beliau.

Beliau kemudiannya menyangkal dakwaan Najib yang mengatakan bahawa semua subsidi yang ditarik balik itu akan digunakan untuk rakyat juga seperti menjadikan sistem pengangkutan awam sekarang lebih baik.

“Adakah semua rakyat Malaysia menggunakan pengangkutan awam? Tengok di Perlis ni, pakcik-pakcik yang pakai motor tu nak kita kira macamana.Rumah depa jauh ke dalam mana bas nak masuk?,” Tanya beliau lagi.

“Dan kalau boleh buatpun berapa tahun lagi masa nak diambil.Mungkin masa tu minyak dah 10 kali naik,” sindir beliau.

Beliau menyarankan kerajaan supaya mengambil perkara lain juga sebagai perbandingan antara Malaysia dengan negara lain seperti ketiadaan tol dan harga barang yang sesetengah itu lebih murah dari Malaysia.

Soal harga minyak ini menurutnya lagi amat sensitif kerana ianya akan melibatkan kenaikan harga barang perlu yang lain.

Dan kerajaan pula menurutnya akan hanya memberikan ugutan demi ugutan kepada peniaga tanpa penguatkuasaan.Akhirnya harga barang tetap akan naik juga naik.

Menurut beliau lagi Mesir dan Iran sudah lama mengamalkan ekonomi yang berteraskan kebajikan kepada rakyat.Dan Malaysia pada pandangan beliau juga patut melakukannya.

Sebagai peringatan, Malaysia ketika hendak melaksanakan program jarum suntikan dan kondom percuma satu masa dahulu telah mengambil kerajaan Iran sebagai perbandingan untuk melaksanakannya.Tetapi dalam isu ekonomi kebajikan ini mereka tidak pula mengambil Iran sebagi contoh.

Beliau berkeyakinan yang Kerajaan BN masih mengganggap rakyat Malaysia bodoh dan atas sebab itulah dia memberikan alasan yang bodoh setiap kali berlakunya permasalahan yang melibatkan rakyat.

Oleh itu beliau menyeru seluruh rakyat untuk bangkit menukar kerajaan sekarang ini kerana rakyat seharusnya sedar bahawa kerajaan sekarang telah terlalu banyak memperbodohkan rakyat dan lebih pentingkan nasib pelabur asing daripada rakyat sendiri.