Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, December 15, 2006

Surat Pembaca:

Saudara pengarang,

Rakyat Malaysia akan membayar kadar tol yang lebih tinggi menjelang 1 Jan ini sepertimana yang diumumkan oleh Samy Vellu. Samy boleh menyindir rakyat Malaysia yang lembek dan bangang dengan katanya siapa yang mahu menggunakan lebuhraya mestilah bersedia untuk membayar tol.

Rakyat Malaysia adalah rakyat yang paling baik di dunia. Sepatutnya kerajaan BN menaikkan kadar tol sehingga 300% sebagai hadiah paling bermakna kepada rakyat yang baik ini. Percayalah wahai kerajaan BN bahawa rakyat sanggup membayar tol walaupun kadarnya dinaikkan sehingga tahap itu.

Di samping kenaikkan kadar tol, kerajaan BN juga harus mengkaji semula harga bahan api di Malaysia kerana walaupun telah dinaikkan sebanyak 30 sen, ianya masih murah berbanding negara lain. Saya syorkan walaupun harga bahan api dalam pasaran dunia sekarang menurun, kerajaan BN haruslah menaikkan harganya ke tahap RM 2.50 seliter bagi menambahkan lagi kantung kewangan negara untuk diagihkan kepada pemimpin BN.

Rakyat yang tinggi mentaliti feudalistiknya akan setia membayar harga bahan api petrol walaupun pada kadar RM 2.50 seliter.

Saya sudah bosan dengan sikap rakyat Malaysia. Justeru, saya berharap agar kerajaan BN dapat menunaikan cadangan saya menjelang tahun baru ini demi kebaikan pemimpin BN!

Cemerlang, gemilang, terbilang, temberang!


Nama Pena: Rakyat Yang Kecewa


Terima Kasih kepada Pengirim

Monday, December 04, 2006

Meremehkan perkara utama timbulkan masalah kepada umat
Oleh : Nikon
Kategori : Berita

Kangar 3hb Dis : Kecenderungan pihak berwajib yang dilihat suka meremehkan-remehkan dalam perkara hukum yang melibatkan keseluruhan umat Islam seperti perkara aqidah adalah suatu perkara yang tidak wajar dan tidak boleh diterima.

Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis,Ustaz Adnan yang dihubungi semalam menganggap kenyataan mufti Perlis Dr.Asri Zainal Abidin dalam temubual beliau dengan Malaysiakini baru-baru ini sebagai main-main kerana mufti itu menganggap kongsi raya sebagai isu kecil.

Dalam temubual Malaysiakini dengan mufti Perlis itu,beliau berharap tiada pihak menggunakan perbezaan pendapat tentang isu “kongsi-raya” sebagai alasan untuk menjejaskan keamanan dan keharmornian pelbagai kaum dalam negara ini.

Beliau yang baru dilantik sebagai Mufti negeri itu awal bulan ini juga berkata, tumpuan masyarakat sekarang sepatutnya pada perkara-perkara asas yang lebih penting seperti keadilan dan kebebasan.

“Kongsi raya bukan isu kecil.Ia melibatkan aqidah.Perkara ini mesti dibincang dengan betul-betul,”kata Ustaz Adnan.

“Sebagai mufti, beliau tidak boleh membuat kenyataan yang remeh.Kalau boleh kata boleh,pasal dia mufti,”tambah beliau lagi.

Perkara ini menurut Ustaz Adnan membelakangkan kenyataan Dr.Asri yang asal iaitu supaya umat Islam mengenepikan perkara remeh dari diperdebatkan.

Menurutnya lagi Dr Asri telah salah meletakkan keutamaan apabila isu besar itu diturunkan menjadi kecil dan isu Salafi menjadi isu besar di Perlis.

Ustaz Adnan juga meluahkan rasa kesalnya kerana Mufti Perlis itu pada anggapannya terlalu memikirkan perasaan orang bukan Islam dalam soal kongsi raya itu.

Dan apabila dia menyebut tentang perkara keadilan dan kebebasan,Ustaz Adnan mencabar beliau untuk mengeluarkan fatwa tentang ISA.

“Saya cabar dia agar mengeluarkan fatwa yang khusus tentang ISA yang mana akta itu jelas telah meragut kebebasan dan keadilan terhadap individu dan keluarga mereka.,”tegasnya.

“Adakah ISA ada dizaman rasulullah iaitu hukuman tanpa pendakwaan? Jelaskan hadis yang mana jika ianya sunnah,”cabar beliau.

Beliau turut menyentuh bahawa PAS juga merujuk kepada salaf (golongan sahabat dan golongan tabiin kira-kira 200 tahun selepas rasulullah) dalam berhukum perkara asas.

Tetapi apabila timbul perkara qias, ulama’ PAS tidak menolak pandangan dari imam-imam mazhab iaitu penafsiran mereka kepada hadis-hadis rasulullah.

“Golongan imam-imam mazhab ini berpandukan al-Quran dan sunnah bila berhukum,”jelasnya.


“Kecenderungan untuk tafsirkan kebenaran hanya dalam salafiah dan golongan imam mazhab itu tidak betul adalah salah,”ujarnya lagi.

Mufti Perlis: Ketepikan perbezaan pendapat isu kecil
Petikan : Malaysiakini

Mufti baru Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin berharap tiada pihak menggunakan perbezaan pendapat tentang isu “kongsi-raya” sebagai alasan untuk menjejaskan keamanan dan keharmornian pelbagai kaum dalam negara ini.
Beliau yang baru dilantik sebagai Mufti negeri itu awal bulan ini berkata, tumpuan masyarakat sekarang sepatutnya pada perkara-perkara asas yang lebih penting seperti keadilan dan kebebasan.

Dr Asri, 35, yang berasal dari Pulau Pinang mnambah, perbahasan samaada orang Islam boleh mengucapkan “selamat....” kepada bukan Islam patut diasingkan dari pertimbangan politik.

“Kita tidak perlu memberi fokus kepada isu-isu ini. Apa gunanya kalau kalau seseorang itu merayakan hari kebesaran agama saya dan saya merayakan hari raya mereka tetapi jauh di lubuk hati masing-masing mereka telah dilayan dengan tidak adil,” soal beliau.

“Yang menentukan keamanan dan keharmornian ialah keadilan dan kesaksamaan serta hak setiap komuniti melakukan apa yang dirasakannya wajar.

“Jangan semata-mata kerana saya tidak pergi ke majlis Deepavali seseorang, maka saya dianggap menekan pihak berkenaan dan saya juga tidak boleh merasakan tertindas semata-mata kerana seseorang tidak datang meraikan majlis keagamaan saya,” tegasnya.

Dr Asri mengulas kontroversi keputusan mesyuarat mufti-mufti pada awal tahun ini yang memutuskan majlis “kongsi raya” atau “Deeparaya” adalah haram di sisi Islam.

Isu tersebut hangat menjelang hari raya Aidil Fitri yang lalu apabila ketua unit Syriah Takaful Malaysia mengedarkan kenyataan kepada kakitangan syarikat itu yang antara lain menyeru jangan mengucapkan “Selamat Deeepavali...” kepada pelanggan beragama Hindu kerana dibimbangi akan merosakkan akidah.

Dr Asri bagaimanapun menegaskan perayaan-perayaan Islam tidak boleh dianjurkan bersama dengan perayaan agama lain kerana perayaan Islam perlu dirayakan mengikut ajaran dan nilai Islam. “Perayaan agama kita terikat dengan akidah.

Sebagai contoh hari raya Aidil fitri, Tuhan mahu kita merayakan kejayaan berpuasa dan memuji-mujiNya serta membesar-besarkanNya kerana telah memberi kekutaan dnan rezeki kepada kita,”jelas Dr Asri yang merupakan Mufti termuda di negara ini.

Beliau bagaimanapun sependapat dengan Mufti Qatar, Yusuf Al-Qaradhawi yang tidak melarang umat Islam mengucap “ Selamat....” kepada penganut agama lain pada hari perayaan masing-masing.

Tekanan luarTiada apa-apa yang salah dalam perbuatan itu asalkan tidak membesar-besarkan atau memuja agama dan tuhan mereka, katanya lagi.

Menurutnya lagi, dalam membincangkan isu-isu agama seperti ini, dan memutuskan fatwanya, pihak-pihak luar jangan mengenakan sebarang tekanan kepada pihak berkuasa agama.

“Hanya dengan cara ini, barulah mufti–mufti dan pakar-pakar agama dapat membincangkan dengan wajar dan munasabah,”ujarnya..

“Kami perlu membuat keputusan secara bebas. Kami perlukan kebebasan. Saya tidak boleh membuat keputusan bagi menyokong keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan.

Saya tidak akan berbuat begitu. Kalau kebetulan keputusan itu sama, itu satu hal lain. Tapi kalau saya diberi pilihan “buat keputusan bagi menyokong kerajaan atau tinggalkan jawatan ini...” saya akan pilih meninggalkan jawatan ini” tegas Dr Asri.

Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu juga menyatakan, beliau menerima tawaran menjadi Mufti Perlis tanpa meletakkan syarat-syarat khusus.

Katanya, yang ada hanyalah persefahaman bahawa beliau akan berperanan sebagai Mufti dan bukan dibayangi oleh sesiapa yang berkuasa di negeri itu.

“ Peranan saya sebagai Mufti ialah untuk mengeluarkan fatwa dan memberikan pandangan serta membincangkan fatwa. Saya tidak boleh berfungsi di sebalik bayang-bayang tokoh-tokoh tertentu dan menurut semua kata-kata atau tindakannya.”

“Personaliti saya sebagai Mufti tidak boleh ditenggelamkan dalam personaliti orang lain. Jika identiti Mufti ditenggelami oleh identiti pihak berkuasa, apa guna negeri ini ada Mufti?” tambahnya.

Sebagai Mufti Perlis, Dr Asri juga mempunyai tanggungjawab untuk memberi nasihat kepada Raja negeri itu dan kerajaan negeri berkaitan undang-undang Islam.

Tuesday, November 28, 2006

Ulama diseru sepakat hadapi permasalahan umat Islam
Oleh Bashir Ishak
Petikan : Harakahdaily

KANGAR, 28 Nov (Hrkh) - Pelbagai permasalahan besar yang melanda umat Islam pada zaman ini perlu ditangani dengan menggembeleng tenaga semua pihak khususnya para ulama.

Justeru, para ulama serta individu yang bertanggungjawab dalam bidang agama diminta agar memberi penumpuan khusus bagi menyelesaikan masalah ini dengan mengenepikan perbedaan pendapat, demikian seru Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Ahmad Ali.

Katanya, memang terdapat perselisihan mazhab dan pandangan oleh para ulama terdahulu dalam bidang agama khususnya yang melibatkan ilmu fekah, tetapi perbezaan pandangan sebegini tidak boleh diperbesarkan sehingga melemahkan umat keseluruhannya.

"Umat Islam tidak akan lemah kerana baca Bisimillah kuat atau pelan dalam solat, juga tidak lemah kerana berqunut subuh.

"Tapi umat Islam akan jadi mundur kerana sering mempertikaikan perkara-perkara furuk atau khilaf dalam agama sedangkan setiap pandangan itu ada hujahnya tersendiri mengikut ulama," katanya.

Tegasnya, banyak perkara besar yang perlu diberi perhatian pada masa ini seperti gejala sosial, rosak akhlak dan yang paling membimbangkan ialah gejala riddah atau murtad.

"Sudah sampai masanya satu penyatuan atau kesepakatan sejagat dicapai untuk memperbetulkan keadaan demi masa depan umat Islam. Bukan masanya untuk kita mempertikaikan perkara-perkara kecil," sambungnya lagi.

Ustaz Ahmad juga menyeru golongan cerdik-pandai dalam bidang agama agar berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang hujah khususnya yang membabitkan ulama-ulama zaman silam.

"Jangan kita mudah untuk mempertikaikan ulama terdahulu seperti imam-imam mazhab. Mereka berada pada kurun yang lebih dekat dengan Rasulullah s.a.w., ilmu yang mereka ada sanadnya lebih jelas dan hampir dengan zaman Nabi," katanya.

Wednesday, November 22, 2006

Selepas bina pondok bas, kerajaan Perlis robohkannya pula Oleh Bashir Ishak
Petikan : Harakahdaily

PADANG BESAR, 22 Nov (Hrkh) - Sebuah pondok perhentian bas di seberang Klinik Kesihatan Padang Besar yang dibina dengan harga RM20,000.00 akan dirobohkan oleh kerajaan walaupun sebelum ini pembinaannya pernah dipersoalkan oleh pelbagai pihak.

Inilah nasib pondok perhentian bas yang bakal dirobohkan walaupun dibina dengan duit rakyat yang bernilai RM20,000.

Kos pembinaan pondok bas berkenaan diperolehi daripada jawapan pihak kerajaan kepada Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin (PAS- Sanglang) bagi soalan lisan sidang Dewan Undangan Negeri Perlis pada 17 dan 18 April 2002 yang lalu.

Namun, yang agak dikesalkan setelah siap lebih kurang empat tahun ianya akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek naik taraf jalan di Pekan Padang Besar.

Pada awal pembinaannya, ramai yang hairan mengapa ia dibina di situ kerana lokasinya yang menghala ke arah utara dan hanya beberapa ratus meter dari Pekan Padang Besar serta lebih kurang tiga kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

"Siapa yang mahu tunggu bas di sini?" tanya seorang peniaga yang pernah berniaga dekat situ tidak lama dahulu.

Bayangkan kos pembinaannya sebanyak RM20,000.00 yang boleh menyiapkan dua atau tiga buah rumah PPRT, kini akan dirobohkan begitu sahaja tanpa memberi manfaat penuh kepada orang ramai.

Nyata, kerajaan pimpinan Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim tidak bijak untuk menilai dalam soal pembinaan pondok bas, apatah lagi untuk mentadbir dan mengurus sebuah negeri.

Sunday, November 19, 2006

Ustaz Zolkharnain Abidin terlibat kemalangan jalanraya

KANGAR, 18 Nov - Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Zolkharnain Abidin mengalami kemalangan jalanraya berhampiran Jeli, Kelantan pada petang 16 November lalu.

Dalam kejadian jam 4.00 petang itu, kereta yang dipandunyya telah berlanggar dengan sebuah van yang datang dari arah bertentangan.

Beliau mengalami kecederaan ringan, namun dua orang anaknya, Asyraf, 13 dan Auzaie, 6 tahun cedera parah dan diberitakan patah di paha.

Ustaz Zolkharnain yang dihubungi memberitahu bahawa keretanya rosak teruk akibat kemalangan tersebut.

Beliau dalam perjalanan pulang ke Perlis selepas menjemput Ashraf yang belajar di Maktab Rendah Sains MARA Kota Putra, Besut untuk pulang bercuti.

Anak-anaknya kini sedang dirawat di Hospital Tengku Aminah Kota Bharu.

Friday, November 17, 2006

Penyakit masyarakat parah jika pendidikan agama dipinggir

Petikan Harakahdaily
BESERI , 16 Nov - Penyakit masyarakat tidak dapat diubati sekiranya pendidikan agama terus dipinggirkan tanpa diberikan perhatian yang serius, kata Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.

"Kita lihat kini penyakit masyarakat seperti gejala sosial tidak mampu diubati. Lepas satu datang yanglain pula. Dulu bohsia, lepak kini mat pempit pula.

"Kalau mat rempit yang sekadar mahu menunjukkan aksi lasak tak apa lagi, tapi mereka dah mula terlibat dengan jenayah pula," ujarnya ketika merasmikan Majlis Aidul Ilmi Sekolah Rendah Islam At-Taqwa dekat sini kelmarin.

Justeru katanya, pendidikan agama perlu diterapkan sejak awal lagi dalam diri anak-anak agar akhlak mereka dapat dibentuk dengan baik.

Menurutnya, di atas kesedaran mahu membentuk masyarakat yang berakhlak Islamiyah, maka PAS Perlis sendiri telah membina dan mengelolakan tiga sekolah yang terdiri daripada sebuah sekolah menengah dan dua sekolah rendah.

"Jadi kita (PAS) membina sekolah untuk tujuan itu. Produk yang sekolah kita hasilkan akan bebas daripada terlibat dengan pelbagai masalah yang disebutkan. Kalau adapun peratusnya adalah terlalu sedikit jika dibandingkan dengan sekolah biasa," katanya.

Katanya lagi, hasil didikan yang diberikan masyarakat akan dapat menilai produk yang dihasilkan oleh sekolah kelolaan PAS mahupun sekolah agama rakyat yang lain.

"Kejayaan akademik semata-mata tidak cukup, tapi sistem pendidikan yang diberikan oleh sekolah kitamampu melahirkan produk yang berakhlak serta berguna kepada masyarakat.

" Orang cerdik memang ramai tapi tanpa diiringi dengan khlak Islamiyah macam-macam perkara yang buruk boleh terjadi," katanya.

Isu rasuah dalam Umno - Ezam selar Najib

Petikan Harakahdaily
PADANG BESAR, 14 Nov - Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak bahawa rasuah politik di dalam Umno adalah di bawah tanggungjawab Lembaga Disiplin dan Umno sendiri adalah membelakangi prinsip undang-undang negara.

Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Rasuah (GERAK), Ezam Mohd Noor berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Najib baru-baru ini. Dalam kenyataannya, Najib turut menyebut jika ada rasuah dan salah guna kuasa yang membabitkan pelanggaran undang-undang negara maka Badan Pencegah Rasuah (BPR) boleh masuk masuk menyiasat.

Ezam menegaskan bahawa dalam undang-undang negara, BPR seharusnya diberikan kuasa penuh untuk menyiasat sebarang perlakuan rasuah.

"Apatah lagi, kes-kes yang membabitkan penjawat awam. Ramai di kalangan pemimpin Umno juga adalah penjawat awam. Contohnya dulu Tan Sri Isa Samad, beliau juga pemimpin Umno yang menjadi penjawat awam," katanya.

Menurut Ezam lagi, dalam kes Isa Samad dulu, beliau telah dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin Umno tetapi belum dikenakan sebarang tindakan undang-undang mengikut undang-undang negara.

"Seharusnya kes ini telah dibawa oleh BPR ke muka pengadilan kerana jelas beliau terlibat dalam politik wang atau rasuah," jelasnya.

Kata Ezam, kenyataan seperti yang dikeluarkan oleh Najib ini memang jelas tidak menurut prinsip asas undang-undang negara dan pemimpin Umno yang mengeluarkan kenyataan sedemikian perlu didakwa.

"Peguam Negara perlu menyediakan kertas pendakwaan untuk mendakwa siapa sahaja termasuk pemimpin Umno dan pemimpin kerajaan yang mengeluarkan kenyataan yang melanggari prinsip undang-undang negara," katanya lagi.
Ezam ditemui selepas menyampaikan ceramah anjuran Keadilan Perlis di Markas PAS Guar Jentik dekat sini malam tadi

Mufti baru Perlis diseru tumpu persoalan umat Islam masa kini

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 11 Nov - Mufti baru kerjaan negeri Perlis Darul Sunnah, Dr Asri Zainul Abidin diseru agar tidak membicarakan perkara-perkara khilafiyah, sebaliknya perlu menumpukan kepada isu yang lebih besar melanda umat Islam kini.

"Beliau perlu bercakap isu yang memusuhi tauhid seperti sekularisme, nasionalisme atau kapitalisme. Tinggalkan perkara-perkara furuk atau cabang yang bersifat khilafiah," demikian jelas tokoh agama, Dr Abdul Aziz Hanafi.

Katanya, sebagai seorang ilmuan yang mahu mempertahankan As-Sunnah, beliau haruslah memfokuskan kepada soal usul atau prinsip tentang Islam.

"Banyak perkara yang perlu masyarakat tahu.Sebagai contoh, isu umat Islam di Palestin atau isu bahaya Islam Liberal ," katanya.

Dr Aziz yang juga pensyarah di Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) turut menegur sesetengah lulusan bidang agama zaman ini yang cenderung untuk mempertikaikan ulama zaman silam.

Menurutnya, setinggi manapun kita belajar agama pada zaman ini adalah sukar untuk menandingi kehebatan ulama zaman dahulu.

Baginya, ilmu agama yang ada pada zaman ini dibawa oleh ulama terdahulu yang mana ilmu tersebut diwarisi daripada guru-guru mereka bersambung ke generasi tabiin, para sahabat dan terus kepada Rasulullah.

"Mereka lebih dekat dengan abad Rasulullah. Jangan mudah melatah dalam bidang ilmu khususnya yang berkaitan dengan imam mazhab. Bukan mudah ulama dahulu untuk mengeluarkan sesuatu fatwa," jelasnya lagi.

Mufti jangan menyebelahi mana-mana pihak

Sementara itu, Naib Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil sependapat dengan Dr Aziz. Beliau menyeru Dr Asri agar tidak membahaskan perkara-perkara khilafiyah yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam masayrakat.

"Jika dia betul-betul mahu mempertahankan sunnah, beliau harus melebar-luaskan erti sunnah itu kepada bidang lain yang mencakupi politik, akhlak,amar makruf nahi munkar , gejala sosial dan sebagainya. Sunnah bukan sekadar ibadat khusus sahaja," tegasnya.

Kata Ustaz Adnan lagi, perkara-perkara khilafiyah yang ada merupakan satu rahmat dan semua pihak perlu mengiktiraf pelbagai pendapat yang ada dalam Islam.

Selain itu, beliau turut menyeru agar mufti dapat berperanan untuk mempengaruhi serta menegur pemerintah dalam sesuatu perkara yang melibatkan Islam dan syariatnya.

"Sebagai ulama, mufti perlu mempengaruhi pemerintah, bukannya dia ditunjuk ajar oleh pemerintah pula. Mereka tak boleh menyebelahi mana-mana pihak kerana mereka adalah mufti rakyat dan bukan mufti parti pemerintah," serunya.

Tambah beliau lagi, Dr Asri sebagai mufti baru di Perlis boleh mendidik masyarakat untuk memperkukuhkan roh Islam dan iman mereka melalui khutbah Jumaat.

"Cara paling mudah ialah khutbah Jumaat kerana masa itulah paling ramai orang mendengar tentang Islam. Jadi isilah dengan isu semasa yang sesuai untuk didik rakyat lebih kenal dan faham Islam," katanya.

Friday, November 10, 2006


Umno Perlis bergolak, Shahidan sabotaj majlis Aidilfitri?
Petikan Harakahdaily
Oleh Bashir Ishak

KANGAR, 10 Nov : Seperti ada yang masih tidak kena dengan Umno Perlis walaupun pimpinan tertinggi parti itu sering menyeru kepada perpaduan dalam parti.

Terbaru Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim dilihat cuba mensabotaj dua majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dianjurkan oleh dua orang tokoh yang dilihat boleh menggugat kedudukan beliau.

Pertamanya, ketika majlis Aidilfitri anjuran Ahli Parlimen Arau, Dato'Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail diadakan di Dewan Sivik Arau minggu lalu, Shahidan telah menganjurkan majlis yang sama di rumahnya di Tambun Tulang.

Tambun Tulang adalah kawasan yang diwakili Shahidan yang berada di dalam Parlimen Arau. S

abtu lalu pula, ketika majlis rumah terbuka Aidilfitri bersama Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato' Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang diadakan di Dewan Warisan dekat sini, Shahidan mengadakan majlis di tempat lain.

Dewan Warisan terletak hanya di seberang jalan dari kediaman rasmi Menteri Besar Perlis.

Radzi yang juga Setiausaha Agung Umno adalah Ahli Parlimen Kangar. Kali ini DUN Bintong yang terletak di dalam kawasan Parlimen Kangar dipilih oleh Shahidan.

DUN Bintong pernah menjadi kubu kuat Radzi. Majlis Aidilfitri di DUN Bintong itu telah diadakan di Kampung Abi Kubang Badak.

Ramai pemerhati politik melihat kedua-dua kejadian ini jelas menunjukkan sikap Shahidan yang cuba mensabotaj dua orang saingannya itu.

Sumber memberitahu bahawa Shahidan memberikan duit raya sekali ganda lebih dari apa yang Radzi berikan untuk kanak-kanak yang mengunjungi majlis tersebut.

Sembang-sembang politik di negeri ini banyak menyebut tentang kedua-dua Ahli Parlimen Arau dan Kangar ini sebagai bakal pengganti Shahidan untuk jawatan Menteri Besar Perlis.

Beberapa bulan lalu laman web Umno-reform menyiarkan e-mel yang dihantar oleh Mohamed Karim Abdullah bertajuk, "Dalil Kenapa Dato' Seri Radzi wajib jadi MB Perlis".

E-mel yang dihantar kepada editor laman web tersebut memaparkan 10 dalil mengapa Shahidan tidak lagi layak menjadi Menteri Besar Perlis dan perlu digantikan oleh Radzi.

Tidak berapa lama dulu timbul kisah pergolakan Shahidan dengan Ahli Parlimen Padang Besar, Dato' Seri Azmi Khalid dan kemudiannya dengan Adun Beseri, Dato' Zahidi Zainul Abidin.

Selepas itu timbul pula 'team' baru yang mahu menonjolkan Syed Razlan yang mampu menyelamatkan negeri Perlis dengan menggantikan Shahidan.

Perlis kekurangan pembaca meter air
Petikan Harakahdaily
Oleh Bashir Ishak

KANGAR, 9 Nov : Kekurangan kakitangan Jabatan Bekalan Air (JBA) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) merupakan punca utama mengapa ramai penduduk di negeri ini gagal menerima bil air mereka.

JBA kini tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk menampung keperluan membaca meter air di seluruh negeri ini.

Baru-baru ini Harakahdaily telah menyiarkan berita tentang rungutan penduduk di beberapa kawasan di negeri ini yang tidak menerima bil air sejak beberapa bulan yang lalu.

Seorang guru memberitahu Harakahdaily bahawa rumahnya sudah tujuh bulan tidak menerima bil.

Di tempat lain pula ada kampung yang dibaca meter secara berselang-selang, di mana ada yang mendapat bil dan ada yang tidak.

Manakala seorang kakitangan JKR yang ditemui memberitahu bahawa kekurangan pembaca meter air kini berada pada tahap kritikal.

Katanya, JBA menggunakan pembaca meter kontrak dan yang dibayar gaji hari, namun bayaran yang diberikan kepada mereka tidak setimpal.

"Mereka pula tidak diberi elaun tambahan untuk menampung perbelanjaan minyak motosikal, jadi memang tidak mencukupi. Tambahan pula, mereka bekerja tidak mengikut waktu, kalau kerja baru ada duit," jelasnya.

Kata beliau lagi, kerajaan negeri sehingga kini masih belum menambah kakitangan untuk JKR dan JBA.

"Unit saya sendiri pun dulunya mempunyai ramai staf dan kini tak sampai lima orang. Banyak kerja tertangguh dan ada yang terpaksa diberikan kepada pihak swasta," katanya.

Wednesday, November 08, 2006

Bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis kembali ke Rahmatullah


KANGAR, 7 Nov - PAS Perlis kehilangan seorang lagi tokoh yang gigih apabila bekas Timbalan Pesuruhjaya, Ustaz Ahmad Salleh meninggal dunia malam tadi di Hospital Tuanku Fauziah di sini kerana sakit jantung.

Beliau yang pernah menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Perlis dimasukkan ke hospital tengah malam semalam apabila mengadu sesak nafas.

Beliau sudah agak lama terlantar di rumah dan tidak dapat aktif dalam gerak kerja jemaah berikutan menderita penyakit gout.

Ustaz Ahmad, 72, juga merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis yang pertama dan pernah memegang jawatan Setiausaha Badan Perhubungan .

Sepanjang penglibatannya dalam PAS, beliau turut memegang beberapa jawatan penting seperti Yang DiPertua PAS kawasan Kangar dan kemudiannya Padang Besar selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya tahun 1995.

Jenazah beliau disembahyangkan pagi tadi di Markas PAS Kampung Petai Tengah bersebelahan rumahnya dekat sini dan diimamkan oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.

Beliau meninggal seorang balu, Hajah Aison Ahmad yang juga bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Kangar serta empat orang anak.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atasnya. Al-Fatihah.
Negara Islam tidak dilihat pada bangunan tinggi
Respon DPPPs terhadap tulisan Zin Mahmud

KANGAR, 6 Nov - Kehebatan sesebuah negara di sisi Islam tidak dilihat dari pembangunan material semata-mata tetapi yang lebih penting aspek-aspek syariat dan kesaksamaan yang dinikmati rakyat.

Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) memberikan respon terhadap tulisan Watawan Utusan Malaysia, Zin Mahmud bertajuk "Di sebalik Menara Dubai" yang disiarkan oleh akhbar itu Khamis lalu.

Menurut Ketua DPPPs, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, rencana yang ditulis oleh Zin itu lebih memfokuskan tentang kebanggaan negara umat Islam yang berjaya membina bangunan pencakar langit yang tertinggi di dunia.

Rencana itu menceritakan bagaimana Dubai di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) akan meraikan siapnya Dubai yang bakal menjadi bangunan tertinggi di dunia dan mengalahkan bangunan Taipei 101 pada tahun 2008.

Zin menyatakan dalam tulisannya, apabila siap kelak, sebagai kebanggaan dunia Islam, maka Burj Dubai bakal menebus kedudukan Menara Berkembar Petronas yang telah dirampas oleh Taipei 101.

Beliau juga menyatakan bahawa wujudnya bangunan seperti Menara Berkembar Petronas dan Burj Dubai menampilkan sisi kemakmuran dunia Islam.

Katanya, dunia Islam bukan semata-mata mengenai kesengsaraan di Iraq, Palestin dan Afghanistann tetapi juga memiliki kemakmuran seperti di Dubai dan Kuala Lumpur.

Mengulas tentang rencana ini, DPPPs berpendapat bahawa kemakmuran dalam masyarakat Islam itu dapat dikecapi sekiranya semua negara umat Islam dapat disatukan dan saling membantu satu sama lain.

"Apa ada pada bangunan tinngi sekiranya negara-negara umat Islam masih bergolak seperti di Palestine, Iraq dan Afghanistan," kata Ustaz Ahmad Adnan.

Menurutnya lagi, jurang antara negara Islam yang kaya dan miskin juga amat ketara, khususnya di kalangan negara Arab yang melimpah ruah nikmat yang diberikan Allah Swt dari hasil minyak.

"Apa jadi dengan nasib umat Islam minoriti seperti di Kemboja, Vietnam, Myanmar dan di Eropah? Hasil minyak yang banyak di negara-negara Arab tidak melimpah keluar kepada umat Islam di tempat lain yang lebih memerlukan," jelasnya.

Katanya lagi, kehebatan sebuah negara Islam juga dilihat melalui perlaksanaan syariat dalam pemerintahan negara seperti yang telah ditetapkan oleh agama.

"Adakah negara umat Islam menumpukan ke arah itu? Yang lebih menonjol ialah kadar jenayah yan tinggi, ketenteraman rakyat tergugat dan demokrasi yang lemah. Inikah contoh negara Islam?," soalnya.

Sehubungan itu, DPPPs melihat banyak lagi aspek yang perlu diperbetulkan dalam dunia Islam hari ini sebelum dapat dikategorikan sebagai sebuah negara yang makmur.

"Tiada nilainya sebuah bangunan pencakar langit sekiranya kekayaan negara hanya berlegar di kalangan pemimpn negara dan umat Islam terus bergolak dan menderita di seluruh dunia," kata Ustaz Adnan lagi.

Taksub pemimpin dasar perjuangan Umno - Ustaz Idris


Petikan Harakahdaily
BESERI , 3 Nov - Budaya taksub kepada pemimpin menjadi dasar dalam perjuangan Umno sehinggakan mereka sanggup mengetepikan kebenaran dalam sesuatu isu, kata Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Ini terbukti apabila mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikecam teruk oleh ahli dan pimpinan Umno apabila beliau mengkritik kepimpinan kerajaan yang diterajui Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Kita bersetuju dengan isu yang dibangkitkan oleh Mahathir dan memang diakui oleh pelbagai pihak akan kebenarannya kerana ia bermula pada era pemerintahan beliau dan kini disambung oleh Abdullah," kata Idris.

Beliau menyatakan bahawa isu seperti Malaysia negara polis, politik wang dalam Umno serta kelemahan pentadbiran yang cuba dinafikan oleh sesetengah pihak adalah kenyataan.

"Yang jelas, sesetengah kenyataan khususnya daripada pimpinan Umno itu lebih bersifat mengampu dan boleh dipertikaikan. Mereka memang sukar untuk menerima kebenaran apabila sesuatu isu membabitkan pemimpin mereka," katanya lagi.

Mengulas isu terbaru berkaitan Adun Pelabuhan Klang, Dato' Zakaria Md Deros, beliau berkata ia menunjukkan bukti jelas budaya Umno yang tidak mahu berpihak kepada kebenaran apabila pimpinan Umno Klang bangkit mempertahankan ketua mereka itu.

"Walaupun terbukti dia melakukan kesalahan dengan melanggar undang-undang Majlis Perbandaran Klang (MPK), masih ada yang berdiri di belakangnya.

"Ini jelas mereka membelakangi kebenaran. Mereka amalkan politik hantu raya. Siapa yang boleh bagi makan orang itulah yang mereka jaga," katanya.

Katanya lagi, hal yang sama berlaku kepada Tun Mahathir dan apabila beliau sudah tidak berkuasa, orang sudah tidak pedulikannya walhal dahulunya dia disanjung tinggi.

"Abdullah juga harus beringat, nasib yang sama boleh menimpa beliau pada masa depan apabila sudah tidak berkuasa," jelasnya.

Dalam pada itu, Ustaz Idris turut melihat kenyataan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib baru-baru ini sebagai membuka lagi pekung kelemahan Umno.

Muhamamad dipetik berkata bahawa pihak tertentu diminta agar tidak mengambil kesempatan dalam isu Dato' Zakaria Md Deros ini untuk melemahkan kepimpinan Melayu.

Kata Muhammad lagi, terdapat 400 kilang haram, kebun haram, karaoke haram di dalam kawasan MPK tetapi isu itu tidak dibangkitkan.

Muhammad melihat kes Zakaria ini seolah-olah mahu menunjukkan kelemahan pemimpin Melayu. Kata Ustaz Idris, kenyataan Muhammad ini jelas membuktikan kelemahan kepimpinan Umno dalam pentadbiran kerajaan selama ini.

"Selama ini yang berkuasa bukanlah PAS ataupun DAP, tetapi Umno yang menerajui kerajaan di negara ini. Kalau sudah ada isu yang tidak diambil tindakan, ini jelas menunujukkan kelemahan mereka," tegasnya.

Ustaz Idris ditemui selepas menyampaikan kuliah maghribnya di Sekolah Rendah Islam At-Taqwa dekat sini baru-baru ini.

Tuesday, November 07, 2006

Puteri Umno Padang Besar berkaraoke sambut Aidilfitri

Petikan Harakahdaily
BESERI , 2 Nov - Seperti biasa setiap kali sambutan Aidilfitri, agenda hiburan sudah menjadi lumrah sama ada di media elektronik mahupun dalam acara rumah terbuka.

Begitu juga dengan Pergerakan Puteri Umno Bahagian Padang Besar yang mengadakan rumah terbuka Aidilfitri mereka baru-baru ini.

Majlis berlangsung di pekarangan rumah salah seorang ahli mereka di Kampung Paya Pauh Gembol dekat sini.

Acara bermula dengan tembakan bunga api dan kemudiannya disusuli dengan nyanyian karaoke.

Apa yang menyedihkan ialah acara karaoke tersebut dimonopoli oleh golongan veteran yang lebih cenderung mengumandangkan laguu-lagu lama.

Lebih dikesali, mereka terus leka melalak sehingga lewat malam. Bunyi nyanyian yang dapat didengar ke seluruh kampung hanya berhenti kira-kira jam 1 . 40pagi.

Seorang penduduk yang ditemui menyatakan rasa kesalnya kerana majlis tersebut dicampuradukkan dengan hiburan sedemikan dan berlanjutan sehingga ke lewat malam.

"Orang tua menyanyi karaoke sampai tengah malam memberikan satu contoh yang buruk kepada anak-anak muda," katanya.

Beliau juga kesal kerana tuan rumah majlis tersebut juga adalah anak kepada imam masjid kampung tersebut dan diadakan di kawasan rumahnya.

"Sepatutnya sebagai seorang imam beliau kena tegur apa yang tidak kena dalam masyarakat, bukan dibiarkan orang berkaraoke sampai tengah malam," ujarnya kesal.

Dalam pada itu, para pengunjung majlis tersebut juga mendakwa pihak penganjur gagal memenuhi janji mereka untuk memberikan duit raya kepada kanak-kanak.

Kanak-kanak yang datang ke majlis tersebut menunggu sehingga majlis tamat, namun tidak juga dihulurkan duit raya. Sebaliknya hanya dapat makan dan mendengar orang tua berkaraoke sampai lewat malam, kata mereka.

Saturday, October 28, 2006


Exco berjoget dikesali
Oleh : Mat Teropong
Kategori : Berita

Kangar 27hb Okt : Sambutan hari raya Eidul Fitri semalam dicemari dengan satu adegan yang memalukan oleh Exco Alam Sekitar Perlis Azihani Dato’ Ali apabila turut berjoget dengan beberapa artis.

Dalam sebuah rancangan hari raya terbitan TV3 beliau, diakhir rancangan telah menyertai acara joget beramai-ramai yang bercampur lelaki perempuan yang terdiri daripada artis dan orang kampung.

Antara artis yang terbabit ialah Rita Rudaini serta dua orang pengacara TV3, Aidil dan Feitri.Turut sama kelihatan ialah beberapa ahli Puteri Umno Perlis

Rancangan itu yang menampilkan kehidupan dan juga kebudayaan negeri Perlis berjalan dengan bagus sekali tetapi tercemar apabila exco kerajaan Perlis Darul Sunnah itu membuat perkara mungkar.

Mengulas tentang perkara tersebut Exco Pemuda PAS Pusat Ustaz Zolkharnain Abidin melahirkan rasa kesal beliau diatas apa yang berlaku.

Bagi beliau ini membuktikan bahawa pemikiran pimpinan Umno masih tebal dengan fahaman sekular.Mereka mengambil Islam pada satu masa dan kemudian meninggalkannya pada masa lain.

“Bagaimana dia nak pimpin masyarakat kalau dia sendiripun rosak cara berfikir?,”soal beliau.

“Sepatutnya dalam bulan Syawal ini, dia hidupkan roh takbir dalam diri masyarakat.Tapi dia telah memadamkannya roh itu dari jiwa mereka dengan mempromosi cara hidup yang lari dari Islam,”ujarnya lagi

Bagi Ustaz Zolkharnain, sekalipun kerajaan negeri hendak menarik pelancong, tidak perlu mengenepikan nilai-nilai Islam.

Sementara itu Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis Ustaz Adnan Fadhil menyatakan yang sunnah yang diuar-uarkan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Shahidan Kassim tidak kemana perginya.

“Kemana perginya tokoh ulamak sunnah Perlis?,”Tanya beliau

Tegas beliau ini membuktikan yang mereka hanya mengambil sunnah dalam ibadah sahaja.Manakala untuk kehidupan biasa mereka tidak kisah walaupun kemungkaran ada di depan mata mereka.

Sunday, October 22, 2006

Perutusan Eidul Fitri
Daripada Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis
Ustaz Ahmad Adnan Fadhil


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Walillahil Hamd

Alhamdulillah syukur saya kepada Allah yang telah memberikan kekuatan untuk saya mengucapkan Selamat Eidul Fitri dalam ruangan ini.Semoga Ramadhan yang berlalu akan memberikan kita ketaqwaan yang kita cari-cari selama ini.

Sempena Eidul Fitri ini saya ingin mengajak para pembaca untuk merenung sejenak tentang sambutan perayaan yang bakal kita sediakan.

Suka saya mengingatkan diri saya dan para pembaca sekelian agar menyambut perayaan kita ini berdasarkan syariat yang dibenarkan Islam.Sebagai Muslim kita mempunyai cara tersendiri untuk merayakannya.

Rasulullah berpesan kepada kita semua agar menghiasi hari raya dengan bertasbih, bertakbir dan juga bertahmid dan juga membesarkan Allah.

Hari raya ini adalah hari kemenangan bagi orang yang berjaya mengharungi cabaran pada bulan Ramadhan.Mereka berusaha mendidik nafsu mereka demi agama dan Allah.

Dari sudut Islam perayaan ini adalah perayaan agama dan tidak boleh sewenang-wenangnya kita menggabungkannya dengan perayaan lain-lain agama.

Ini adalah jelas dengan maksud firman Allah didalam al-Quran iaitu “Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam”.

Agama adalah keyakinan kita terhadap Allah Taala yang ada didalam diri kita.Maka sangatlah dituntut agar kita mempertahankannya.

Akhirnya saya mewakili Dewan Pemuda PAS Perlis dengan rasa syukur ingin mengucapkan sekali lagi Selamat Menyambut Eidul Fitri kepada seluruh muslimin dan muslimat.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Walillahil Hamd

Friday, October 20, 2006

PAS Perlis ziarah hospital sempena Aidilfitri

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin sedang menyampaikan hamper kepada seorang pesakit

Oleh Wartawan SEDAR
KANGAR, 19 Okt - Dalam agenda mendekatkan diridengan masyarakat, PAS Perlis semalam telahmengadakan program ziarah ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar sempena menyambut kedatangan Aidilfitri.

Program disertai Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin; Timbalan Pesuruhjaya, Ustaz Ahmad Ali dan Haji Abdul Karim Mat Rejab serta Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda dan Muslimat Negeri Perlis.

Dalam program ini, semua wad di hospital ini telahdilawati. Para pesakit dan petugas di wad telah diberikan hadiah hamper serta kuih raya sebagai cenderahati daripada PAS Perlis.

Selain mendekati para pesakit, pimpinan PAS Perlis yang hadir juga dapat beramah mesra dan bertanya khabar tentang sebarang masalah yang dihadapi olehpara petugas di wad termasuk para doktor dan jururawat.

Program ziarah pada tahun ini berjalan lancar dan mendapat sambutan yang baik dari seluruh kakitangan wad yang dikunjungi.

Thursday, October 19, 2006


MTD Sanglang hulur bantuan Aidilfitri
Oleh : Nikon
Kategori : Berita


Sanglang 18 Okt : Seramai 120 orang fakir miskin di sekitar DUN Sanglang menerima bantuan Aidilfitri daripada MTD Sanglang dalam satu majlis yang adakan di rumah Pesuruhjaya PAS Ustaz Hashim Jasin semalam.

Menurut Ustaz Hashim, majlis seumpama ini diadakan untuk setiap MTD di Perlis sebagai sebahagian daripada tanggungjawab PAS Perlis kepada rakyat yang kurang mampu .

Dalam ucapan alu-aluannya, beliau berterima kasih kepada para penderma terutamanya dari Kuala Lumpur yang menurutnya telah begitu banyak memberikan sumbangan.

“Semoga Allah memberkati usaha mereka ini dan ianya menjadi bekal bagi kita semua untuk bertemu Allah nanti,”ujarnya.

Beliau juga memohon kemaafan daripada rakyat sekiranya ada salah dan silap mewakili PAS Perlis keseluruhannya.

Ustaz Hashim juga menyeru kepada anak-anak yatim agar dapat menyambut Aidilfitri dengan sabar diatas ujian yang mereka lalui dan semoga Allah akan memberkati mereka diatas kesabaran itu.

Dalam majlis yang sama, wakil Kawasan Arau, Haji Jaafar menegaskan bahawa kerja amal ini memerlukan satu pasukan yang kuat.Ianya bukan kerja perseorangan.

“Walaupun kemiskinan adalah sunnatullah iaitu perkara yang tidak boleh dihapuskan tetapi kerja untuk membantu fakir miskin ini kena berterusan,”katanya.

Sementara itu, MTD Sanglang akan mengadakan rumah terbuka anjuran bersama Dewan Pemuda PAS Perlis pada 11hb November nanti bermula pukul dua petang hingga enam petang.Orang ramai dijemput hadir .

Wednesday, October 18, 2006

Rumah terbuka Aidilfitri PAS Perlis

KANGAR, 16 Okt - Badan Perhubungan PAS Perlis akan menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri pada 5 November (Ahad) akan datang.

Majlis akan berlangsung di pekarangan Pejabat Badan Perhubungan PAS Perlis di No 7 Jalan Sekolah Derma dekat sini.

Sehubungan dengan itu, Pesuruhjaya dan seluruh Ahli Badan Perhubungan PAS Perlis menjemput orang ramai untuk menghadiri majlis yang akan bermula pada jam 2.00 petang.

Selain itu, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin akan turut mengadakan rumah terbuka Aidilfitri pada hari Sabtu, 11 November ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang akan mengadakan majlis tersebut di kediamannya di Batu 8 3/4 Jalan Sanglang.

Sehubungan itu, beliau juga menjemput semua lapisan masyarakat ke majlis yang dijangka bermula pada jam 2.30 petang.

Pimpinan PAS beraya di Perlis


Petikan Harakahdaily
ARAU, 15 Okt - Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din akan balik kampung pada tahun ini untuk bersama-sama merayakan Aidilfitri dengan rakyat Perlis.

Beliau dijangka akan bersolat sunat dan menyampaikan khutbah Aidilfitri di Balai Islam MADI, Jejawi Dalam dekat sini.

Dijangkakan hampir tiga ribu orang termasuk pimpinan dan ahli PAS Perlis serta orang ramai akan memenuhi Balai Islam MADI pada hari raya tahun ini.

Selain itu, beliau juga akan berada di Perlis pada 19 Oktober ini untuk majlis sumbangan Aidilfitri dan berbuka puasa anjuran Badan Perhubungan PAS Perlis.

Majlis akan diadakan di pekarangan pejabat Perhubungan PAS Perlis.

Sementara itu, pada hari raya kedua pula, Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu juga akan berada di Perlis.

Beliau yang akan pulang berhari raya di rumah mertuanya di Kampung Jejawi akan bertemu orang ramai dalam majlis ceramah yang akan berlangsung di Dataran MADI, Jejawi Dalam pada jam 9.30 malam

Pertingkatkan amalan di bulan Ramadan - Pj Perlis

Petikan Harakahdaily
ARAU, 14 Okt - Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin menyeru umat Islam khususnya pejuang Islam untuk mempertingkat amalan di bulan Ramadan ini.

Katanya, bukan sekadar puasa, solat dan membaca al-Quran tetapi banyak lagi amalan yang boleh dibuat termasuk bersedekah dan membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Beliau berkata demikian di Majlis Sumbangan Aidilfitri DUN Pauh yang berlangsung di Markas MTD Pauh, Kubang Paya dekat sini petang semalam.

"Majlis seperti ini dibuat supaya sedikit amalan dan sumbangan yang kita berikan sama ada wang ringgit, barangan mahupun bubur lambuk akan melepaskan kita dari tergolong di kalangan mereka yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga," katanya.

Seramai hampir 100 orang fakir miskin, orang kurang upaya dan anak-anak yatim menerima sumbangan berupa wang dan barangan keperluan.

Sunday, October 15, 2006

Mat Rempit: Hanya Islam sebagai jalan keluar


Petikan Harakahdaily
KANGAR, 14 Okt - Pemahaman Islam secara mendalam adalah jalan keluar yang terbaik kepada pelbagai isu sosial termasuk masalah Mat Rempit yang semakin menjadi-jadi.

"Punca utama gejala Mat Rempit yang kini hangat diperkatakan adalah kerana jiwa mereka yang kosong tanpa pengisian roh agama," demikian jelas Ketua Penerangan PAS Perlis, Ustaz Yaakub Abu Seman.

Katanya, golongan ini yang rata-ratanya terdiri dari kalangan remaja dan belia memilih cara yang silap untuk berhibur sehinggakan mereka kemudiannya terikut-ikut dengan tindak-tanduk kawan-kawan.

"Nak berseronok tak kena tempat. Inilah puncanya bila didikan agama tidak diberikan penumpuan serius," katanya.

Menurutnya, program-program kerajaan untuk para remaja dan belia kebanyakannya tidak berkesan untuk mengisi jiwa mereka dengan roh Islam.

"Sebaliknya, program yang dijalankan lebih banyak bersifat santai dan berhibur dengan adanya percampuran jantina. Jelas kerajaan gagal untuk membentuk golongan belia yang dekat dengan agama," tegasnya.

Justeru katanya, penekanan tentang ajaran Islam perlu diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak sejak kecil agar tidak terjebak dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat di kemudian hari.

Menyentuh tentang program Putera Umno bersama Mat Rempit, Yaakub melihat ianya adalah satu pendekatan yang silap dan boleh menjadi pembakar semangat untuk Mat Rempit terus bermaharajalela.

"Program di Perak baru-baru ini pun kecoh. Ini nak himpun ramai-ramai, lagi la puak ni seronok. Mereka ada orang besar di belakang mereka.Nampak sangat satu gimik politik," katanya.

Dalam pada itu, Yaakub sangat bersetuju dengan pandangan seorang bekas anggota polis trafik yang menulis di dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia hari ini berkaitan Mat Rempit.

Dalam tulisannya, Sidiny dari Seremban menyatakan bahawa salah satu punca kegagalan polis trafik menangani gejala mat rempit berpunca daripada campurtangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan ahli politik.

Menurutnya, pihak NGO begitu lantang bersuara agar polis membanteras Mat Rempit tetapi dalam masa yang sama mereka akan melatah terlebih dahulu apabila berlaku kekasaran oleh pihak polis dalam operasi mereka.

Baginya, pihak polis perlu mengambil tindakan kepada Mat Rempit, namun jika berlaku kekasaran, ahli politik dan NGO inilah yang menyokong ibu bapa untuk menyaman polis.

Realiti yang digambarkan penulis tersebut menyatakan Mat Rempit ini bukanlah budak kecil yang menangis bila dijerkah polis tetapi akan bertindak melanggar polis dalam sekatan jalan raya

Saturday, October 14, 2006

PM digesa kaji semula dasar pendidikan

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 12 Okt - Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi digesa mengkaji kembali beberapa isu, berkaitan dasar pendidikan bagi mempertingkatkan kualiti pelajar-pelajar, khususnya di luar bandar yang sering terpinggir.

Isu pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan moral pelajar perlu diberikan perhatian selain pembangunan fizikal, demikian kata Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.

Baru-baru ini Abdullah mengumumkan tujuh langkah untuk mengurangkan jurang prestasi antara sekolah bandar dan luar bandar.

Semua langkah tersebut melibatkan pembangunan fizikal sekolah, penambahan peralatan serta pemberian insentif tambahan kepada guru.

Ustaz Hashim menegaskan bahawa yang lebih penting ialah pembangunan rohani para pelajar tidak kira sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

"Kita tidak menafikan perlunya pembangunan dan pembaharuan di sekolah tetapi sistem pendidikan itu sendiri perlu menjurus kepada satu perubahan untuk pelajar mengenal diri dan kenal Allah".

"Dengan mengenal diri dan Allah, mereka akan menjadi pelajar yang tahu tanggungjawab dan akan menjadi insan yang berkualiti. Mereka ini akan membawa kebaikan kepada manusia yang lain pula," katanya.

Beliau turut menyeru agar bantuan perkapita kepada SAR yang ditarik balik oleh kerajaan beberapa tahun lalu dipulangkan semula.

Menurutnya, isu tersebut seperti telah dilupakan dan jika benar Abdullah mahu mengurangkan jurang pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar, maka bantuan perkapita ini perlu diberi semula.

"Boleh dikatakan hampir kebanyakan SAR duduk di luar bandar, jadi penumpuan juga perlu diberikan kepada SAR. Bukan itu sahaja, kerajaan juga perlu memperbanyakkan sekolah agama berasrama penuh," serunya.

Selain itu, melihat isu pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris juga merupakan punca berlakunya jurang prestasi antara sekolah bandar dan luar bandar, katanya.

"Perkara ini sudah terbukti bahawa penguasaan pelajar amat lemah dan kita sudah sebut beberapa kali hal ini termasuk dalam sidang Dewan Undangan Negeri. Bagi pelajar luar bandar keadaannya lebih membimbangkan," jelasnya

Penduduk resah bil air tiada sehingga 4 bulan

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 12 Okt - Penduduk di beberapa kawasan di negeri ini berasa gusar kerana sudah agak lama tidak menerima bil air bagi rumah kediaman dan juga premis perniagaan mereka kerana kelibat pembaca meter yang sudah lama tidak kelihatan.

Kampung Paya, Jalan Dato' Kayaman serta Kubang Gajah adalah di antara kawasan yang dikenalpasti sudah empat bulan tidak menerima bil air.

Rata-rata penduduk di kawasan terlibat merungut kerana Jabatan Kerja Raya (JKR) dahulunya berjanji untuk memeriksa meter air dua bulan sekali.

Namun, kelewatan sebegini akan membebankan orang ramai kerana sudah tentu jumlah bil air adalah tinggi bagi beberapa bulan penggunaaan.

Seorang pesara, yang ditemui Harakahdaily hari ini menunjukkan empat pasang bil elektrik dan telefon rumahnya yang telah dibayar untuk empat bulan yang lalu beserta bila air yang dibayarnya bulan Mei lalu.

"Ini semua bil letrik dan telefon untuk empat bulan, tak adapun bil air, yang ada pun bulan Mei lepas. Dulu janji nak periksa meter dua bulan sekali, tapi dah empat bulan tak datang. Bila datang nanti dah tentu bilnya tinggi," rungut beliau.

Sementara itu, seorang suri rumah, Hasmah Hamid turut merasakan kesannya kerana baginya kelewatan sebegini akan menjejaskan bajet perbelanjaan keluarganya.

"Dulu dah jadi sekali, jenuh kita nak bayar sebab guna airpun banyak. Keluarga kita besar. Sekali bil datang banyak juga nak kena habis duit. Bil letrik, telefon lagi. Tu tak campur belanja lain yang makin meningkat," katanya.

JKR yang dihubungi Harakahdaily hari ini menjelaskan bahawa kelewatan ini berpunca dari kekurangan pembaca meter yang sedang mereka hadapi.

Kata jurucakap mereka, beberapa orang pembaca meter sudah pencen dan kini pengganti mereka sedang dilatih untuk meneruskan kerja tersebut, namun masih belum dapat dihantar keluar

Friday, October 13, 2006

Mercun: Penguatkuasaan terlalu longgar

Oleh Wartawan SEDAR
KANGAR, 12 Okt - Setiap kali masuknya bulan Ramadan kita akan mendengar ada sahaja berita tentang mangsa yang cedera akibat mercun atau meriam buatan sendiri.

Perkara ini seolah-olah menjadi satu budaya di dalam masyarakat Melayu-Islam yang tidak berkesudahan.

Walaupun telah banyak kali diberikan amaran namun, dentuman meriam buluh dan mercun seolah-olah tidak dapat dipisahkan ketika umat Islam menyambut bulan mulia ini, dengan alasan untuk memeriahkan suasana.

"Pihak berwajib perlu memberikan kesedaran secara menyeluruh kepada masyarakat dengan kempen yang lebih proaktif. Tidak ada apa yang meriahnya selain mengganggu ketenteraman awam," demikian tegas Ketua Dewan Pemuda PAS Kangar, Ustaz Yaakub Abu Seman.

Katanya, beliau hairan bagaimana mercun boleh dimainkan secara berleluasa sepanjang Ramadan sedangkan pelbagai amaran telah diberikan.

"Tidak kira siang atau malam ada saja bunyi mercun. Hinggakan di Pasar Ramadan Kangarpun ada budak-budak main mercun secara terbuka," jelasnya.

Yaakub melihat perkara ini juga berpunca daripada penguatkuasaan yang terlalu longgar oleh pihak berkuasa sehinggakan mercun dapat dibeli oleh dengan bebas oleh orang ramai.

"Pemantauan yang lebih jitu perlu dibuat oleh pihak berwajib bagi mempastikan tiadanya penjualan mercun secara bebas walaupun secara sembunyi-sembunyi," serunya.

Selain itu, Yaakub menasihatkan ibu-bapa agar tidak sewenang-wenangnya membelanjakan wang mereka untuk membeli mercun untk anak-anak kerana wang yang yang dibazirkan itu lebih baik digunakan untuk tujuan yang lebih berfaedah.

Monday, October 09, 2006

Pemuda PAS Padang Besar anjur majlis berbuka di Tasik Melati
Oleh Bashir Ishak
Petikan Harakahdaily

Tazkirah oleh Ustaz Adnan

Pulun bang, jangan sampai tak boleh sembahyang sudah...

BESERI, 9 Okt - Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Padang Besar malam tadi mengadakan majlis berbuka puasa dalam suasana yang agak berbeza dari kebiasaan.

Kebiasaannya majlis berbuka puasa diadakan di premis milik PAS seperti markas tarbiyah,surau atau pejabat PAS.

Namun lokasi yang dipilih kali ini ialah Taman Rekreasi Tasik Melati dekat sini.

Keheningan senja dan kedamaian kawasan Tasik Melati menjadi pilihan untuk mengadakan majlis berbuka puasa dalam suasanan yang tenang.

Selain itu, pihak DPP juga dapat menarik para pemuda yang sesetengahnya malu untuk diajak ke markas PAS.

Majlis dihadiri Ahli Jawatankuasa Kerja DPP Padang Besar, DPP Perlis, PAS Kawasan Padang Besar serta ahli-ahli cawangan berdekatan.

Selepas berbuka,surau taman rekreasi berkenaan yang selalunya sunyi sepi itu telah diimarahkan dengan ibadah solat berjemaah dan tazkirah.

Selain Maghrib dan Isyak, solat terawih berjemaah menjadi pengisian majlis yang diadakan malam tadi.

Ketua DPP Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil pula dijemput khas untuk menyampaikan tazkirah Ramadan.

Sunday, October 08, 2006

Terima Kasih Dari Kami
Warga Peghelih La…
Alhamdulillah segala puji kami panjatkan kepada Allah tuhan pencipta alam.Kerana dengan limpah kurnia dan rahmat yang telah diturunkanNya maka dapat saya mencoretkan sepatah dua kata penghargaan ini.

Dalam tidak sedar masa berlalu begitu pantas memintas kita.Apa yang dirasakan baru berlaku rupa-rupanya telah setahun berlalu.Begitulah kehendak Allah dalam menentukan segala kejadian.

Kini web blog kami telah menjangkau usia setahun pada 30hb September lalu.Diam tak diam blog kami telah mencecah lebih 11 ribu hits sehingga kini.

Angka ini bukanlah satu angka yang membanggakan jika dibandingkan dengan blog-blog yang lain.Tetapi bagi kami ianya penuh makna kerana kami telah mempunyai sekurang-kurangnya 30 pembaca tetap pada setiap hari.

Pada mula penerbitan kami antara perkara yang terlintas didalam benak fikiran kami ialah berapa lamakah kami akan bertahan sebelum tersungkur

Syukur sekali lagi lagi kerana dengan sokongan itu maka kami masih menggagahkan diri untuk mencari berita untuk para pembaca kami.

Kini kami merasa agak lega kerana telah ada sokongan dari kalangan sahabat untuk memastikan kesinambungan hayat web blog kami ini.Maka lebih banyak berita yang dapat kami siarkan.

Terima kasih kepada Encik Zul (Tranungkite) yang telah memberikan tunjuk ajar kepada kami walaupun secara tidak langsung.Juga DPP Kawasan Seremban yang telah memberikan beberapa tips yang bernilai untuk kami.

Terima kasih juga kepada pimpinan PAS samada diperingkat DUN, Kawasan mahupun Pusat yang telah memberikan kerjasama kepada kami untuk kami menerbitkan berita-berita dan juga komen-komen serta pendapat mereka terhadap situasi politik tanahair.

InsyaAllah dimasa akan datang kami akan cuba membuat laman web untuk PAS Perlis agar berita-berita dapat disiarkan dalam bentuk yang lebih menarik lagi.Maklumlah kami masih lagi kekurangan tenaga untuk membuat perkara yang lebih besar buat masa ini.

Akhir kata terima kasih sekali lagi dari kami warga Peghelih La…atas segala kebaikan yang telah anda berikan kepada kami.Kami menghargainya dan berdoa agar Allah membalasnya.

Wallahua’lam

Saturday, October 07, 2006

Gerai disewa pada warga asing
Oleh Bashir Ishak
Petikan Harakahdaily
PADANG BESAR, 6 Okt - Isu Arked Niaga Padang Besar yang dimonopoli oleh peniaga dari negara jiran bukanlah baru sebaliknya telah berlarutan sejak sekian lamanya.

Arked Niaga ini memang popular dengan barangan yang dibawa masuk dari negara jiran dan dijual dengan harga yang murah, sekaligus menjadi satu tarikan pelancongan di negeri ini.

Namun begitu, suasana membeli-belah di sana sama sahaja seperti membeli belah di Pekan Siam di seberang sempadan.

Masalah yang timbul berikutan pemilik lesen niaga yang terdiri dari penduduk tempatan mengambil jalan mudah menyewakan gerai mereka kepada warga asing khususnya yang datang dari seberang sempadan Thailand.

Pemilik lesen dikatakan mendapat untung berlipat kali ganda dengan menyewakan gerai pada harga yang lebih tinggi.

Telah beberapa kali isu ini disebut oleh media dan hari ini sebuah akhbar harian edisi utara pula menyiarkannya.

Tidak berapa lama dulu isu ini juga pernah didedahkan oleh sebuah stesen televisyen swasta.

"Sikap mahu mengambil untung dengan cepat dan mudah adalah punca perkara ini terjadi," demikian komen seorang pegawai kerajaan yang ditemui Harakahdaily hari ini.

Katanya lagi, orang tempatan juga malas untuk berusaha sendiri dan mengkhianati amanah yang diberikan untuk mereka berusaha meningkatkan ekonomi.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin juga pernah menyuarakan masalah ini dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perlis tahun lalu.

Dalam ucapannya, beliau menyifatkan orang yang diberikan lesen niaga tetapi menyewakannya pula kepada orang luar adalah mereka yang yang mempunyai jiwa yang belum merdeka.

Ustaz Hashim turut menyeru kerajaan agar mengkaji balik syarat-syarat pemberian lesen untuk berniaga di Arked Niaga tersebut agar tidak disalahgunakan.

"Bukannya tidak ada orang kita yang betul-betul mahu berniaga, tetapi mungkin tidak diberikan peluang," katanya.

Monday, October 02, 2006

Shahidan digesa selesai masalah hutang negeri sebelum aktif KOAM

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 2 Okt - Menteri Besar Perlis Dato' Seri Shahidan Kassim diminta menumpukan kepada usaha penambahbaikan pentadbiran kerajaan negeri Perlis khususnya dari segi ekonomi, daripada melibatkan diri dalam aktiviti lain yang kurang utama.
Shahidan perlu memberi lebih penumpuan terhadap mengatasi kelemahan yang disebutkan terutamanya selepas mendapat teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.

"Banyak perkara yang masih perlu diperbaiki khususnya kelemahan kewangan kerajaan negeri dan agensi-agensinya seperti Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dan Yayasan Islam Perlis (YIPS)," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil.

"PKENPs banyak berhutang, hutang YIPs terpaksa ditukar jadi geran dan MPK pula kena sita, jadi banyak yang beliau kena baiki. Kalau banyak sangat jawatan luar nanti akan memberi kesan kepada Perlis pula," ujarnya.

Adnan berkata demikian ketika diminta memberikan komen tentang kemenangan Shahidan dalam merebut jawatan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) hujung minggu lalu.

Shahidan memenangi jawatan tersebut dalam pemilihan yang menyaksikan beliau menewaskan Dato' Danyal Balagopal Abdullah.

Kemenangan ini sekali gus membolehkan beliau menerajui persatuan sukan yang ketiga di peringkat nasional selain Persatuan Renang Amatur Malaysia dan Persatuan Kabaddi Malaysia.

Beliau juga turut menerajui enam persatuan sukan lain di Perlis termasuk Persatuan Bolasepak Perlis.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perlis baru-baru ini, Dato' Zahidi Zainul Abidin (BN-Beseri) mencadangkan agar Shahidan bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepk Malaysia (FAM) memandangkan beliau berjaya membawa kejayaan bolasepak di Perlis.

Ruangan iM Komen Harian Metro Sabtu lalu pula disiarkan komen dari seorang yang dikenali sebagai Yobmonaco; "Kepada MB Perlis berilah tumpuan tugas sebagai MB, jangan jadi Presiden KOAM, nanti tak mampu nak buat kerja asyik ulang-alik Perlis-KL."

Menyentuh tentang penglibatan ahli politik dalam persatuan sukan, Adnan berpendapat bahawa ia akan menimbulkan banyak aspek negatif.

Katanya, persatuan sukan seharusnya diuruskan oleh golongan yang professional dalam bidang sukan tersebut dan penglibatan orang politik hanya dilihat untuk menabahkan pengaruh sahaja.
"Bukan tidak ada yang baik yang mereka buat, tetapi mereka sepatutnya lebih menumpukan bidang mereka dan berilah sukan ditadbir oleh orang yang lebih faham tentang sukan," ujarnya.

DUN Perlis: PAS desak utama institusi pendidikan agama

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 2 Okt - Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin (PAS-Sanglang) terus mendesak agar institusi pendidikan agama diberikan penekanan oleh kerajaan negeri.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis baru-baru ini, beliau menggesa agar salah satu daripada dua sekolah asarama penuh yang diperuntukkan oleh kerajaan pusat kepada negeri Perlis dijadikan sekolah agama berasrama penuh.

"Sidang Dewan dulu dimaklukan bahawa pusat telah peruntukkan dua buah sekolah asrama penuh untuk Perlis. Jadi saya sekali lagi minta agar satu daripadanya dijadikan sekolah agama berasrama penuh," katanya.

Katanya, antara faktor yang menyebabkan perlu diberikan penekanan terhadap pendidikan agama ialah gejala sosial yang terus berleluasa.

Ustaz Hashim turut meminta Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menyediakan satu khemah khas bagi para peniaga di Pasar Ramadan bersolat.

Katanya, para peniaga berniaga sehingga masuk waktu berbuka puasa dan ramai yang tidak solat selepas berbuka.

"Jadi dengan adanya khemah khas ini para peniaga dan pengunjung Pasar Ramadan boleh menunaikan kewajipan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Pemangku Raja di sidang DUN Perlis baru-baru ini.

Friday, September 29, 2006

Dalil Kenapa Dato Seri Radzi wajib jadi MB Perlis
Petikan Umno Reform

Dalil Kenapa Dato Seri Radzi wajib jadi MB PerlisMenteri Besar Perlis sekarang Shahidan Kasim wajar dilucutkan jawatannya sebagai MB dan digantikan oleh Dato Seri Radzi Sheikh Ahmad demi menyelamatkan Umno Perlis daripada terus berpecah belah dan berpuak-puak.

Banyak sebab kenapa manusia yang bernama Shahidan ini mesti dipecat sebagai MB. Antaranya ialah:

1. Shahidan adalah jenis pemimpin yang suka bermusuh dengan pemimpin-pemimpin Umno yang dilihat berpotensi untuk mencabar kedudukan politiknya dalam parti. Sebagai rekod, dia pernah bermusuh dengan Azmi Khalid, Dato Seri Radzi, Zahidi, Ammar Hassan (bekas Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian Arau), Bashir, Baharudin Ahmad (bekas YDP Majlis Perbandaran Kangar), Zainudin Yom, Kamarudin (bekas YB Parlimen Arau- dia diracun oeh Shahidan ketika bermain badminton bersama-sama), Bakri Dato Ali dan Azmi Subuh.

2. Shahidan adalah pemimpin yang sanggup memperalatkan orang lain bagi menjatuhkan musuhnya. Antaranya dia telah memperalatkan Senator Wan Nordin untuk menjatuhkan Azmi Khalid pada tahun 1998 dan memperalatkan YB Azam Rashid untuk menghancurkan karier politik Dato Seri Radzi di bahagian Kangar.

3. Shahidan terkenal dengan pelbagai idea gila yang cuba diketengahkan bagi mempertahankan kedudukannya. Ketika zaman Mahathir dulu, dia nyaris-nyaris dicabar jawatannya sebagai Ketua Bahagian Arau lantas dia mengusulkan supaya semua Ahli MT tidak boleh dicabar jawatannya di peringkat bahagian. Terbaru, dia telah terhidu nyawanya sebagai MB sedang tergugat lalu dia mengusulkan supaya jawatan MB dan PM harus dipegang seumur hidup.

4. Shahidan sebenarnya pernah menikam Pak Lah daripada belakang apabila menurut arahan Mahathir untuk membelasah Rafidah Aziz daam isu AP. Dia mengarahkan perwakilan pemuda daripada Perlis untuk berucap menghentam Rafidah dalam Perhimpunan Pemuda pada tahun lepas.

5. Shahidan mempunyai pendirian politik yang bercirikan munafik. Dia pernah mengatakan bahawa dia menyokong Pak Lah tetapi semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri Bahagian Arau baru-baru ini, dia mengaku yang dia adalah anak emas Mahathir dan dia sering berhubung dengan Mahathir dalam tempoh dua atau tiga hari sekali untuk berbincang tentang masalah parti.

6. Shahidan mempunyai perancangan yang sistematik untuk memastikan adik kesayangannya Ismail Kasim (yang kalah dalam pilihanraya kecil Arau 1997) akan menggantikannya sebagai MB Perlis. Dia sedang menimbangkan untuk mencalonkan adiknya di satu kerusi DUN dalam pilihanraya umum yang akan datang.

7. Shahidan mempunyai cita-cita yang besar untuk bertanding jawatan paling kurang Naib Presiden parti demi memperteguhkan kedudukannya sebagai MB Perlis. Antara tindakan awalnya sebagai persiapan untuk bertanding jawatan ketiga tertinggi parti itu, dia telah memperlekehkan kepimpinan Najib dan Hishamudin sebaga lembek semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri Bahagian Arau tempoh hari.

8. Shahidan terkenal dengan gelaran Mr 10% kerana setiap pelabur yang ingin melabur di negeri ini pasti dikenakan tol sebanyak 10%. Ini yang menyebabkan Perlis hampir tiada pelaburan asing.

9. Apabila Majlis Perbandaran Kangar disita oleh Mahkamah Tinggi Kangar baru-baru ini, ianya sudah cukup untuk membuktikan bahawa Shahidan amat lemah dari segala sudut untuk terus menerajui tampuk kepimpinan negeri. Bayangkan jika sebuah kerajaan tempatan boleh dilelong, tentunya tidak mustahil negeri Perlis pula bakal dilelong jika Shahidan terus dibiarkan berkuasa. Kes MPK dilelong amat memalukan rakyat Perlis.

10. Projek-projek di Perlis dikuasai sepenuhnya oleh kroni Shahidan iaitu Azmi Saad (Pengurus pasukan bola Perlis) melalui Bintong Construction Sdn Bhd dan Azhar Ahmad dari Gapura Sdn Bhd.

Sebagai kesimpulannya, tiada yang lain melainkan Dato Seri Radzi sahajalah yang layak menggantikan Shahidan sebagai MB Perlis. Dato Seri Radzi akan mentadbir Perlis dengan penuh kemakmuran dan kedamaian seperti mana yang pernah ditonjolkan oleh ayahandanya Tan Sri Sheikh Ahmad pada satu masa dulu.

Dan yang pentingnya, pemimpin-pemimpin Umno pasti akan bersatu-padu di bawah kepimpinan Dato Seri Radzi.Siapa nak tahu cerita berpuluh-puluh skandal seks Shahidan Kasim?

Nantikannya pada sambungan dalil-dalil yang lain yang pastinya akan menyusul tidak lama lagi.CEMERLANG, GEMILANG, TERBILANG

Mohamed Karim Abdullah

Pergolakan Umno Perlis jejas masa depan Shahidan

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 28 Sep - Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim yang sering mencetuskan kontoversi politik dalaman Umno, khususnya yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sekali lagi menjadi sasaran dalam percaturan politik Umno Perlis.

Terbaru sebuah laman web umno-reform menyiarkan e-mail yang dihantar oleh Mohamed Karim Abdullah bertajuk "Dalil Kenapa Dato Seri Radzi wajib jadi MB Perlis".
E-mail yang dihantar kepada editor laman web tersebut memaparkan 10 dalil mengapa Shahidan tidak lagi layak menjadi Menteri Besar Perlis dan perlu digantikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato' Radzi Sheikh Ahmad.

"Ini jelas menunjukkan bahawa krisis kepimpinan dan perebutan kuasa dalam Umno tidak berkesudahan," demikian komen Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Hairy Hashim.


Hairy berpendapat, kepimpinan Shahidan di Perlis sama ada dalam kerajaan mahupun sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Perlis kini berada di persimpangan.

Katanya, Shahidan dilihat sudah tidak lagi popular di kalangan sebahagian besar kepimpinan Umno Perlis sendiri.

"Dia diasak dari pelbagai penjuru. Pelbagai masalah timbul dalam pentadbiran negeri Perlis dan di pula sering menimbulkan kejelikan bila kerap menimbulkan pelbagai idea yang pelik-pelik," katanya.

Hairy yang juga Yang Di Pertua PAS Kangar, memberi beberapa contoh di mana wujudnya perpecahan dalam Umno Perlis seperti yang turut didedahkan dalam laman web tersebut.

"Dulunya krisis Shahidan dengan Azmi Khalid di Padang Besar, kemudiannya dengan Zahidi. Selepas itu timbul pula "team" baru yang mahu menonjolkan Ahli Parlimen Arau sebagai penggantinya. Kini di Kangar pula dengan timbulnya nama Dato' Radzi pula".

"Nampaknya di semua bahagian Umno, Shahidan ada musuh politik," sambung Hairy lagi.

Bagaimanapun kata Hairy, sekiranya berlaku pertukaran kerusi Menteri Besar, Umno Perlis tetap tidak akan bersatu.

"Tradisi berpuak-puak di kalangan mereka akan berterusan kerana jelas prinsip perjuangan Umno khususnya di kalangan pimpinan adalah lebih kepada kepentingan peribadi semata-mata," katanya.

Thursday, September 28, 2006

PAS Perlis sedia bubur lambuk untuk orang ramai

Para petugas sedang gigih menyediakan bubur lambuk

Oleh Wartawan Harakah
KANGAR, 27 Sept - Tradisi penyediaan bubur lambuk sempena Ramadan diteruskan pada tahun ini oleh Badan Perhubungan PAS Perlis.

Sebuah hadis yang bermaksud "Barangsiapa yang memberi makanan berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, maka pahalanya seumpama orang yang berpuasa itu tanpa berkurang sedikitpun" dijadikan iktibar untuk program ini.

Justeru, Jabatan Khidmat Masyarakat (JKM) PAS Perlis dengan kerjasama kakitangan pejabat Perhubungan PAS Perlis menyediakan bubur lambuk untuk orang ramai sebagai juadah berbuka puasa setiap hari sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Menurut Pengarah JKM PAS Perlis, Haji Abdul Karim Md Rejab, program tahunan ini adalah untuk kali kelima dan kira-kira 800 bungkus bubur lambuk diedarkan setiap hari.

"Kita mengambil fadhilat Ramadan untuk sama-sama menyediakan makanan untuk umat Islam berbuka puasa," katanya.

Bubur lambuk dengan resepi "Kampung Baru" ini dimasak setiap hari bermula jam 10 .30 pagi di perkarangan Pejabat Perhubungan Negeri menggunakan dua buah periuk besar.

Ianya mula diedarkan kepada orang ramai mulai jam 2 . 00 petang.

"Sejak program ini dimulakan dulu ianya mendapat sambutan orang ramai terutamanya kakitangan kerajaan dan swasta," kata Abdul Karim lagi.

Bubur lambuk PAS Perlis kini menjadi sebutan ramai dan rata-rata orang ramai memujinya.

"Saya rasa bubur lambuk ini paling "best" di Perlis," kata seorang guru yang tidak pernah melepaskan peluang mengambil bubur lambuk PAS Perlis setiap petang.

Dalam pada itu, JKM PAS Perlis mengalu-alukan sebarang sumbangan untuk program bubur lambuk Ramadan dan juga sumbangan fakir-miskin menjelang Aidilfitri. Untuk menyumbang, sila hubungi talian04 -9761836.

Wednesday, September 27, 2006

Ketepikan perkara khilafiyah, elak persengketaan

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 26 Sept - Umat Islam di negeri ini diminta mengetepikan perkara-perkara khilafiyah dalam agama demi menjaga keharmonian.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin (PAS-Sanglang) mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan masalah perbezaan mazhab untuk berpecah-belah dan bersengketa sesama umat Islam.

Beliau merujuk kepada permasalahan yang sering timbul di Perlis di mana pegangan Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan sering bercelaru dengan amalan pihak yang beramal mengikut mazhab khususnya Syafie.

Ustaz Hashim berkata demikian dalam ucapannya membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Pemangku Raja di sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis baru-baru ini.

Menurutnya perbezaan pendapat dalam masalah ibadah seperti solat terawih lapan atau 20 rakaat tidak sepatutnya dibangkitkan lagi kerana semuanya adalah sunnah belaka.

"Walaupun mengaku Perlis Darul Sunnah tetapi Menteri Besar juga akui semua imam empat mazhab turut tergolong dalam ahli sunnah wal jamaah," katanya.

Beliau juga menegur sesetengah pihak yang mengaku mengikut sunnah tetapi turut memperlekehkan imam-imam mazhab.

Katanya, semua empat orang imam yang menjadi pengasas mazhab mereka adalah terdiri dari mereka yang hebat di dalam bidang agama dan tidak boleh dipandang rendah.

Ustaz Hashim: Wartakan secara rasmi Darul Sunnah

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 26 Sep - Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin menyeru agar gelaran Indera Kayangan bagi negeri Perlis ditukar kepada Darul Sunnah secara rasminya.

Ustaz Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang berkata demikian dalam soalan tambahan beliau kepada kerajaan ketika sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Dalam jawapan kepada soalan asal Ustaz Hashim, Exco Agama, Azam Rashid memberitahu Dewan bahawa penukararan nama dari Indera Kayangan kepada Darul Sunnah belum diwartakan lagi.

Katanya, gelaran Indera Kayangan itu sendiri tidak pernah diwartakan kerana selama ini yang termaktub dalam undang-undang tubuh kerajaan adalah nama Perlis sahaja.

Justeru, Ustaz Hashim bangun dengan soalan tambahan dan meminta agar nama Darul Sunah diisytihar secara rasmi sama seperti negeri lain yang menggunakan nama seperti Darul Makmur, Darul Takzim atau Darul Ehsan.

Dalam pada itu, seorang penyokong kerajaan meminta dikaji semula majlis sambutan Ambang Kemerdekaan yang diadakan setiap kali menjelang 31 Ogos.

Zahari Bakar (BN - Simpang Empat) berkata demikian ketika menyampaikan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Tuanku Pemangku Raja Perlis sempena pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga DewanUndangan Negeri Perlis baru-baru ini.

Beliau mempersoalkan apakah peranan kerajaan dalam penerapan nilai-nilai murni.

"Sambutan Ambang Kemerdekaan perlu dikaji semula sama ada ia menepati nilai-nilai yang dikehendaki khususnya untuk Perlis yang bergelar Darul Sunnah atau tidak," katanya

Saturday, September 23, 2006


PERUTUSAN RAMADHAN DARIPADA
USTAZ HASHIM JASIN
PESURUHJAYA PAS PERLIS

Assalamualaikum wbkt kepada semua pembaca yang budiman.Saya dengan rasa yang amat gembira dan penuh syukur, ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan al-Mubaraq,mewakili seluruh warga Badan Perhubungan PAS Perlis.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang telah ditentukan oelh Allah untuk kita berpuasa supaya kita menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saya menyeru kepada muslimin sekelian agar menumpukan puasa kita ini kepada taqwa supaya dengan itu kita dapat membangunkan rohani kita melebihi daripada pembangunan yang lain.

Taqwa ini bukanlah tergolong dalam apa yang dikatakan sebagai pembangunan material tetapi lebih hebat daripada itu ianya adalah pembangunan untuk akhirat.

Saidina Ali berkata taqwa itu adalah takutkan Allah, beramal dengan syariatnya yang diturunkan kepada kita dan juga bersedia untuk bertemu dengan Allah.

Wujudkan sifat qanaah didalam diri kita iaitu sifat yang redha dengan rezeki yang telah Allah tentukan kepada kita semua.

InsyaAllah jika sekiranya kita berusaha untuk melakukan apa yang telah saya gariskan itu, maka ianya akan memberikan kita kekuatan untuk bertolak kepada keadaan yang lebih baik iaitu kita menjadi insane yang bertaqwa kepada Allah.

Akhir kata saya sekali lagi ingin mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada semua pembaca sekelian.Wallahua’lam
PERUTUSAN RAMADHAN AL-MUBARAK
OLEH : USTAZ AHMAD ADNAN FADHIL
KETUA DEWAN PEMUDA PAS PERLIS
Assalamualaikum kepada semua pembaca Blog Peghelih La.Diharapkan anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dilimpahi rahmat oleh Allah S.W.T.

Saya mengambil kesempatan yang diberikan oleh warga Peghelih La untuk mengucapkan kepada semua pembaca muslim Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubaraq yang akan datang bertandang tidak lama lagi.

Saudara,bagi saya apa yang terpenting kepada kita semua ketika tibanya bulan yang penuh keberkatan ini ialah kita hendaklah cuba sedaya upaya kita untuk menghayati dengan bersungguh-sungguh semangat Ramadhan dan puasa itu sendiri.

Semangat Ramadhan sebenarnya terletak pada al-Quran kerana didalam bulan Ramadhanlah diturunkan al-Quran kepada kita semua.

Manakala semangat puasa pula ialah menghayati roh puasa itu supaya dapat melahirkan insan yang mempunyai jiwa yang bertaqwa kepada Allah.

Bulan Ramadhan ialah pencetus semangat juang umat Islam.Didalam bulan ini antaranya,umat Islam telah memenangi Peperangan Badar,dapat membebaskan Kota Mekah dan juga mencapai kemenangan menentang Israel dalam tahun 1973 iaitu dalam perang yang dikenali sebagai Sittah Oktober.

Oleh itu saya berharap dengan kesungguhan kita untuk menghayati kemenangan-kemenangan yang telah dicapai didalam bulan Ramadhan ini maka, insya Allah akan lahirlah generasi yang akan memenangkan Islam dimasa akan datang.Wallahu a’lam

Wednesday, September 20, 2006


Pengajaran Sains dan Matematik ditahap kritikal: Guru hilang keyakinan, prestasi murid merudum
Oleh : Bashir Ishak
Kategori : Berita

KANGAR, 20 Sept - Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris yang dianggap sebagai penyembelihan beramai-ramai akademik bangsa Melayu kini sudah mulai dirasai kesannya.

Baru-baru ini, satu sumber memberitahu Harakahdaily, kursus untuk guru kedua-dua subjek tersebut untuk tahun lima sekolah rendah yang diadakan di Maktab Perguruan Perlis hanya dihadiri seramai 8 orang guru sahaja.

Sepatutnya jumlah guru yang hadir adalah ramai kerana di Perlis sahaja mempunyai lebih 70 buah sekolah rendah.

Ini jelas menunjukkan bahawa para guru juga tidak mempunyai keyakinan untuk terus mengajar kedua-dua subjek tersebut dalam bahasa Inggeris.

Seorang pendidik yang ditemui menjelaskan bahawa keadaan sudah berada pada tahap yang kritikal.

"Bukan sahaja di kalangan murid dan ibu bapa, malah kini para guru juga sudah mulai merasakan kesannya," katanya.

Beliau menjelaskan bagaimana para pelajar jurusan Sains di sekolah sudah mulai meninggalkan kelas sedangkan pelajar di jurusan ini memang terdiri dari kalangan pelajar yang cerdik.

Katanya lagi, para guru kini sudah mulai berpijak di bumi yang nyata apabila membicarakan masalah ini.

Menurutnya, apabila prestasi anak-anak mereka sendiri mulai merudum, barulah para guru yang mengajar Sains dan Matematik mulai bersuara.

"Dulu ramai yang bersembunyi dan takut bersuara, khususnya apabila mereka mendapat elaun khas sebanyak 10 peratus dari gaji. Kini mereka sudah sedar kesannya," katanya lagi.

Seorang lagi pendidik yang ditemui berkata bahawa tahap kesediaan murid khususnya di kalangan bangsa Melayu masih terlalu rendah.

Menurutnya, perkara asas dalam pembelajaran bahasa asing seperti Inggeris adalah perbendaharaan kata (vocabulary).

"Inilah perkara asas yang tidak ada di kalangan murid-murid kita," jelasnya.

Beliau turut memberikan contoh orang-orang Cina dan India masih mempetahankan penggunaan bahasa ibunda mereka untuk pengajaran Sains dan Matematik.

"Saya sebagai pendidik tidak faham mengapa kerajaan masih tidak nampak atau sengaja mempertahankan ego atas keputusan tidak bijak ini dan terus memperjudikan nasib dan masa depan anak bangsa," katanya.

Umno Perlis bergolak: Shahidan vs Zahidi


Petikan Harakahdaily
KANGAR, 19 Sept - Krisis politik di kalangan pimpinan Umno bukan sahaja berlaku di peringkat nasional tetapi juga dapat dilihat di peringkat bawahan, hatta di negeri sekecil Perlis.

Krisis yang dapat dilihat di Perlis hari ini adalah di antara Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Negeri dengan Timbalannya Dato' Zahidi Zainul Abidin.

Zahidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beseri sudah lama dilihat sebagai saingan kepada Shahidan kerana dahulunya dikatakan mempunyai hubungan yang kuat dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan dilihat sebagai pengganti kerusi Menteri Besar.

Mungkin melihat pengaruh Zahidi, maka Shahidan melantiknya sebagai Exco kerajaan negeri dan juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis.

Namun beberapa bulan lalu Zahidi telah digugurkan daripada barisan Exco kerajaan negeri.

Zahidi penyokong kuat Mahathir
Di kala berlaku krisis antara Perdana Menteri dan mantannya, Tun Dr Mahathir, Zahidi dilihat menjadi penyokong kuat Mahathir, sedangkan Shahidan yang dulunya memang dikenali penyokong kuat Mahathir terpaksa mengaku menyokong Abdullah.

Zahidi yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Besar telah menjemput Mahathir ke Padang Besar untuk merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian itu.

Walaupun gagal membawa Mahathir dengan alasan tiada permit, Zahidi kemudian dilihat berada dalam majlis Mahathir di Alor Setar beberapa minggu lalu.

Sejurus itu, Zahidi pula dengan sendiri bertindak merasmikan sendiri mesyuarat perwakilan bahagian Padang Besar yang mencetuskan kontroversi, apatah lagi dalam ucapannya beliau mengkritik kerajaan.

Shahidan dakwa Zahidi gagal dalam tugas
Media melaporkan perang dingin antara keduanya yang saling tuduh-menuduh tentang satu projek yang gagal di kawasan Beseri yang diwakili Zahidi.

Keadaan bertambah panas lagi dengan kenyataan Shahidan yang mendakwa Zahidi gagal dalam tugasnya sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis dan beliau sedang berkira untuk mencari pengganti baginya.

Dalam pada itu, bekas Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Dato' Azmi Khalid pula membuat kenyataan bahawa Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis perlu berbincang dengan Presiden parti terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan untuk menggantikan Zahidi.

Kenyataan seperti jelas menyentak ego Shahidan yang juga pernah menganggap Azmi sebagai saingannya dalam politik Umno Perlis tidak lama dahulu.

Surat layang kritik pimpinan Shahidan
Selain itu, Shahidan juga dilaporkan begitu marah apabila adanya surat-surat layang yang banyak mengkritik kepimpinan beliau. Surat layang tersebut juga menyebut satu "team" baru perlu bangkit untuk menerajui Umno Perlis.

Ianya melibatkan Ahli Parlimen Arau, Dato' Seri DiRaja Syed Razlan Jamalullail, seorang Adun dan beberapa nama lagi pemimpin Umno Perlis.

Baru-baru ini Perlis telah dikejutkan dengan isu Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang telah disita kerana gagal menjelaskan hutang.

Ada banyak lagi perkara yang boleh dibangkitkan seperti kegagalan dan bebanan hutang Perbadanan Kemajuan Ekonomi Perlis (PKENPs),bebanan hutang Yayasan Islam Perlis (YIPs) ang boleh menambahkan pening Shahidan.

Shahidan timbulkan perkara-perkara pelik
Nampaknya Shahidan sedang diasak dari pelbagai pelusuk termasuk oleh orang-orang separtinya juga. Sejauhmanakah beliau boleh bertahan?

Ramai pemerhati politik Perlis menganggap Shahidan adalah seorang yang mampu menahan asakan seperti ini dengan berlagak seperti biasa dan terus menimbulkan pelbagai perkara-perkara yang pelik.

Baru-baru ini, Umno Bahagian Arau yang mana beliau sebagai Ketua telah mencadangkan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dipegang sepanjang
hayat.

"Begitulah Shahidan. Tengoklah nanti, masa akan menentukan," kata seorang veteran Umno.

Tahniah untuk Singa Utara dari Dewan Pemuda


Oleh Bashir Ishak
KANGAR, 18 Sep -Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) hari ini mengucapkan tahniah kepada pasukan bolasepak negeri Perlis yang telah berjaya membawa pulang Piala Malaysia ke negeri ini.

Sabtu lalu pasukan yang bergelar Singa Utara ini telah merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua dalam masa tiga tahun setelah menumpaskan Negeri Sembilan NAZA 2-1.

Menurut Ketua DPPPs, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, kejayaan Perlis pada kali ini adalah hasil kerja kuat secara berpasukan yang mampu mengharumkan nama Perlis di persada sukan bolasepak di negara ini.

"Tahniah untuk Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dan kita berharap lebuh banyak lagi piala yang boleh dibawa pulang pada tahun-tahn akan datang," katanya.

Begitupun, Ustaz Adnan berharap agar PFA dan Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim selaku Presidennya akan dapat menunaikan janji memberikan ganjaran yang telah disebutkan sebelum perlawanan akhir baru-baru ini.

"Kita juga berharap agar kebajikan para pemain akan terjaga supaya mereka akan trus kekal dengan pasukan Perlis pada musim akan datang," serunya lagi.

Ke mana hilangnya keris Umno?

Ada pula kempen Cintai Sungai Kita


Ke mana hilangnya keris Umno?


Bendera Indonesiakah atau Poland yang menghiasi tiang lampu ini?



Oleh Waratawan Harakah
KANGAR, 18 Sept - Hendak dikatakan bendera Indonesia tidak ada pula sebarang majlis berkaitan dengan negara jiran tersebut, apatah lagi tiada pula pejabat Konsul mereka di Kangar.
Kalau diterbalikkan pula jadi bendera Poland. Tidak ada pula pemain bolasepak import dari Poland dalam pasukan Perlis.

Namun sebahagian negeri Perlis diselubungi bendera merah-putih yang digantung di tiang-tiang lampu dan pokok di seluruh Bandar Kangar serta sekitarnya.

Apa yang berlaku ialah majlis yang dianjurkan oleh Umno Perlis dan Umno Bahagian Arau yang mana Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak hadir untuk merasmikannya.

Selain pelancaran program Gema Merah Putih Umno Perlis, Najib juga merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Arau di Dewan Wawasan 2020 dekat sini baru-baru ini.

Apa yang menghairankan orang ramai ialah mengapa majlis anjuran Umno ini digantung dengan bendera merah putih sahaja.

“Kemana perginya keris mereka,” tanya seorang peniaga.

“Mana ada keris, pemimpin mereka dah cabut buat berlawan satu sama lain,” jawab seorang pimpinan PAS Perlis berseloroh.

Baru-baru ini juga, Menteri besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob mencadangkan agar logo keris di bendera Umno dibuang kerana pada hemat beliau, keris itu melambangkan perpecahan di dalam Umno.

Thursday, September 14, 2006

JKKK syor Markas PAS ditukar jadi pusat karaoke

Oleh Wartawan SEDAR
BESERI, 13 Sept- Dendam kesumat seorang bekas Ketua Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) terhadap PAS menyebabkan beliau mengeluarkan kata biadap untuk menukar markas PAS kepada sebuah karaoke.

Beliau berkata demikian ketika mengiringi Menteri Besar Perlis menziarahi rumah Allahyarham Haji Mhd Shariff Mhd Haniffa, bekas Ketua Penerangan PAS Kawasan Padang Besar yang mati dibunuh di Selatan Thailand beberapa minggu lalu.

Rumah Allahayarham di Kampung Bongkok dekat sini adalah berkembar dengan Markas PAS cawangan tersebut.

Menurut sumber yang rapat dengan Allahyarham, bekas Ketua JKKK Kampung Bongkok tersebut berkata bahawa Markas PAS tersebut lebih baik dicat dengan warna biru dan ditukar menjadi sebuah karaoke.

Markas tersebut selama ini menjadi tumpuan orang ramai yang datang ke majlis ilmu khususnya kuliah bulanan yang disampaikan oleh seorang Ustaz dari Pulau Pinang.

Beberapa peristiwa pernah berlaku ketika kuliah sedang berlangsung termasuk tayar kereta yang dibocorkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Seorang pimpinan PAS Kawasan Padang Besar berpendapat, bekas JKKK tersebut mengeluarkan kata-kata demikian kerana dendam dan benci melihat PAS berkembang di kampungnya dan markas PAS tersebut juga diisi dengan program yang mendapat sambutan ramai.

"Ramai yang masih marah kerana arwah Haji Shariff berjaya menghidupkan markas tersebut dengan kuliah dan ceramah-ceramah yang berjaya menarik orang ramai. Bila Haji Shariff dan Ketua cawangan sudah meninggal barulah dia berani berkata demikian walaupun secara berseloroh," katanya.

PKENPs dan YIPs gagal jelas hutang

Oleh Wartawan Harakahdaily
KANGAR, 13 Sept - Laporan Ketua Audit Negara mendapati beberapa kelemahan dalam pinjaman yang diberikan oleh kerajaan negeri Perlis kepada Agensi Negeri.

Pertamanya, pinjaman kepada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) yang sehingga akhir tahun 2005 berjumlah RM26.42 juta dan sebahagian besar daripadanya belum dibayar balik.

Walaupun rekod pinjaman disediakan dengan sempurna, namun perjanjian pinjaman yang diberikan pada tahun 2004 dan 2005 belum disediakan dan ditandatangani.

Pinjaman tersebut masing-masing berjumlah RM5 juta dan RM2 juta.

Jumlah tunggakan bayaran balik pinjaman PKENPs pada akhir tahun 2005 adalah berjumlah RM18.35 juta dan kerajaan negeri tidak menerima bayaran balik sejak tahun 2000.

Laporan Audit mendapati kedudukan kewangan PKENPS tidak kukuh dan mengalami masalah aliran tunai menyebabkan mereka gagal menjelaskan pinjaman dalam tempoh yang ditetapkan.

Sementara itu, Yayasan Islam Perlis (YIPs) yang begitu gah pada awal tahun 1990-an dengan pelbagai projek pembangunan kini terpaksa meminjam dengan kerajaan negeri khususnya untuk membayar gaji kakitangan dan pembiyaan pendidikan.

YIPs mentadbir tadika, empat buah sekolah agama, Maahad Tahfiz dan Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs).

Pada bulan Mac tahun ini, pinjaman kepada YIPs yang berjumlah RM13.64 juta yang dipinjam sejak akhir tahun 2004 telah ditukar kepada pemberian geran oleh kerajaan negeri.

Usul jawatan kekal sepanjang hayat, Umno Perlis makin bercelaru

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 12 Sept - Politik Umno semakin bercelaru apabila beberapa peristiwa yang pelik berlaku sejak kebelakangan ini.

Pertama, Umno Bahagian Arau mengusulkan agar jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dipegang sepanjang hayat untuk mengelakkan berlakunya krisis kepimpinan.

Sementara itu, Umno Bahagian Padang Besar pula yang sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila mengundang bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mengadakan Mesyuarat Perwakilan Bahagian mereka dengan hanya dirasmikan sendiri oleh Ketuanya, Dato' Zahidi Zainul Abidin.

Beberapa orang pemerhati politik di negeri ini menyifatkan usul Umno Arau itu jelas mahu mengampu pimpinan tertinggi parti mereka dan jika diterima, pelaksanaannya akan lebih mengundang krisis sesama mereka.

"Apa akan jadi kepada orang nombor 2 dalam hirarki pimpinan. Tidakkah mereka berasa gelisah menunggu jawatan tertinggi yang tidak kunjung tiba,"kata seorang pegawai kerajaan yang ditemui hari ini.

Manakala seorang pesara pula menyifatkan usul tersebut menggambarkan imej Shahidan sendiri yang sentiasa menimbulkan perkara yang pelik.

"Lebih baik diusulkan agar selepas habis hayat jawatan itu diturunkan kepada anak-cucu dan adik-beradik pula," katanya.

Sementara itu, Umno Bahagian Padang Besar pula dilihat seperti dipulaukan apabila mengundang kontroversi dengan menjemput Tun Mahathir beberapa minggu lalu.

Walaupun program tersebut dibatalkan kerana masalah permit dan mereka sendiri mendakwa sukar untuk bermesyuarat kerana tidak dapat mencari tempat yang sesuai, namun mesyuarat yang diadakan itu kelihatan suram apabila tiadanya pimpinan tertinggi parti datang untuk merasmikannya.

"Masa depan politik Zahidi dilihat gelap dengan isu tersebut dan ditambah pula dengan kehadirannya dalam majlis bersama Mahathir di Alor Star baru-baru ini," kata seorang veteran politik.

Dalam pada itu, Shahidan menggariskan bahawa terdapat seramai 14 orang yang dikenalpasti sebagai bakal menggantikan beliau pada masa depan.

Dalam sidang media baru-baru ini beliau menyatakan terdapat lebih 40 orang yang dikenal pasti namun akhirnya senarai tersebut tinggal hanya 17 orang.

"Dari 17 orang, tiga orang pula tidak boleh pakai kerana menyeleweng. Jadi tinggal 14 sahaja," katanya.