Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Wednesday, November 30, 2011

PAS: Dakwaan Umno tak masuk akal, Pakatan jamin kuasa Melayu

The Malaysian Insider
KUALA LUMPUR, 30 Nov — Presiden PAS memberi jaminan parti Islam itu bahawa orang Melayu akan kekal berkuasa dan terus menikmati segala hak di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, sekali gus mengetepikan dakwaan pemimpin Umno yang terus menakut-nakutkan kaum itu dengan ‘sentimen perkauman’.


“Ia bukan sahaja satu jaminan, tetapi juga realiti,” kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan tegas kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di bangunan Parlimen semalam.

Hadi (gambar) menegaskan, isu itu tidak harus timbul kerana kerusi yang ditandingi pemimpin-pemimpin bukan Melayu dalam Pakatan Rakyat hanya sekitar 60 berbanding 222 bahagian yang dipertandingkan.

“Dalam geografi politik Malaysia, bilangan kerusi ditandingi DAP pada masa sekarang hanya 40 berbanding 222 kerusi. (Jadi) bagaimana DAP, jika pun ia menang kesemua kerusi, akan mengambil alih? Ia tidak betul.

“Campur dengan PKR, kerusi (bukan Melayu) hanya 60 daripada 222 dan yang baki kerusi Melayu... jadi ia sesuatu yang tidak masuk akal,” kata beliau.


LAGI >>

'Itulah tahap pemikiran sebenar Muhyiddin'

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 30 Nov: Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub (gambar) menyifatkan ucapan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi yang sarat dengan mesej kebencian terhadap parti-parti dalam Pakatan Rakyat sebagai 'tidak sepatutnya diucap oleh bakal perdana menteri'.

Bercakap kepada Harakahdaily hari ini, Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, ucapan Muhyiddin itu hanya 'memalukan dirinya' dan mencerminkan itulah tahap pemikiran sebenar beliau sebagai timbalan perdana menteri.

"Pada saya, ia tidak sepatutnya berucap begitu, sebab taraf dia timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri.

"Sepatutnya
sebagai bakal perdana menteri, ucapan beliau perlu penuh dengan gagasan dan wawasan membangunkan negara, bukan penuh dengan kecaman kepada Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau mengulas ucapan Muhyiddin ketika merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam tadi.

Dalam ucapannya, Muhyiddin tanpa segan silu membidas DAP, PKR dan PAS dengan kata-kata penuh penghinaan.

DAP dilabel parti cauvinis Cina yang jahat dan mahu menubuhkan negara republik.

PKR pula dituduh sebagai parti ultraliberal yang hanya berjuang untuk Datuk Seri Anwar manakala PAS pula bukan lagi memperjuangkan Negara Islam kerana mengangkat Negara Berkebajikan.

Mengulas lanjut Salahudin bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin atas ucapannya itu yang secara tidak langsung mengakui PAS berada di persada politik tanah air.

"Apapun kita ucap terima kasih kerana menyebut tentang PAS dalam ucapan beliau.

"Maknanya mereka akui PAS berada di persada politik negara," katanya.


LAGI TENTANG MUHYIDDIN:



Tuesday, November 29, 2011

‘Tak Nak BN’, jawapan kepada rayuan Najib

Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 29 Nov: ‘Tak Nak BN’ adalah jawapan kepada rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada rakyat supaya memilih lagi BN untuk memastikan agenda transformasi beliau terlaksana.

AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, pada mula rakyat mungkin kagum dengan gagasan awal Datuk Seri Najib, seolah-olah beliau mahu membuat perubahan di negara ini.

Tetapi, katanya lama-kelamaan Najib menunjukkan siapa sebenarnya beliau kerana rakyat sudah mual dengan slogan transformasi yang bertukar menjadi nasi basi.

Apa tidaknya, jar beliau semakin hari semakin terserlah siapa sebenarnya Datuk Seri Najib.

“Ahli Umno sudah maklum beliau memang terkenal sebagai seorang yang kaya dengan retorik sejak daripada beliau memegang Ketua Pemuda Umno lagi.

“Buktinya ketika beliau mengumumkan untuk menghapuskan ISA, 13 mangsa di Sabah ditangkap,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ketika Najib mengumumkan untuk memberi kelebihan kepada rakyat berhimpun, tiba-tiba pindaaan yang lebih teruk daripada sebelumnya, malahan lebih teruk daripada Myanmar.

Katanya lagi, ketika indeks rasuah negara semakin teruk, beliau masih berasmara dengan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda, walaupun beliau memang disabit rasuah di dalam pemilihan Umno.

“Cuba bayangkan daripada 3.2 juta ahli Umno, yang dipilihnya ialah Tan Sri Isa Samad, apa kelebihan yang ada pada Isa Samad, sehingga Datuk Seri Najib tidak nampak selain daripada beliau, sedangkan Felda adalah satu institusi yang cukup penting yang mempunyai dana dan eset yang begitu banyak selepas Petronas.

“Sekarang beliau merayu supaya rakyat memilih lagi BN?” soalnya.

Idris berkata, dengan sikap yang ditunjukkan oleh beliau selama menjadi Perdana Menteri telah gagal menggulakan rakyat dengan slogan 1Malaysia yang terbaru ialah slogan wasatiah.

“Beliau tidak sedar ketika beliau beretorik dengan slogan transformasi rakyat menunggu dengan penuh ketekunan dan mencatat apa yang beliau cakap.

“Tiba-tiba rakyat nampak ini hanya slogan kosong setelah menunggu sekelian lama,” ujarnya.

Belia menambah, rakyat percaya jika BN menang maka GST, cukai 6 % prepaid, harga minyak, gula, tepung dan keperluan rakyat akan naik.

Akhirnya, kata belia rakyat akan menjawab ‘Tak Nak BN’ dalam PRU ke-13 nanti.

RUU Himpunan: Transformasi palsu halal kezaliman

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 29 Nov: PAS mengingatkan kerajaan Umno BN bahawa transformasi yang dicanang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mestilah ke arah lebih baik, bukan undur ke belakang.

“Jangan sesekali cuba memperkenalkan transformasi palsu yang berlindung di sebalik akta atau rang undang-undang (RUU) bagi menghalalkan tindakan zalim pemerintah,” ujar Ketua Penerangan PAS
Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Katanya, PAS menegaskan pendirian bahawa RUU Himpunan Aman (RUUHA) 2011 mesti ditarik balik kerana mempunyai kecacatan melampau dan ianya tidak langsung memberi gambaran “aman” sebagaimana dicanangkan.

“Rakyat melihat RUU ini adalah gambaran kecelaruan dan kebimbangan parti Umno-BN yang kini berhadapan dengan kebangkitan rakyat.

“Apakah Umno tidak belajar daripada pelbagai akta zalim yang dilaksanakan di Timur Tengah sehingga menyebabkan kemarahan rakyat?” tanya beliau.

Bahkan, ujarnya mereka bangkit bukan sahaja medesak undang-undang dipinda tetapi menumbang terus kerajaan yang zalim itu.

RUUHA, katanya merupakan kebimbangan pemerintah terhadap keputusan yang akan dibuat oleh rakyat dalam PRU13 akan datang, bagi membolehkan kerajaan bertindak menangkap dan menghukum sesiapa sahaja yang berhimpun menunjuk perasaan tidak puashati terhadap tindakan kerajaan.

Rakyat umum perlu disedarkan tentang implikasi RUUHA ini, kerana seandainya ia diluluskan, maka rakyat sudah pasti hampir tidak boleh langsung berhimpun bagi meluahkan bantahan terhadap sebarang isu-isu yang tidak berpihak pada kerajaan Umno BN walaupun ia jelas menindas mereka, ujarnya.

“Ingatlah, kemarahan rakyat tidak akan dapat disekat dengan undang-undang. Ambillah pengajaran daripada sepucuk surat yang dihantar oleh Saidina Umar bin Abdul Aziz tatkala beliau menerima permohonan peruntukan kewangan bagi membuat benteng untuk menyekat sekumpulan golongan pemberontak,” ujarnya.

Jelasnya, kata Umar bin Abdul Aziz: "Bentenglah kemarahan rakyat kamu dengan keadilanmu, payungi rakyatmu dengan kasih sayangmu, kerana itu lebih baik dari kamu membina benteng besi menyekat kemarahan rakyatmu”.

Wednesday, November 23, 2011

SPR Jangan Menyibuk Urusan Parti Politik

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) membidas tindakan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang ‘menyibuk’ terhadap urusan parti politik lain dengan mengusahakan agar Pilihanraya Umum di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara kecuali Sarawak didakan serentak.

DPP Malaysia berpendapat SPR tidak berhak masuk campur terhadap urusan pihak lain sedangkan urusan kendaliannya banyak lagi yang tidak selesai. Dari segi undang-undang tidak menyekat mana-mana kerajaan negeri untuk mengadakan pilihanraya umum secara berasingan, mengapa SPR pula ‘terhegeh-he
geh’ mahu menasihati parti politik untuk mengadakan PRU secara serentak?

Sepatutnya urusan mengadakan pilihanraya umum secara serentak atau berasingan diputuskan oleh Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, dan SPR tidak berhak mempertikai atau campurtangan terhadap perkara ini. Tugas utama SPR adalah melaksanakan perjalanan pilihanraya agar ia berlangsung dengan baik, sistematik, telus, dan adil. Mencampuri urusan parti-parti politik terutama pembangkang akan dilihat oleh rakyat bahawa SPR terikat dengan arahan pihak tertentu yang berkepentingan.

DPP Malaysia mengesyorkan, jika SPR benar-benar mahu menasihati pemimpin parti politik, adalah lebih baik Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohamad Yusof menasihati dahulu Perdana Menteri agar mengumumkan tarikh pilihanraya umum kepada rakyat daripada awal. Ini lebih penting supaya semua pihak dapat membuat persiapan bagi menghadapinya. Merahsiakan tarikh pilihanraya merupakan suatu tindakan yang tidak bijak kerana boleh mengganggu jadual parti politik dan rakyat keseluruhannya.

DPP Malaysia juga mencadangkan agar SPR menasihati Perdana Menteri untuk mewujudkan Kerajaan Sementara selepas pembubaran parlimen sehingga tarikh pengundian. Ini akan lebih adil kepada semua pihak yang bertanding dalam PRU ke 13 nanti. Ia boleh mengekang budaya rasuah, projek segera, penyalahgunaan kuasa dan wang dan lain-lain lagi.

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Pakatan: Akta perhimpunan aman ‘lebih teruk, kekang kebebasan rakyat’

The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR 22 Nov – Undang-undang baru perhimpunan aman membawa lebih banyak elemen menekan rakyat dan mengekang kebebasan awam selain memberi polis kuasa luas untuk menahan orang dakwa Pakatan Rakyat hari ini.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat berkata peruntukan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman lebih “teruk” berbanding undang-undang berkaitan dengan perhimpunan awam sebelum ini dan kandungan baru menunjukkan orang ramai tidak boleh berhimpunan di mana-mana sahaja di Malaysia.

Seksyen 27 akta baru ini menyebut bahawa perhimpunan awam tidak boleh diadakan di pekarangan stesen minyak hospital balai bomba lapangan terbang stesen kereta api terminal pengangkutan darat pelabuhan limbungan terusan jambatan rumah ibadat tadika dan sekolah serta empangan.

Ia tidak membenarkan protes jalanan dan melarang perhimpunan di zon 50 meter dari kawasan-kawasan larangan disenaraikan.

“Undang-undang baru ini seharusnya dipanggil rang undang-undang perhimpunan haram lebih buruk daripada undang-undang lalu.

“Malaysia mempunyai banyak rumah ibadat lihat pada kawasan larangan anda tidak boleh berhimpun di mana-mana pun di Malaysia ” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng gambar kepada pemberita hari ini.

“Ini tekanan penindasan tambahan ” katanya lagi.

LAGI >>

Akta Perhimpunan Aman percepat ajal Umno BN

KUALA LUMPUR, 22 Nov: Lajnah Undang-Undang Guaman dan PAS Pusat memandang serius tindakan Kerajaan Barisan Nasional membentangkan rang undang-undang yang dikenali sebagai Akta Perhimpunan Aman 2011 yang menggantikan Akta Polis 1967.

AJK PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin (gambar) berkata, setelah meneliti beberapa peruntukkan di dalam rang undang-undang tersebut, mana-mana orang yang waras pemikirannya akan dengan mudah memahami ia adalah akta yang bersifat mencegah atau melarang sama sekali sebarang perhimpunan di negara ini.

Menurutnya, menamakan rang undang-undang itu dengan Akta Perhimpunan Aman dalam keadaan akta tersebut hakikatnya melarang sama sekali sebarang perhimpunan adalah jelas satu lagi siri penipuan Kerajaan BN Umno dan Datuk Seri Najib ke atas rakyat.

Ujarnya, Akta Perhimpunan Aman sepatutnya memudahkan perhimpunan aman bukan menyusahkan perhimpunan aman.

Beliau berkata, jika Akta Polis 1967 khususnya seksyen 27 dan 27A sudah bersifat ‘draconian dan zalim, akta yang ingin digubal itu beribu-ribu kali lebih zalim daripada Akta Polis yang ingin diganti.

Katanya, hanya kerajaan zalim seperti Umno sahaja berupaya terfikir untuk menggubal akta sezalim itu.

“Sebagai peguam dan AJK PAS Pusat, saya akan mengusulkan kepada pihak PAS untuk mencabar rang undang-undang ini di mahkamah supaya ianya tidak akan dimuktamadkan sebagai akta.

“Pada hari ini kami peguam PAS akan melancarkan secara rasmi ‘perang’ ke atas akta zalim ini melalui saluran undang-undang yang sedia ada,” tegasnya.

Pada masa ini, beliau berpendapat rang undang-undang itu adalah secara jelas unconstitutional kerana ianya bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, meskipun Perkara 10 membenarkan sebarang akta digubal oleh Parlimen untuk menghadkan perlaksanaan hak berhimpun namun had tersebut tidak boleh sama sekali sampai ke tahap menghapuskan sama sekali hak rakyat kepada perhimpunan aman.

Tambahnya, secara jelas akta yang ingin digubal mempunyai motif sebegitu.

“Pengalaman saya mengendalikan banyak kes yang melibatkan tuduhan perhimpunan haram khususnya yang melibatkan ahli dan pemimpin PAS menunjukkan bahawa akta ini digubal sebagai manifestasi kekecewaan pihak Kerajaan melalui Peguam Negara yang acap kali tewas di dalam kes-kes yang melibatkan tuduhan perhimpunan haram,” ujarnya.

Katanya, amat malang Peguam Negara dan Kerajaan Umno BN tidak menunjukkan sebarang perubahan yang positif di dalam rekodnya yang sedia buruk dalam isu pencerobohan hak asasi khususnya dalam isu perhimpunan aman.

Baginya, akta yang ingin diluluskan di Parlimen itu memburukkan lagi wajah buruk Kerajaan BN dan Peguam Negara.

“Apa pun percayalah akta ini akan mempercepatkan lagi ajal Kerajaan Umno BN insya Allah,” ujarnya.

Tuesday, November 22, 2011

Media baru, pengundi muda ancaman Umno BN

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 22 Nov: “Nampaknya media baru dan pengundi muda telah menjadi ancaman kepada Umno BN dalam PRU 13 akan datang,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.

Katanya, kebimbangan itu disuarakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan Konvensyen Media Sosial 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kelmarin.

“Kerisauan beliau kerana pengundi muda yang berumur 21 hingga 35 tahun adalah kelompok yang akan menentukan kemenangan BN,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, Najib sedar bahawa media BN seperti televisyen sudah tidak laku di kalangan anak muda kerana mereka menganggap apa yang keluar daripada corong televisyen hanya sampah sahaja.

Sepatutnya, kata beliau Najib tidak perlu takut jika kerajaan dan pemimpin BN adalah kerajaan yang amanah dengan rakyat.

Tegasnya, pemimpin Pakatan Rakyat tidak pernah takut dengan anak muda kerana kerajaan PR adalah telus dan berani berhadapan dengan mereka kerana orang salah sahaja yang takut dengan kebenaran.

“Mungkin beliau sedar jatuhnya rejim di Mesir, Tunisia, Libya antara pemyumbang terbesar ialah media baru seperti face book, twitter, blog,” katanya lagi.

Menurutnya, walau pun Umno BN sudah ada orang upahan mereka untuk membuat fitnah dan cerita rekaan tetapi semuanya tidak menjadi.

Ini, katanya kerana ia akan dijawab dengan fakta dan data dalam sekelip mata di dalam media baru.

Ini, ujarnya dapat dilihat diruang komen di dalam portal berita Malaysiakini contohnya, daripada 100 komen hanya 5 orang sahaja yang menyebelahi BN.

“Ini yang merunsingkan Datuk Seri Najib Tun Razak sehinggakan beliau mengatakan bahawa mereka yang aktif dengan media baru akan menjadi bonus untuk dipilih menjadi calon BN,” ujarnya.

Sambutan Ulangtahun PAS ke-60 di Perlis (malam ke-3)

Ceramah Malam Terakhir :



PENTAS WANITA menampilkan Ustazah Latifah Mat (Ketua Dewan Muslimat PAS Perlis), Ramlah Bee Asiahoo (Ketua Penerangan Wanita PKR) dan Normala Sudirman (Bekas Calon PRK Dun Tenang)








Anugerah Kecemerlangan Pasti Negeri Perlis

Hari Anugerah Kecemerlangan Pasti Negeri Perlis berlangsung pada 20/11/2011 baru-baru ini bertempat di Dewan Sri Mawani Inn, Kangar








Lagi FOTO DI SINI >>

Monday, November 21, 2011

Sekitar Sambutan Ulangtahun ke-60 PAS Peringkat Negeri Perlis (Hari ke-2)

Peraduan mewarna Pasti
Futsal Piala Ketua Pemuda

Hadiah Peraduan mewarna


Fixie Bikes


Peserta drift dilepaskan

Aksi Drift (Lihat Video di sini)


Hj Anuar yang juga Pengarah Program menyampaikan ucapan


Pengerusi DAP Perlis, Teh Seng Chuan


Chegu Bard berceramah

ISA: Rakyat benci pemimpin mungkir janji, kata PAS


Malaysiakini

Kerajaan BN dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein diingatkan supaya konsisten dengan janji-janji yang ditaburkan kerana rakyat rakyat benci dengan pemimpin yang memungkiri janji.

Menurut ketua penerangan, Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor, sikap memungkiri janji adalah pendorong kepada kejatuhan rejim diktator yang zalim sepertimana dialami oleh negara-negara Timur Tengah pada hari ini.

“Jika ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) telah dijanjikan untuk dimansuhkan, ia perlu dikotakan. Sikap ‘walk the talk’ adalah sikap terpuji yang diidamkan oleh rakyat terhadap pemimpin negara ini.

“Sebaliknya, beretorik, flip flop dan janji kosong yang tidak tertunai adalah watak yang dibenci oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan media kepada Malaysiakini, hari ini.

Sehubungan itu, Riduan juga membidas Hishammuddin yang menggambarkan kumpulan 13 individu yang ditahan pihak berkuasa di Tawau, Sabah awal minggu ini di bawah ISA sebagai amat berbahaya kepada keselamatan negara dan serantau.

“Pemuda PAS menganggap kenyataan Datuk Seri Hishamuddin sebagai jawapan ‘melepas diri’ dari serangan rakyat pelbagai pihak yang meminta penjelasan beliau.

“Jawapan Hishamuddin tidak konkrit bagi menjustifikasikan kumpulan 13 ditahan di bawah ISA. Sekadar menuduh tanpa proses pengadilan di mahkamah bukan suatu alasan mereka boleh dihukum,” katanya.


LAGI >>

Sunday, November 20, 2011

Foto Perasmian Sambutan Ulangtahun ke-60 PAS Peringkat Negeri Perlis

Ucapan Pesuruhjaya
Ceramah oleh YB Ahmad Kassim (MP Kuala Kedah)

Dato' Husam Musam Musa merasmikan Sambutan Ulangtahun ke-60 PAS Peringkat Negeri Perlis dan kemudiannya pula melancarkan Extreme Motor Club DACS Perlis

Anugerah Khas Tokoh PAS Perlis kepada waris Haji Mahamood Mohd Noor


Dato' Husam meninjau kereta yang digunakan sebagai gimik pelancaran Extreme Motor Club DACS

Kartun Kita...



Wednesday, November 02, 2011

Pertemuan dengan AMK dan DAPSY Perlis

SEPAKAT .... Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda PAS Perlis diketuai Ustaz Yussaine Yahya mengadakan pertemuan dengan pimpinan Angkatan Muda KeADILan Perlis dan Pemuda DAP (DAPSY) Perlis di Kompleks PAS Perlis malam tadi bagi menyusun jentera serta merangka gerakerja menghadapi pilihanraya umum akan datang.

SU Agung: Ahli PAS kena terima sistem dua parti jika mahu tumbang BN

The Malaysian Insider
KUALA LUMPUR, 30 Okt – Di sebalik spekulasi pilihan raya umum ke-13 akan dipanggil dalam waktu terdekat, PAS menegaskan sistem dua parti pasti akan menjadi kenyataan di negara ini dalam waktu terdekat dan ia sangat penting untuk mengakhiri penguasaan Barisan Nasional (BN).

PAS kini menganggotai Pakatan Rakyat yang dibentuk secara formal selepas pilihan raya umum 2008. Dua rakannya ialah DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat - dalam tempoh enam bulan akan datang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menjangkakan sistem dua parti akan menjadi realiti sekitar lima tahun lagi dan paling lewat 10 tahun dari sekarang.

Sehubungan itu kata beliau, kewujudan sistem itu berdasarkan perkembangan dan tuntutan semasa, tetapi bergantung kepada kesediaan ahli-ahli PAS sendiri untuk menerimanya setelah mereka memahami dengan jelas mengenai perkara tersebut.

Mustafa berkata keadaan sekarang masih tidak mengizinkan untuk diwujudkan sistem itu kerana masih terdapat di kalangan ahli PAS sendiri yang tidak bersedia untuk menerimanya.

Menurut beliau, keadaan itu berlaku disebabkan sesetengah ahli PAS masih tidak memahami keperluan sistem dua parti ekoran kegagalan mereka memahami tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Sebelum ini meskipun ada pelawaan Umno untuk mewujudkan kerjasama politik dan mengadakan kerajaan perpaduan, PAS tetap menolak tawaran itu, sebaliknya berjanji akan kekal bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Kerjasama itu membawa kepada kemenangan di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor selain Kelantan pada 8 Mac 2008. Pakatan Rakyat yang memperoleh 84 kerusi juga menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.

Mustafa setersunya berkata perkembangan ke arah kewujudan sistem dua parti telah pun berlaku di negara ini dan ia tercetus hasil kerjasama politik antara PAS dan parti Melayu Semangat 46 (S46) pada pilihan raya umum 1990 dan 1995.

“Sistem dua parti merupakan perkara penting bagi PAS dan Pakatan Rakyat kerana dengan itu akan lebih memudahkan usaha bersama untuk mengalahkan BN dalam pilihan raya.

“Dengan adanya sistem dua parti barulah PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat boleh menggunakan lambang satu parti seperti yang dilakukan oleh parti-parti dalam BN yang hanya menggunakan lambang BN ketika menghadapi pilihan raya,” katanya dipetik Harakahdaily.

Mustafa berkata, kerjasama politik antara PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat tidak seharusnya menjadi pertikaian ahli-ahli PAS kerana ia berasaskan hukum syarak.

“Sebelum diadakan kerjasama itu, pucuk kepimpinan tertinggi PAS telah pun ‘bermerah mata’ membincangkannya secara mendalam berhari-hari, termasuk membawa kepada perbincangan bersama ulama-ulama Islam di seluruh dunia yang berada dalam gerakan Islam,” katanya.

Konsep tahaluf siyasi kata beliau, adalah salah satu strategi atau pendekatan yang diambil oleh PAS dalam politik untuk menang dalam pilihan raya dan ia berbeza sama sekali dengan dasar perjuangan PAS untuk mendaulatkan Islam di negara ini.

Jelas beliau, perkara itu perlu difahami dengan mendalam oleh setiap ahli PAS agar tidak menimbulkan kekeliruan mengenainya, apatah lagi sehingga boleh melemahkan semangat perjuangan untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di muka bumi ini.

“Tapi walaupun tidak faham, ahli-ahli PAS tetap juga wala dengan pemimpin. Itulah sifat terpuji yang ada pada ahli-ahli PAS. Sungguhpun begitu, jika tidak faham kenalah bertanya kepada pemimpin. Paling tidak, bertanyalah kepada pesuruhjaya PAS di negeri masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu, beliau akan mengarahkan bahagian penerangan PAS agar menerangkan keperluan tersebut kepada ahli-ahli parti bagi membolehkan konsep tahaluf siyasi difahami oleh ahli-ahli PAS di segenap peringkat.

Tuesday, November 01, 2011

Banjir: Pemuda PAS, Amal diarah bersiap sedia

Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 1 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan mengerahkan seluruh anggota pemuda dari seluruh negara bagi membantu kerja-kerja pemindahan, keselamatan, kecemasan, bantuan serta sumbangan kepada mangsa banjir yang diramal akan melanda tanah air.

“Bagi menghadapi musibah ini, seluruh anggota Amal dan pemuda PAS diarahkan bersiap sedia dengan segala peralatan serta kelengkapan semaksima mungkin,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Mereka juga, katanya akan membantu pasukan keselamatan dalam kerja-kerja menyelamat dan bantuan lain jika tenaga mereka diperlukan.

Menurutnya, pengalaman tahun 2006 lalu di mana anggota pemuda PAS mengharung banjir dan berselut lumpur tatkala musibah banjir besar di negeri Johor, Pahang dan Melaka akan dijadikan panduan berharga bagi menghadapi kemungkinan musibah kali ini.

Beliau memberitahu, seramai 10,000 anggota Amal dan pemuda PAS telah bersedia kali ini bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“DPPM yakin, hasil dari sentuhan tarbiyah program Ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS 2011 yang baru berlangsung pada 28-30 Oktober 2011, segenap pemuda PAS akan turun ke kawasan terlibat dengan ikhlas tanpa mengharap sebarang upah atau ganjaran,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, ujarnya DPPM memperingatkan pemuda PAS serta rakyat umumnya agar sentiasa menjaga keselamatan diri bagi mengelak pelbagai perkara buruk berlaku.

“Awasi anak-anak daripada membiarkan mereka mandi di kawasan sungai atau tali air.

“Jaga kesihatan diri dan anggota keluarga serta mendapatkan rawatan di pusat kesihatan berhampiran jika sakit,” katanya lagi.

DPPM juga, jelasnya meminta semua Pemuda PAS dan rakyat seluruhnya sentiasa berdoa agar negara ini selamat dari musibah buruk.

“Mudah-mudahan ramalan kaji cuaca yang meramalkan banjir besar tahun ini tidak berlaku kali ini di negara ini hasil dari doa kita semua,” ujarnya.

Laporan Audit: Tunggakan Bil Air Meningkat

KANGAR - Laporan Ketua Audit Negara Laporan bagi Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Perlis Tahun 2010 mendapati beberapa kelemahan berlaku dalam pengurusan Bahagian Bekalan Air Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perlis.

Bahagian Bekalan Air JKR Negeri Perlis, bertanggungjawab memberikan perkhidmatan bekalan air bersih kepada pengguna domestik, perniagaan dan industri di negeri ini dengan aktiviti utamanya iaitu pengebilan adalah pengeluaran bil air kepada pengguna, memungut hasil, mengemaskinikan akaun pengguna dan mengurus tunggakan hasil air.

Pada 2 Ogos 2010, jabatan ini telah dikorporatkan menjadi Syarikat Air Perlis dengan nilai aset berjumlah RM203.34 juta tetapi pengurusan aktiviti bekalan air masih lagi di bawah pengurusan jabatan kerana syarikat tersebut belum beroperasi sepenuhnya.


Walaupun audit mendapti pengurusan pengebilan air adalah memuaskan tetapi masih terdapat beberapa kelemahan yang dikenalpasti. Antara lainnya, audit mendapati tunggakan bil air sehingga 31 Disember 2010 adalah berjumlah RM18.77 juta yang mana jumlahnya meningkat setiap tahun. Jumlah ini adalah peningkatan sebanyak RM2.08 juta atau 12.5% berbanding tunggakan pada tahun 2009 yang berjumlah RM16.69 juta.


Audit mendapati peningkatan tunggakan hasil adalah disebabkan kegagalan penguatkuasakan undang-undang selain tiada penetapan sasaran kutipan tunggakan hasil air dan keadaan ini telah menyebabkan kerajaan negeri mengalami kekurangan hasil dari bekalan air.

Antara kelemahan lain yang dikenalpasti oleh audit ialah bacaan meter tidak mengikut jadual, penguatkuasaan tidak diambil terhadap individu,syarikat atau agensi yang mempunyai tunggakan bil air yang tinggi, pemotongan bekalan air lewat dilakukan serta penyambungan bekalan air lewat dimasukkan ke dalam sistem yang menyebabkan penggunaan air tanpa bil.

Selain itu audit juga mendapati pengurusan aduan oleh pengguna juga tidak memuaskan.

Konvensyen DAP Perlis

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin menerima cenderahati dari Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada Majlis Perasmian Konvensyen DAP Perlis yang diadakan di Tasoh Lake Resort , Beseri. Ustaz Hashim serta pimpinan PAS dan KeADILan Perlis turut hadir sebagai tetamu undangan dalam majlis tersebut. Foto: Khairul Amir.