Oleh Wartawan Harakah
KANGAR, 27 Sept - Tradisi penyediaan bubur lambuk sempena Ramadan diteruskan pada tahun ini oleh Badan Perhubungan PAS Perlis.
Sebuah hadis yang bermaksud "Barangsiapa yang memberi makanan berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, maka pahalanya seumpama orang yang berpuasa itu tanpa berkurang sedikitpun" dijadikan iktibar untuk program ini.
Justeru, Jabatan Khidmat Masyarakat (JKM) PAS Perlis dengan kerjasama kakitangan pejabat Perhubungan PAS Perlis menyediakan bubur lambuk untuk orang ramai sebagai juadah berbuka puasa setiap hari sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Menurut Pengarah JKM PAS Perlis, Haji Abdul Karim Md Rejab, program tahunan ini adalah untuk kali kelima dan kira-kira 800 bungkus bubur lambuk diedarkan setiap hari.
"Kita mengambil fadhilat Ramadan untuk sama-sama menyediakan makanan untuk umat Islam berbuka puasa," katanya.
Bubur lambuk dengan resepi "Kampung Baru" ini dimasak setiap hari bermula jam 10 .30 pagi di perkarangan Pejabat Perhubungan Negeri menggunakan dua buah periuk besar.
Ianya mula diedarkan kepada orang ramai mulai jam 2 . 00 petang.
"Sejak program ini dimulakan dulu ianya mendapat sambutan orang ramai terutamanya kakitangan kerajaan dan swasta," kata Abdul Karim lagi.
Bubur lambuk PAS Perlis kini menjadi sebutan ramai dan rata-rata orang ramai memujinya.
"Saya rasa bubur lambuk ini paling "best" di Perlis," kata seorang guru yang tidak pernah melepaskan peluang mengambil bubur lambuk PAS Perlis setiap petang.
Dalam pada itu, JKM PAS Perlis mengalu-alukan sebarang sumbangan untuk program bubur lambuk Ramadan dan juga sumbangan fakir-miskin menjelang Aidilfitri. Untuk menyumbang, sila hubungi talian04 -9761836.
No comments:
Post a Comment