Pengajaran Sains dan Matematik ditahap kritikal: Guru hilang keyakinan, prestasi murid merudum
Oleh : Bashir Ishak
Kategori : Berita
KANGAR, 20 Sept - Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris yang dianggap sebagai penyembelihan beramai-ramai akademik bangsa Melayu kini sudah mulai dirasai kesannya.
Baru-baru ini, satu sumber memberitahu Harakahdaily, kursus untuk guru kedua-dua subjek tersebut untuk tahun lima sekolah rendah yang diadakan di Maktab Perguruan Perlis hanya dihadiri seramai 8 orang guru sahaja.
Sepatutnya jumlah guru yang hadir adalah ramai kerana di Perlis sahaja mempunyai lebih 70 buah sekolah rendah.
Ini jelas menunjukkan bahawa para guru juga tidak mempunyai keyakinan untuk terus mengajar kedua-dua subjek tersebut dalam bahasa Inggeris.
Seorang pendidik yang ditemui menjelaskan bahawa keadaan sudah berada pada tahap yang kritikal.
"Bukan sahaja di kalangan murid dan ibu bapa, malah kini para guru juga sudah mulai merasakan kesannya," katanya.
Beliau menjelaskan bagaimana para pelajar jurusan Sains di sekolah sudah mulai meninggalkan kelas sedangkan pelajar di jurusan ini memang terdiri dari kalangan pelajar yang cerdik.
Katanya lagi, para guru kini sudah mulai berpijak di bumi yang nyata apabila membicarakan masalah ini.
Menurutnya, apabila prestasi anak-anak mereka sendiri mulai merudum, barulah para guru yang mengajar Sains dan Matematik mulai bersuara.
"Dulu ramai yang bersembunyi dan takut bersuara, khususnya apabila mereka mendapat elaun khas sebanyak 10 peratus dari gaji. Kini mereka sudah sedar kesannya," katanya lagi.
Seorang lagi pendidik yang ditemui berkata bahawa tahap kesediaan murid khususnya di kalangan bangsa Melayu masih terlalu rendah.
Menurutnya, perkara asas dalam pembelajaran bahasa asing seperti Inggeris adalah perbendaharaan kata (vocabulary).
"Inilah perkara asas yang tidak ada di kalangan murid-murid kita," jelasnya.
Beliau turut memberikan contoh orang-orang Cina dan India masih mempetahankan penggunaan bahasa ibunda mereka untuk pengajaran Sains dan Matematik.
"Saya sebagai pendidik tidak faham mengapa kerajaan masih tidak nampak atau sengaja mempertahankan ego atas keputusan tidak bijak ini dan terus memperjudikan nasib dan masa depan anak bangsa," katanya.
No comments:
Post a Comment