Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, September 29, 2006

Pergolakan Umno Perlis jejas masa depan Shahidan

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 28 Sep - Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim yang sering mencetuskan kontoversi politik dalaman Umno, khususnya yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sekali lagi menjadi sasaran dalam percaturan politik Umno Perlis.

Terbaru sebuah laman web umno-reform menyiarkan e-mail yang dihantar oleh Mohamed Karim Abdullah bertajuk "Dalil Kenapa Dato Seri Radzi wajib jadi MB Perlis".
E-mail yang dihantar kepada editor laman web tersebut memaparkan 10 dalil mengapa Shahidan tidak lagi layak menjadi Menteri Besar Perlis dan perlu digantikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato' Radzi Sheikh Ahmad.

"Ini jelas menunjukkan bahawa krisis kepimpinan dan perebutan kuasa dalam Umno tidak berkesudahan," demikian komen Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Hairy Hashim.


Hairy berpendapat, kepimpinan Shahidan di Perlis sama ada dalam kerajaan mahupun sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Perlis kini berada di persimpangan.

Katanya, Shahidan dilihat sudah tidak lagi popular di kalangan sebahagian besar kepimpinan Umno Perlis sendiri.

"Dia diasak dari pelbagai penjuru. Pelbagai masalah timbul dalam pentadbiran negeri Perlis dan di pula sering menimbulkan kejelikan bila kerap menimbulkan pelbagai idea yang pelik-pelik," katanya.

Hairy yang juga Yang Di Pertua PAS Kangar, memberi beberapa contoh di mana wujudnya perpecahan dalam Umno Perlis seperti yang turut didedahkan dalam laman web tersebut.

"Dulunya krisis Shahidan dengan Azmi Khalid di Padang Besar, kemudiannya dengan Zahidi. Selepas itu timbul pula "team" baru yang mahu menonjolkan Ahli Parlimen Arau sebagai penggantinya. Kini di Kangar pula dengan timbulnya nama Dato' Radzi pula".

"Nampaknya di semua bahagian Umno, Shahidan ada musuh politik," sambung Hairy lagi.

Bagaimanapun kata Hairy, sekiranya berlaku pertukaran kerusi Menteri Besar, Umno Perlis tetap tidak akan bersatu.

"Tradisi berpuak-puak di kalangan mereka akan berterusan kerana jelas prinsip perjuangan Umno khususnya di kalangan pimpinan adalah lebih kepada kepentingan peribadi semata-mata," katanya.

No comments: