Negara Islam tidak dilihat pada bangunan tinggi
Respon DPPPs terhadap tulisan Zin Mahmud
KANGAR, 6 Nov - Kehebatan sesebuah negara di sisi Islam tidak dilihat dari pembangunan material semata-mata tetapi yang lebih penting aspek-aspek syariat dan kesaksamaan yang dinikmati rakyat.
Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) memberikan respon terhadap tulisan Watawan Utusan Malaysia, Zin Mahmud bertajuk "Di sebalik Menara Dubai" yang disiarkan oleh akhbar itu Khamis lalu.
Menurut Ketua DPPPs, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, rencana yang ditulis oleh Zin itu lebih memfokuskan tentang kebanggaan negara umat Islam yang berjaya membina bangunan pencakar langit yang tertinggi di dunia.
Rencana itu menceritakan bagaimana Dubai di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) akan meraikan siapnya Dubai yang bakal menjadi bangunan tertinggi di dunia dan mengalahkan bangunan Taipei 101 pada tahun 2008.
Zin menyatakan dalam tulisannya, apabila siap kelak, sebagai kebanggaan dunia Islam, maka Burj Dubai bakal menebus kedudukan Menara Berkembar Petronas yang telah dirampas oleh Taipei 101.
Beliau juga menyatakan bahawa wujudnya bangunan seperti Menara Berkembar Petronas dan Burj Dubai menampilkan sisi kemakmuran dunia Islam.
Katanya, dunia Islam bukan semata-mata mengenai kesengsaraan di Iraq, Palestin dan Afghanistann tetapi juga memiliki kemakmuran seperti di Dubai dan Kuala Lumpur.
Mengulas tentang rencana ini, DPPPs berpendapat bahawa kemakmuran dalam masyarakat Islam itu dapat dikecapi sekiranya semua negara umat Islam dapat disatukan dan saling membantu satu sama lain.
"Apa ada pada bangunan tinngi sekiranya negara-negara umat Islam masih bergolak seperti di Palestine, Iraq dan Afghanistan," kata Ustaz Ahmad Adnan.
Menurutnya lagi, jurang antara negara Islam yang kaya dan miskin juga amat ketara, khususnya di kalangan negara Arab yang melimpah ruah nikmat yang diberikan Allah Swt dari hasil minyak.
"Apa jadi dengan nasib umat Islam minoriti seperti di Kemboja, Vietnam, Myanmar dan di Eropah? Hasil minyak yang banyak di negara-negara Arab tidak melimpah keluar kepada umat Islam di tempat lain yang lebih memerlukan," jelasnya.
Katanya lagi, kehebatan sebuah negara Islam juga dilihat melalui perlaksanaan syariat dalam pemerintahan negara seperti yang telah ditetapkan oleh agama.
"Adakah negara umat Islam menumpukan ke arah itu? Yang lebih menonjol ialah kadar jenayah yan tinggi, ketenteraman rakyat tergugat dan demokrasi yang lemah. Inikah contoh negara Islam?," soalnya.
Sehubungan itu, DPPPs melihat banyak lagi aspek yang perlu diperbetulkan dalam dunia Islam hari ini sebelum dapat dikategorikan sebagai sebuah negara yang makmur.
"Tiada nilainya sebuah bangunan pencakar langit sekiranya kekayaan negara hanya berlegar di kalangan pemimpn negara dan umat Islam terus bergolak dan menderita di seluruh dunia," kata Ustaz Adnan lagi.
No comments:
Post a Comment