Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Wednesday, September 20, 2006

Umno Perlis bergolak: Shahidan vs Zahidi


Petikan Harakahdaily
KANGAR, 19 Sept - Krisis politik di kalangan pimpinan Umno bukan sahaja berlaku di peringkat nasional tetapi juga dapat dilihat di peringkat bawahan, hatta di negeri sekecil Perlis.

Krisis yang dapat dilihat di Perlis hari ini adalah di antara Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Negeri dengan Timbalannya Dato' Zahidi Zainul Abidin.

Zahidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beseri sudah lama dilihat sebagai saingan kepada Shahidan kerana dahulunya dikatakan mempunyai hubungan yang kuat dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan dilihat sebagai pengganti kerusi Menteri Besar.

Mungkin melihat pengaruh Zahidi, maka Shahidan melantiknya sebagai Exco kerajaan negeri dan juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis.

Namun beberapa bulan lalu Zahidi telah digugurkan daripada barisan Exco kerajaan negeri.

Zahidi penyokong kuat Mahathir
Di kala berlaku krisis antara Perdana Menteri dan mantannya, Tun Dr Mahathir, Zahidi dilihat menjadi penyokong kuat Mahathir, sedangkan Shahidan yang dulunya memang dikenali penyokong kuat Mahathir terpaksa mengaku menyokong Abdullah.

Zahidi yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Besar telah menjemput Mahathir ke Padang Besar untuk merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian itu.

Walaupun gagal membawa Mahathir dengan alasan tiada permit, Zahidi kemudian dilihat berada dalam majlis Mahathir di Alor Setar beberapa minggu lalu.

Sejurus itu, Zahidi pula dengan sendiri bertindak merasmikan sendiri mesyuarat perwakilan bahagian Padang Besar yang mencetuskan kontroversi, apatah lagi dalam ucapannya beliau mengkritik kerajaan.

Shahidan dakwa Zahidi gagal dalam tugas
Media melaporkan perang dingin antara keduanya yang saling tuduh-menuduh tentang satu projek yang gagal di kawasan Beseri yang diwakili Zahidi.

Keadaan bertambah panas lagi dengan kenyataan Shahidan yang mendakwa Zahidi gagal dalam tugasnya sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis dan beliau sedang berkira untuk mencari pengganti baginya.

Dalam pada itu, bekas Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Dato' Azmi Khalid pula membuat kenyataan bahawa Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis perlu berbincang dengan Presiden parti terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan untuk menggantikan Zahidi.

Kenyataan seperti jelas menyentak ego Shahidan yang juga pernah menganggap Azmi sebagai saingannya dalam politik Umno Perlis tidak lama dahulu.

Surat layang kritik pimpinan Shahidan
Selain itu, Shahidan juga dilaporkan begitu marah apabila adanya surat-surat layang yang banyak mengkritik kepimpinan beliau. Surat layang tersebut juga menyebut satu "team" baru perlu bangkit untuk menerajui Umno Perlis.

Ianya melibatkan Ahli Parlimen Arau, Dato' Seri DiRaja Syed Razlan Jamalullail, seorang Adun dan beberapa nama lagi pemimpin Umno Perlis.

Baru-baru ini Perlis telah dikejutkan dengan isu Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang telah disita kerana gagal menjelaskan hutang.

Ada banyak lagi perkara yang boleh dibangkitkan seperti kegagalan dan bebanan hutang Perbadanan Kemajuan Ekonomi Perlis (PKENPs),bebanan hutang Yayasan Islam Perlis (YIPs) ang boleh menambahkan pening Shahidan.

Shahidan timbulkan perkara-perkara pelik
Nampaknya Shahidan sedang diasak dari pelbagai pelusuk termasuk oleh orang-orang separtinya juga. Sejauhmanakah beliau boleh bertahan?

Ramai pemerhati politik Perlis menganggap Shahidan adalah seorang yang mampu menahan asakan seperti ini dengan berlagak seperti biasa dan terus menimbulkan pelbagai perkara-perkara yang pelik.

Baru-baru ini, Umno Bahagian Arau yang mana beliau sebagai Ketua telah mencadangkan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dipegang sepanjang
hayat.

"Begitulah Shahidan. Tengoklah nanti, masa akan menentukan," kata seorang veteran Umno.

No comments: