Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Wednesday, December 31, 2008

PRK P036 Kuala T'ganu : PAS Perlis hantar 30 petugas bantu jentera pilihan raya

Harakahdaily

KANGAR, 31 Dis (Hrkh) - PAS Perlis akan menghantar kontinjen pertama petugas untuk pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 3 Januari akan datang.

Menurut Pengarah Jabatan Pilihanraya Negeri Perlis, Abdul Karim Mat Rejab, kontinjen pertama ini terdiri daripada 30 orang petugas yang akan ditempatkan di UPU Wakaf Beruas dan Merbau Patah dalam Dun Wakaf Mempelam.

"Kita akan menghantar ke sana petugas daripada kawasan-kawasan dan dewan-dewan. Manakala Dewan pemuda pula menghantar seramai 10 orang petugas tetap," jelasnya.

Kontinjen pertama ini akan diketuai oleh Setiausaha PAS Padang Besar, Ustaz Yahya Ahmad sebelum disusuli kontinjen kedua pada 10 Januari akan datang. 

Tuesday, December 30, 2008

Majlis Penyerahan Tauliah Pengurus PASTI Perlis

ARAU - Majlis penyerahan tauliah pengurus Pasti seluruh Perlis diadakan baru-baru ini di Dewan Dato' Fadzil Noor, Balai Islam MADI, Jejawi Dalam dekat sini.

Majlis dihadiri para pengurus Pasti cawangan-cawangan dari seluruh negeri ini. 

Pesuruhjaya PAS Perlis, YB Ustaz Hashim Jasin meluangkan masanya untuk menyampaikan tauliah tersebut.

Turut hadir daalam majlis tersebut ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman, guru-guru Pasti serta barisan Exco Dewan Pemuda PAS Perlis.

Dalam ucapannya, Ustaz Hashim melahirkan rasa syukurnya kerana Dewan Pemuda berjaya menguruskan Pasti dengan baik dengan memperkenalkan skim baru bagi pembayaran elaun guru-guru Pasti.

Di samping itu, beliau turut menyeru para guru Pasti untuk sama-sama melibatkan diri dengan porgram parti.

Di samping itu beliau turutmelahirkan rasa terharu serta tahniah kepada para pengurus Pasti cawangan yang sebahagiannya sudah berkhidmat sejak belasan tahun yang lalu.

Wednesday, December 24, 2008

PENGUMUMAN PROGRAM


KULIAH BULANAN PERBANDINGAN AGAMA


TARIKH : 27 DISEMBER 2008

HARI: SABTU

TEMPAT: BALAI ISLAM MADI, JEJAWI DALAM, PERLIS


MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR

Thursday, December 11, 2008

Ijtimak Korban PAS Perlis

Ijtimak Korban pada tahun ini seperti biasa diadakan pada hari raya kedua di Markas Tarbiyah PAS Perlis, Jejawi Dalam dan sebanyak 11 ekor lembu telah dikorbankan .

Petugas bergotong-royong

Setiausaha Perhubungan PAS Perlis menyerehakan daging kepada peserta Ijtimak Korban

Naib Ketua DPP Perlis, Ustaz Yussaine Yahya

Mengagihkan daging korban

Bahagian memproses tulang

Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis Ustaz Salleh Adam menyembelih lembu korban

Timbalan Ketua DPP Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil menyembelih lembu korban

Ustaz Hashim turut menyembelih lembu korban

Thursday, December 04, 2008

LIQA' TARBAWI DPP PERLIS

Lujnah Tarbiah dan Kepimpinan DPP Perlis baru-baru ini menganjurkan Liqa' Tarbawi (Litar '08) bertempat di Dewan Dato' Fadzil Noor, Balai Islam MADI, Jejawi Dalam.

Kertas kerja bertajuk "Tiga Kekuatan Kita" dibentangkan Pengerusi Lajnah yang juga Naib Ketua DPP Perlis, Ustaz Yussaine Yahya.

Dalam pembentangannya, beliau menyentuh tentang tiga asas kekuatan Pemuda dalam perjuangan iaitu Kekuatan Aqidah Islamiyah, Kekuatan Jihad Islamiyah dan Kekuatan Jihad Islami.

Kertas kerja ini kemudiannya diulas oleh Ketua DPP Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman.

Program dihadiri oleh semua Exco DPP Perlis serta DPP Kawasan-kawasan.




Monday, December 01, 2008

Wukuf Di Arafah Pada Ahad 7 Dis

MEKAH, 1 Dis (Bernama) -- Tarikh Wukuf di padang Arafah di tetapkan pada hari Ahad 7 Dis dan Aidiladha di tanah suci disambut pada Isnin 8 Dis.

Pengumuman tarikh Wukuf dan Aidiladha itu dibuat Majlis Tertinggi Kehakiman Arab Saudi.

Akhbar harian Arab memetik laporan yang disiarkan menerusi Saudi Press Agency (SPA), bahawa Majlis itu dalam kenyataan berkata Sabtu (29 Nov) ialah 1 Zulhijjah, dan tiada hari ke 30 dalam Zulkaedah "kerana majlis tidak menerima sebarang laporan anak bulan kelihatan".

Sementara itu, beratus ribu jemaah berkumpul di bandar suci ini, termasuk lebih 20,000 dari Malaysia yang turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tiada angka rasmi diumum sehingga kini mengenai jumlah keseluruhan jemaah musim ini tetapi dianggar kira-kira tiga juta jemaah akan berkumpul di padang Arafah yang luasnya 10.4 kilometer persegi, kira-kira 22 kilometer dari sini.

Ahmad Zahid yang melawat beberapa penempatan untuk jemaah Malaysia hari ini menasihatkan mereka supaya menjaga kesihatan agar mereka boleh mengerjakan wukuf dengan sempurna, yang merupakan kemuncak ibadat haji.

Pegawai Tabung Haji berkata agensi itu telah membuat persiapan untuk pergerakan secara berperingkat kira-kira 26,000 jemaah Malaysia ke padang Arafah Sabtu ini dengan bas yang diatur oleh agensi haji Arab Saudi, Muassasah.

-- BERNAMA 

Sunday, November 30, 2008

MAJLIS BERKHATAN BERAMAI-RAMAI KALI KE 13 PAS PERLIS

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Ahmad Ali menyampaikan hamper kepada peserta khatan

Steady dik.... tak sakit pun...

Unit AMAL turut membantu

Peserta berkhatan menunggu giliran...

Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr Ismail Salleh turut bertugas
ARAU - PAS Perlis berjaya mengadakan Majlis Berkhatan Beramai-ramai kali ke 13 yang diadakan di Markas Tarbiyah PAS perlis, jejawai dalam dekat sini Ahad lalu.

Malis berkhatan beramai-ramai ini adalah program tahunan anjuran Jabatan Khidmat Masyarakat PAS Perlis yang diadakan secara percuma.

Perasmian majlis ini telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.
Pada tahun ini, seramai 69 orang kanak-kanak dari seluruh Perlis telah menyertai program ini.

Selain menjadi salah satu agenda memasyarakatkan PAS, program ini juga dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga peserta dengan pimpinan PAS di samping memupuk semangat gotong-royong di kalangan para hadirin sepanjang program diadakan.

Bagi menceriakan majlis, kenduri rakyat diadakan dengan menumbangkan seekor lembu untuk dijamu kepada para orang ramai yang hadir.

Turut hadir membantu mengkhatan kanak-kanak tersebut ialah Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr Ismail Salleh.






Thursday, November 27, 2008

KEWAJIPAN MENGUNDI MENGIKUT HUKUM SYARA’

OLEH DATO' HAJI HARUN TAIB
(Artikel ini dipetik dari lamanweb PAS yang lama)

Menegakkan Pemerintahan Islam

Pemerintahan Islam itu berbentuk khilafah atau Imaratul Mukminin ataupun al Imamah al ‘Uzma. Ia merupakan sebuah pemerintahan yang berteraskan kepada syariat Islamiyyah sama ada pada perlembagaannya, undang-undangnya, ekonominya dan lain-lainnya. Ia ditakrifkan oleh Al Mawardi, Abu Yu’la, Ibnu Khaldun dan lain-lain dengan maksud :

“mengalang ganti kenabian dalam urusan menjaga agama dan mentadbirkan dunia dengannya”.

Pengertian ini dibuat berdasarkan kata-kata Abu Bakar Al Siddiq r.a. sesudah wafatnya Rasulullah s.a.w. maksudnya:

“Muhammad sudah wafat, maka agama ini sudah pasti memerlukan orang yang mengurusnya”.

Kata-kata ini terus mendapat sokongan dan persetujuan padu dari kalangan para sahabat yang menghadiri perhimpunan Saqifah Bani Sa’adah yang berakhir dengan pencalonan beliau (Abu Bakar) sebagai khalifah menggantikan Rasulullah s.a.w.

Hukum Menegakkan Pemerintahan Islam

Ramai di kalangan ‘alim ulama’ yang bercakap tentang perkara ini, yang biasa didengari ialah seperti Al Imam Al Mawardi, Abu Yu;la, Ibnu Khaldun, (faqih Siasi), Imam Al Haramain Al Juwaini, (Faqih Ijtima’ie), Imam Al Ghazali, (Faqih Tasawwuf) dan lain-lain lagi. Sebagai contoh kita ambil sahaja kata-kata al Faqih al Ma’ruf Ibnu Hazam Al Andalusi:

“Para ulama’ daripada Ahlu Sunnah wal Jamaah, Al Murji’ah, As Syiah dan Khawarij bersatu pendapat dalam mengatakan bahawa menegakkan Pemerintahan Islam itu adalah wajib, maka seluruh umat berkewajipan melakukan taat kepada Imam yang adil yang menegakkan ke atas mereka hukum hakam Allah, yang mentadbir dan memerintah mereka dengan syariat Allah yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Namun begitu terdapat satu puak daripada Al Khawarij yang bergelar Al Najdat mengatakan bahawa tidak wajibnya menegekkan kerajaan yang serupa itu. Walau bagaimanapun mereka sudah tidak wujud lagi dewasa ini.

Pendapat mereka ditolak oleh Ijma’ mereka yang telah disebutkan itu, lebih-lebih lagi apabila kita dapati Al-Quran dan Al-Sunnah turut menyatakan wajibnya menegakkan pemerintahan yang serupa itu.

Wajibnya menegakkan Pemerintahan Islam itu berdasarkan Syara’ dan berdasarkan ‘Aqal

Kita telah menyatakan bahawa menegakkan pemerintahan Islam itu wajib. Apakah wajibnya itu berdasarkan syara’ atau berdasarkan ‘aqal atau kedua-duanya sekali?

Al Mawardi, Abu Yu’la, Ibnu Hazam dan Ibnu Khaldun menyatakan bahawa syara’ dan ‘aqal sama-sama mewajibkan kita menegakkan pemerintahan Islam. Hal ini berdasarkan Al-Quran, Al-sunnah, Al-Ijma dan ‘aqal (logik). Antara lain Firman Allah Ta’ala:

Ayat ini menfardhukan kepada kita mentaati Allah, Rasul dan Ulu Al Amri yang memerintah kita. Rasulullah s.a.w. antara lainnya ada bersabda:

Selain dari Al-Quran dan Al-Sunnah, para sahabat dan tabi’in telah sebulat suara mengatakan wajibnya menegakkan pemerintahan yang serupa itu (Pemerintahan Islam).

Dari segi logiknya pula, manusia itu tidak boleh hidup dalam keadaan porak peranda tanpa tanzim, maka setiap tanzim perlu kepada pihak yang berkuasa, maka yang berkuasa di dalam sesebuah negara ialah pemerintah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

“Jika tiga orang berada dalam pelayaran maka hendaklah mereka melantik seorang ketua”.

Hadis ini menunjukkan bahawa nabi mewajibkan perlantikan ketua dalam kumpulan yang kecil, maka apatah lagi kumpulan yang lebih besar dan tersebar.

Cara-cara Menegakkan Pemerintahan Islam

Sebelum itu, kita telah menyatakan bahawa Pemerintahan Islam itu berbentuk khilafah. Pembentukan dilakukan melalui perlantikan pemimpin tertinggi iaitu khalifah dan khalifah pula akan melantik pembantu-pembantunya sama ada jemaah menteri, ahli syura dan lain-lain.

Dalam keadaan biasa, perlantikan khalifah itu berlaku melalui tiga peringkat pencalonan, penapisan calon dan pungutan suara rakyat yang berhak bersuara. Ia dikenali dengan Bai’ah Ammah.

Hal ini dipetik dari peristiwa perlantikan Saidina Abu Bakar Al Siddiq, di mana beliau dicalonkan dan disahkan pencalonannya di dalam perhimpunan Saqifah Bani Saidah, kemudian selepas itu dilakukan ‘baiah 'ammah’ di masjid Al Nabawi.

Baiah 'ammah itu kadangkala dipanggil pungutan suara ramai, kadangkala digelar dengan nama Al Syahadah iaitu para saksi yang juga dipanggil pengundi memberikan penyaksiannya bahawa calon itu adalah layak memiliki syarat-syarat yang dikehendaki oleh Islam.

Kewajipan Ummah di dalam Menegakkan Pemerintahan Islam

Sama ada persetujuan kepada pencalonan yang kita sebutkan di atas dibuat atas nama ‘Baiah Ammah’ atau ‘Al Syahadah’ maka setiap umat Islam yang aqil baligh wajiblah menyertainya. Atas nama baiah ianya wajib kerana bersandarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:

“Sesiapa yang mati dan tidak pernah melakukan baiah nescaya matinya itu dalam keadaan jahiliyyah”.

Antara maksud lafaz baiah itu ialah:

“Aku memberi baiah kepad kamu dengan syarat kamu menegakkan kepada kami Kitab Allah dan Sunnah Rasulnya”.

Adapun atas nama Al Syahadah, ianya diwajibkan bersandarkan kepada antara lainnya Firman Allah Ta’ala, maksudnya:

“Dan hendaklah kamu persaksikan dua orang yang adil dari kalangan kamu”. (At Talaq:2)

Firman Allah lagi, maksudnya:

“Dan hendaklah menegakkan syahadah semata-mata kerana Allah”. (At-Talaq:2)

Firman Allah Ta’ala lagi, maksudnya:

“Dan janganlah kamu menyembunyikan syahadah dan sesiapa yang menyembunyikannya maka sesungguhnya berdosalah hatinya”. (Al-Baqarah: 283)

Oleh kerana itu para pengundi haruslah mempunyai syarat-syarat yang ada pada saksi, antara lainnya bersifat adil. Mereka memberikan persetujuan kepada seseorang calon itu hanya berdasarkan kelayakan peribadi dan matlamat pencalonan seperti mana hadith Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:

“Aku memberi baiah kepada kamu dengan syarat kamu menegakkan kepada kami Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya”.

Mendaftar Diri Sebagai Pemilih

Sayugia diingatkan bahawa menegakkan pemerintahan Islam di Malaysia memerlukan kepada proses mendapat suara majoriti di dalam dewan rakyat atau dewan negeri. Untuk mendapat suara majoriti di dewan rakyat atau dewan undangan negeri mestilah memenangi kerusi terbanyak di dalam dewan-dewan tersebut.

Untuk memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan di dalam pilihanraya mestilah mempunyai pengundi yang ramai (majority). Undi yang serupa itu tidak akan diperolehi kecuali para pencinta Islam layak menjadi pengundi.

Mereka tidak akan layak mengundi (mengikut peraturan yang ada) kecuali mereka didaftarkan sebagai pemilih. Oleh kerana itu dan berdasarkan kepada fakta-fakta yang telah kita bentangkan di atas dan berdasarkan kaedah fiqh:

“Sesuatu yang wajib tidak sempurna melainkan dengannya maka ia menjadi wajib”.

Maka dengan itu mendaftarkan diri sebagai pengundi di dalam negara Malaysia ini adalah menjadi wajib mengikut hukum syara’.

Kesimpulan dan Penutup

Semua mengetahui bahawa melaksanakan hukum syara’ itu adalah wajib. Ia tidak boleh dilaksanakan kecuali wujudnya kerajaan Islam. Maka mewujudkan kerajaan Islam adalah wajib.

Dalam konteks Malaysia hari ini, proses menegakkan kerajaan Islam dibenarkan oleh undang-undang adalah melalui pilihanraya, maka menyertai pilihanraya untuk tujuan tersebut adalah wajib. Seseorang itu tidak mengundi di dalam pilihanraya kecuali dia adalah seorang yang layak dan berdaftar sebagai pemilih secara sah. Maka mendaftarkan diri sebagai pemilih adalah wajib.

“Sesuatu yang wajib tidak sempurna melainkan dengannya akan ia menjadi wajib”. 

Sunday, November 16, 2008

XDPDC bermotosikal P'MOC-DPP Padang Besar

Kelab Motosikal Padang Besar, sebuah kelab di bawah naungan Dewan Pemuda PAS Padang mengadakan XPDC bermotosikal ke Yan, Kedah pada 15 November 2008.

Friday, November 14, 2008

Mufti Perlis Jawab DUN Perlis

KANGAR: Bernama melaporkan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata beliau tetap dengan keputusan untuk meletakkan jawatan itu akhir bulan ini sambil menolak dakwaan bahawa Universiti Sains Malaysia (USM) tidak membenarkannya melanjutkan perkhidmatannya di negeri itu sehingga tahun depan.

Sebaliknya beliau berkata, melalui sepucuk surat kepada Setiausaha Kerajaan Perlis bertarikh 16 September lalu, universiti itu bersetuju meminjamkannya kepada kerajaan negeri sehingga 30 Jun tahun depan.

Dua hari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Jafperi Othman memberitahu sidang dewan undangan negeri, USM tidak membenarkan lanjutan peminjaman Mohd Asri sebagai Mufti Perlis.

Sehubungan itu, kerajaan negeri akan mengembalikan Mohd Asri kepada USM akhir bulan ini.
Beliau berkata, mulai Disember ini beliau akan bertolak ke United Kingdom untuk melanjutkan pengajiannya sebelum menerima pelbagai tawaran menarik.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan tawaran itu.

Mohd Asri berkata, beliau diminta oleh Raja Muda Perlis untuk mengemukakan dua calon yang bakal menggantikan tempatnya namun enggan menyatakan nama calon itu.

Katanya, beliau tidak pernah kesal dilantik menjadi Mufti Perlis bahkan seronok dengan tugas itu malah banyak pandangannya diterima oleh pelbagai pihak.

Beliau berkata, walaupun tidak memegang jawatan Mufti Perlis selepas ini namun beliau akan tetap menyuarakan pandangan yang berkaitan dengan keagamaan.

Dalam sidang dewan undangan negeri yang berakhir semalam, wujud kekeliruan berkaitan jawatan mufti Perlis bilamana terdapat percanggahan antara jawapan yang diberikan oleh Jafperi dengan surat yang ditunjukkan oleh Mantan Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim.

Shahidan membangkitkan soalan tentang surat daripada USM seperti yang dijelaskan di atas semasa bangun membahaskan rang undang-undang perbekalan tahun 2009 di bawah peruntukan untuk Pejabat Mufti Perlis.

PAC Perlis gagal berfungsi

Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) Perlis digesa untuk diperkasakan agar dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan lebih berkesan.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perlis baru-baru ini, Rus'sele Eizan (PAS-Simpang Empat) membuat gesaan demikian dalam ucapannya membahaskan bajet negeri Perlis 2009.

Katanya, hasil daripada Laporan Ketua Audit Negara, beliau melihat PAC tidak dapat menunaikan tanggungjawab dengan sempurna.

"Saya lihat tiada tindakan drastik atau penyelesaaian terutamanya bagi kerajaan terdahulu bilamana PAC tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya. Semoga Pengerusi baru PAC iaitu Adun Mata Ayer dapat melaksanakan amanah dengan lebih baik. Beliau pun sudah tidak ada kepentingan politik lagi.

"Ini penting khususnya bagi PAC untuk memantau projek-projek di bawah agensi kerajaan yang dilaksanakan dan sesetengahnya tak mengikut peraturan serta tidak melihat kesan masa depan agar tidak membazirkan wang rakyat," serunya.

Selain itu, Rus'sele juga melihat kerajaan masih gagal mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang baru khusunya kepada golongan muda walaupun wujudnya pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) dan latihan kemahiran di Perlis.

"Dari sudut pembangunan tenaga insan, kerajaan telah berjaya menghasilkan tenaga mahir dan separuh mahir melalui IPT dan institusi seperti Institut Latihan Perindustrian, Giat MARA dan Institut Kemahiran Belia Negara. Cumanya kerajaan tidak menyebut atau gagal menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang baru di negeri ini," katanya.

Ustaz Hashim: Jangan wujudkan suasana tegang di sidang DUN

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin menyeru agar sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis berlangsung dalam suasana yang kondusif selaras dengan pertukaran pucuk pimpinan negeri.

Berucap membahaskan bajet 2009, beliau menegaskan PAS menerima semua keputusan pilihanraya umum (PRU) yang lalu dan juga kerajaan yang memerintah.

"Kita menerima semua keputusan dalam pilihanraya umum yang lalu. Apa yang saya harap dalam dewan ini, dengan pertukaran pimpinan kerajaan sekarang, kita wujudkankan suasana yang lebih kondusif untuk mewujudkan keadan yang boleh kita bincangkan masalah rakyat.

"Jangan jadikan satu suasana yang tegang dalam mesyuarat dewan ini," katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut melahirkan rasa kekesalannya kerana dibiarkan tergantung selama enam bulan berikutan kesilapan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang tersilap mengumumkan keputusan PRU ke 12 lalu bagi Dun Sanglang.

Katanya kesilapan tersebut tidak sepatutnya berlaku dan SPR sendiri selaku sebuah badan yang bebas tidak pula mengaku kesilapan tersebut.

"Perlis ni negeri kecil dengan pengundi tujuh-lapan ribu pengundi, tapi keputusan diumum pukul 1.00 pagi. Sepatutnya pukul 9.00 dah boleh umum. Kita dah ada bukti di borang 14 dan orang Umno sendiri pun akui kemenangan saya.

"Saya tergantung selama enam bulan tak kisah sangat, tapi bagaimana kita nak meletakkan kepercayaan kepada satu badan yang kita anggap bebas tapi tidak sanggup mengaku kesilapan.

"Keadaan ini menyebabkan saya terpaksa pergi sampai tiga buah mahkamah. Mahkamah Tinggi Kangar, Mahkamah Pilihanraya dan Mahkamah Persekutuan barulah diumumkan sebagai pemenang," jelasnya.

Soalan-soalan lisan Adun PAS di sidang Dewan Undangan Negeri Perlis (12 & 13 November)

Soalan Lisan untuk sidang hari kedua dan ketiga 

YB Ustaz Hashim Jasin (PAS-Sanglang)

1. Apakah wujud perubahan dasar kerajaan negeri berhubung aliran dan pegangan Islam di negeri ini? Sekiranya wujud, apakah pendekatan baru yang digunapakai oleh kerajaan negeri?

2. Nyatakan kedudukan sebenar isu perjawatan Mufti kerajaan negeri Perlis dan langkah yang telah diambil oleh kerajaan negeri bagi mengatasi isu yang berbangkit?

3. Sejauh manakaha perlaksanaan Kajian Semula Projek Koridor Utara (NCER) yang melibatkan negeri Perlis? Nyatakan juga perubahan-perubahan yang bakal berlaku dalam projek tersebut?

4. Nyatakan jumlah pengambilan dan kategori tanah yang terlibat bagi Projek Jalan Persimpangan Alor Sena-Padang Melangit?

YB Rus'sele Eizan (PAS-Simpang Empat)

1. Apakah langkah yang telah diambil oleh pihak berkuasa bagi mengawal harga input pertanian di negeri ini? Sejauh manakah pula ketepatan masa pengagihan input pertanian khususnya baja subsidi kepada para penanam padi yang terlibat?

2. Sejauhmanakah wujud penyelarasan harga belian pad di kalangan pengilang-pengilang padi di negeri Perlis? Apakah pula peranan kerajaan negeri di dalam memastikan petani mendapat manfaat yang setimpal daripada perubahan harga padi yang baru?

3. Nyatakan secara perbandingan jumlah kes anak luar nikah di negeri Perlis bagi tahun 2007 dan 2008 (Januari hingga September)? Nyatakan juga kedudukan tahap disiplin pelajar bagi sekolah-sekolah di negeri ini? Nyatakan apakah langkah yang telah diambil bagi mengatasi penglibatan pelajar sekolah dengan gejala sosial di negeri ini?

4. Apakah kerajaan negeri mempunyai rancangan meningkatkan taraf Stesen Bas Ekspress di negeri ini? Sejauh manakah pula inisiatif kerajaan terhadap kemudahan asas khususnya surau dan tandas awam di Stesen Bas Ekspress kini?

Wednesday, November 12, 2008

Radzi dilantik Penasihat Khas MB Perlis

Terkini, Bernama melaporkan Bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad telah dilantik sebagai penasihat khas Menteri Besar Perlis.

Radzi, yang juga Anggota Parlimen Kangar, memulakan tugas itu Rabu dengan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis.

Ketika ditemui di pejabat Menteri Besar hari ini, beliau bagaimanapun enggan menghuraikan tugas yang diberikan kepadanya sebagai penasihat khas.

Mengenai satu perkara lain, Radzi yang juga bekas Setiausaha Agung Umno, melahirkan rasa bimbang ramai anggota Umno belum menjelaskan yuran tahunan mereka kerana asyik berkempen pada pemilihan cawangan dan bahagian baru-baru ini.

Katanya ibu pejabat Umno belum mengeluarkan arahan tentang yuran yang sepatutnya dibayar sebelum 31 Dis ini.

"Saya terpanggil untuk melahirkan kebimbangan ini kerana tahun 2008 kian sampai ke penghujungnya dan ahli Umno tanpa yuran tidak boleh menyertai mesyuarat," katanya.
Umno mempunyai lebih 3.2 juta ahli di kira-kira 20,000 cawangan.
-----------------

Komen Peghelihla:
1. Eh gambar tu... sorang penasihat MB Perlis... Sorang lagi penasihat NCER utk PM... Nasib orang tak berjawatan le gamaknya...
2. Umno tak bayar yuran? Biar le .... depa parti kaya raya... duit politik wang banyak takkan tak boleh tampung yuran ahli kot?

Soalan-soalan lisan Adun PAS di sidang Dewan Undangan Negeri Perlis

Soalan Lisan untuk sidang hari pertama (11 November)

YB Ustaz Hashim Jasin (PAS-Sanglang)

1. Sejauh manakah keberkesanan Program Ihya Ramadhan Kerajaan Negeri bagi Tahun 2008? Nyatakan juga cadangan baru yang bakal dilaksanakan dalam menyalurkan sumbangan kepada golongan miskin dan anak yatim di negeri ini?

2. Adakah Kerajaan Negeri mewujudkan Pelan Tindakan bagi menangani kesan kemelesetan Ekonomi Global? Sekiranya ada, nyatakan apakah langkah yang bakal diambil untuk mengatasi kesan tersebut.

YB Rus'sele Eizan (PAS-Simpang Empat)

1. Sejauh manakah peranan Pihak Berkuasa terhadap usaha menyelesaikan permasalahan berkaitan kemudahan asas di pekan-pekan kecil di negeri Perlis? Nyatakan juga langkah yang telah diambil bagi menyelesaikan masalah longkang, lampu jalan dan jalan yang rosak di dalam kawasan Simpang Empat?

2. Nyatakan langkah Kerajaan Negeri di dalam merealisasikan slogan "Pertanian Sebagai Perniagaan" di negeri ini? Nyatakan juga kesan daripada bantuan kerajaan terhadap faktor peningkatan hasil pertanian di negeri ini?

Tuesday, November 11, 2008

Ustaz Hashim angkat sumpah Adun

KANGAR - Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin (PAS-Sanglang) secara rasminya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selepas majlis mengangkat sumpah pada Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Pertama Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Perlis (DUN) Yang Kedua Belas pagi tadi.

Majlis tersebut diadakan di hadapan Speaker DUN Perlis, Dato' Yazid Mat selepas permahsyuran dewan oleh beliau kira-kira jam 9.15 pagi tadi.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, Ustaz Hashim sepatutnya diisytiharkan sebagai pemenang, bagaimanapun berlaku kesilapan di mana calon Barisan Nasional, Abdullah Hassan
 yang diisytiharkan sebagai pemenang.

Bagaimanapun Ustaz Hashim telah mengemukakan petisyen dan pada 18 Jun Mahkamah Pilihanraya memutuskan kerusi Dun Sanglang dikosongkan.

Bagaimanapun, Ustaz Hashim tidak diisytiharkan sebagai pemenang.

Ustaz Hashim sekali lagi memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan dan diisytiharkan sebagai Adun Sanglang yang sah pada 16 September lalu.

Ini adalah penggal ketiga Ustaz Hashim menjadi Adun Sanglang sejak tahun 1999. PAS Perlis mempunyai seorang lagi wakil iaitu Adun Simpang Empat, Rus'sele Eizan

Thursday, November 06, 2008

IJTIMAK KORBAN

PAS Perlis akan menganjurkan Ijtimak Qurban 1429 bertempat di Markas Tarbiyah PAS Perlis, Jejawi dalam pada hari raya Aidil Adha ke-2 (11 Zulhijjah) bermula jam 8.00 pagi.

Muslimin dan muslimat yang ingin menyertai program ini boleh berbuat demikian pada harga RM360.00 untuk satu bahagian.

Borang-borang penyertaan boleh didapati di Pejabat Badan Perhubungan PAS Perlis, No 7 Jalan Sekolah Derma, Kangar.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi 04-9761836 (Pejabat), 019-4574652 (Ustaz Ya'akub), 013-4203344 (Ustaz Yus), 012-4147171 (Sarudin), 019-4546670 (Zaid) atau 012-5932325 (Hasyimi). Tarikh tutup: 5 Disember 2008


Wednesday, November 05, 2008

PENGENALAN MENGENAI PAS

Artikel ini diambil dari lamanweb PAS yang lama 

Apa itu PAS?

PAS atau Parti Islam Se Malaysia berasal dari dari rintisan Hizbul Muslimin yang ditubuhkan pada 14 Mac 1948 sebelum merdeka. Hizbul Muslimin diharamkan oleh British pada bulan Ogos 1948

Walaupun begitu obor perjuangan Hizbul Muslimin diteruskan sehinggalah PAS ditubuhkan pada 24 November 1951.

Kini PAS adalah pertubuhan berdaftar dan ia bukan pertubuhan bawah tanah.

Apakah prinsip dan dasar dalam Perlembagaan PAS?

Dasar PAS ialah Islam dan seruan PAS ialah Allahuakbar. PAS bukan parti kominis atau nasionalis.

Matlamat PAS ialah memperjuangkan bagi mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalam nilai-nilai Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan ALLAH.

PAS mempertahankan kesucian Islam serta kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Mengapa Gerakan Islam atau Harakah Islam ditubuhkan?

Tuntutan Islam: "Hendaklah ada satu golongan daripada kamu yang menyuruh kepada kebajikan, menegakkan yang ma'aruf dan mencegah kemungkaran"( Ali- Imran: 104).

Rasul dan nabi-nabi. Ulama' adalah waris para ambiya'.

Persidangan para ulama', tuan-tuan, guru, dan ustaz-ustaz yang bersidang di Sekolah Agama AL- Syarif di gunung Semanggol, Perak pada tahun 14 November 1948 telah bersependapat betapa perlunya kewujudan suatu gerakan Islam atau Harakah Islamiyyah apabila tidak ada negara Islam.

Bagaimana menjadi ahli PAS?
PAS adalah suatu pertubuhan berdaftar dan di sisi undang-undang Malaysia. Oleh itu, keahlian PAS terbuka kepada rakyat Malaysia yang mencapai usia baligh dan berugama Islam tanpa mengira latar belakang kaum.

Kaum Melayu, Cina, India, orang asli dan semua rakyat Malaysia yang beragama Islam yang bermastatutin di Malaysia boleh memohon menjadi ahli PAS.

Menjadi ahli PAS di negara ini bukan kesalahan jenayah. Oleh itu, samada anda pegawai kerajaan, korporat, teknokrat, profesional, kerani, peniaga kecil-kecilan, buruh, petani, nelayan, lelaki dan perempuan, anda boleh menjadi ahli PAS.

Dapatkan borang permohonan ahli PAS dari cawangan berdekatan.

Bagiamana kedudukan orang bukan Islam jika PAS memerintah?

Boleh memilih agama masing-masing.

Boleh mengamalkan cara hidup dan budaya kaum masing-masing.

Hak bukan orang Islam dijamin termasuk aktiviti ekonomi yang tidak bercanggah dengan Islam, keselamtan diri, harta benda, dan keluarga mereka, peluang mendapatkan pendidikan, peluang pekerjaan, kebajikan, dan hubungan bermasyarakat.

Bagaimana dengan arak pelacuran, judi dan rasuah jika PAS memerintah?

Prinsip umum menyatakan bahawa sesuatu yang boleh merosakkan diri sendiri dan menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan orang lain dalam masyarakat boleh diharamkan.

Penggunaan arak di kalangan bukan Islam adalah terhad, dan haram ke atas orang Islam.

Judi, pelacuran, dan rasuah bukanlah budaya orang bukan Islam dan diharamkan ke atas orang Islam.

Mengapa PAS tidak sehaluan dengan UMNO?

Dasar PAS ialah Islam. PAS hanya boleh bersatu dengan parti yang menerima dasar ini. Dasar UMNO ialah kebangsaan atau nasionalisma.

PAS menerima Islam sebagai suatu cara hidup dan mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berkebajikan serta mendapat keampunan dan keredhaan Tuhan manakal aUMNO mahu mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular yang memisahkan agama dari semua aspek kehidupan.

PAS tidak bersetuju dengan beberapa bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan kerana ia bercanggah dengan prinsip dan dasar keadilan sejagat manakala UMNO masih terus-menerus mahu mengekalkan Perlembagaan Persekutuan yang bercanggah dengan prinsip dan dasar keadilan sejagat.

PAS menolak sebarang bentuk judi, pelacuran, rasuah, pergaulan bebas, riba, dan hiburan yang melalaikan manakala UMNO tidak bersungguh-sungguh dalam membanteras kemungkaran.

Apakah prinsip PAS dalam soal kerjasama dengan UMNO atau parti-parti politik lain?

Dasar PAS ialah Islam.

PAS bersatu atas dasar Islam seperimana yang disebutkan di dalam Al-Qur'an: "Berpegang teguhlah pada tali Allah dan jangan kamu berpecah- belah." Ali-Imran: 103. Berpegang kepada prinsip dan dasar Islam adalah pra-syarat kepada perpaduan. Perpaduan dan kesatuan hanya boleh dicapai selepas pendirian pertama dipegang dengan teguh.

Mampukah PAS memerintah?

Insya' Allah, PAS bersedia memerintah Malaysia sekiranya diberi mandat majoriti oleh rakyat dalam proses pilihanraya.

PAS wajib melaksanakan pembangunan negara sebagaimana parti lain yang menang dalam pilihanraya. Tetapi pembangunan material yang tidak diseimbangkan akhlak dan saksiyyah akan merosakkan negara. Agenda pemerintahan PAS ialah negara maju yang mendapat keampunan dan keredhaan Allah.

Mengapa PAS menjadi parti politik?

Menyuruh kepada kebajikan, menegakkan yang ma'aruf dan mencegah sesuatu kemungkaran memerlukan kuasa bagi melaksanakannya.

Kuasa pelaksanaan hanya boleh didapati secara sah melalui proses demokrasi yang dibenarkan dengan mengambil bahagian dalam pilihanraya.

PAS tidak beriman dengan sistem demokrasi negara tetapi mengambil manfaat daripada peluang yang diberikan (melalui sistam demokrasi) untuk menyatakan risalah Islam bagi menegakkan perundangan Islam dan memerintah negara dengan cara Islam sebagaimana yang dituntut oleh Islam.

Kaedah Usul Fiqh 1: " Jika tiada terlaksana sesuatu yang wajib sehingga ada perkara yang membawa ia terlaksana, maka tidak dapat tidak perkara tersebut juga menjadi wajib."

Kaedah Usul Fiqh 2: "Sesuatu perkara yang menjadi penjaga terhadap sesuatu hal itu, hukumnya adalah sama dengan yang dijaga..

Monday, November 03, 2008

PFA hutang KWSP: Memalukan dan cemar imej bolasepak professional

PADANG BESAR - Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) menyifatkan kegagalan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) melangsaikan hutang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pemainnya sebagai suatu yang memalukan dan mencemarkan professionalisme sukan tersebut.

Ketua DPPPs, Ustaz Ya'akub Abu Seman menyatakan demikian ketika mengulas laporan media baru-baru ini berkaitan KWSP yang akan menyaman PFA ekoran kegagalan membayar caruman pemain sebanyak RM500,000.00.

Katanya, era bolasepak professional di negara ini sudah berusia belasan tahun, namun yang lebih gah dilaporkan ialah pelbagai masalah yang melanda pentadbiran persatuan bola sepak negeri dan kelab berbanding mutu permainan bola sepak itu sendiri.

"Ini suatu yang memalukan apatah lagi dalam era bolasepak professional sekarang. Yang kita sering dengar ialah pelbagai masalah berkaitan gaji dan elaun pemain, KWSP dan disiplin pemain atau jurulatih. Mutu bolasepak di negara ini masih di takuk lama.

"Saya lihat antara puncanya ialah terlalu banyak penglibatan orang politik di dalam sukan di negara ini. Begitu juga, khalayak atau penonton bolasepak kita bukanlah banyak sangat dan persatuan atau kelab tak boleh bergantung kepada wang kutipan tiket sahaja,"ujarnya.

Bagi kes PFA dengan KWSP ini, beliau mendapat laporan bahawa tunggakan tersebut ialah untuk tahun 2006 hingga 2007,  jadi tidak sepatutnya Presiden PFA, Dato' Seri Shahidan Kassim menyalahkan kerajaan negeri yang dikatakannya tidak membantu.

"Tunggakan itu adalah semasa beliau menjadi Menteri Besar merangkap Presiden PFA. Kita juga sering mendapat laporan bahawa PFA juga selalu lambat membayar gaji dan elaun pemain serta jurulatih.

"Tidak adil disalahkan kerajaan negeri di bawah kepimpinan baru. Saya difahamkan kerajaan negeri juga sedang berusaha membayar tunggakan caruman KWSP bagi sebuah agensi di bawah kerajaan negeri berjumlah ratusan ribu ringgit. Itupun hasil peninggalan "orang lama".

"Persatuan bolasepak juga tak boleh selamanya bergantung kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk peruntukan tanpa mencari sumber-sumber yang lain,"ujarnya lagi.

Justeru beliau menyarankan agar kajian semula dibuat bagi menyelamatkan era bolasepak professional di negara ini termasuk dari segi kepimpinan persatuan-persatuan bolasepak.

"Masalah seperti ini tidak sepatutnya didengar lagi. Kalau tak mampu balik ke era semi professional. Begitu juaga, bagi pimpinan persatuan bolasepak yang tak berminat atau terlalu banyak politiking, mereka boleh turun dan digantikan dengan orang lain," gesanya.