Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, November 17, 2006

Mufti baru Perlis diseru tumpu persoalan umat Islam masa kini

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 11 Nov - Mufti baru kerjaan negeri Perlis Darul Sunnah, Dr Asri Zainul Abidin diseru agar tidak membicarakan perkara-perkara khilafiyah, sebaliknya perlu menumpukan kepada isu yang lebih besar melanda umat Islam kini.

"Beliau perlu bercakap isu yang memusuhi tauhid seperti sekularisme, nasionalisme atau kapitalisme. Tinggalkan perkara-perkara furuk atau cabang yang bersifat khilafiah," demikian jelas tokoh agama, Dr Abdul Aziz Hanafi.

Katanya, sebagai seorang ilmuan yang mahu mempertahankan As-Sunnah, beliau haruslah memfokuskan kepada soal usul atau prinsip tentang Islam.

"Banyak perkara yang perlu masyarakat tahu.Sebagai contoh, isu umat Islam di Palestin atau isu bahaya Islam Liberal ," katanya.

Dr Aziz yang juga pensyarah di Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) turut menegur sesetengah lulusan bidang agama zaman ini yang cenderung untuk mempertikaikan ulama zaman silam.

Menurutnya, setinggi manapun kita belajar agama pada zaman ini adalah sukar untuk menandingi kehebatan ulama zaman dahulu.

Baginya, ilmu agama yang ada pada zaman ini dibawa oleh ulama terdahulu yang mana ilmu tersebut diwarisi daripada guru-guru mereka bersambung ke generasi tabiin, para sahabat dan terus kepada Rasulullah.

"Mereka lebih dekat dengan abad Rasulullah. Jangan mudah melatah dalam bidang ilmu khususnya yang berkaitan dengan imam mazhab. Bukan mudah ulama dahulu untuk mengeluarkan sesuatu fatwa," jelasnya lagi.

Mufti jangan menyebelahi mana-mana pihak

Sementara itu, Naib Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil sependapat dengan Dr Aziz. Beliau menyeru Dr Asri agar tidak membahaskan perkara-perkara khilafiyah yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam masayrakat.

"Jika dia betul-betul mahu mempertahankan sunnah, beliau harus melebar-luaskan erti sunnah itu kepada bidang lain yang mencakupi politik, akhlak,amar makruf nahi munkar , gejala sosial dan sebagainya. Sunnah bukan sekadar ibadat khusus sahaja," tegasnya.

Kata Ustaz Adnan lagi, perkara-perkara khilafiyah yang ada merupakan satu rahmat dan semua pihak perlu mengiktiraf pelbagai pendapat yang ada dalam Islam.

Selain itu, beliau turut menyeru agar mufti dapat berperanan untuk mempengaruhi serta menegur pemerintah dalam sesuatu perkara yang melibatkan Islam dan syariatnya.

"Sebagai ulama, mufti perlu mempengaruhi pemerintah, bukannya dia ditunjuk ajar oleh pemerintah pula. Mereka tak boleh menyebelahi mana-mana pihak kerana mereka adalah mufti rakyat dan bukan mufti parti pemerintah," serunya.

Tambah beliau lagi, Dr Asri sebagai mufti baru di Perlis boleh mendidik masyarakat untuk memperkukuhkan roh Islam dan iman mereka melalui khutbah Jumaat.

"Cara paling mudah ialah khutbah Jumaat kerana masa itulah paling ramai orang mendengar tentang Islam. Jadi isilah dengan isu semasa yang sesuai untuk didik rakyat lebih kenal dan faham Islam," katanya.

1 comment:

Syaikh Al-Bakistani said...

apa raaa... anta bidaah pun tak faham, pas tu nak bercakap pasal bidaah.

cadangan dari ana kepada kumango.. baca kitab i'tisom, karangan Imam As-Syatibi.

lepas tu baru sembang bab bidaah dalam ni.

sekian
abu_abdillah_azzam@yahoo.com
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com