Petikan Harakahdaily
KANGAR, 12 Sept - Politik Umno semakin bercelaru apabila beberapa peristiwa yang pelik berlaku sejak kebelakangan ini.
Pertama, Umno Bahagian Arau mengusulkan agar jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dipegang sepanjang hayat untuk mengelakkan berlakunya krisis kepimpinan.
Sementara itu, Umno Bahagian Padang Besar pula yang sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila mengundang bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mengadakan Mesyuarat Perwakilan Bahagian mereka dengan hanya dirasmikan sendiri oleh Ketuanya, Dato' Zahidi Zainul Abidin.
Beberapa orang pemerhati politik di negeri ini menyifatkan usul Umno Arau itu jelas mahu mengampu pimpinan tertinggi parti mereka dan jika diterima, pelaksanaannya akan lebih mengundang krisis sesama mereka.
"Apa akan jadi kepada orang nombor 2 dalam hirarki pimpinan. Tidakkah mereka berasa gelisah menunggu jawatan tertinggi yang tidak kunjung tiba,"kata seorang pegawai kerajaan yang ditemui hari ini.
Manakala seorang pesara pula menyifatkan usul tersebut menggambarkan imej Shahidan sendiri yang sentiasa menimbulkan perkara yang pelik.
"Lebih baik diusulkan agar selepas habis hayat jawatan itu diturunkan kepada anak-cucu dan adik-beradik pula," katanya.
Sementara itu, Umno Bahagian Padang Besar pula dilihat seperti dipulaukan apabila mengundang kontroversi dengan menjemput Tun Mahathir beberapa minggu lalu.
Walaupun program tersebut dibatalkan kerana masalah permit dan mereka sendiri mendakwa sukar untuk bermesyuarat kerana tidak dapat mencari tempat yang sesuai, namun mesyuarat yang diadakan itu kelihatan suram apabila tiadanya pimpinan tertinggi parti datang untuk merasmikannya.
"Masa depan politik Zahidi dilihat gelap dengan isu tersebut dan ditambah pula dengan kehadirannya dalam majlis bersama Mahathir di Alor Star baru-baru ini," kata seorang veteran politik.
Dalam pada itu, Shahidan menggariskan bahawa terdapat seramai 14 orang yang dikenalpasti sebagai bakal menggantikan beliau pada masa depan.
Dalam sidang media baru-baru ini beliau menyatakan terdapat lebih 40 orang yang dikenal pasti namun akhirnya senarai tersebut tinggal hanya 17 orang.
"Dari 17 orang, tiga orang pula tidak boleh pakai kerana menyeleweng. Jadi tinggal 14 sahaja," katanya.
Alamat Baru Kami
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment