Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Saturday, October 14, 2006

PM digesa kaji semula dasar pendidikan

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 12 Okt - Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi digesa mengkaji kembali beberapa isu, berkaitan dasar pendidikan bagi mempertingkatkan kualiti pelajar-pelajar, khususnya di luar bandar yang sering terpinggir.

Isu pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan moral pelajar perlu diberikan perhatian selain pembangunan fizikal, demikian kata Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.

Baru-baru ini Abdullah mengumumkan tujuh langkah untuk mengurangkan jurang prestasi antara sekolah bandar dan luar bandar.

Semua langkah tersebut melibatkan pembangunan fizikal sekolah, penambahan peralatan serta pemberian insentif tambahan kepada guru.

Ustaz Hashim menegaskan bahawa yang lebih penting ialah pembangunan rohani para pelajar tidak kira sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

"Kita tidak menafikan perlunya pembangunan dan pembaharuan di sekolah tetapi sistem pendidikan itu sendiri perlu menjurus kepada satu perubahan untuk pelajar mengenal diri dan kenal Allah".

"Dengan mengenal diri dan Allah, mereka akan menjadi pelajar yang tahu tanggungjawab dan akan menjadi insan yang berkualiti. Mereka ini akan membawa kebaikan kepada manusia yang lain pula," katanya.

Beliau turut menyeru agar bantuan perkapita kepada SAR yang ditarik balik oleh kerajaan beberapa tahun lalu dipulangkan semula.

Menurutnya, isu tersebut seperti telah dilupakan dan jika benar Abdullah mahu mengurangkan jurang pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar, maka bantuan perkapita ini perlu diberi semula.

"Boleh dikatakan hampir kebanyakan SAR duduk di luar bandar, jadi penumpuan juga perlu diberikan kepada SAR. Bukan itu sahaja, kerajaan juga perlu memperbanyakkan sekolah agama berasrama penuh," serunya.

Selain itu, melihat isu pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris juga merupakan punca berlakunya jurang prestasi antara sekolah bandar dan luar bandar, katanya.

"Perkara ini sudah terbukti bahawa penguasaan pelajar amat lemah dan kita sudah sebut beberapa kali hal ini termasuk dalam sidang Dewan Undangan Negeri. Bagi pelajar luar bandar keadaannya lebih membimbangkan," jelasnya

No comments: