Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, December 30, 2005

KEPIMPINAN YANG DITELADANI
Oleh : Ibnu Zain
Kategori : Fikrah pimpinan


Seseorang yang ingin menjadi pemimpin atau ketua yang baik perlu menyediakan kelengkapan diri yang sempurna agar dihormati dan dijadikan model dan contoh teladan oleh pengikut atau orang bawahannya. Ini adalah kerana setiap tingkah laku dan tutur katanya akan diberi nilai yang tersendiri oleh pengikutnya.

Seseorang pemimpin, dalam memimpin atau mengetuai sesuatu tugas tertentu, perlulah mempunyai pengalaman, panduan, pendidikan dan tunjuk ajar yang ada hubung kait dengan tugasan mereka. Umpamanya pengarah urusan syarikat yang memimpin syarikat, tuk penghulu yang memimpin sesebuah komuniti kampung, wakil rakyat yang memimpin rakyatnya, bapa yang memimpin sesebuah keluarga, ketua kumpulan yang memimpin kumpulannya dan lain-lain. Oleh itu, tanggungjawab dan amanah yang dipikul oleh pemimpin dan orang yang dipimpinnya adalah berat dan menjadi kewajipannya untuk membawa ahlinya kepada kesatuan yang kukuh, harmoni dan saling kasih mengasihi agar hidup menjadi teratur, tenang dan sempurna.

Demikianlah kepimpinan, mungkin kerana terlalu hampir dengan kehidupan sosial manusia, maka ia tidak pernah luput atau hilang dari perhatian orang biasa atau awam. Menurut ahli Psikologi Sosial, pemimpin adalah seorang yang mempunyai pengaruh peribadi yang paling banyak. Sebagai contohnya, setiap apa yang dilakukannya akan diteladani oleh orang bawahannya. Ini akan membawa kepada dua implikasi yang besar dalam diri pengikut samada mendapat kebaikan atau kerosakan. Jelaslah bahawa kuasa pengaruh yang kuat melalui peribadi, hasil dari penilaian yang tidak seimbang oleh pengikutnya akan mewujudkan imej yang mempunyai ciri-ciri peribadi seperti pemimpin mereka dalam kehidupan sosial yang mereka lalui sepanjang hayat.

Bagi ahli Sains Politik pula, pemimpin adalah sesiapa sahaja yang menduduki sesuatu jawatan atau mengisi sesuatu peranan yang membenarkannya menggunakan kuasa. Sebagaimana pemimpin yang mempunyai pengaruh yang kuat, pemimpin ini juga mempunyai pengaruh yang lebih meluas, tidak hanya dari pengaruh peribadinya, bahkan mempunyai kuasa atau diberi kuasa dalam memberi sesuatu arahan atau keputusan yang mesti dipatuhi oleh setiap orang. Kuasa pemutus ada ditangannya.

Secara umumnya, orang bawahan atau pengikut menganggap bahawa pemimpin itu adalah model bagi mereka. Jika kepimpinan dianggap bersifat situasi, orang-orang bawahan juga mungkin bertindak sebagai model kepada orang yang lebih tinggi kedudukannya daripada mereka pada masa-masa tertentu. Tetapi keadaan ini jarang berlaku. Biasanya pemimpin di ataslah yang dijangka menjadi model bagi pengikut. Namun tidak semua orang boleh menjadi model kepada orang lain.

Menurut satu kajian yang dibuat oleh Pensyarah Psikologi Sosial, Aminuddin Mohd. Yusuf, dalam bukunya 'Kepimpinan', terdapat empat ciri manusia yang mempunyai kemungkinan untuk ditiru oleh orang lain.
Berkelebihan dari segi umur. Golongan ini akan lebih diteladani berbanding dengan golongan yang muda umur, kerana golongan tua mempunyai beberapa hak istimewa, kemahiran dan teknik untuk mencapai matlamat yang dicitakan, berdasarkan kepada banyaknya pengalaman dan pengetahuan yang luas.

Berkelebihan dalam status sosial. Seseorang yang dilantik menjadi pemimpin atau ketua, secara otomatik mendapat status sosial yang lebih tinggi daripada pengikutnya. Ini mempermudahkan pengikutnya meneladani sikap dan tingkah laku pemimpin mereka. Dalam meneladani sikap dan tingkah laku pemimpin, pengikut janganlah keterlaluan sehingga menyusahkan diri sendiri. Mereka hendaklah bersikap sederhana dalam meneladani setiap gerak laku pemimpin yang boleh memberikan manfaat kepada diri mereka sendiri. Bukannya meneladani kehidupan pemimpin yang mewah, boros dan berkemampuan dalam memenuhi apa sahaja yang dihajati.

Ada kelebihan kedudukan dalam ciri-ciri tertentu. Antaranya kecerdasan iaitu mempunyai kebolehan keseluruhan dalam bertindak, berfikir secara rasional dan mengendalikan persekitaran secara berkesan. Pemimpin yang ingin menunjukkan teladan, harus mempunyai kemampuan yang lebih dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan berdasarkan kerasionalan tanpa didorongi emosi dalam bertindak, sentiasa bersikap positif dan tenang, mempunyai pengetahuan yang luas dan cekap dalam membuat hubungan dengan masyarakat. Pemimpin juga tidak sekadar hanya tahu bercakap dan mengarah, tetapi ia hendaklah turut memainkan peranan supaya setiap pekerjaan yang dilakukan dapat diselesaikan dengan sempurna, segera dan berhati-hati.

Kemahiran teknik iaitu mahir dalam lapangan yang berlaitan dengan tugasan kelompok pimpinannya dan menjadi model terbaik untuk diteladani oleh ahlinya. Hal ini amat perlu kerana pemimpin adalah orang yang mengendali dan memimpin kelompoknya agar tahu menilai keberkesanan dalam tugas mereka supaya tidak berlaku kekeliruan dan kacau bilau. Pendekatan dalam kemahiran yang diperlukan dan relevan dengan tugas pemimpin dan kelompok, hendaklah dipelajari sebelum menjadi pemimpin dan ia hendaklah bersedia terlebih dahulu agar tidak menjadi pemimpin yang 'tidak tahu apa-apa' atau 'mengupah' orang lain dalam memberi ide-ide untuk memajukan pimpinannya. Kemahiran dan kepakaran amat penting untuk menjadikan pemimpin itu belihatan berwibawa dan disegani.

Oleh itu, untuk menjadi pemimpin yang baik bukanlah mudah. Dalam pemerintahan demokrasi yang dijalankan di dunia hari ini, naiknya seseorang pemimpin ialah melalui belas kasihan rakyat yang mengundi untuknya. Bagi mencapai hajat untuk menjadi wakil rakyat dan sebagainya, ia sanggup melakukan apa sahaja untuk mengambil hati rakyat agar mengundinya biarpun terpaksa mengorbankan wang ringgit, harta dan masa yang banyak dalam berkempen untuk membeli hati rakyat. Inilah yang dikatakan demokrasi. Nasib pemimpin adalah di tangan rakyat. Dengan itu pemimpin tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat kerana bimbang kalau-kalau tidak diundi menjadi pemimpin lagi.

Hal seperti ini tidak berlaku dalam pemerintahan dan politik Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa konsep kepimpinan yang teratur dalam Islam adalah bermula dari zaman Rasulullah saw.. Fungsi utama kepimpinan dalam Islam ialah melaksanakan syariat Allah swt.. Konsep ini dilakukan melalui hubungan antara individu dengan individu atau individu dengan kelompoknya.

Naiknya pemimpin menurut kaedah Islam ialah kerana taqwanya, ilmunya, akhlaknya, kepimpinannya dan kegigihannya. Ia dipilih atau dilantik bukan kerana ia meminta tetapi kerana kemahuan rakyat. Rakyat memerlukannya. Rakyat tahu kalau pemimpin seperti ini memimpin, mereka akan mendapat pimpinan dan didikan ke arah kebenaran dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sebab itu mereka memilihnya.

Kebanyakan pemimpin Islam terdahulu yang pernah kita baca biografi mereka, kita dapati mereka mempunyai personaliti yang menarik dan mengkagumkan, sehingga tidak dapat dibezakan antara pemimpin dan pengikut kerana sifat-sifat muslim sejati. Dengan ini konsep kepimpinan dalam Islam dirujuk kepada sesiapa sahaja yang diberikan tanggungjawab menjaga orang lain. Ini bermakna apabila terdapat dua orang atau lebih, maka salah seorang harus muncul sebagai ketua. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said dan Abu Hurairah ra.: Bahawa Rasulullah saw. telah bersabda:"Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah mereka melantik seorang daripada mereka sebagai ketua".

Perlantikan seseorang pemimpin menurut pandangan Islam, haruslah mempunyai ciri-ciri tertentu. Antaranya:
Ikhlas kepada Allah. Baginya setiap pekerjaan yang dilakukannya adalah semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.

Bijaksana dan mampu dalam menyelesaikan masalah. Menurut Abu 'Urwah, kebijaksanaan dan kemampuan pemimpin dalam menyelesaikan masalah dan mengambil keputusan yang tegas dalam pelbagai keadaan, akan menimbulkan kepercayaan dan penghargaan pengikutnya. Sebaliknya sikap teragak-agak, kabur dan tidak tegas daripada kepimpinan boleh menimbulkan keresahan, melemahkan kepercayaan pengikut dan menyebabkan hilang pengawalan ke atas mereka.

Berpengetahuan luas, wawasan yang baik dan mempunyai pandangan yang jauh dalam merangka sesuatu perancangan yang boleh membawa kemanfaatan kepada pengikutnya.

Adil. Ia harus berlaku adil dan memuaskan semua pihak dengan keputusan yang dibuat, tidak berat sebelah dan tidak mudah dipengaruhi.

Mempunyai keazaman yang kuat dan berani terhadap sesuatu hal yang dirasakan perlu dilakukan dan tidak lemah semangat.

Memiliki jiwa yang besar dan berhemah tinggi, disegani dan jelas kewibawaannya sehingga dapat mengatasi perkara-perkara yang remeh temeh dan tidak menyusahkan pengikutnya.

Sentiasa menjaga kebajikan pengikutnya, mengambil tahu permasalahan yang dihadapi mereka dan berusaha meringankan beban yang mereka tanggung.

Mudah bergaul dengan pengikutnya agar tidak wujud jurang perbezaan di antara pemimpin dan yang dipimpin.
Menurut al-Farabi, sesiapa yang mempunyai kekuatan fitrah melebihi orang lain dari segi pemikirannya, boleh menjadi pemimpin yang berkeupayaan untuk memimpin, mengajar, mendidik dan membimbing ummah ke jalan kesempurnaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. (Idris Zakaria, 1986)

Secara keseluruhannya, ciri-ciri kepimpinan yang telah diutarakan oleh Orientalis Barat adalah di ambil dari konsep kepimpinan menurut ajaran Islam. Ini menunjukkan tiadanya perbezaan yang ketara antara dua konsep kepimpinan yang telah disebutkan. Wallahua’lam.

Ibnu Zain ialah seorang pendakwah bebas dan juga AJK Pemuda PAS Negeri Perlis.