Perlis Maju 2015, Kerajaan Negeri Bentang Belanjawan Defisit
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita
KANGAR,9 Dis (Hrkh)- Dalam keadaan kekurangan sumber dan hasil, di samping mahu bergelar negeri maju menjelang tahun 2015 belanjawan yang dibentang kerajaan negeri Perlis untuk tahun 2006 mencatatkan defisit sebanyak RM43.68 juta.Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim semasa membentangkan belanjawan betemakan "Menjamin Kemajuan dan Kesejahteraan Seimbang" menyebut bahawa kerajaan Perlis sekali lagi mengambil langkah berani dengan menyediakan Belanjawan Defisit.
Kerajaan Perlis menjangkakan pendapatan sebanyak RM65.38 juta berbanding perbelanjaan mengurus sebanyak RM109.06 juta.Defisit ini lebih tinggi berbanding Belanjawan Negeri Kedah yang hanya mencatatkan defisit sekitar RM19.8 juta.
Mengulas tentang bajet ini, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin menganggap ianya sebagai perkara biasa yang memang sudah dijangka.
"Macam biasa, memang telah diduga, seperti negeri yang lain juga," jawabnya ringkas.Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang melihat secara amnya belanjawan kali ini tidak mempunyai perkara baru walaupun menggariskan tiga strategi khusus untuk pembangunan ekonomi dan sosial.
"Tiga strategi yang disebut itu hanya di atas kertas. Kita perlu melihat nanti sejauh manakah keberkesanan perlaksanaannya," katanya.
Dalam soalan lisannya, Ustaz Hashim menyentuh tentang pembayaran balik hutang kerajaan Perlis kepada kerajaan Persekutuan.
Jawapan pihak kerajaan menyebut punca kegagalan membayar balik hutang ialah aliran tunai kerajaan negei yang tidak mengizinkan.
"Walaupun mahu dibuat penstrukturan semula pembayaran balik tetapi untuk bajet kali ini pinjam lagi. Jadi bagaimana mahu mentadbir dengan baik kalau asyik menambah hutang?," soalnya.-