Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Thursday, December 29, 2005

Shahidan Mungkin Undur Diri Terajui GPMS Perlis
Petikan BERNAMA

KANGAR, 29 Dis (Bernama) -- Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim mungkin mengundur diri daripada terus menerajui Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perlis sekiranya kemelut dalam badan itu tidak diselesaikan.

Shahidan berkata beliau telah meminta Penasihat Undang-undang Negeri meneliti sama ada beliau wajar melepaskan jawatan yang disandangnya sejak empat tahun lepas.

Bercakap kepada para pemberita selepas merasmikan program "Kembali ke Sekolah" anjuran kerajaan negeri di sini, Shahidan yang ditanya sama ada langkah mengundur diri daripada menerajui GPMS Perlis sebagai langkah terbaik, berkata "saya tak mahu kena naya (aniaya)".

Hari ini media massa melaporkan bahawa Shahidan adalah antara pemimpin yang menghadapi risiko terpaksa melepaskan jawatan dalam parti jika GPMS dibubarkan.Shahidan ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis dan Ketua Umno bahagian Arau.

Menurutnya beliau menyertai GPMS setelah diminta berbuat demikian bagi menyelesaikan masalah tertentu dalam badan itu di peringkat negeri.

"Jika badan yang mengundang saya akan menyukarkan saya, sebaiknya saya mengundur diri lebih awal", katanya.Beliau juga menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan kemelut itu.

Katanya kedua-dua presiden GPMS iaitu Datuk Suhaimi Ibrahim dan Reezal Merican sepatutnya berbincang secara ikhlas mengenai masa depan badan itu.

"Saya sanggup menjadi pengantara perbincangan itu kerana saya mahu kebaikan", katanya.Ditanya mengenai kumpulan yang disokongnya, Shahidan berkata beliau bersikap terbuka tetapi menurutnya beberapa pemimpin GPMS di negeri ini menyatakan sokongan terhadap Reezal Merican.

"Itu hak mereka. Saya tak diajak ke mesyuarat. Mereka tak mahu saya hadir ketika kemelut itu", katanya.

Shahidan berkata orang yang sering hadir pada mesyuarat GPMS ialah Speaker Dewan Undangan negeri Che Sulaiman Shapie selaku Timbalan Pengerusi GPMS Perlis dan Senator Ismail Kassim yang juga anggota jawatankuasa gabungan itu.

Secara berseloroh Shahidan berkata masalah dalam badan itu mungkin selesai jika beliau menjadi presidennya kelak.