Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Saturday, December 17, 2005

Keadaan adik Nor Adilla Syikin bertambah baik
Oleh : Nikon
Kategori :Berita


Kangar 17hb Dis : Keadaan adik Nor Adilla Syikin Abdul Halim,9, hari ini bertambah baik berbanding semalam.Ketika wakil Pemuda PAS Kawasan Kangar melawat adik Nor Adilla petang tadi kelihatan murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Sri Perlis itu telah boleh makan dan minum dengan sendiri.

Menurut ayahnya Abdul Halim Ibrahim,43, Nor Adilla Syikin menunjukkan perubahan positif hari ini.Berbanding semalam, adik Nor Adilla Syikin hanya banyak berdiam diri dan menangis.Beliau yang jelas lega dengan perubahan itu menyatakan rasa syukurnya kepada Allah.

Semalam adik Nor Adilla Syikin telah dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Tuanku Fauziah,Kangar selepas dia dilaporkan didera oleh guru tuisyennya.Adik Nor Adilla Syikin juga dikatakan telah dicabut kukunya, dihantuk kepalanya ke dinding dan dipukul bertalu-talu semata-mata kerana gagal menjawab soalan tuisyen yang diberikan oleh gurunya.

Keadaan kuku yang dicabut kelihatan sudah agak kering dan tidak lagi berdarah.Badan adik Nor Adilla Syikin juga juga kelihatan agak baik walaupun masih dipenuhi dengan kesan calar dan lebam.Muka adik Nor Adilla Syikin yang menurut ayahnya telah ditekap dengan garfu panas kelihatan masih lagi berparut.Cuma matanya sahaja yang kelihatan masih lagi lebam seperti semalam.

Apabila ditanya tentang bagaimana adik Nor Adilla Syikin boleh bermalam di rumah ‘guru tuisyennya’, ayahnya menyatakan bahawa memang sudah menjadi kebiasaan anak beliau tidur di rumah itu.Kadang kala sehingga berhari-hari dan beliau tidak menaruh sebarang syak wasangka kerana mereka mempunyai hubungan jiran yang baik dengan ‘guru tuisyen’ itu.

Beliau menjelaskan lagi yang rumah mereka saling membelakangi antara satu sama lain.Antara faktor lain yang membuatkan mereka menaruh kepercayaan kepada ‘guru tiusyen’ itu ialah kebolehan dia membantu pencapaian anaknya dalam subjek matematik dan sains.

“Anak saya dari tak pandai matematik dan sains sekarang ini dah dapat nombor yang baik dalam kelas”,ujar beliau sewaktu menyatakan pencapaian anaknya itu.

Menurut beliau lagi dia agak bingung memikirkan kenapa hanya denagn kesalahan gagal menjawab soalan yang diberikan,anaknya dipukul sebegitu rupa.

“Saya rasa macam ada sesuatu yang tak kena,”kata beliau meluahkan kehairanannya.

Dia yang juga seorang peniaga turut memberikan peringatan kepada semua ibu bapa agar berhati-hati dengan kebaikan luar biasa yang dihulurkan oleh bukan Islam kepada mereka kerana mungkin ‘ada udang di sebalik batu’.

Dalam perkembangan berkaitan,Ketua Pemuda PAS Kawasan Kangar,Ustaz Yaakob Abu Seman, menyatakan rasa kesal beliau yang tidak terhingga diatas tragedi yang menimpa keluarga Abdul Halim itu.

“Pemuda PAS Kangar melahirkan rasa sedih dan kesal yang teramat sangat diatas kejadian yang menimpa saudara Abdul Halim Ibrahim sekeluarga.Kami mengharapkan agar beliau tabah dalam menghadapi ujian Allah ini.Diharap kejadian ini yang pertama dan terakhir yang berlaku.”,kata beliau dengan nada kesal.