Hiburan: Fatwa JAIPs Bercanggah Dengan Amalan Sebenar
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita
KANGAR,14 Disember (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin menegur fatwa yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) berkaitan hiburan yang bercanggah dengan amalan sebenar.Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang berkata demikian semasa berucap membahaskan Bajet 2006 Negeri Perlis baru-baru ini.
Menurut Ustaz Hashim, fatwa JAIPs tersebut sangat baik dan dalam semakannya terutama dalam internet melalui lamanweb Islam Online ianya tidaklah lari jauh.
"Tetapi pada hakikatnya apa yang berlaku adalah sebaliknya," katanya.
Fatwa tersebut antaranya menyebut bahawa sesatu persembahan yang dibenarkan ialah yang tidak bercampur lelaki dan perempuan serta pakaian yang tidak mendedahkan aurat.
"Namun, yang terjadinya tidak begitu sedangkan kita mendakwa bersungguh-sungguh mahu membawa rakyat Perlis ke syurga mengikut dakwaan Yang Amat Berhormat Menteri Besar.
"Macam mana kita keluar fatwa tetapi kita sendiri yang langgar?," soalnya.
Justru beliau berharap pihak kerajaan serta Exco kerajaan berkenaan memerhati dan berusaha memperbaiki keadaan supaya tidak berlarutan.
Selain itu Ustaz Hashim turut menegur tentang istilah Deeparaya yang digunakan sebagai sambutan bersama Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali baru-baru ini.
Beliau melahirkan rasa kebimbangannya kerana perkara yang diturunkan oleh Allah tidak boleh dicampur adukkan dengan perkara lain yang boleh merosakkan akidah.
"Hari raya Aidilfitri adalah suatu yang telah ditetapkan oleh agama dan ditentukan Allah dan menjadi suatu yang tidak boleh dicampurkan dengan yang lain," tambahnya.