Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Thursday, December 01, 2005


PM Tak Serius Untuk Menghapuskan Rasuah
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita

KANGAR, 1 Dis - Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu mengusulkan untuk menggubal Akta Rasuah di Parlimen sekiranya beliau serius untuk memerangi rasuah seperti yang sering dilaungkannya.

Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK),Ezam Mohd Noor membuat seruan demikian ketika mengadakan sidang media pelancaran GERAK di Kangar baru-baru ini.

Ezam melihat setelah dua tahun Abdullah menjadi PM, tiada satupun perubahan yang telah dibuat di sebalik laungannya yang mahu memerangi rasuah habis-habisan.

"Jeritlah dalam Perhimpunan Agung Umno atau cakap pada media, buat apa?. Dia selaku PM perlu ke parlimen untuk gubal akta rasuah agar diberikan lebih kuasa kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), itu barulah satu reformasi yang betul," katanya.

Menurut Ezam lagi, Malaysia perlu mencontohi negara jiran seperti Indonesia atau Thailand yang mempunyai akta pencegahan rasuah yang lebih baik.

"Contohnya, selepas dua bulan Habibie menjadi Presiden menggantikan Suharto, banyak pindaan akta rasuah dibuat untuk memberi ruang dan kuasa kepada BPR.Sehingga kini ramai orang besar seperti Ketua bank,gabenor dan ketua SPR telah ditangkap," katanya.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu kerajaan menerima penubuhan GERAK dengan memberikan respon yang positif sekiranya mereka
benar-benar serius mahu memerangi rasuah.

"Ini adalah satu ujian kepada kerajaan Abdullah Badawi yang mahu membenteras rasuah. Sekiranya mereka ikhlas seharusnya kita mendapat sokongan dan jika sebaliknya pula, ianya tidak lebih daripada satu gimik politik,"katanya lagi.

Selain itu, Ezam menegaskan bahawa GERAK akan turut memfokuskan tentang isu demokrasi.Menurutnya, nafas demokrasi ialah media dan dalam keadaan media yang dikongkong, rakyat sukar mendapat maklumat yang tepat.

Justeru itu, GERAK akan memberikan penekanan ke arah memberikan kefahaman kepada rakyat tentang bahaya rasuah serta perlunya mereka diberikan ruang demokrasi
yang luas.

"Bagaimana kita mahu mendedahkan isu rasuah dan penyelewengan tanpa media yang bebas? Jadi rakyat perlu difahamkan tentang pentingnya rakyat faham hak mereka dan pentingnya berjuang demokrasi," katanya.

Program pelancaran GERAK di Perlis bermula dengan pengedaran risalah kepada orang ramai di sekitar bandar Kangar dan disusuli dengan sidang media yang diadakan di perkarangan pasaraya The Store, Kangar.

Namun begitu, majlis pelancaran dan ceramah pada malamnya terpaksa ditunda ke suatu tarikh lain berikutan gangguan oleh pihak berkuasa.

Walau bagaimanapun, satu majlis ceramah ringkas tetap diadakan di hadapan kawasan perumahan bersebelahan lokasi ceramah. Ezam sendiri bersama-sama Ketua Penerangan PAS Perlis, Ustaz Yaakub Abu Seman telah memberikan ucapan.