Jangan Hilangkan Keyakinan Pelabur Dalam Tabung Haji
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita
KANGAR,1 Dis - Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din menyifatkan cadangan penyenaraian TH Plantations Bhd (THP), anak syarikat Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) di Bursa Malaysia sebagai suatu yang berisiko.
"Ianya juga boleh menggugat keyakinan penabung didalam Tabung Haji sekiranya berlaku kemerosotan atau kerugian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya THP meneruskan penyenaraiannya ke Bursa Malaysia.
Bagi Dr Haron, walaupun pada zahirnya penyenaraian ini nampak seperti ada kebaikan, tetapi dari segi masanya adalah pada waktu kebanyakan saham berada pada tahap gawat dan indeks komposit tidak mencecah 1000 mata.
"Di negara-negara ASEAN seperti di Indonesia yang dulu indeksnya lebih rendah dari kita tetapi kini lebih baik. Indeks kita pula ada petanda kemerosotan khasnya dari kegawatan ekonomi global yang memaksa Malaysia juga menghadapi masalah dan waktu itu kita senaraikan THP," tambahnya.
Dalam temuramah itu juga, beliau melahirkan kebimbangannya kerana ini akan mendedahkan Tabung Haji sendiri kepada kerugian walaupun dikatakan bahagiannya bukanlah besar sangat.
"Tetapi dengan memberi ruang kepada jual-beli dan mendedahkan kepada naik-turunnya harga maka sebarang angka tunjuk kepada kemorosotan nilai saham THP walaupun tidak banyak, ia akan menunujukkan bahwa Tabung Haji bermasalah," katanya lagi.
Dr Haron yang berpengalaman menjadi Ahli Panel Penasihat Syariah beberapa institusi kewangan melihat keyakinan pelabur adalah faktor terpenting kerana dilaburkan oleh orang-orang Islam yang berkepentingan khusus untuk menunaikan fardhu haji.
"Tabung Haji asalnya bukan berasaskan keuntungan.Kalau mahu untung, baik buat pelaburan seperti di Bank Rakyat yang memberikan keuntungan sehingga melebihi 15 peratus".
"Apa salahnya untuk membantu menaikkan ekonomi orang Melayu, kerajaan membuka peluang lagi kepada bumiputera Islam kepada pelaburan ala Bank Rakyat,"tambahnya
Baginya jangka keuntungan yang diisytiharkan oleh Tabung Haji untuk dua tahun berturut-turut pada sekitar 3.5 peratus adalah cukup rendah berbanding yang lain .
"Ini beerti keyakinan pelabur terhadap Tabung Haji sudah begitu rendah dengan kadar untung sedemikian tapi mereka tetap bertahan juga kerana ingin menunaikan haji dengan menggunakan cara tabungan," jelasnya.
Kemasukan THP ke pasaran terbuka adalah berisiko, demikian tegas Dr Haron. Baginya sekiranya boleh menaikkan keuntungan, ianya baik untuk pelabur tetapi sebarang kemerosotan akan membayangkan kelemahan pengurusan Tabung Haji.
Beliau juga merasa bimbang bila melihat kepada pelaburan yang melibatkan Bank Islam yang baginya kerugian tidak jauh daripada angka satu bilion. Ini jelas memberi suatu gambaran buruk kepada pengurusan Islam.
"Bagaimana Bank Negara boleh terlepas pandang dengan membiarkan kerugian itu terus meningkat dengan tidak meletakkan sekatan lebih awal untuk dimuhasabah sama ada kepada pegawai, sistem atau ada konspirasi ke arah memburukkan nama Bank Islam?," soalnya.
Menurut pandangan Dr Haron, sebarang risiko yang melibatkan kewangan Islam khasnya Bank Islam atau Tabung Haji hendaklah dikurangkan.Untuk itu tidak wajar baginya ia dibuka sebagai satu kaunter di bursa saham yang mendedahkan kepada risiko.
"Pengurangan risiko sedikit sebanyak memberi ketenangan kepada penyimpan. Walaupun disebut bahagiannya adalah kecil tetapi ianya tetap berisiko walau sekecil manapun. Saya anggap ianya adalah suatu risiko yang boleh membawa kepada leburnya keyakinan orang ramai terhadap Tabung Haji," tegasnya.