Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Thursday, December 29, 2005

Pendaki Everest, Moorthy@Mohamad selamat dikebumikan
Oleh: SOPI SAMAILE dan RAHMAN DAUD
Petikan Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Jenazah pendaki Everest, M. Moorthy atau nama Islamnya, Mohamad Abdullah selamat dikebumikan mengikut hukum syarak di Tanah Perkuburan Taman Ibukota di Gombak dekat sini petang ini.

Ia sekali gus mengakhiri episod tuntutan mayatnya yang disimpan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 20 Disember lalu.

Pengebumian disempurnakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang menuntut jenazah tersebut di bilik mayat HKL sebaik Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa menentukan sama ada pendaki itu seorang Islam atau tidak sebelum kematiannya.

Abang kandung Moorthy, Mohd. Hussin, 46, yang memeluk Islam bersyukur isu tuntutan mayat adiknya selesai secara baik.

Beliau meminta keluarga isteri Moorthy supaya tidak membuat tuntutan lagi kerana jenazah adiknya telah selamat dikebumikan.

``Perkara ini sudah selesai. Tidak perlu buat tuntutan lagi kerana jenazah adik saya sudah selamat dikebumikan.

``Saya harap semua pihak akur kerana mahkamah sudah buat keputusan. Jika ada lagi tuntutan, ia sia-sia sahaja,'' kata Mohd. Hussin yang tinggal di Sabah, ketika ditemui selepas pengebumian adiknya di sini.

Mohd. Hussin yang nama sebelum Islam M. Sugumaran adalah satu-satunya keluarga terdekat Moorthy yang hadir dan sama-sama menyempurnakan jenazah berkenaan.

Sejurus perintah Mahkamah Tinggi hari ini, jenazah Moorthy dimandi dan disembahyangkan di HKL kira-kira pukul 2 petang.

Jenazah itu kemudian diiringi ke Taman Ibukota dengan kawalan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta selamat dikebumikan pada pukul 2.55 petang.

Urusan pengebumian dilakukan oleh JAWI dengan bantuan Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) manakala majlis talkin dan tahlil diketuai oleh Imam Surau Al-Muhajirin Taman Selasih II, Bakri Abdul Rahman.

Kira-kira 200 penduduk sekitar turut menghadiri pengkebumian itu.

Pada 22 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan pihak yang menjaga jenazah Moorthy supaya menyerahkannya kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk dikebumikan segera mengikut agama Islam dan hukum syarak.

Isteri Moorthy, Kaliammal pula memfailkan saman pemula yang dibuat secara sebelah pihak (ex-parte) di Mahkamah Tinggi pada 21 Disember lalu untuk mendapatkan deklarasi bahawa suaminya bukan beragama Islam dan perlu dikebumikan mengikut agama Hindu.