Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, December 16, 2005

Menjamin Kelangsungan Dakwah

Oleh : Ibnu Zain
Kategori : Fikrah Pimpinan
Bahagian 1

Muqaddimah :

Salah satu kompenan yang penting dalam usaha bina dakwah Islamiah adalah rumah tangga muslim. Peranan dan fungsinya adalah perkara yang tidak dapat ditolak oleh mana-mana pihak walaupun menganut ideologi yang pelbagai. Rumahtangga yang mempunyai ciri-ciri keislaman dan diadun pula dengan tarbiah Islamiah akan menyediakan persekitaran positif dan memberikan saham dalam pembinaan diri anak-anak. Sisilah kali ini cuba membincangkan persoalan rumah tangga Islam dan kedudukannya dalam pembentukan generasi anak-anak yang bakal memikul taklif sebagai individu muslim yang sempurna.


Pandangan Islam Mengenai Pembinaan Rumah Tangga

Islam meraikan tabiat dan naluri manusia yang ingin hidup berpasang-pasangan dan kehendak untuk mendapatkan zuriat. Justeru itulah, Islam mensyariatkan perkahwinan dan menyediakan pula cara dan jalan terbaik dalam melaksanakannya. Terdapat beberapa ayat Al-Quran dan Hadis yang menerang perkara tersebut, antaranya :

ومن آيته أن خلق لكم من أنفسكم أزواجا لتسكنوا إليها وجعل بينكم مودة ورحمة, إن فى ذلك لآية لقوم يتفكرون.

قال النبى (ص) : إذا جاءكم من ترضون دينه وخلقه فأنكحوه, إلا تفعلوه تكن فتنة فى الأرض وفساد كبير.

وقال أيضا وصية للشباب : يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فتزوج, فإنه أغض للبصر واحسن للفرج........

Begitu juga Allah s.w.t menciptakan Hawa dari tulang rusuk Nabi Adam a.s sebagai meraikan naluri kemanusiaan dan bertujuan melahirkan generasi seterusnya bagi mentadbir bumi dan melakukan ubudiah kepada Allah. Penciptaan Nabi Adam sebagai khalifah Allah di atas muka bumi amat memerlukan kepada zuriat yang akan menyambung tugasan khalifah selepas kematian baginda a.s.

Penolakkan Nabi s.a.w terhadap tiga orang Rahtun membuktikan Islam menolak konsep pengabdian yang tidak meraikan naluri manusia. Selain itu Islam turut menjadikannya sebagai topik utama yang dibincangkan di dalam kitab-kitab Feqh dalam bab Munakhahat dan sering diperbahaskan oleh para ulama dari semasa ke semasa.

Hikmah Disyariatkan Pernikahan

Di antara hikmah yang boleh disimpulkan dalam perkara yang berkaitan dengan pernikahan ialah :

1. Tabiat manusia yang suka hidup dalam masyarakat dan jamaah. Maka pernikahan adalah wasilah terbaik dalam melahirkan perkumpulan masyarakat tersebut.

2. Naluri manusia yang suka berpasang-pasangan.

3. Menjaga nasab dan keturunan untuk menjadi khalifah Allah di atas muka bumi.

4. Menjaga akal dan keharmonian alam.

5. Menghasilkan perkara yang dihalalkan oleh Islam dan menolak perkara yang terkeji seperti penzinaan, homoseksual, lesbian, liwat dan sebagainya.

6. Menjaga kehormatan dan kemuliaan wanita.

Matlamat dan halatuju perkahwinan dalam Islam

Berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah, terdapat beberapa tujuan penting dalam pembentukkan rumah tangga muslim, iaitu :

1. Mendirikan syariat Allah dalam segala urusan rumah tangga. Sabda Nabi s.a.w :

كل مولود يولد على الفطرة......................ألخ

2. Mewujudkan ketenteraman dan ketenangan jiwa dan roh. Firman Allah s.w.t :


ومن آيته أن خلق لكم من أنفسكم أزواجا لتسكنوا إليها وجعل بينكم مودة ورحمة, إن فى ذلك لآية لقوم يتفكرون.

Imam Al-Qurtubi telah menaqalkan komentar Ibnu ‘Abbas mengenai Mawaddah yang dijelaskan sebagai “cinta kasih seorang lelaki kepada isterinya”, manakala kalimah Rahmat pula dijelaskan sebagai
“rahmat suami kepada isteri agar isterinya tidak menderita atau mengalami kesusahan”. Di sini dapat disimpulkan bahawa pembentukkan rumah tangga muslim itu diikat dan diasaskan oleh sifat mawaddah dan rahmah.

Suasan rumah tangga yang dibina di atas dasar cinta dan kasih sayang yang suci akan mententeramkan serta memberikan ketenangan pada jiwa dan roh dalam kehidupan pendakwah. Tiada contoh yang terbaik yang dapat ditonjolkan melainkan binaan utuh rumah tangga Rasulillah s.a.w bersama dengan Saidatina Khadijah r.a, terutama ketika menghadapi kesulitan, tekanan dan pelbagai pancaroba.

Anak-anak yang dibentuk dalam suasana mawaddah dan rahmah akan menghasilkan peribadi yang cemerlang, yakin diri, tenteram, kasih sayang, bahagia serta mampu berhadapan dengan masalah dengan bekalan ilmu dan penerapan nilai-nilai Islam yang diterapkan oleh ibu bapa.

3. Membanyakkan umat Rasulillah s.a.w dengan melahirkan anak-anak yang soleh sehinga umat manusia merasa bangga dengan kehadiran umat tersebut.

4. Memenuhi keperluan cinta dan kasih sayang anak-anak. Ketidak seimbangan atau ketandusan kasih tersebut akan menyebabkan berlakunya penyimpangan akhlak dan perilaku pada anak-anak.

Justeru itulah, matlamat Islam dalam pembinaan rumah tangga bukanlah semata-mata untuk melampiaskan nafsu manusia semata-mata, tetapi mempunyai kaitan yang rapat dengan matlamat ubudiah kepada Allah s,w.t. Matlamat inilah yang tidak difahami oleh sebilangan besar manusia, bahkan individu muslim sendiri, sehingga ada yang menolak konsep poligami yang diharuskan oleh Islam.

Poligami yang diharuskan dalam Islam bagaimanapun tidak boleh dijadikan hujah oleh gologan lelaki untuk berkahwin lebih dari seorang, sekiranya tidak mempunyai kemampuan dan kelayakkan yang secukupnya.


Perlaksanaan Pendidikan Islam Dalam Rumah Tangga Muslim.

Salah satu ciri penting yang membezakan rumah tangga muslim dengan rumah tangga bukan muslim ialah pelaksanaan pendidikan Islam yang diterapkan oleh ibu bapa di dalamnya. Para pendakwah dituntut supaya memberi perhatian serius mengenai perkara itu. Anggota keluarga yang tidak mendapat pendidikan Islam atau yang lebih parah lagi jika pendidikan mereka terus terabai, mereka bukan sahaja tidak mampu menyambung perjuangan Islam tetapi mungkin menjadi penghalang dan membantutkan perjuangan tersebut.

Pendidikan anggota keluarga dimulakan dengan pendidikan isteri. Pendidikan ini bermula dengan pemilihan yang dibuat diatas dasar keimanan dan keislamannya. Pendidikan isteri perlu diberikan perhatian kerana isteri memainkan peranan yang paling besar dalam pendidikan anak-anak. Anak sulung pula merupakan tumpuan kedua selepas isteri kerana isteri dan anak sulung ( bapa juga tidak terkecuali ) merupakan qudwah ( contoh teladan ) kepada anak-anak yang lain. Seandainya pendidikan isteri dan anak sulung terabai mereka tidak mungkin mampu menjadi teladan yang baik kepada anggota yang lain di dalam keluarga.


Kaitan Antara Matlamat Dan Wasilah Dalam Pembinaan Baitul Muslim

Walaupun matlamat perkahwinan adalah merupakan perkara yang murni dan terpuji di syariat Islam, namun Islam tidak pernah meminggirkan wasilah sebagai faktor pendorong dalam menjayakannya. Pemilihan calon isteri dan suami yang bertepatan dengan kehendak Islam menjadi faktor terbesar dalam perlaksanaannya. Faktor-faktor lain seperti Kafaah, Khitbah dan lain-lain yang dianggap sebagi wasilah perlulah ditekankan oleh seseorang individu supaya matlamat yang diharapkan dapat direalitikan.

Dasar inilah yang tidak kedapatan di dalam agama yang lain, bahkan terdapat seruan yang membataskan pencapaian matlamat semata-mata tanpa mengambil kisah dalam masalah wasilah. Matlamat menghalalkan cara yang menjadi siasah Machievali sering diguna pakai oleh sebilangan besar manusia yang nyata tidak diterima oleh Islam. Falsafah inilah yang dipraktikan oleh dunia barat, sehingga menyebabkan lahirnya masalah sosial yang tidak terkawal dan menyebabkan berlakunya gejala keruntuhan moral dan etika di kalangan generasi muda. Pendekatan yang murni dengan gabung jalin matlamat dan wasilah yang salimah akan diberikan rahmat dan keberkatan dari Allah s.w.t.Wallahua'lam


(Ibnu Zain ialah seorang pendakwah bebas dan AJK Pemuda PAS Perlis)