Kategori : Berita
KANGAR: Seorang kanak-kanak perempuan cedera hampir seluruh badan dengan kedua belah kakinya ada kesan dikelar, manakala kedua-dua matanya lebam, dipercayai didera guru tuisyen.
Nor Adilla Syikin Abdul Halim, 10, dipercayai dipukul menggunakan rotan, ditumbuk dan dikelar dengan objek tajam pada kedua-dua kakinya kerana gagal menjawab soalan yang diberi guru tuisyen itu.Pipi murid Tahun Tiga Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Seri Perlis di sini itu, juga ada kesan dicakar, celah jarinya luka dan kuku jari kaki kanan kanak-kanak itu pula tercabut.
Kanak-kanak itu menerima rawatan di wad kecemasan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) selama beberapa jam, sebelum dipindahkan ke wad kanak-kanak kira-kira jam 10 malam, kelmarin.Susulan kejadian itu, polis menahan reman seorang wanita berusai 54 tahun dan anak perempuannya berumur 15 tahun selama lima hari mulai semalam, bagi membantu siasatan.Kedua-duanya ditahan di rumah mereka di Taman Perlis, kira-kira jam 2.30 pagi semalam selepas polis menerima laporan yang dibuat bapa kanak-kanak terbabit.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Yusof Mohd Diah, berkata wanita dan anak perempuannya itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
"Anak wanita ini juga ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai turut terbabit dalam kes ini," katanya.
Dikatakan, wanita terbabit tidak mempunyai pengalaman dalam bidang perguruan tetapi menganjurkan tuisyen di rumahnya secara persendirian bagi subjek Matematik dan Bahasa Inggeris untuk murid sekolah rendah.
Bapa kanak-kanak itu, Abdul Halim Ibrahim, 43, berkata, anaknya mengikuti tuisyen dengan wanita berkenaan sejak dua tahun lalu dan sering bermalam di rumah wanita itu.
"Hubungan kami dengan wanita ini amat baik malah beliau menganggap Nor Adilla Syikin seperti anak angkat walaupun kami berlainan agama dan bangsa," katanya.
Beliau berkata, sebelum kejadian itu, Nor Adilla Syikin bermalam di rumah wanita berkenaan yang terletak di sebelah rumahnya, Rabu lalu dan kira-kira jam 8 malam, guru tuisyen itu menelefon mereka memberitahu Nor Adilla Syikin tidak mahu pulang.
Abdul Halim berkata, kira-kira jam 4.45 petang kelmarin, anaknya melarikan diri ke rumah datuknya di Taman Kemajuan, bersebelahan Taman Perlis dengan kesan luka hampir di seluruh badan.Beliau yang bekerja sebagai tukang masak di Mata Ayer kemudian mengambil anaknya itu untuk membuat laporan polis sebelum menghantar ke HTF untuk mendapatkan rawatan di wad kecemasan.
Ketika ditemui di HTF selepas mendapat rawatan di wad kecemasan, Nor Adilla Syikin dalam keadaan lemah dan kedua-dua matanya tidak dapat dibuka luas kerana bengkak kesan lebam dipercayai ditumbuk.
Ibunya, Rohana Mat Isa, 31, pula tidak henti-henti menangis melihat keadaan anak sulung dari dua beradik itu. Nor Adilla Syikin hanya menangis apabila dihampiri media.
Abdul Halim berkata, sebelum ini anaknya pernah mengadu dirotan wanita berkenaan tetapi menganggap tindakan itu biasa bagi seorang guru untuk mengajar muridnya.
(Petikan Berita Harian)