Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Thursday, December 01, 2005

PAS Perlis Anjur Majlis Berkhatan Beramai-Ramai
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita

KANGAR, 1 Dis (Hrkh)- Jabatan Khidmat Masyarakat (JKM) PAS Perlis akan mengadakan majlis berkhatan beramai-ramai secara percuma pada 11 Disember ini.Setiausaha JKM Pas Perlis, Hairy Hashim ketika dihubungi Harakahdaily menjelaskan bahawa program tahunan ini adalah untuk kali yang ke-10 dan akan diadakan di Markas Tarbiyah PAS Perlis, MADI, Kampung Jejawi Dalam.

"Seperti tahun-tahun terdahulu kita menjalankan program ini bersempena musim cuti sekolah. Pada tahun ini kita mensasarkan seramai 75 orang peserta," katanya.

Menurut Hairy lagi, program tahun ini diserikan lagi dengan kehadiran petugas dan doktor dari Pasukan Perubatan Islam (PPI) yang dikelolakan oleh Dewan Pemuda PAS Kedah.Selain majlis berkhatan, pelbagai program lain turut dijalankan.

Dewan Pemuda PAS Perlis melalui Lajnah Belia dan Sukannya akan menganjurkan pertandingan bola sepak bagi memilih pasukan yang layak untuk ke pertandingan Piala Ketau Dewan Pemuda PAS Pusat.

Seperti tahun-tahun yang lepas, program aqiqah juga diadakan pada tahun ini. Mana-mana pihak yang ingin menyertai program ini boleh berbuat demikian dengan harga satu bahagian ialah RM260.00. Bagi yang berminat boleh menghubungi Haris (013-4533591)
.
Turut diadakan ialah majlis ceramah penerangan oleh kepimpinan PAS pada malamnya bertempat di Balai Islam MADI.

Dalam perkembangan yang lain, Hairy turut melahirkan rasa kesal dengan keputusan kerajaan negeri Perlis yang turut mengadakan majlis yang sama pada tarikh tersebut.

"Mereka sanggup mengubah tarikh ke hari tersebut dengan usaha untuk menghalang orang menyertai program anjuran kita dan berpindah ke program mereka. Ini dilihat sebagai usaha untuk menyekat pengaruh PAS dalam negeri ini," jelasnya.