Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Saturday, December 24, 2005

Pengebumian Moorthy ditangguh
OPAT RATTANACHOT
Petikan Utusn Malaysia

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Pengebumian secara Islam jenazah pendaki Gunung Everest, M. Moorthy @ Mohamad bin Abdullah, 36, yang dijadualkan hari ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Tinggi Sivil, Datuk Abdul Malik Ishak semalam menetapkan saman pemula balu Moorthy, S. Kaliammal disebut di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada 29 Disember ini.

Berikutan keputusan terbaru itu, persiapan untuk membawa keluar jenazah Moorthy menuju ke Masjid Khalid Al-Walid, Jalan Semarak bagi disolat sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Danau Kota, di sini terpaksa dibatalkan.

Sebelum keputusan itu diumumkan, ahli keluarga Moorthy yang berada di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak pukul 7 pagi untuk menuntut jenazah dilihat kecewa dan terus keluar apabila mengetahui Moorthy akan dikebumikan secara Islam.

Semasa berjalan keluar bersama peguam, A. Sivanesan kira-kira pukul 11.30 pagi, seorang lelaki dipercayai ahli keluarga menjerit meminta jurugambar berhenti merakam wajah isteri Moorthy, S. Kaliammal.

Reaksi lelaki itu menyebabkan kira-kira 500 orang awam yang berkumpul di luar bilik mayat salah faham sehingga menimbulkan sedikit kekecohan yang mengundang campur tangan polis.
Pada masa yang sama, beberapa pegawai termasuk Pengarah HKL, Dr. Azmi Sharif; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Ismail Jamaludin; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Che Mat Che Ali dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Kamal Pasha Jamal dilihat masuk ke bilik mesyuarat Jabatan Forensik HKL.

Setengah jam kemudian, seorang pegawai polis memanggil pemberita serta wakil ahli keluarga Moorthy masuk ke bilik mesyuarat berkenaan untuk mengumumkan yang upacara pengebumian terpaksa ditangguhkan.

Menurut Dr. Azmi yang mewakili sidang mesyuarat, setelah mengadakan perbincangan dan memikirkan kepentingan bersama, semua pihak bersetuju untuk menangguhkan urusan pengebumian Moorthy mengikut Islam ke satu tarikh baru.

``Sebagai pegawai penjaga HKL, saya dinasihatkan supaya menunggu keputusan muktamad daripada pihak berkuasa sehingga satu tarikh yang belum ditetapkan.

``Ini bermakna jenazah Moorthy kini masih disimpan di bilik mayat HKL,'' katanya.
Sementara itu, Muhammad Ismail berkata, selaku wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM), beliau memberi jaminan kepada semua pihak bahawa jenazah Moorthy tidak akan diusik sehingga keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

``Dengan keputusan awal ini, saya berharap semua pihak dapat bersabar dan menyelesaikan perkara ini secara baik.

``Saya juga meminta kerjasama semua pihak supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi sehinggalah perkara ini diputuskan oleh mahkamah,'' katanya.

Dalam pada itu, Che Ahmad berkata, pihaknya akur dengan arahan terbaru pihak berkuasa dan meminta semua pihak menunggu keputusan yang diumum kelak.

Moorthy meninggal dunia akibat penyakit cervical sick selepas terjatuh ketika latihan somersault di Kem Sungai Udang, Melaka pada 14 Ogos 1998.

Ekoran itu, dia lumpuh dan terpaksa menggunakan kerusi roda dan sebulan lalu, beliau dikhabarkan koma setelah terjatuh dari kerusi rodanya dan meninggal dunia di HKL Selasa lalu.
Bagaimanapun, berita kematian pendaki Gunung Everest itu telah menimbulkan kekecohan apabila mayatnya menjadi rebutan antara keluarga dan pihak Jawi.

Semalam, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memerintah pihak yang menjaga jenazah Moorthy supaya menyerahkannya kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk dikebumikan segera mengikut Islam dan hukum syarak.

Sama-samalah kita berdoa agar Mohammad dapat dikebumikan dengan cara Islam.