Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Monday, April 09, 2007

Sikap Umno, parti Islam terbesar dunia terhadap Resolusi Gerakan

Petikan Malaysia Today
Oleh Zulkifli Mohamed

KEPALA BATAS: Dewan Pemuda PAS Kawasan Kepala Batas (DPPKKB) mencabar Pemuda Umno menyatakan pendirian mereka berhubung resolusi yang diluluskan oleh Gerakan Wilayah Persekutuan, 1 April lalu, yang antara lain menggesa Mufti Perak dipecat.

“Umno yang sering melaung-laungkan partinya sebagai parti Islam yang terbesar di dunia harus menentang usul tersebut dan bertindak ke atas Gerakan.

“Jika tidak, tidak ada gunanya Umno memegang teraju Barisan Nasional (BN) kalau kuasa yang ada pada Raja-raja Melayu dan hak umat Islam gagal dipertahankan,” kata Ketua Penerangannya Nursuzriman Mohamed.

Malah, katanya pihaknya juga amat kesal dengan sikap berdiam diri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berhubung perkara ini.“Dato’ Seri Abdullah dilihat sebagai amat lemah, manakala Gerakan sendiri sudah 'besar kepala' dan semakin biadap terhadap umat Islam malah kepada Perdana Menteri sendiri.

“Ini bukan kali pertama Parti Gerakan membuat kenyataan seperti ini kerana Presidennya pernah membuat kenyataan supaya pendidikan agama Islam tidak diajar di sekolah,” katanya.

Tambahnya, keberanian Parti Gerakan bertindak biadap dengan menghina institusi Islam jelas berpunca daripada Umno sendiri.“Umno bukan sekadar memandang ringan kerisauan umat terhadap pelbagai isu yang melanda, khususnya isu murtad, malah merekalah juga yang memperlekehkannya.

”Berhubung resolusi tersebut, Suzriman berkata pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Parti Gerakan itu.Katanya tindakan tersebut telah menghina institusi beraja di negara ini.

“Mereka telah bertindak liar dan melampaui batas dengan cuba menasihati Sultan berhubungan masalah umat Islam,” ujarnya.

Gerakan katanya tiada hak untuk mendesak Raja-raja untuk memecat Mufti Perak.

“Resolusi itu dilihat sebagai ancaman kepada perpaduan kaum yang kini semakin carik angkara hasutan dan provokasi pihak-pihak tertentu yang dengki dan irihati terhadap hak keistimewaan orang Melayu dan Islam yang telah diperuntukan dalam Perlembagaan Malaysia.

“Apakah hak Parti Gerakan untuk campur tangan dalam urusan agama Islam? soalnya dalam kenyataan medianya kepada Malaysia Today.

Menurutnya, DPPKKB berpendapat sikap biadap tersebut sebagai tanda Parti Gerakan tidak menghormati sensitiviti umat Islam.

Kerajaan, katanya sehingga kini gagal mengambil sikap yang jelas kerana mereka meletakkan kepentingan politik melebihi kepentingan agama.

“Jangan nanti kerana takut hilang undi atau hilang pengaruh akhirnya yang akan cedera dan parah adalah agama dan kepercayaan kita. “Jelas di zaman Islam Hadhari ini keunggulan Islam semakin terhakis dan diragui,” ujarnya.

"Pembangkang jadian" di Dun Perlis

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 7 April - Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis kelmarin dihangatkan dengan penggunaan istilah "pembangkang jadian" oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, ustaz Hashim Jasin (PAS-Sanglang).

Istilah tersebut merujuk kepada wakil penyokong kerajaan Dato' Loh Yoon Foo (BN-Titi Tinggi) yang bercakap dengan nada seperti seorang wakil pembangkang.

Ustaz Hashim menggunakan istilah tersebut dalam muqaddimah ucapannya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan.

"Saya berasa bangga hari ini kerana mempunyai seorang kawan baru yang merupakan "pembangkang jadian"," katanya.

Walaupun tidak diterima ramai termasuk Loh sendiri, namun realitinya sidang Dun kelmarin membuka mata para hadirin dengan isu yang dibawa oleh Loh.

Pada sesi soalan-soalan lisan, Loh menanyakan mengapa tempoh persidangan Dun Perlis semakin pendek dan padanya ini akan menyulitkan wakil rakyat untuk menjalankan tugas dan menafikan peluang untuk menyuarakan suara rakyat dengan sempurna.

Beliau juga ingin tahu adakah patut wakil rakyat diberikan masa yang singkat untuk berucap dan sering ditegur tentang masa berucap oleh speaker.
Dalam ucapannya juga, Loh turut bertikam lidah dengan Exco kerajaan negeri, Dato' Abu Bakar Ismail (BN-Pauh) berkaitan isu bantuan kebajikan bulanan kepada Rumah Sejahtera Kaki Bukit yang dibatalkan.

Halwa Perlis siap sedia hadapi pilihan raya umum ke-12

KANGAR, 4 April - Halwa negeri Perlis bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum yang ke-12 dengan ikrar menumpukan seluruh tenaga untuk merealisasikan cita-cita parti.

Hampir 600 peserta yang mewakili setiap Dun dari seluruh negeri Perlis berjaya dihimpunkan di dalam Konvensyen Halwa yang julung kali dianjurkan baru-baru.


Majlis yang berlangsung di Medan Tafaqquh, Balai Islam MADI dekat sini telah di rasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.

Dalam ucapannya, Ustaz Hashim mengingatkan para peserta agar menghayati doa redha kepada Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai Nabi dan Rasul sebagai asas perjuangan.

"Jadikan doa yang sering kita baca ini sebagai asas kepada gerak kerja jemaah yang kita dokongi ini. Bila kita redha dengan ketiga-tiganya, kita kena bangga menjadi seorang ahli PAs dan pejuang Islam.

"Jangan jadi golongan yang rugi iaitu mereka yang tidak menggabungkan diri dalam jemaah yang berjuang untuk menentang kemungkaran," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Mariah Mahmud turut hadir sebagai undangan khas bagi mengisi sesi motivasi kepada para peserta.

Beliau yang juga Ketua Halwa Pusat mengingatkan para petugas Halwa agar tidak kecewa dan berputus asa dalam perjuangan walaupun tidak mendapat kemenangan.

"Dalam perjuangan ini ada pasang surutnya, jangan kita merasa kecewa dan berputus asa kerana kita berkerja bukan untuk masa ini sahaja tetapi untuk jangka masa yang panjang.
Oleh itu buat kerja dari sekarang, jangan tungu masa piihan raya baru nak mula bekerja," sarannya.

Beliau menggesa para peserta agar bijak mengurus diri dan rumah tangga walaupun sibuk dengan kerja-kerja parti.

"Kita kena atur jadual kerja dan berikan tumpuan kepada kerja-kerja mengikut kategori kepentingan. Utamakan yang penting dan yang segera dahulu," katanya.

Turut hadir dalam proram in ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Perlis, Ustazah Sarah Rejab selaku Penasihat Halwa dan Pengarah Jabatan Pilihan raya Negeri Perlis, Haji Abdul Karim Mat Rejab

Kerajaan Umno/BN Perlis gagal bendung penyakit sosial

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 27 Mac - Kerajaan Umno yang memerintah negeri ini sekali lagi dibuktikan gagal untuk membendung gejala tidak sihat khususnya di kalangan remaja.

Harian Metro hari ini mendedahkan wujudnya gejala tidak sihat seperti meminum minuman keras, pergaulan bebas dan menghidu gam yang berlaku di dalam kawasan semak berhampiran Pantai Sungai Baru dekat sini.

Laporan tersebut menyebut kawasan semak berkenaan dijadikan "Pub Haram" dan digunakan oleh "Mat Motor" setiap malam sebagai tempat menjalankan aktiviti yang tidak bermoral.

Ketua Penerangan PAS Perlis, Ustaz Yaakub Abu Seman melihat kejadian ini sebagai satu kegagalan kerajaan untuk mendidik rakyat khususnya golongan belia dengan pengisian ilmu yang boleh membendung gejala sedemikian.

"Jiwa mereka kosong, jadi mereka memilih untuk mengisinya dengan pelbagai aktiviti yang tidak sihat sebegini. Gejala seperti perlu dibendung dengan segera," katanya.

Tambahnya lagi, penjualan minuman keras secara terbuka di pasaraya dan kedai 24 jam di negeri ini memudahkan sesiapa sahaja termasuk muda-mudi Islam untuk membelinya.

Justeru beliau menyarankan agar kerajaan mengharamkan penjualan minuman keras secara terbuka sepertimana yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kelantan.

"Ambil contoh di Kelantan, penjualan arak secara terbuka diharamkan kecuali bagi premis-premis tertentu yang dibenarkan dan dengan kawalan.

"Kerajaan juga perlu menyuburkan budaya ilmu di negeri ini. Rakyat peru diberikan ilmu tentang Islam secukupnya agar mereka faham dan tahu mana yang halal, mana yang haram, dosa, pahala, syurga dan negara," sambungnya lagi.

Friday, March 23, 2007

FTA mampu gugat akidah, kedaulatan Islam



Petikan Harakahdaily
SIMPANG EMPAT- Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat (AS) bukan sahaja dilihat sebagai satu bentuk baru penjajahan ekonomi tetapi juga penjajahan ke atas akidah dan kedaulatan Islam.

"FTA yang mahu dilaksanakan antara Malaysia dengan AS bakal menyaksikan kemasukan pelbagai unsur. Selain barangan, AS juga akan mengeksport masuk budaya dan cara hidup mereka ke negara ini yang boleh mengugat moral dan akidah rakyat di negara ini khususnya umat Islam," demikian jelas Exco Dewan Pemuda PAS PUsat, Ustaz Zolkharnain Abidin.

Katanya, banyak perkara yang perlu dikaji oleh kerajaan seperti makanan halal, gaya hidup dan budaya yang bakal dibawa masuk ke negara ini sebelum menandatangani FTA .

Menurutnya lagi, selain pelbagai unsur yang dibawa masuk ke negara ini, FTA juga mampu menggugat kedaulatan negara sehinggakan perlembagaan negara boleh diubah sekiranya ada percanggahan dengan FTA.

Justeru beliau meminta pihak berkuasa agama khususnya para mufti untuk mengeluarkan fatwa berkaitan FTA yang mampu mengancam akidah umat Islam.

"Fatwa ini akan dijadikan garis panduan kepada kerajaan sebelum perjanjian ini dibuat," katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Zolkaharnain menyeru agar kerajaan negeri Perlis supaya serius dalam melaksanakan As-Sunnah sejajar dengan apa yang dibawa oleh Nabi s.a.w.

Katanya, Mingu As-Sunnah Kebangsaan yang berlangsung baru-baru ini di Perlis perlu diadakan dengan tujuan untuk meninggikan syiar Islam berdasarkan Al-Qurandan As-Sunnah dan bukannya dengan tujuan lain seperti mencari kepentingan ekonomi.

"Jika mahu buat Sunnah buat sungguh-sungguh, kalau mahu lawan bidaah lawan sungguh-sunguh. Antara bidaah yang besar ialah Islam Hadhari," tegasnya.

Beliau melihat Islam Hadhari yang dipelopori Umno itu gagal untuk merubah masyarakat menjadi lebih baik dan gagal pula meruntuhkan jahiliyah.

Sebagai contoh katanya, kes Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah dan Timbalan Menteri Keselamatan dalam Negeri baru-baru ini jelas membuktikan bahawa kerajaan Islam Hadhari gagal membendung masalah rasuah dan penyelewengan di dalam negara ini.

"Berbeza dengan Islam yang dibawa Rasulullah yang mampu merubah masyarakat. Jahiliyah zaman itu adalah satu masyarakat yang cukup teruk tetapi mampu diubah menjadi umat yang terbaik.

"Contoh yang lain ialah di Kelantan. Tok Guru yang memimpin kerajaan telah berjaya membawa banyak perubahan kepada rakyat di sana," jelasnya.

Justeru katanya, pihak berkaitan seperti Mufti Perlis diminta juga membuat fatwa berkaitan Islam Hadhari bagi memperjelaskan kekeliruan di dalam masyarakat.
"Kita lihat munkar, jenayah dan penyelewengan terus berleluasa. Umno/BN gagal daulatkan Islam dan tidak mampu memberikan kebajikan kepada rakyat, inikah yang dinamakan Islam Hadhari?" soalnya.

Sekitar Majlis Makan Malam bersama Presiden PAS dan Pelancaran Dana Pilihanraya PAS Perlis





Oleh Bashir Ishak
ARAU- Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis melalui Jabatan Pilihanraya Negeri (JPN) telah melancarkan DanaPilihanraya Umum ke 12 baru-baru ini.

Majlis pelancaran dana ini telah disempurnakan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bertempat diDun Guar Sanji dan telah dihadiri kira-kira dua ribu orang.

Program bermula dengan majlis makan malam bersama pemimpin yang disusuli dengan ceramah umum kemudiannya.

Selain Tuan Guru, turut berceramah ialah Pengarah JPN Perlis, Haji Abdul Karim Mat Rejab dan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.

Sebelum berceramah, sebagai simbolik pelancaran dana ini, Tuan Guru telah menerima sumbangan untuk tabungpilihanraya bagi pihak JPN Perlis.Sumbangan ini telah disampaikan oleh PAS Cawangan Kubang Paya dan dua orang indiviu yang merupakan ahli perniagaan.

Presiden PAS ziarahi Ustaz Ahmad Ali


Oleh Bashir Ishak

ARAU - Dalam kunjungannya ke program ceramah di Perlis baru-baru ini, Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang sempat menziarahi Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Ahmad Ali yang sedang sakit di rumahnya.

Ustaz Ahmad yang dimasukkan ke hospital akibat serangan angin ahmar beberapa minggu lalu kini sedang berehat dan menjalani terapi di rumahnya di Jalan Kolam Air dekat sini.

Tuan Guru menluangkan masa kira-kira sejam bersama Ustaz Ahmad untuk bertanya khabar serta berbual tentang pelbagai topik termasuk perkembangan politik semasa.

Selain itu, mereka turut berkongsi pengalaman tentang pengubatan penyakit angin ahmar serta petua-petua perubatan tradisional berkaitan penyakit tersebut.

Islam Hadhari sesat dan menyesatkan - Presiden PAS


Petikan Harakahdaily

ARAU - "Saya berani katakan bahawa ianya sesat walaupun Pak Lah telah memberikan amaran agar tidak diperlekehkan. Saya dah tulis buku yang sudah dicetak tiga empat kali tapi sehingga kini kerajaan Umno tak jawab lagi. Mereka juga tidak menjawab cabaran PAS untuk bermuzakarah secara ilmu."


Demikian pernyataan tegas Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang semasa berceramah di Guar Sanji dekat sini sempena pelancaran Dana Pilihan raya PAS Perlis baru-baru ini.


Menurutnya lagi, membesarkan perkara-perkara khilafiyah dalam masyarakat pada zaman ini adalah kerja-kerja yang boleh merosakkan Islam.


Katanya, perkara-perkara khilafiyah dalam agama ini adalah benda lama yang sudah ada sejak zaman para sahabat, tabiin dan imam mazhab yang mana mereka tidak pernah bertelingkah dalam perkara furuk atau cabang.


"Tapi mereka tidak berbalah dalam perkara furuk kecuali masalah pokok. Inilah dia orang Islam berbalah bab talqin, qunut, sapu muka tapi arak dan judi dibenarkan, hudud dan khisas tak laksana.


"Dan dibiarkan orang tak tutup aurat. Tak apa wanita baca warta berita kepala tak tutup tapi mula dengan Assalamualaikum. Salam tu sunat, buat yang sunat tingal wajib, kenapa tak ditegur yg ini?" soalnya.


Katanya lagi, Islam Hadhari merupakan satu ajaran menyeleweng yang memang sesuai dengan Umno kerana perlaksanaannya hanya dipandu mengikut kehendak mereka sendiri.


"Saya berani katakan bahawa ianya sesat walaupun Pak Lah telah memberikan amaran agar tidak diperlekehkan. Saya dah tulis buku yang sudah dicetak tiga empat kali tapi sehingga kini kerajaan Umno tak jawab lagi. Mereka juga tidak menjawab cabaran PAS untuk bermuzakarah secara ilmu," katanya.


Menurutnya, pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan pemimpin Umno itu bercelaru dan tiada unsur tiada amar makruf dan nahi munkar.
"Masa dia mahu Islam mereka baca Al-Quran,baca doa dan bila tak mahu dia buat ikut suka, semua jadi celaru," ujarnya.


Beliau juga mengulangi penegasannya tentang istilah Islam Hadhari yang tidak kena pada penggunaannya.


"Hadharah adalah tamadun. Tamadun perlu ikut Islam, Hadharah Islamiyah ialah tamadun ikut mengikut Islam, Islam hadhari pula Islam kena ikut tamadun, jadi celaru tak tahu betul salah," jelasnya.


Baginya, pendekatan Islam Hadhari hari inilah yang membiarkan umat Islam berbalah tentang perkara-perkara khilafiyah.


"Dia biar orang Islam berbalah bab khilafiyah. Tak jadi masalah perkara ini kerana memang dia suka,"katanya lagi.


Beliau memberikan contoh bagaimana zaman pemerintahan British perintah dulu, masyarakat dibiarkan berbalah perkara-perkara furuk sedangkan yang memrintah negeri adalah penjajah.


"Masa tu tak ada mikrofon untuk azan jadi digunakan beduk untuk memberitahu waktu solat, ada yang kata boleh ada yang kata bidaah. Bergaduh bab beduk negeri orang putih perintah!" katanya.


Menurut Tuan Guru, Islam memnyuruh kita mengambil pendekatan menyedarkan rakyat. Jadi, PAS dan parti Islam yang lain mengambil pendekatan demokrasi yang membolehkan kebebasan bercakap, bersuara, menegur serta mengkritik dan mengajak orang.


"Walaupun ada sekatan dan penipuan, kejayaan mengajak orang kepada Islam secara memujuk dan memberi penjelasan yangg difahami adalah lebih afdhal dari jalann lain. Sebab itu PAS memasuki pilihanraya kerana ia adalah saluran terbaik untuk menyedarkan rakyat walaupun perlaksanaanya tidak betul," tegas beliau.


Menurutnya, tanggungjawab yang perlu dipikul sekarang ialah mengajak orang Islam kembalikan pemerintahan Islam dan kedaulatan Islam sepertimana yang dilakukan ulama terdahulu untuk menubuhkan PAS untuk mengajak umat Islam berjuang melalui jalan demokrasi.


"Kita buat perubahan, kita bentuk kerajaan yang dipilih dengan sokongan rakyat dan menjadi tanggungjawab kita orang Islam untuk tunjuk kepada orang bukan Islam cara pemerintahan Islam,"katanya.


Baginya, Umno tidak mampu menunjukkan contoh yang baik di dalam pemerintahan sedangkan dalam pemerintahan sesebuah negeri ada cara Islamnya.


"Kita orang Islam kena tunjuk kebaikan dan keadilan Islam. Umno yang taja Islam Hadhari menunjukkan contoh yang memalukan Islam. Cara Hadhari ni orang Islam pening, orang bukan Islam tak faham," katanya lagi.


Majlis pelancaran dana pilihan raya PAS Perlis ini diadakan di rumah seorang aktivis PAS, Abi Jamrah Ismail. Selain ceramah, turut diadakan majlis makan malam bersama pemimpin di tempat yang sama.

Tuesday, March 13, 2007

Mufti Perlis Jadikan Peraturan Islam Diperlekeh

Petikan Tranungkite Online

Oleh alhusseyn
"Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin telah mengumumkan keputusan Majlis Fatwa Negeri Perlis keatas larangan menukar nama kepada bin atau binti Abdullah dan kewajiban mengekalkan nama bapa atau keturunan .

“ Orang bukan Islam yang mahu memeluk agama Islam wajib mengekalkan nama bapa atau nama keturunannya pada dokumen pengenalan masing-masing apabila memeluk agama Islam.”

“Bagi saudara baru Islam pula yang telah mengubah nama kepada bin atau binti Abdullah, mereka hendaklah menukarkannya semula kepada nama asal bapa atau keturunan masing-masing.” – Demikian antara pernyataan Mufti Perlis yang telah dilaporkan oleh akhbar-akbar tempatan.

Penguatkuasaan tersebut telah menimbulkan riaksi yang tidak memihak terhadap tindakan yang diambil oleh MFP yang dipengerusikan oleh Dr Mohd Asri.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustapa Abdul Rahman, berkata Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) tidak pernah membincangkan isu penggunaan istilah ‘bin Abdullah’ terhadap saudara baru.

Sebaliknya, saudara baru hanya disyaratkan mendahulukan nama Islam pada nama asalnya, seperti Ahmad Chong Ah Kau.

Keputusan itu dibuat dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (JFK) pada 28 Januari 1981. Mereka (Perlis) boleh pakai (keputusan pengharaman ‘bin Abdullah’ dalam nama saudara baru).

Kita, MFK tidak pernah memutuskannya (pengharaman ‘bin Abdullah’). “Sebelum ini, bagi saudara baru, kita (MFK) hanya putuskan nama awal perlu ada nama Islam, tetapi bin atau binti, tidak kisah. Sama ada mereka hendak kekalkan nama keturunan atau tidak, tidak mengapa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mufti Perak, Datuk Dr Harussani Zakaria, berkata pihaknya akan tetap menggunakan kaedah sedia ada dan terpulang kepada Perlis untuk membuat keputusan sendiri.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar, berkata sebarang keputusan seumpama itu perlu dibincang pada peringkat kebangsaan, supaya pelaksanaannya dapat diseragamkan, selain mengelakkan peraturan Islam diperlekeh.

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Monday/Nasional/20070311224048/Article/
Layari : http://alhusseyn51.blogspot.com/

Majlis Fatwa Perlis digesa jangan gopoh, perhalusi isu 'bin Abdullah'

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 12 Mac - Majlis Fatwa Perlis (MFP) diminta agar tidak memperbesarkan perkara remeh untuk seseorang itu memeluk Islam di negeri ini, demikian menurut Ketua Penerangan PAS Perlis, Ustaz Yaakub Abu Seman.

Katanya, masalah pengekalan nasab bagi mualaf atau saudara baru yang diputuskan oleh MFP baru-baru ini tidak perlu ditimbulkan sedangkan yang terlebih utama ialah mencari jalan bagimana untuk mendekati bukan muslim untuk memeluk Islam.

"Sepatutnya benda macam ini tidak dijadikan satu persoalan besar. Pokoknya, orang mahu masuk Islam dan prosedurnya perlu dipermudahkan," katanya mengulas pengumuman Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai keputusan MFP mengharamkan penggunaan "bin Abdullah" oleh mualaf atau saudara baru di negeri ini.

Menurutnya lagi, masalah penggunaan 'bin Abdullah' itu sudah boleh diterima umum termasuk dari kalangan masyarakat bukan Islam sendiri di negara ini.

"Kalau kita jadikan perkara ini suatu yang payah, dari perspektif dakwah ianya akan memberikan gambaran yang negatif di kalangan orang bukan Islam. Apakah kita mahu Islam dilihat sebagai suatu agama yang menyusahkan?" soalnya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil meminta agar MFP tidak bertindak gopoh dalam mengeluarkan fatwa sedemikian.

Katanya, walaupun pengekalan nasab seperti yang diputuskan MFP itu tidak salah dari segi syarak tetapi seorang saudara baru itu perlulah dibinkan dengan nama yang sesuai.

Beliau bersetuju dengan pandangan Pegawai Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) negeri Perlis, Abdul Rahim Abdullah yang disiarkan sebuah akhbar hari ini yang meminta agar diperhalusi fatwa tersebut memandangkan ada nama nasab seseorang itu tidak bersesuaian dan boleh membawa maksud yang bercangah dengan akidah Islam.

"Pengekalan nama nasab yang tidak sesuai perlu dielakkan. Memang betul penggunaan "bin Abdullah" tidak pernah dibuat pada zaman Rasulullah, tetapi adakah Nabi membenarkan seorang itu dibinkan Abdul Uzza yang bermaksud hamba berhala?
"Kita tahu Majlis Fatwa memang sudah berbincang dan mempunyai hujah mereka sebelum membuat keputusan, tapi banyak perspektif lain lagi perlu dilihat memandangkan perkara ini melibatkan orang yang mahu memeluk Islam dan pandangan umum terhadap Islam itu sendiri," katanya.

Tuesday, March 06, 2007

Tuan Guru Presiden PAS di Perlis 18 Mac


PENGUMUMAN PROGRAM

ARAU - Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang akan bersama-sama rakyat Perlis pada 18 Mac ini dalam program makan malam dan ceramah.

Beliau akan menghadiri majlis makan malam sempena program kutipan dana pilihan raya PAS Perlis di Guar Sanji yang akan bermula jam 8.00 malam.

Majlis tersebut akan diadakan di rumah salah seorang aktivis PAS iaitu Saudara Abi Jamrah Ismail.

Selain majlis makan malam, Dato' Seri Abdul Hadi akan berceramah bersama-sama dengan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin di tempat yang sama.

Kupon makan malam akan dijual pada harga RM10.00. Orang ramai dijemput hadir dan boleh menghubungi talian 04-9761836 untuk maklumat lebih lanjut.

Ustaz Ahmad Ali kini makin pulih

Petikan Harakahdaily
KANGAR - Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Ahmad Ali yang dimasukkan ke hospital minggu lalu akibat diserang angin ahmar kini semakin pulih dan sudah dibenarkan pulang ke rumahnya Jumaat lalu.

Ustaz Ahmad, 69,bagaimanapun masih berada dalam keadaan yang lemah dan masih menjalani terapi.

Beliau mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para kenalan dan saudara mara yang tidak putus-putus menziarahinya di Hospital Tuanku Fauziah dan di rumahnya di Arau.

Selain dari Perlis, terdapat juga mereka yang datang dari merata tempat termasuk dari Kedah dan Perak serta mendoakan beliau melalui laman komen di Harakahdaily.

Umno gusar! Tiru program PAS


Oleh Peghelih La....

PADANG MELANGIT - Merasakan tidak senang dengan program yang dianjurkan oleh PAS, maka Umno pun meniru PAS dengan menganjurkan program yang sama.

Baru-baru ini di Padang Melangit, HalWa DUN Santan bersama dengan Dewan Muslimat PAS Padang besar telah menganjurkan program rawatan kesihatan percuma kepada orang ramai dengan kerjasama sebuah klinik swasta.

Program yang diadakan pada 18 Februari lalu mendapat sambutan baik dari orang ramai walaupun ada pemimpin Umno yang cuba menggagalkannya.

Menurut laporan yang diterima, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di kawasan tersebut yang juga seorang imam telah turun dari rumah ke rumah untuk menghalang orang ramai daripada menghadiri program tersebut.

Mungkin dengan rasa tidak berpuas hati dengan program anjuran PAS ini, maka JKKK empat buah kampung telah menganjurkan Kem Kesihatan pada 24 Februari lalu.

Program tersebut dianjurkan oleh JKKK Kampung Sena Rendang, Padang Melangit, Kampung Penghulu Jaafar dan Beseri dalam dengan kerjasama Pejabat Adun Santan dan Klinik Kesihatan Beseri.

"Ternyata Umno berasa gusar tidak akan duduk senang dengan sambutan orang ramai terhadap program yang dianjurkan oleh PAS. Lepas tu dia pun buat program yang sama. Memang depa suka meniru, dulu PAS buat berkhatan ramai-ramai depa pun tiru," kata seorang pimpinan PAS MTD Santan.

Cawangan PAS sumbang rumah untuk anak yatim

Oleh Peghelih La....
BESERI- PAS tidak putus-putus menyalurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan. Terbaru, PAS Cawangan Padang Malau dekat sini menyumbangkan sebuah rumah untuk seorang kanak-kanak yatim piatu.

Adik Nurhidayah Mustafa, 12, seorang anak yang pintar dalam bidang akademik kehilangan bapanya pada bulan Mac 2005.


Dengan keadaan ibunya yang sakit dan menumpang di rumah saudara mara, maka PAS cawangan telah megambil inisiatif mengumpulkan dana untuk mendirikan sebuh rumah untuk mereka.
Pembinaan rumah bermula September 2005 tetapi tertangguh seketika apabila ibu Adik Nurhidayah pula meninggal dunia.Bagaimanapun rumah tersebut dapat disiapkan juga walaupun beliau kini dijaga oleh bapa saudaranya.

Hasil sumbangan orang ramai, PAS Perlis, kawasan dan cawangan maka rumah bernilai hampir RM12 ribu dapat disiapkan.

Rumah tersebut kini disewakan dan wangnya digunakan untuk membiayai persekolahan Adik Nurhidayah.
Majlis penyerahan kunci rumah diadakan Ahad lalu oleh Pesuruhjaya PAS Perlis Ustaz Hashim Jasin.

Friday, March 02, 2007

PERUTUSAN PESURUHJAYA PAS NEGERI PERLIS
SEMPENA MESYUARAT AGUNG PAS CAWANGAN TAHUN 2007

Assalamualaikum wrt.

Segala puji dan puja bagi Allah SWT serta selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Para pimpinan dan ahli-ahli PAS Cawangan sekelian,

Firman Allah SWT yang bermaksud ,

"Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja iaitu hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua atau seorang diri, kemundian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya(untuk mengetahui salah betul ajaran Nya). Sebenarnya tidaklah ada pada (Muhamad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila(sebagaimana dituduh), ia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat)”.

Kita sekarang sedang berjalan mengikut uslub dakwah dan kita tidak berputus asa serta berusaha untuk mengubah keadaan yang ada. Berpandukan contoh teladan Rasulullah SAW, usaha mengubati penyakit yang menimpa masyarakat tetap diteruskan walau sebesar mana cabaran itu dengan penuh hikmah, nasihat yang baik, praktikal, usaha yang berterusan dan akhirnya dengan pertolongan Allah SWT usaha-usaha ini dikurniakan kemenangan.

Roh Islam sentiasa meresapi hati masyarakat dan proses ini semakin memuncak selaras dengan peningkatan kefahaman Islam sebagai satu sistem hidup yang sempurna. Perbuatan syirik dan khurafat sudah dipinggirkan malah amalan sunnah semakin dihidupkan oleh masyarakat. Desakan untuk kembali kepada kehidupan berteraskan Islam sudah dapat didengar di seluruh dunia Islam hari ini. Inilah petanda-petanda awal kepada kemenangan terhadap usaha yang sedang kita perjuangan.

Para pimpinan dan ahli-ahli PAS sekelian,

PAS sebagai jamaah dan gerakan Islam akan terus berjuang bagi mencari keredhaan Allah SWT melalui pendekatan dan wasilah yang diizinkan oleh Syarak. Dengan keyakinan bahawa perlaksanaan sistem dan perundangan Islam memerlukan kepada kuasa politik maka PAS akan terus menggunakan saluran demokrasi bagi mencapai tujuan tersebut.

Oleh itu, PAS mestilah diurus dan ditadbir sebagai organisasi yang tersusun dan cekap. PAS mestilah menjadi sebuah badan yang berkualiti kerana PAS adalah cermin kepada usaha-usaha menawarkan Islam kepada seluruh rakyat.

IsyaAllah, melalui Mesyuarat Agung pada tahun ini, marilah kita menjadikan ianya sebagai medan muhasabah secara serius dan berkesan. Suluhlah diri kita dengan memeriksa sejauhmanakah kita telah berusaha untuk memperbaiki dalaman jamaah kita khususnya terhadap pemantapan cawangan dalam soal pentadbiran, keahlian, tarbiah dan kewangan. Semak juga peranan luaran kita dengan melihat keupayaan kita mengerakkan cawangan sebagai wadah rakyat khususnya dalam soal program keagamaan dan kebajikan. Berilah jawapan dengan ikhlas terhadap semua persoalan tersebut. Terimalah keputusan dan hakikat yang ada dengan hati yang terbuka dan bersegeralah bertindak untuk mengubah kelemahan yang berlaku.

Para pimpinan dan ahli-ahli PAS sekelian,

Tahun 2007 adalah Tahun Pilihanraya bagi PAS. Pengisytiharan ini bermakna bahawa Cawangan PAS hendaklah memberikan keutamaan kepada persiapan dan gerak kerja pilihanraya untuk tempoh ini. Kerja pilihanraya adalah kerja yang berterusan tanpa perlu menunggu pembubaran parlimen. Berilah tumpuan di peringkat ini untuk menyelesaikan soal pentadbiran jentera pilihanraya khususnya pendaftaran pemilih baru dan kewangan pengkalan. Pada masa yang sama program pendekatan pengundi mesti dilipat gandakan dengan peranan aktif pemuda , muslimat dan ulama’.

Akhirnya, saya ingin merakamkan penghargaan dan tahniah kepada seluruh pimpinan PAS Cawangan diatas kejayaan mengadakan mesyuarat Agung kali ini . PAS Perlis juga amat menghargai sumbangan pimpinan dan ahli PAS Cawangan dalam usaha memperkasakan jamaah khususnya di Perlis. Semoga usaha dan sumbangan yang berterusan ini akan mendapat ganjaran kebajikan disisi Allah SWT.

Sekian, wassalam.

Salam Perjuangan dari,

HAJI HASHIM BIN JASIN
Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis.

Wednesday, February 28, 2007

Pemuda PAS jangan jadi macam bola - Pj

Oleh Bashir Ishak
KANGAR, 28 Feb - Pemuda PAS jangan menjadi seperti bola yang boleh ditendang ke sana-ke mari mengikut pemainnya, demikian seru Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.

"Golongan yang jadi macam "bola" inilah yang paling disukai oleh iblis dan paling ramai di atas muka bumi ini," katanya.

Ustaz Hashim berkata demikian ketika menyampaikan amanatnya kepada para pemuda PAS dalam majlis makan malam meraikan para pemuda yang telah menyertai Himpunan 15 ribu Pemuda di Kelantan Disember lalu.

Katanya, bola tidak boleh disepak kuat tanpa diisi angin dan tidak boleh masuk ke dalam gol tanpa disepak oleh pemainnya.

"Jadi, masyarakat kini jadi pening bila golongan remaja dan belia sudah jadi "bola" yang boleh diarah kesana-kesini seperti yang iblis kehendaki.Bukan sekadar orang muda tetapi juga para pemimpin negara kini turut menjadi "bola","katanya lagi.

Justeru, beliau mengingatkan agar para pemuda PAS di semua peringkat tidak mudah terikut dengan arus semasa yang penuh dengan cabaran yang mampu menggugat pertimbangan akal dan akidah.

"Sudah banyak diperkatakan tentang gejala sosial, Mat Rempit, murtad dan sebagainya, Sebab itulah PAS tampil dalam masyarakat untuk memperbetulkan keadaan, agar orang tidak jadi seperti "bola" tadi," sambungnya.

Beliau turut memberikan contoh Nisa' Games yang diadakan di Kelantan baru-baru ini yang memberikan gambaran jelas bahawa PAS mahu menunjukkan kepada masyarakat contoh yang baik dalam sesuatu perkara.

"Kita beri peluang kepada wanita untuk bersukan dalam batas-batas yang dibolehkan syarak. Ini satu contoh bagaimana kita tidak mahu jadi seperti "bola" tadi," katanya.

Walaupun Perlis hanya menghantar kontinjen kecil seramai lebih kurang 240 orang ke himpunan 15 ribu Pemuda PAS di Kelantan tempohari, namun Dewan Pemuda PAS Perlis berjaya menghimpunkan semula hampir keseluruhan peserta dalam majlis yang diadakan di sebuah hotel di sini malam semalam.

Turut serta dalam majlis tersebut ialah Ketua Penerangan PAS Kedah, Aris Awang yang hadir memberikan ucapan motivasi kepada para hadirin.
Oleh Bashir Ishak
KANGAR, 28 Feb - Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Ahmad Ali, 69, sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah di sini kerana diserang angin ahmar.

Beliau dimasukkan ke hospital Sabtu lalu apabila diserang sakit berkenaan di rumahnya ketika sedang bersiap untuk menghadiri kuliah bulanan Dato' Dr Haron Din di Balai Islam MADI, Jejawi.

Ustaz Ahmad yang juga Yang DiPertua PAS Arau bagaimanapun pada masa ini berada dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan.

Pencegahan Penyakit: Kekeliruan kita kepada keutamaan

Oleh : Harumanis
Kategori : Surat Pembaca

Setelah membaca beberapa keratan akhbar arus perdana yang heboh dan sibuk dalam menyatakan perlunya kepada pengharaman iklan makanan segera kerana menurut mereka ianya adalah membahayakan kesihatan penduduk Malaysia,saya terasa bagaikan ada cuitan kepada hati saya.

RTM dilaporkan bersedia untuk menghapuskan segala bentuk iklan yang melibatkan makanan segera yang pada hemat pakar pemakanan adalah punca kemerosotan kesihatan rakyat Malaysia.Ini pada hemat mereka adalah satu langkah pencegahan yang baik.

Begitulah hebat dan bersungguhnya kerajaan kita dalam menangani masalah yang melibatkan rakyat jelata.Apa yang nampak sebagai tunas kepada keburukan,maka dengan pantas mereka akan menghapuskannya demi kebaikan sejagat.Nampak gayanya seperti itu.

Kesungguhan itu ada baiknya dan patut kita sanjungi kerana Islam menyuruh kita memakan makanan yang halal dan baik sahaja.Jika makanan segera itu dianggap sebagai sebab utama kemerosotan kesihatan rakyat teramai,maka tiada siapa yang patut membangkang saranan tersebut.

Tetapi adakah makanan sahaja yang kita perlu jaga dan kita perhatikan dengan bersungguh-sungguh?Makanan segera bagi saya masih halal walaupun pada pandangan pakar ianya boleh meyumbang kearah kemudaratan.Mungkin disitu masih ada percanggahannya dikalangan pakar.

Bagaimana pula dengan makanan jiwa yang haram?Sedarkah kerajaan bahawa apa yang cuba dibawakan oleh PAS adalah juga pencegahan yang terbesar dalam kehidupan dan amat dituntut oleh Allah?Ianya telah lama diketengahkan oleh PAS iaitu pencegahan mungkar.Penyakit ini adalah lebih merbahaya berbanding penyakit yang dibawa oleh makanan segera itu.

Amat kesal rasa dihati apabila bersegeranya manusia untuk melarikan diri dari penyakit zahir tetapi dalam masa yang sama masih bergelumang dengan penyakit batin.

Bagi saya apabila kita berbincang tentang pencegahan penyakit terutamanya penyakit batin iaitu mungkar ini,mahu tidak mahu,kita perlu mengaku bahawa kita semua sedang dijangkiti penyakit itu.Dan lebih menggerunkan lagi,penyakit itu sedang membarah didalam masyarakat kita.

Pencegahan mungkar ini adalah lebih fokus kepada objektif kita sebagai hamba Allah yang diciptakan untuk beribadat kepadanya.Lihat sahaja contoh kajian yang telah dibawakan oleh seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia,Dr Khaidzir Ismail yang mendedahkan daripada lebih dari 800 orang pelajar perempuan bermasalah yang beliau itemui hanya seorang yang tidak pernah melakukan hubungan seks diusia remaja mereka.Apakah itu masih belum boleh dipanggil sebagai penyakit?Dan apakah pencegahannya oleh kerajaan?

Adakah penyakit ini kerana makanan segera?Saya pasti jawapannya tidak.Inilah sebenarnya yang ditakuti oleh PAS iaitu kemusnahan institusi keluarga seperti yang telah dicontohkan oleh barat.Dan ini jugalah yang diusahakan oleh PAS iaitu menyelamatkan masyarakat dari kemusnahan ini.

Saya termenung dan hanya boleh terkenang ketika peristiwa tsunami dahulu bagaimana Pak Lah dengan kuasa yang beliau miliki hanya mengarahkan dalam akhbar dan televisyen sahaja agar tidak diadakan pesta menyambut tahun baru tetapi diadakan majlis tahlil sebagai tanda mengingati kepada kekuasaan Allah dalam peristiwa tsunami itu.Hasilnya,seluruh patuh dengan arahan itu.
Tercetus dalam benak saya bahawa begitu berkuasanya suara seorang Perdana Menteri.Seluruh negara mengikut katanya.Bilakah pula suara itu akan sekali lagi mengarahkan seluruh rakyat Malaysia ini bersama-sama untuk mencegah mungkar?Atau saya hanya akan menanam impian yang mustahil? Wallahua’lam.

Monday, February 26, 2007

Pak Mud mutiara PAS Perlis yang sukar diganti

Terbaik dari Harakah (Petikan dari Harakahdaily)
Oleh Bashir Ishak

(Seperti yang disiarkan dalam Harakah bil 1330)
Ibarat kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Namun bagi bekas Pesuruhjaya PAS Perlis, Haji Mahamood Mohd Noor beliau bukan sekadar meninggalkan nama yang harum malah jasanya kepada perjuangan Islam tidak terkira.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Mud kembali ke rahmatullah di rumahnya pada jam 11.50 malam 7 Februari lalu pada usia 90 tahun.

Pak Mud adalah seorang ikon, namanya sudah sinonim dan tidak asing lagi bagi PAS Perlis.
Walaupun kelihatan pendiam dan lemah lembut tetapi beliau berperwatakan tegas dan mudah diajak berbual.

Dilahirkan di Batu Sangkar, Sumatera, Indonesia pada 2 Februari 1917, Pak Mud mendapat pendidikan di Maahad Tarbiyatul Islamiyah di Pajakumboh, Sumatera Barat.

Beliau kemudiannya berhijrah ke Tanah Melayu pada tahun 1936 mencari ilmu dan pengalaman dan sampai di negeri Perlis pada tahun 1938.

Berkahwin dengan Hajah Rogayah Mohd Zain pada tahun 1940, pasangan ini dikurniakan lapan cahaya mata. Tiga daripadanya sudah meninggal dunia.

Pak Mud mula terlibat dalam politik melalui Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di bawah pimpinan Dr Burhanuddin al-Helmy. Namun perjuangannya bersama PKMM tidaklah lama apabila parti itu diharamkan penjajah Inggeris pada 1948.

Namun pengharaman PKMM tidak mematahkan semangat perjuangannya, pak Mud kemudiannya menyertai PAS pada tahun 1958.

Sepanjang penglibatannya di dalam PAS, Pak Mud pernah diamanahkan dengan pelbagai jawatan. Beliau pernah menjadi Setiausaha Perhubungan PAS Perlis dari tahun 1959 hingga 1966.

Dari tahun 1966 hingga 1969 beliau memegang jawatan Ketua Penerangan. Manakala dari tahun 1970 hingga 1971 beliau memangku jawatan Pesuruhjaya PAS Perlis berikutan kematian Pesuruhjaya PAS Perlis ketika itu, Cikgu Taharim Ariffin yang mati dibunuh.

Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya sebanyak dua kali iaitu pada 1981-1983 dan 1985-1987 dan memangku jawatan tersebut sekali lagi dari tahun 1990 hingga 1991 berikutan kematian pesuruhjaya Ustaz Halim Omar.

Selain itu beliau juga pernah beberapa kali bertanding di dalam pilihan raya iaitu pada 1964 dan 1969 di DUN Sena, 1978 dan 1982 di Parlimen Arau, 1982 DUN Utan Aji; dan akhirnya 1986 di Dun Guar Sanji.

Selain itu, pada tahun 1999, Pak Mud meninggalkan satu khazanah yang berharga bila beliau menyusun dan menulis sejarah PAS Perlis yang boleh dijadikan rujukan untuk semua.

Dalam pertemuan dengan Harakah beberapa tahun lalu, beliau masih mampu menceritakan pelbagai sejarah silam PAS Perlis termasuk kisah awal penglibatannya dalam politik bersama PKMM di bawah Dr Burhanuddin Al-Helmi.

Begitu juga dengan sejarah PAS Perlis, sama ada dari segi pimpinan, program-program besar PAS serta pilihan raya yang disertai.

PaK Mud juga sempat mengimbas kembali satu himpunan Hizbul Muslimin di Madrasah al-Ihya as-Syarif, Gunong Semanggol, Perak beberapa ketika dahulu.

"Dulu orang ramai pi sana. Tidur di sana tiga hari tiga malam, sembelih lembu juga," imbasnya apabila diceritakan kepadanya tentang himpunan orang ramai semasa Muktamar PAS di Kedah tahun lalu.

Selain itu, beliau menasihati ahli-ahli PAS agar mengikhlaskan diri dalam perjuangan.

"Jangan melihat adanya kepentingan duniawi atau kewangan. Semua yang dibuat kerana Allah dan inilah yang akan menguatkan kita," nasihatnya.

Reaksi pemimpin PAS negeri dan rakan-rakan seperjuangan

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin menyifatkan Allahyarham sebagai contoh seorang yang istiqamah dalam perjuangan. PAS Perlis, ujarnya telah kehilangan seorang tokoh yang hebat.

"Dalam apa keadaan sekalipun beliau tetap gigih menghadapi pelbagai liku-liku hidup dengan tabah. Walaupun enam kali bertanding dalam pilihan raya dan tak pernah menang, beliau tidak pernah putus asa. Dari sudut ketabahan, beliau sukar ditandingi," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Hairy Hashim menganggap Pak Mud sebagai mentor. Menurutnya, paling disukai tentang Pak Mud ialah cara beliau menyelesaikan sesuatu masalah dalam parti secara lenbut dan mempunyai sentuhan peribadi.

"Beliau juga adalah seorang yang banyak menyimpan maklumat dan sejarah PAS di negeri ini. Pemergiannya adalah suatu kehilangan besar bagi kita semua," ujarnya.

Setiausaha PAS Padang Besar, Ustaz Yahya Ahmad berkata, Pak Mud ialah contoh seorang yang istiqamah dan tidak pernah berganjak dengan prinsip perjuangan.

"Beliau pernah dilantik sebagai Pegawai Seranta Tabung Haji semasa PAS dalam BN dulu. Tetapi demi kepentingan jamaah, beliau meletakkan jawatan atas arahan PAS Pusat tanpa sempat menerima gajipun. Takziah buat keluarga beliau bagi pihak PAS kawasan Padang Besar," katanya.

Bekas Yang DiPertua PAS Kangar, Haji Rahmat Mohd Noor mengingati Pak Mud sebagai seorang yang warak dan berjuang semata-mata untuk Islam.

Menurutnya, Allahyarham adalah orang yang bertanggungjawab membawanya masuk sebagai Ahli Badan Perhubungan.

"Saya ingat dia datang sini sebelum perang Jepun dulu. Dialah yang mengajar kami di sini dengan ilmu agama. Melalui beliaulah ramai yang dapat mengaji agama di kampung ini dalam keadaan masyarakat yang masih tidak mahu kepada agama," ujarnya.

Bekas Bendahari PAS Perlis, Ustaz Ahmad Ibrahim, 80, mengingati Pak Mud sebagai seorang pemimpin PAS yang gigih, dihormati dan disegani kawan mahupun lawan.

"Dalam percakapan dia tak pernah sentuh hati orang, sampai Umno sendiri pujuk sertai mereka dan diberikan jawatan, tapi dia tak mahu. Di kalangan pemimpin PAS di Perlis susah nak cari yang sebanding macam dia," jelasnya.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah.

Paksu Kamaruddin kembali ke Rahmatullah

Oleh Bashir Ishak
SANGLANG, 26 Feb - PAS Perlis kehilangan seorang lagi pejuang yang gigih apabila Bekas Setiausaha Dewan Ulama, Ustaz Kamaruddin Md Akib, 68, meninggal dunia Sabtu lalu.

Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 4.05 pagi di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Ustaz Kamaruddin yang lebih mesra dengan panggilan Paksu dimasukkan ke hospital Khamis lalu setelah terjatuh di bilik air di rumahnya.

Allahyarham yang bertugas sebagai guru agama di Al-Madrasah Ad-Dinniah Al-Islamiyah (MADI) di Jejawi juga merupakan imam di Masjid Padang Keria dekat sini.

Beliau pernah menjadi calon PAS di Dun Kayang pada pilihan raya umum tahun 1995.

Menurut menantunya, Noryusairi Mansor, sebelum pergi mengajar di MADI pagi Khamis lalu, Paksu sempat berkata kepada isterinya bahawa beliau mahu berjuang dan berdakwah hingga ke akhir hayat.

Jenazahnya telah disembahyangkan di Masjid Padang Keria selepas Zohor dan diimamkan oleh Pesuruhjaya PAS Perlis yang juga Adun Sanglang, Ustaz Hashim Jasin.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan enam orang anak. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas beliau. Al-Fatihah.

Friday, February 23, 2007

Homestay Untuk disewa



(Seperti yang disiarkan dalam Harakah Bil 1330)

KANGAR - PAS Perlis maju setapak lagi dengan menguruskan sebuah rumah tetamu berkonsepkan "homestay" di pinggir bandar Kangar.


Rumah tetamu ini diserahkan kepada PAS Perlis untuk dijadikan "homestay" oleh seorang ahli yang kini bekerja di luar negara.

Penginapan ini sesuai bagi pengunjung atau pelancong yang datang secara berkumpulan atau dengan keluarga dan tidak perlu menyewa banyak bilik hotel untuk menginap.

Rumah yang terletak di No 5 Jalan Limau Kasturi, Taman Seri Guar ini mempunyai empat buah bilik dan berada hanya lima minit dari pusat bandar Kangar.

Lokasinya juga terletak berhampiran dengan masjid dan surau.

Rumah ini boleh disewa pada kadar RM150.00 untuk sehari bagi sebuah rumah dan hanya RM50.00 bagi sebuah bilik.

Untuk menyewa atau keterangan lanjut sila hubungi 012-5896676 atau 04-9761836.

Apa ada beza Mat Rempit dengan Dajal Rempit?



Oleh Wartawan Harakahdaily
KANGAR, 22 Feb - Cadangan menukarkan nama "Mat Rempit" kepada "Dajal Rempit" atau "Penyangak Rempit" mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak.


Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil menganggap penukaran nama ini tidak memberikan implikasi besar kerana isu Mat Rempit ini harus diselidiki puncanya berlaku gejala tersebut.


"Ianya bukan masalah label atau nama. Kalau kita letak apa nama sekalipun, isu Mat Rempit ini tidak ada kesudahan sekiranya tidak dicari punca berlakunya masalah ini," katanya.


Dilaporkan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin tidak bersetuju dengan cadangan ini manakala Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula melihat tidak ada salahnya memberikan label "Dajal rempit".


Utusan Malaysia semalam menyiarkan kenyataan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dato' Seri Dr Rais Yatim yang menyebut gelaran Mat adalah terlalu sopan untuk golongan ini.


Bagi Ustaz Ahmad Adnan, punca utama yang mendorong para remaja dan belia menjadi Mat Rempit ialah penerapan budaya hiburan yang tidak terkawal oleh pihak kerajaan.


Justeru katanya, golongan muda ini lebih cenderung untuk memilih hidup berseronok dengan hiburan yang tidak terkawal yang melekakan dan akan memberikan kesan yang buruk.


"Budaya hedonisme ini berpunca dari penganjuran pelbagai bentuk penayangan rancangan hiburan yang di televisyen serta penganjuran pelbagai bentuk acara hiburan yang tidak terkawal. Remaja mudah terpengaruh untuk meniru gaya hidup sedemikian," sambungnya lagi.

Ustaz Adnan menyarankan Jabatan Agama memberikan penekanan terhadap menyedarkan masyarakat tentang ancaman pelbagai gejala sosial yang ada.

"Jangan hanya duduk berbincang tentang masalah teknikal atau khilafiah dalam agama sedangkan masalah masyarakat yang berpunca dari polisi kerajaan yang longgar tentang agama dan pembentukan akhlak golongan muda tidak diperkatakan secara serius.


"Sepatutnya Jabatan Agama perlu mengadakan satu seminar khas membincangkan tentang bagaimana untuk memperbetulkan pelbagai permasalahan masyarakat," katanya

Nasib samar menanti peniaga di Padang Besar

PADANG BESAR- Walaupun diberikan tempoh "subsidi" oleh kerajaan sehingga akhir bulan ini, nasib para peniaga gerai di sekitar Arked Niaga Padang Besar masih samar.

Ini berikutan arahan supaya para peniaga yang terdiri dari penjual minuman dan makanan ringan serta cenderamata berpindah ke tapak baru yang letaknya hampir seratus meter dari Arked Niaga tersebut.

Arked Niaga ini memang popular dan menjadi tumpuan orang ramai khususnya para pelancong yang berkunjung ke sana pada setiap hujung minggu atau musim cuti.

Menurut para peniaga yang terbabit, tapak baru itu tidak sesuai kerana lokasinya yang agak jauh dari Arked Niaga dan bukan kawasan tumpuan orang ramai dan ini akan menjejaskan pendapatan mereka.

"Bila musim cuti mungkin ramai yang ke sana. Itupun untuk "parking" kereta, tapi seterusnya mereka akan ke Arked juga untuk membeli-belah", demikian menurut salah seorang peniaga minuman, Ibrahim Saidin.

Justeru para peniga ini mengambil keputusan untuk terus berniaga di tempat lama berhampiran Arked Niaga.

Bagaimanapun semalam, keadaan hampir menggemparkan bila pihak penguatkuasa Majlis Perbandaran Kangar Kangar (MPK) telah datang bersama dua buah lori beserta sebuah trak polis untuk mengambil tindakan.

Namun, para peniaga mengambil jalan rundingan dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perlis, Azihani Ali telah datang berdialog dan memberikan penerangan dan tentang keputusan kerajaan untuk membenarkan para peniaga beroperasi hingga akhir bulan ini.

Menurut Ibrahim, selain isu tempat niaga, isu "Ali Baba" lesen niaga juga dibangkitkan memandangkan isu ini sudah lama berlarutan.

Katanya, isu Arked Niaga ini yang dimonopoli oleh peniaga dari negara jiran yang berniaga menggunakan lesen rakyat tempatan tetapi tidak ada tindakan yang diambil. Di kalangan peniaga gerai terbabit hanya 16 orang sahaja yang betul-betul rakyat tempatan dan berlesen.

Projek pada kaum lain,tiada amanah, jati diri sebagai punca

Petikan Harakahdaily
KANGAR- Malas berusaha sendiri dan mahu mencari keuntungan segera merupakan punca projek yang diberikan kepada kontraktor bumiputera mengalir kepada kaum lain.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Hairy Hashim berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sedih melihat laporan bahawa 85 peratus kontrak bumiputera tiris.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa secara purata 85.37 peratus projek yang dilaksanakan kontraktor bumiputera pada tahun 2006 mengalir kepada kaum lain.

Kata Hairy, kontraktor bumiputera yang memberikan projek mereka kepada kaum yang lain merupakan golongan yang tidak mempunyai jati diri dan mengabaikan amanah yang diberikan kepada mereka.

"Hasrat kerajaan untuk memajukan ekonomi bumiputera terjejas dengan tindakan mereka yang tidak bertanggung jawab ini," katanya.

Menurutnya lagi, kontraktor yang terlibat kebanyakannya tidak berpengalaman, kekurangan modal dan tidak berkepakaran dalam bidang tertentu menyebabkan mereka memberikan projek kepada kaum lain.

"Benarlah jika dikatakan mereka ini malas berusaha sendiri dan tidak mahu belajar untuk memajukan diri sendiri dengan pengetahuan dan kepakaran yang baru," ujarnya.

Beliau mengesyorkan agar tindakan tegas seperti menyenarai hitamkan kontraktor yang meng"AliBaba"kan projek yang diberikan memandangkan ramai lagi kontraktor yang lebih berkeupayaan. "

Usah diberi lagi projek kepada golongan ini. Ramai lagi yang tidak pernah mendapat projek walaupun berkemampuan, tetapi disekat kerana pelbagai faktor termasuk perbezaan politik,"katanya lagi.

Thursday, February 08, 2007

Pak Mud, bekas Pj PAS Perlis kembali ke rahmatullah


Oleh Bashir Ishak
KANGAR, 8 Feb - PAS Perlis kehilangan seorang lagi ikonnya apabila bekas Pesuruhjaya, Haji Mahamood Mohd Noor, 90 kembali ke rahmatullah di rumahnya pada jam 11.50 malam tadi.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Mud sudah agak lama terlantar di rumahnya akibat sakit tua berada di dalam keadaan tenat sejak malam semalam.

Pimpinan PAS Perlis termasuk Pesuruhjaya, Ustaz Hashim Jasin dan Timbalan-timbalan Pesuruhjaya sempat menziarahinya semalam apabila mendapat berita tentang keadaannya.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Hajjah Rogayah Zain, 89 serta tiga orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan.

Beliau yang dilahirkan di Batu Sangkar, Sumatera, Indonesia berhijrah ke Malaysia pada tahun 1936. Mula menceburi bidang politik sejak tahun 1940-an.

Jenazahnya akan disembahyangkan di rumahnya di Lorong Surau, Kampung Jejawi Dalam dekat sini pada jam 11.00 pagi hari ini.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Allahyarham dan menempatkannya di sisi para anbia, orang-orang yang soleh dan syuhada. Al-Fatihah.

Monday, February 05, 2007

Pilihanraya kotor hasilkan "kerajaan setinggan"

Oleh Wartawan SEDAR
ARAU, 2 Feb - Hasil daripada sistem pilihanraya yang tidak adil dan bersih maka timbullah sebuah "kerajaan setinggan", kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mahfuz Omar.

"Cuma bezanya kerajaan setinggan ini tiada majlis bandaran," katanya secara berseloroh dalam ceramahnya di Markas MTD Simpang Empat dekat sini malam tadi.

Namun katanya, rakyat sendiri perlu bertindak sebagai penguatkuasa majlis bandaran untuk merobohkan kerajaan setinggan ini di seuruh negara.

Mahfuz berkata, rakyat di negara ini harus membuka mata untuk melihat sistem pilihanraya yang diamalkan di negara ini adalah kotor dan tidak adil.

Baginya, rakyat juga harus tahu bahawa hasil daripada sistem pilihanraya yang tidak adil ini, maka kerajaan yang terbentuk tidak akan memberikan ruang untuk memberikan keadilan kepada seluruh rakyat.

"Dia dapat kuasa secara tidak jujur takkan dia nak berlaku jujur kepada kita. Bila pilihanraya dia dapat kuasa dengan cara menipu tiba-tiba rakyat harap mereka berlaku adil, ini tak mungkin berlaku," tegasnya.

Mahfuz berceramah bersama dengan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin dalam siri "roadshow" penerangan tentang pemboikotan pilihanraya Kecil Batu Talam dan menuntut pilihannraya bersih.

Boikot berjaya: Najib berkampung 12 hari, hanya tambah 862 undi!

Petikan Harakahdaily
SIMPANG EMPAT, 2 Feb - Pemboikotan pilihan raya kecil (PRK) Dun Batu Talam di Pahang minggu lalu berjaya memberikan kesan terhadap sistem pilihan raya yang ditadbir oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata demikian di hadapan kira-kira 1000 orang dalam ceramahnya di di Markas MTD Simpang Empat, dekat sini malam tadi.

Menurut Ustaz Nasharudin, berdasarkan laporan yang dikeluarkan, kesan pemboikotan ini berjaya menurunkan peratus keluar mengundi kepada yang terendah dalam sejarah sesuatu PRK.

"Peratus keluar mengundi berjaya diturunkan kepada hampir 10 peratus. Ini membuktikan bahawa perjalanan demokrasi di negara ini telah tercalar," katanya.

Katanya lagi, walaupun jentera Umno dan Barisan Nasional (BN) digerakkan dengan sepenuhnya sehinggakan Dato' Seri Najib Tun Razak sendiri selaku Timbalan Presiden Umno berada di sana sepanjang tempoh berkempen, tetapi tidak dapat menambahkan majoriti dengan lebih banyak.

"Dia (Najib) berkampung selama 12 hari 12 malam tetapi mereka hanya berjaya menambahkan majoriti kepada 862 undi sahaja. Ini jelas rakyat menyokong pemboikotan ini," jelasnya.

Selain itu, menurutnya lagi, laporan yang diperolehi sehingga jam 1.00 tengahari pada hari mengundi mendapati peratus keluar mengundi hanya berada pada tahap 30 peratus sahaja.

"Najib sendiri telah menyalahgunakan media untuk mengeluarkan kenyataan mengarahkan rakyat supaya keluar mengundi pada petangnya agar sasaran BN untuk menang dengan lebih 3 ribu majoriti tercapai.

"Kita sangsi kerana pada hari itu, tidak ada "Polling Agent" yang bertugas. Ini bermakna mereka boleh berbuat sesuka hati dalam bilik mengundi," katanya lagi.

Bukti pemboikotan PRK ini berkesan juga dapat dilihat melalui jumlah undi rosak yang meningkat, demikian menurut Ustaz Nasharudin.

"Saya yakin dengan 385 undi rosak inilah juga protes dari rakyat. Laporan yang kita terima bahawa paling ramai keluar mengundi ialah dari saluran satu. Ini maknanya juga golongan muda turut menyokong pemboikotan ini. Meraka sendiri tidak mahu ditipu oleh SPR dan BN," katanya.

Tambahnya lagi, dengan kedudukan Batu Talam yang berada di pedalaman, ini membuktikan bahawa penduduk di sana juga peka dengan sistem demokrasi yang pincang di negara ini.

"Mereka juga sudah berani memprotes sistem yang tidak betul. Ini maknanya kita berjaya memberikan satu mesej kepada SPR dan dunia dapat melihat demokrasi di Malaysia sudah dicalit dan dicalarkan," sambungnya lagi.

Ceramah anjuran Badan Perhubungan PAS Perlis ini adalah sebahagian daripada siri "roadshow" penerangan tentang pemboikotan pilihan raya Kecil Batu Talam dan menuntut pilihan raya bersih. Turut sama menyampaikan ceramah ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mahfuz Omar dan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.

Friday, January 19, 2007

Kalaulah ahli Umno faham 9 Amanat Berjihad Ahmad Badawi.....

Oleh Basri Hussain
Para kepimpinan dan ahli Umno perlu menghayati kembali pesanan bekas pemimpin mereka, Dato' Ahmad Badawi Abdullah Fahim seperti yang disiarkan di ruangan rencana Berita Harian baru-baru ini.

Dalam ruangan tersebut, penulisnya menggariskan sembilan Amanat Berjihad Ahmad Badawi serta petikan ucapannya suatu masa dahulu.

Beliau yang juga ayahanda kepada Perdana Menteri Malaysia sekarang berpesan agar berjuang dengan ikhlas dan kerana Allah.

Perkara inilah yang perlu diberikan keutamaan dalam perjuangan, bukannya untuk mengharapkan habuan dunia sama ada kuasa, pangkat atau wang ringgit.

Keduanya, setiap pemipin perlu berani, berdisiplin, mematuhi pemimpin dan tidak menikam kawan dari belakang.
Jika kita lihat dalam Umno sekarang, berani itu mungkin tidak menjadi masalah tetapi dalam bab berdisiplin mungkin boleh dipertikaikan.

Bukan sedikit pemimpin Umno yang dikenakan tindakan oleh jawatankuasa disiplin parti mereka kerana pelbagai salahlaku, rasuah politik dan sebagainya.

Dalam mematuhi pemimpin pula, ahli Umno cukup hebat. Malah ada pula yang patuh membuta tuli tanpa melihat bagaimana rupa dan tingkahlaku pemimpin tersebut.

Walau jelas pemimpin tidak berakhlak, terlibat dengan penyelewengan dan rasuah tetapi mereka masih diangkat dan disanjung malah ditaati.

Begitu juga, bila Ahmad Badawi menyarankan agar tidak menikam kawan dari belakang, dalam perebutan kuasa dan jawatan pelbagai helah digunakan. Dalam Umno sampai membunuh pun ada!

Berikutnya, Ahmad Badawi berpesan agar tidak menggunakan landasan politik untuk mencari wang dan kekayaan serta jangan menggunakan wang untuk mendapat tempat dalam parti politik.

Sudah ternyata dalam Umno amalan rasuah politik berleluasa dan kuasa politik digunakan untuk mencari kekayaan.

Cuba kita senaraikan pemimpin Umno dari Ketua Bahagian sehinggalah ke Perdana Menteri, cuba tunjuk seorang yang susah hidupnya atau hidup dalam penuh kesederhanaan.

"Islam melarang perbuatan rasuah di kalangan pemerintah dan rakyat, kerana perbuaan rasuah itu sama jahatnya dengan merompak dan menyamun," demikian petikan ucapan Ahmad Badawi suatu ketika dahulu.

Rata-rata mereka berkereta mewah, rumah besar sedangkan rakyat biasa ramai yang masih hidup pada tahap yang amat menyedihkan dan menanggung bebanan hidup yang semakin hari semakin meruncing.

Dalam apa keadaan sekalipun, setiap perjuangan jangan meninggalkan sembahyang fardu, demikian pesan beliau yang seterusnya.

Tentu kita masih ingat seorang pemimpin tertinggi Umno yang pernah membentangkan belanjawan negara sehingga melampaui waktu solat asar.

Rencana tersebut turut memetik kata-kata Ahmad Badawi yang berbunyi, "Kalau orang Melayu mengetepikan Islam selepas merdeka, maka mereka yang berjuang politik tidak akan ke mana, hanya menjadi alat bagi kepentingan orang lain.

Mari kita lihat bagaimana status Islam dan syariatnya di negara kita pada masa ini. Bagaimanakah perlaksanaan Islam? Di mana duduknya Al-Quran dan As-sunnah dalam pemerintahan negara? Malah kemurnian Islam kini cuba digugat oleh pelbagai golongan namun,
pihak pemerintah yang diterajui Umno seolah-olah membiarkannya sahaja.

Pesannya lagi, kalau menjadi pemimpin mestilah ada Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatanah. Jika diambil satu sahaja sifat ini iaitu amanah, kita sudah dapat menyimpulkan bahawa ianya sudah tiada lagi berdasarkan hujah-hujah yang diberikan di atas, apatah lagi amanah yang dipikul untuk mendaulatkan islam serta menjadi khalifah di atas muka bumi ini.

Kalau ada perselisihan dalam harakah (parti atau organisasi), hendaklah berusaha mencari jalan damai, pesan Ahmad Badawi lagi.

Tidakkah di dalam Umno sendiri yang selalu berlaku pecah belah. Pada tahun 1987 umpamanya, Umno berpecah kepada Team A dan Team B sehingga membawa kepada pengharaman parti itu pada tahun berikutnya dan penubuhan parti Semangat 46 kemudiannya.
Tidakkah mereka tahu mencari jalan damai?

Beliau turut berpesan agar pemimpin jangan sombong dan jangan menghina rakyat.

Pemimpin Umno memang mesra rakyat khususnya wakil rakyat mereka. amun kesombongan tidak sahaja ditunjukkan melalui hubungan individu. Gaya hidup mewah dalam keadaan rakyat hidup menderita juga membuktikan kesombongan dan menghina rakyat.

Pesan terakhir Ahmad Badawi ialah jangan menukarkan politik dengan ekonomi, akibatnya kita menjadi hamba dan negara tergadai.

Sudah jelas dengan kuasa politik yang ada, pemimpin Umno serta kroni mereka telah bersekongkol untuk mengaut khazanah dari bidang ekonomi sehingga harta negara berlegar di kalangan mereka sahaja.

Rakyat terus hidup merana sedangkan pemimpin hidup mewah. Siapakah menguasai politkik negara? Siapakah yang terlibat menjual kepentingan negara kepada bangsa asing? Siapakah yang berkuasa sehinggakan tanah-tanah, rumah-rumah dan premis perniagaan banyak
di beli orang asing di Johor? Tidakah ini menggadai negara namanya.

Ahli-ahli Umno seharusnya menjadikan 9 Amanat berjihad Ahmad Badawi ini sebagai satu teks khusus untuk difahami dan dihadamkan sebelum mahu bergelut dalam perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara seperti yang mereka laung-laungkan.





PTPP tidak bermakna jika pendidikan Islam diabai - Pj Perlis

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 18 Jan - Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan (PTPP) 2006-2010 yang dilancarkan Perdana Menteri semalam tidak bermakna sekiranya pendidikan Islam dikesampingkan.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin berkata demikian ketika diminta mengulas tentang PTPP yang bermatlamat untuk mewujudkan pendidikan berkualiti untuk semua.

"Dalam sistem pendidikan negara, sudah terbukti beberapa kali pembaharuan yang dibuat tidak dapat memberikan kesan kepada masyarakat bila pendidikan agama tidak diberikan penumpuan, sebaliknya masyarakat terus dibelenggu dengan pelbagai masalah sosial dan keruntuhan akhlak," katanya yang ditemui Harakahdaily.

Mengulas lanjut, beliau melihat apa yang dibentangkan ini lebih berbentuk pembangunan fizikal dan banyak menyentuh aspek pengukuhan bidang pengajaran berdasarkan sains dan teknologi masa kini sedangkan aspek moral dan akhlak hanya diberikan penumpuan yang minimum.

"Sepatutnya sudah sampai masa Kementerian Pendidikan memberikan masa yang lebih dan tumpuan kepada pendidikan agama memandangkan masalah akhlak dan gejala sosial di kalangan remaja yang semakin teruk hari ini," sambungnya.

Katanya lagi, tidak guna untuk mendidik pelajar 'berfikir di luar kotak' kalau mereka tidak mampu menjaga akhlak dan moral.

"Sungguhpun ada disentuh tentang Islam Hadhari dalam asas pembangunan PTPP ini, saya tidak nampak bagaimana Islam Hadahari mampu membawa seseorang itu menjadi insan yang benar-benar bertakwa kepada Allah," katanya.

Pada beberapa kali sidang Dewan Undangan Negeri Perlis, beliau sendiri sering membangkitkan tentang penumpuan kepada pendidikan agama di peringkat sekolah.

Antaranya, Ustaz Hashim turut menyeru agar ditambah lebih banyak sekolah menengah agama berasrama penuh di dalam negara ini.
"Bagi PTPP ini saya tidak meletakkan banyak harapan. Kalau silap langkah keadaan akan menjadi lebih parah kerana tiada penumpuan khusus diberikan kepada pembangunan insan menurut landasan agama," ujarnya.

Wednesday, January 17, 2007

Tuntutan tubuh suruhanjaya bebas bukan baru - Ketua Penerangan PAS

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 12 Jan - Cadangan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman menubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi mengkaji semula undang-undang dan peraturan pilihan raya serta penstrukturan semula SPR bukanlah perkara baru yang dituntut parti pembangkang di negara ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Awang menegaskan bahawa perkara berkaitan undang-undang dan amalan SPR sudah lama diperkatakan kerana ternyata semakin lama semakin teruk.

Katanya, rakyat di sebuah negara yang mengamalkan demokrasi perlu diberikan peluang sepenuhnya menunaikan hak untuk memilih wakil rakyat sama ada di peringkat negeri mahupun parlimen sesuai dengan pilihan mereka.

"Amalan demokrasi bukan hanya pada hari pilihan raya sahaja tetapi tetapi hak rakyat bersuara dan memilih perlu diberikan sepenuhnya mengikut kehendak dan parti pilihan mereka," katanya yang ditemui Harakahdaily selepas menyampaikan kuliah haraki di Pejabat Perhubungan PAS Perlis dekat sini baru-baru ini.

Namun katanya, amalan demokrasi dan pilihan raya sejak kebelakangan ini lebih tersekat berbanding zaman awal kemerdekaan dulu yang lebih terbuka dan banyak ruang diberikan kepada parti pembangkang.

"Umpamanya, zaman Tunku Abdul Rahman dulu, kita boleh adakan dan tiada sekatan seperti sekarang. Walaupun kita tidak menang di banyak negeri tetapi kekalahan yang dialami itu kita tidaklah dirasai kerana amalan SPR seperti yang ada sekarang," ulasnya.

Tambahnya lagi, antara yang pernah disarankan oleh pihak pembangkang ialah mencelup jari dalam dakwat kekal selepas pembuangan undi agar tiada yang mengundi lebih dari sekali.

"Perkara ini saya tidak nampak ada masalahnya. Sedangkan di India yang pengundinya ratusan juta tidak pula menimbulkan masalah," jelasnya.

Menyentuh mengenai suruhanjaya bebas yang dicadangkan oleh Abdul Rashid, Ustaz Ahmad melihat perlaksanaannya perlu mengambilkira pandangan orang ramai terlebih dahulu.

"Suruhanjaya ini perlu juga disertai wakil setiap parti politik, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan setiap pemegang jawatan mesti betul-betul boleh diterima semua pihak sebab itu nama yang bakal dicadangkan perlu pandangan orang ramai terlebih dahulu.

"Begitu juga setiap pindaan peraturan yang akan dibuat kena dengar pandangan rakyat terlebih dahulu," sambungnya.

Perkara lain yang turut mendapat perhatian Ustaz Ahmad ialah tempoh masa untuk suruhanjaya bebas ini dapat berfungsi.

"Jika SPR sendiri sudah sedar bahawa peraturannya yang berusia lebih 50 tahun dan kurang sesuai, sementara suruhanjaya ini mahu ditubuhkan maka SPR yang ada sekarang pun kena diperbetulkan segera khususnya untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-12 akan datang," serunya.

Beliau memberi contoh penggunaan media kerajaan serta jabatan kerajaan semasa pilihan raya sudah jelas membuktikan amalan yang cukup tidak adil dan mengaibkan dalam sebuah negara yang mengakui mengamalkan demokrasi.

"Di Bangladesh umpamanya apabila dibubar parlimen,kerajaan sementaranya dipegang oleh hakim. Tetapi di Malaysia selepas bubar parlimen, bekas wakil rakyat yang berjawatan Menteri, Timbalan Menteri atau Setiausaha Parlimen masih bebas mengunakan jawatan dan kuasa mereka semasa berkempen.

"Begitu juga pegawai kerajaan yang dilantik sebagai pegawai pilihan raya pun majoritinya dipilih daripada penyokong Umno yang sudah tentu banyak yang mereka boleh buat sesuatu yang tidak kena dengan peraturan," jelasnya.

Walau bagaimanapun, Ustaz Ahmad senada dengan ramai pimpinan PAS yang lain yang masih ragu dengan Abdul Rashid sendiri dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Saya juga kurang yakin dengan beliau sendiri berdasarkan pengalaman kita yang lepas. Masa jumpa dengan kita cakapnya sedap tapi apabila balik macam lain pula," katanya.

PAS Perlis tubuh PASTI Bestari

Oleh Wartawan SEDAR
KANGAR - Bagi membentuk generasi pra sekolah yang terdidik dengan asas-asas Islam yang sempurna, maka banyak Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) telah ditubuhkan di seluruh negara.

Namun bagi memnuhi tuntutan semasa, PAS Perlis telah menubuhkan sebuah Pasti yang berkonsepkan Bestari yang menawarkan kepelbagaian pengisian yang bermanfaat serta kemudahan pendidikan dan servis yang lebih sempurna kepada masyarakat.

Idea Pasti Bestari ini telah dicetuskan sendiri oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin agar ada sebuah Pasti yang mempunyai pelbagai servis yang boleh menjadi alternatif kepada Tadika-tadika persendirian yang ada di negeri ini.

Katanya, selain pendidikan pra sekolah, Pasti Bestari ini juga menyediakan khidmat penjagaan (nursery) kanak-kanak bagi kakitangan kerajaan dan swasta yang bekerja sehingga ke petang.

Selain itu, Pasti yang dibuka untuk kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun imi turut menyediakan kelas bacaan Al-Quran pada waktu petang.

Orang ramai boleh memilih tiga sesi untuk menghantar anak mereka iaitu dai jamn 7.30 pagi hingga 1.00 tengahari atau 3.00 petang atau 5.00 petang dengan bayaran yuran bulanan yang berbeza.

Pasti Bestari ini terletak di sebuah banglo 5 bilik yang lengkap berhawa dingin di Taman Utama di pinggir bandar Kangar.

Pasti ini memunyai tiga orang guru dan dua orang pembantu yang bertugas sepenuh masa.

Sehingga hari ini, seramai 41 pelajar telah mendaftar ke Pasti ini, manakala seramai 18 orang pula mendaftar ke kelas Al-Quran

Menurut pengurus Pasti Fakhrul Anwar Ismail, sambutan yang diberikan pada hari pertama persekolahan adalah sangat memberangsangkan dan melebihi jangkaan awal.

"Kita berbangga dengan sambutan yang diberi. Ini memandangkan Pasti ini masih baru ditubuhkan. Ini menunjukkan masyarakat menerima konsep yang kita bawa," katanya.

Thursday, January 04, 2007

Kenaikan tol bukti kerajaan tidak tahu keutamaan rakyat

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 3 Jan (Hrkh)- Kerajaan dilihat tidak tahu memberikan keutamaan terhadap bebanan yang ditanggung oleh rakyat dan menggula-gulakan pula dengan perkara yang lain untuk meredakan kemarahan mereka.

AJK PAS Pusat, Mahfuz Omar berkata demikian ketika diminta mengulas tentang isu kenaikan tol di lima buah lebuhraya di Lembah Kelang dan penurunan kadar cukai jalan bagi kenderaan bermotor.

Katanya, kadar minimum tol di lima lebuhraya terbabit yang dinaikkan bermula 1 Januari lalu adalah 60 sen, tetapi jika pengguna membayar tol setiap hari mereka akan membayar lebih RM400.00 setahun.

"Sedangkan penurunan kadar cukai jalan minimum sebanyak RM10.00 hanya dibayar sekali dalam setahun. Jika tol naik setiap tahun, sepatutnya cukai jalan dihapuskan langsung, barulah membantu meringankan beban rakyat," katanya yang juga Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat.

Tambahnya lagi, walaupun Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S. Samy Velu sering menggembar-gemburkan bahawa kadar tol di Malaysia lebih murah berbanding negara lain, namun jalan bertol di Malaysia adalah terlalu banyak.

"Di negara luar jalan bertol ada satu dua sahaja seperti di Thailand tetapi di negara kita, contohnya Di Lembah Kelang boleh dikatakan jalan bertol ada di sekeliling bandar," jelasnya.

Menurut Mahfuz lagi, beliau tidak nampak sebarang jaminan daripada kerajaan yang menyatakan bahawa untuk mendapat servis yang baik, maka rakyat perlu membayar (tol), namun soalnya apakah yang bakal terjadi selepas tamat perjanjian konsensi nanti.

"Persoalannya apa akan jadi selepas tamatnya perjanjian konsesi nanti? Apakah jaminan kerajaan bahawa jalan yang kini dikutip tol dan akan diambil kembali, perkhidmatannya akan sama selepas tidak dikenakan tol?," soalnya.

Selain kerajaan yang tidak tahu prioriti ke atas bebanan rakyat ialah rakyat sendiri yang tidak tahu menilai apa yang dibuat oleh kerajaan.

Mahfuz melihat rakyat Malaysia masih kukuh dengan semangat "hangat-hangat tahi ayam".

Apabila sesuatu masalah menimpa, kemarahan rakyat hanyalah untuk seketika dan lama-kelamaan akan reda sehingga timbul isu baru pula.

"Umpamanya isu kenikan harga minyak, rakyat marah tetapi tidak lama. Selepas kerajaan menggula-gulakan dengan satu benda baru, maka semangat yang meluap-luap tadi kembali menurun," katanya.

Mahfuz ditemui di majlis ceramah penerangan anjuran PAS kawasan Kangar di Markas PAS Cawangan Bintong Barat dekat sini malam tadi.

Friday, December 15, 2006

Surat Pembaca:

Saudara pengarang,

Rakyat Malaysia akan membayar kadar tol yang lebih tinggi menjelang 1 Jan ini sepertimana yang diumumkan oleh Samy Vellu. Samy boleh menyindir rakyat Malaysia yang lembek dan bangang dengan katanya siapa yang mahu menggunakan lebuhraya mestilah bersedia untuk membayar tol.

Rakyat Malaysia adalah rakyat yang paling baik di dunia. Sepatutnya kerajaan BN menaikkan kadar tol sehingga 300% sebagai hadiah paling bermakna kepada rakyat yang baik ini. Percayalah wahai kerajaan BN bahawa rakyat sanggup membayar tol walaupun kadarnya dinaikkan sehingga tahap itu.

Di samping kenaikkan kadar tol, kerajaan BN juga harus mengkaji semula harga bahan api di Malaysia kerana walaupun telah dinaikkan sebanyak 30 sen, ianya masih murah berbanding negara lain. Saya syorkan walaupun harga bahan api dalam pasaran dunia sekarang menurun, kerajaan BN haruslah menaikkan harganya ke tahap RM 2.50 seliter bagi menambahkan lagi kantung kewangan negara untuk diagihkan kepada pemimpin BN.

Rakyat yang tinggi mentaliti feudalistiknya akan setia membayar harga bahan api petrol walaupun pada kadar RM 2.50 seliter.

Saya sudah bosan dengan sikap rakyat Malaysia. Justeru, saya berharap agar kerajaan BN dapat menunaikan cadangan saya menjelang tahun baru ini demi kebaikan pemimpin BN!

Cemerlang, gemilang, terbilang, temberang!


Nama Pena: Rakyat Yang Kecewa


Terima Kasih kepada Pengirim

Monday, December 04, 2006

Meremehkan perkara utama timbulkan masalah kepada umat
Oleh : Nikon
Kategori : Berita

Kangar 3hb Dis : Kecenderungan pihak berwajib yang dilihat suka meremehkan-remehkan dalam perkara hukum yang melibatkan keseluruhan umat Islam seperti perkara aqidah adalah suatu perkara yang tidak wajar dan tidak boleh diterima.

Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis,Ustaz Adnan yang dihubungi semalam menganggap kenyataan mufti Perlis Dr.Asri Zainal Abidin dalam temubual beliau dengan Malaysiakini baru-baru ini sebagai main-main kerana mufti itu menganggap kongsi raya sebagai isu kecil.

Dalam temubual Malaysiakini dengan mufti Perlis itu,beliau berharap tiada pihak menggunakan perbezaan pendapat tentang isu “kongsi-raya” sebagai alasan untuk menjejaskan keamanan dan keharmornian pelbagai kaum dalam negara ini.

Beliau yang baru dilantik sebagai Mufti negeri itu awal bulan ini juga berkata, tumpuan masyarakat sekarang sepatutnya pada perkara-perkara asas yang lebih penting seperti keadilan dan kebebasan.

“Kongsi raya bukan isu kecil.Ia melibatkan aqidah.Perkara ini mesti dibincang dengan betul-betul,”kata Ustaz Adnan.

“Sebagai mufti, beliau tidak boleh membuat kenyataan yang remeh.Kalau boleh kata boleh,pasal dia mufti,”tambah beliau lagi.

Perkara ini menurut Ustaz Adnan membelakangkan kenyataan Dr.Asri yang asal iaitu supaya umat Islam mengenepikan perkara remeh dari diperdebatkan.

Menurutnya lagi Dr Asri telah salah meletakkan keutamaan apabila isu besar itu diturunkan menjadi kecil dan isu Salafi menjadi isu besar di Perlis.

Ustaz Adnan juga meluahkan rasa kesalnya kerana Mufti Perlis itu pada anggapannya terlalu memikirkan perasaan orang bukan Islam dalam soal kongsi raya itu.

Dan apabila dia menyebut tentang perkara keadilan dan kebebasan,Ustaz Adnan mencabar beliau untuk mengeluarkan fatwa tentang ISA.

“Saya cabar dia agar mengeluarkan fatwa yang khusus tentang ISA yang mana akta itu jelas telah meragut kebebasan dan keadilan terhadap individu dan keluarga mereka.,”tegasnya.

“Adakah ISA ada dizaman rasulullah iaitu hukuman tanpa pendakwaan? Jelaskan hadis yang mana jika ianya sunnah,”cabar beliau.

Beliau turut menyentuh bahawa PAS juga merujuk kepada salaf (golongan sahabat dan golongan tabiin kira-kira 200 tahun selepas rasulullah) dalam berhukum perkara asas.

Tetapi apabila timbul perkara qias, ulama’ PAS tidak menolak pandangan dari imam-imam mazhab iaitu penafsiran mereka kepada hadis-hadis rasulullah.

“Golongan imam-imam mazhab ini berpandukan al-Quran dan sunnah bila berhukum,”jelasnya.


“Kecenderungan untuk tafsirkan kebenaran hanya dalam salafiah dan golongan imam mazhab itu tidak betul adalah salah,”ujarnya lagi.

Mufti Perlis: Ketepikan perbezaan pendapat isu kecil
Petikan : Malaysiakini

Mufti baru Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin berharap tiada pihak menggunakan perbezaan pendapat tentang isu “kongsi-raya” sebagai alasan untuk menjejaskan keamanan dan keharmornian pelbagai kaum dalam negara ini.
Beliau yang baru dilantik sebagai Mufti negeri itu awal bulan ini berkata, tumpuan masyarakat sekarang sepatutnya pada perkara-perkara asas yang lebih penting seperti keadilan dan kebebasan.

Dr Asri, 35, yang berasal dari Pulau Pinang mnambah, perbahasan samaada orang Islam boleh mengucapkan “selamat....” kepada bukan Islam patut diasingkan dari pertimbangan politik.

“Kita tidak perlu memberi fokus kepada isu-isu ini. Apa gunanya kalau kalau seseorang itu merayakan hari kebesaran agama saya dan saya merayakan hari raya mereka tetapi jauh di lubuk hati masing-masing mereka telah dilayan dengan tidak adil,” soal beliau.

“Yang menentukan keamanan dan keharmornian ialah keadilan dan kesaksamaan serta hak setiap komuniti melakukan apa yang dirasakannya wajar.

“Jangan semata-mata kerana saya tidak pergi ke majlis Deepavali seseorang, maka saya dianggap menekan pihak berkenaan dan saya juga tidak boleh merasakan tertindas semata-mata kerana seseorang tidak datang meraikan majlis keagamaan saya,” tegasnya.

Dr Asri mengulas kontroversi keputusan mesyuarat mufti-mufti pada awal tahun ini yang memutuskan majlis “kongsi raya” atau “Deeparaya” adalah haram di sisi Islam.

Isu tersebut hangat menjelang hari raya Aidil Fitri yang lalu apabila ketua unit Syriah Takaful Malaysia mengedarkan kenyataan kepada kakitangan syarikat itu yang antara lain menyeru jangan mengucapkan “Selamat Deeepavali...” kepada pelanggan beragama Hindu kerana dibimbangi akan merosakkan akidah.

Dr Asri bagaimanapun menegaskan perayaan-perayaan Islam tidak boleh dianjurkan bersama dengan perayaan agama lain kerana perayaan Islam perlu dirayakan mengikut ajaran dan nilai Islam. “Perayaan agama kita terikat dengan akidah.

Sebagai contoh hari raya Aidil fitri, Tuhan mahu kita merayakan kejayaan berpuasa dan memuji-mujiNya serta membesar-besarkanNya kerana telah memberi kekutaan dnan rezeki kepada kita,”jelas Dr Asri yang merupakan Mufti termuda di negara ini.

Beliau bagaimanapun sependapat dengan Mufti Qatar, Yusuf Al-Qaradhawi yang tidak melarang umat Islam mengucap “ Selamat....” kepada penganut agama lain pada hari perayaan masing-masing.

Tekanan luarTiada apa-apa yang salah dalam perbuatan itu asalkan tidak membesar-besarkan atau memuja agama dan tuhan mereka, katanya lagi.

Menurutnya lagi, dalam membincangkan isu-isu agama seperti ini, dan memutuskan fatwanya, pihak-pihak luar jangan mengenakan sebarang tekanan kepada pihak berkuasa agama.

“Hanya dengan cara ini, barulah mufti–mufti dan pakar-pakar agama dapat membincangkan dengan wajar dan munasabah,”ujarnya..

“Kami perlu membuat keputusan secara bebas. Kami perlukan kebebasan. Saya tidak boleh membuat keputusan bagi menyokong keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan.

Saya tidak akan berbuat begitu. Kalau kebetulan keputusan itu sama, itu satu hal lain. Tapi kalau saya diberi pilihan “buat keputusan bagi menyokong kerajaan atau tinggalkan jawatan ini...” saya akan pilih meninggalkan jawatan ini” tegas Dr Asri.

Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu juga menyatakan, beliau menerima tawaran menjadi Mufti Perlis tanpa meletakkan syarat-syarat khusus.

Katanya, yang ada hanyalah persefahaman bahawa beliau akan berperanan sebagai Mufti dan bukan dibayangi oleh sesiapa yang berkuasa di negeri itu.

“ Peranan saya sebagai Mufti ialah untuk mengeluarkan fatwa dan memberikan pandangan serta membincangkan fatwa. Saya tidak boleh berfungsi di sebalik bayang-bayang tokoh-tokoh tertentu dan menurut semua kata-kata atau tindakannya.”

“Personaliti saya sebagai Mufti tidak boleh ditenggelamkan dalam personaliti orang lain. Jika identiti Mufti ditenggelami oleh identiti pihak berkuasa, apa guna negeri ini ada Mufti?” tambahnya.

Sebagai Mufti Perlis, Dr Asri juga mempunyai tanggungjawab untuk memberi nasihat kepada Raja negeri itu dan kerajaan negeri berkaitan undang-undang Islam.