SIMPANG EMPAT, 2 Feb - Pemboikotan pilihan raya kecil (PRK) Dun Batu Talam di Pahang minggu lalu berjaya memberikan kesan terhadap sistem pilihan raya yang ditadbir oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata demikian di hadapan kira-kira 1000 orang dalam ceramahnya di di Markas MTD Simpang Empat, dekat sini malam tadi.
Menurut Ustaz Nasharudin, berdasarkan laporan yang dikeluarkan, kesan pemboikotan ini berjaya menurunkan peratus keluar mengundi kepada yang terendah dalam sejarah sesuatu PRK.
"Peratus keluar mengundi berjaya diturunkan kepada hampir 10 peratus. Ini membuktikan bahawa perjalanan demokrasi di negara ini telah tercalar," katanya.
Katanya lagi, walaupun jentera Umno dan Barisan Nasional (BN) digerakkan dengan sepenuhnya sehinggakan Dato' Seri Najib Tun Razak sendiri selaku Timbalan Presiden Umno berada di sana sepanjang tempoh berkempen, tetapi tidak dapat menambahkan majoriti dengan lebih banyak.
"Dia (Najib) berkampung selama 12 hari 12 malam tetapi mereka hanya berjaya menambahkan majoriti kepada 862 undi sahaja. Ini jelas rakyat menyokong pemboikotan ini," jelasnya.
Selain itu, menurutnya lagi, laporan yang diperolehi sehingga jam 1.00 tengahari pada hari mengundi mendapati peratus keluar mengundi hanya berada pada tahap 30 peratus sahaja.
"Najib sendiri telah menyalahgunakan media untuk mengeluarkan kenyataan mengarahkan rakyat supaya keluar mengundi pada petangnya agar sasaran BN untuk menang dengan lebih 3 ribu majoriti tercapai.
"Kita sangsi kerana pada hari itu, tidak ada "Polling Agent" yang bertugas. Ini bermakna mereka boleh berbuat sesuka hati dalam bilik mengundi," katanya lagi.
Bukti pemboikotan PRK ini berkesan juga dapat dilihat melalui jumlah undi rosak yang meningkat, demikian menurut Ustaz Nasharudin.
"Saya yakin dengan 385 undi rosak inilah juga protes dari rakyat. Laporan yang kita terima bahawa paling ramai keluar mengundi ialah dari saluran satu. Ini maknanya juga golongan muda turut menyokong pemboikotan ini. Meraka sendiri tidak mahu ditipu oleh SPR dan BN," katanya.
Tambahnya lagi, dengan kedudukan Batu Talam yang berada di pedalaman, ini membuktikan bahawa penduduk di sana juga peka dengan sistem demokrasi yang pincang di negara ini.
"Mereka juga sudah berani memprotes sistem yang tidak betul. Ini maknanya kita berjaya memberikan satu mesej kepada SPR dan dunia dapat melihat demokrasi di Malaysia sudah dicalit dan dicalarkan," sambungnya lagi.
Ceramah anjuran Badan Perhubungan PAS Perlis ini adalah sebahagian daripada siri "roadshow" penerangan tentang pemboikotan pilihan raya Kecil Batu Talam dan menuntut pilihan raya bersih. Turut sama menyampaikan ceramah ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mahfuz Omar dan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.
No comments:
Post a Comment