Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Wednesday, February 28, 2007

Pemuda PAS jangan jadi macam bola - Pj

Oleh Bashir Ishak
KANGAR, 28 Feb - Pemuda PAS jangan menjadi seperti bola yang boleh ditendang ke sana-ke mari mengikut pemainnya, demikian seru Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.

"Golongan yang jadi macam "bola" inilah yang paling disukai oleh iblis dan paling ramai di atas muka bumi ini," katanya.

Ustaz Hashim berkata demikian ketika menyampaikan amanatnya kepada para pemuda PAS dalam majlis makan malam meraikan para pemuda yang telah menyertai Himpunan 15 ribu Pemuda di Kelantan Disember lalu.

Katanya, bola tidak boleh disepak kuat tanpa diisi angin dan tidak boleh masuk ke dalam gol tanpa disepak oleh pemainnya.

"Jadi, masyarakat kini jadi pening bila golongan remaja dan belia sudah jadi "bola" yang boleh diarah kesana-kesini seperti yang iblis kehendaki.Bukan sekadar orang muda tetapi juga para pemimpin negara kini turut menjadi "bola","katanya lagi.

Justeru, beliau mengingatkan agar para pemuda PAS di semua peringkat tidak mudah terikut dengan arus semasa yang penuh dengan cabaran yang mampu menggugat pertimbangan akal dan akidah.

"Sudah banyak diperkatakan tentang gejala sosial, Mat Rempit, murtad dan sebagainya, Sebab itulah PAS tampil dalam masyarakat untuk memperbetulkan keadaan, agar orang tidak jadi seperti "bola" tadi," sambungnya.

Beliau turut memberikan contoh Nisa' Games yang diadakan di Kelantan baru-baru ini yang memberikan gambaran jelas bahawa PAS mahu menunjukkan kepada masyarakat contoh yang baik dalam sesuatu perkara.

"Kita beri peluang kepada wanita untuk bersukan dalam batas-batas yang dibolehkan syarak. Ini satu contoh bagaimana kita tidak mahu jadi seperti "bola" tadi," katanya.

Walaupun Perlis hanya menghantar kontinjen kecil seramai lebih kurang 240 orang ke himpunan 15 ribu Pemuda PAS di Kelantan tempohari, namun Dewan Pemuda PAS Perlis berjaya menghimpunkan semula hampir keseluruhan peserta dalam majlis yang diadakan di sebuah hotel di sini malam semalam.

Turut serta dalam majlis tersebut ialah Ketua Penerangan PAS Kedah, Aris Awang yang hadir memberikan ucapan motivasi kepada para hadirin.

No comments: