Petikan Harakahdaily
KANGAR, 12 Jan - Cadangan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman menubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi mengkaji semula undang-undang dan peraturan pilihan raya serta penstrukturan semula SPR bukanlah perkara baru yang dituntut parti pembangkang di negara ini.
KANGAR, 12 Jan - Cadangan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman menubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi mengkaji semula undang-undang dan peraturan pilihan raya serta penstrukturan semula SPR bukanlah perkara baru yang dituntut parti pembangkang di negara ini.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Awang menegaskan bahawa perkara berkaitan undang-undang dan amalan SPR sudah lama diperkatakan kerana ternyata semakin lama semakin teruk.
Katanya, rakyat di sebuah negara yang mengamalkan demokrasi perlu diberikan peluang sepenuhnya menunaikan hak untuk memilih wakil rakyat sama ada di peringkat negeri mahupun parlimen sesuai dengan pilihan mereka.
"Amalan demokrasi bukan hanya pada hari pilihan raya sahaja tetapi tetapi hak rakyat bersuara dan memilih perlu diberikan sepenuhnya mengikut kehendak dan parti pilihan mereka," katanya yang ditemui Harakahdaily selepas menyampaikan kuliah haraki di Pejabat Perhubungan PAS Perlis dekat sini baru-baru ini.
Namun katanya, amalan demokrasi dan pilihan raya sejak kebelakangan ini lebih tersekat berbanding zaman awal kemerdekaan dulu yang lebih terbuka dan banyak ruang diberikan kepada parti pembangkang.
"Umpamanya, zaman Tunku Abdul Rahman dulu, kita boleh adakan dan tiada sekatan seperti sekarang. Walaupun kita tidak menang di banyak negeri tetapi kekalahan yang dialami itu kita tidaklah dirasai kerana amalan SPR seperti yang ada sekarang," ulasnya.
Tambahnya lagi, antara yang pernah disarankan oleh pihak pembangkang ialah mencelup jari dalam dakwat kekal selepas pembuangan undi agar tiada yang mengundi lebih dari sekali.
"Perkara ini saya tidak nampak ada masalahnya. Sedangkan di India yang pengundinya ratusan juta tidak pula menimbulkan masalah," jelasnya.
Menyentuh mengenai suruhanjaya bebas yang dicadangkan oleh Abdul Rashid, Ustaz Ahmad melihat perlaksanaannya perlu mengambilkira pandangan orang ramai terlebih dahulu.
"Suruhanjaya ini perlu juga disertai wakil setiap parti politik, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan setiap pemegang jawatan mesti betul-betul boleh diterima semua pihak sebab itu nama yang bakal dicadangkan perlu pandangan orang ramai terlebih dahulu.
"Begitu juga setiap pindaan peraturan yang akan dibuat kena dengar pandangan rakyat terlebih dahulu," sambungnya.
Perkara lain yang turut mendapat perhatian Ustaz Ahmad ialah tempoh masa untuk suruhanjaya bebas ini dapat berfungsi.
"Jika SPR sendiri sudah sedar bahawa peraturannya yang berusia lebih 50 tahun dan kurang sesuai, sementara suruhanjaya ini mahu ditubuhkan maka SPR yang ada sekarang pun kena diperbetulkan segera khususnya untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-12 akan datang," serunya.
Beliau memberi contoh penggunaan media kerajaan serta jabatan kerajaan semasa pilihan raya sudah jelas membuktikan amalan yang cukup tidak adil dan mengaibkan dalam sebuah negara yang mengakui mengamalkan demokrasi.
"Di Bangladesh umpamanya apabila dibubar parlimen,kerajaan sementaranya dipegang oleh hakim. Tetapi di Malaysia selepas bubar parlimen, bekas wakil rakyat yang berjawatan Menteri, Timbalan Menteri atau Setiausaha Parlimen masih bebas mengunakan jawatan dan kuasa mereka semasa berkempen.
"Begitu juga pegawai kerajaan yang dilantik sebagai pegawai pilihan raya pun majoritinya dipilih daripada penyokong Umno yang sudah tentu banyak yang mereka boleh buat sesuatu yang tidak kena dengan peraturan," jelasnya.
Walau bagaimanapun, Ustaz Ahmad senada dengan ramai pimpinan PAS yang lain yang masih ragu dengan Abdul Rashid sendiri dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.
"Saya juga kurang yakin dengan beliau sendiri berdasarkan pengalaman kita yang lepas. Masa jumpa dengan kita cakapnya sedap tapi apabila balik macam lain pula," katanya.
No comments:
Post a Comment