Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, March 02, 2007

PERUTUSAN PESURUHJAYA PAS NEGERI PERLIS
SEMPENA MESYUARAT AGUNG PAS CAWANGAN TAHUN 2007

Assalamualaikum wrt.

Segala puji dan puja bagi Allah SWT serta selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Para pimpinan dan ahli-ahli PAS Cawangan sekelian,

Firman Allah SWT yang bermaksud ,

"Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja iaitu hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua atau seorang diri, kemundian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya(untuk mengetahui salah betul ajaran Nya). Sebenarnya tidaklah ada pada (Muhamad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila(sebagaimana dituduh), ia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat)”.

Kita sekarang sedang berjalan mengikut uslub dakwah dan kita tidak berputus asa serta berusaha untuk mengubah keadaan yang ada. Berpandukan contoh teladan Rasulullah SAW, usaha mengubati penyakit yang menimpa masyarakat tetap diteruskan walau sebesar mana cabaran itu dengan penuh hikmah, nasihat yang baik, praktikal, usaha yang berterusan dan akhirnya dengan pertolongan Allah SWT usaha-usaha ini dikurniakan kemenangan.

Roh Islam sentiasa meresapi hati masyarakat dan proses ini semakin memuncak selaras dengan peningkatan kefahaman Islam sebagai satu sistem hidup yang sempurna. Perbuatan syirik dan khurafat sudah dipinggirkan malah amalan sunnah semakin dihidupkan oleh masyarakat. Desakan untuk kembali kepada kehidupan berteraskan Islam sudah dapat didengar di seluruh dunia Islam hari ini. Inilah petanda-petanda awal kepada kemenangan terhadap usaha yang sedang kita perjuangan.

Para pimpinan dan ahli-ahli PAS sekelian,

PAS sebagai jamaah dan gerakan Islam akan terus berjuang bagi mencari keredhaan Allah SWT melalui pendekatan dan wasilah yang diizinkan oleh Syarak. Dengan keyakinan bahawa perlaksanaan sistem dan perundangan Islam memerlukan kepada kuasa politik maka PAS akan terus menggunakan saluran demokrasi bagi mencapai tujuan tersebut.

Oleh itu, PAS mestilah diurus dan ditadbir sebagai organisasi yang tersusun dan cekap. PAS mestilah menjadi sebuah badan yang berkualiti kerana PAS adalah cermin kepada usaha-usaha menawarkan Islam kepada seluruh rakyat.

IsyaAllah, melalui Mesyuarat Agung pada tahun ini, marilah kita menjadikan ianya sebagai medan muhasabah secara serius dan berkesan. Suluhlah diri kita dengan memeriksa sejauhmanakah kita telah berusaha untuk memperbaiki dalaman jamaah kita khususnya terhadap pemantapan cawangan dalam soal pentadbiran, keahlian, tarbiah dan kewangan. Semak juga peranan luaran kita dengan melihat keupayaan kita mengerakkan cawangan sebagai wadah rakyat khususnya dalam soal program keagamaan dan kebajikan. Berilah jawapan dengan ikhlas terhadap semua persoalan tersebut. Terimalah keputusan dan hakikat yang ada dengan hati yang terbuka dan bersegeralah bertindak untuk mengubah kelemahan yang berlaku.

Para pimpinan dan ahli-ahli PAS sekelian,

Tahun 2007 adalah Tahun Pilihanraya bagi PAS. Pengisytiharan ini bermakna bahawa Cawangan PAS hendaklah memberikan keutamaan kepada persiapan dan gerak kerja pilihanraya untuk tempoh ini. Kerja pilihanraya adalah kerja yang berterusan tanpa perlu menunggu pembubaran parlimen. Berilah tumpuan di peringkat ini untuk menyelesaikan soal pentadbiran jentera pilihanraya khususnya pendaftaran pemilih baru dan kewangan pengkalan. Pada masa yang sama program pendekatan pengundi mesti dilipat gandakan dengan peranan aktif pemuda , muslimat dan ulama’.

Akhirnya, saya ingin merakamkan penghargaan dan tahniah kepada seluruh pimpinan PAS Cawangan diatas kejayaan mengadakan mesyuarat Agung kali ini . PAS Perlis juga amat menghargai sumbangan pimpinan dan ahli PAS Cawangan dalam usaha memperkasakan jamaah khususnya di Perlis. Semoga usaha dan sumbangan yang berterusan ini akan mendapat ganjaran kebajikan disisi Allah SWT.

Sekian, wassalam.

Salam Perjuangan dari,

HAJI HASHIM BIN JASIN
Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis.

No comments: