Petikan Harakahdaily
KANGAR, 12 Mac - Majlis Fatwa Perlis (MFP) diminta agar tidak memperbesarkan perkara remeh untuk seseorang itu memeluk Islam di negeri ini, demikian menurut Ketua Penerangan PAS Perlis, Ustaz Yaakub Abu Seman.
Katanya, masalah pengekalan nasab bagi mualaf atau saudara baru yang diputuskan oleh MFP baru-baru ini tidak perlu ditimbulkan sedangkan yang terlebih utama ialah mencari jalan bagimana untuk mendekati bukan muslim untuk memeluk Islam.
"Sepatutnya benda macam ini tidak dijadikan satu persoalan besar. Pokoknya, orang mahu masuk Islam dan prosedurnya perlu dipermudahkan," katanya mengulas pengumuman Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai keputusan MFP mengharamkan penggunaan "bin Abdullah" oleh mualaf atau saudara baru di negeri ini.
Menurutnya lagi, masalah penggunaan 'bin Abdullah' itu sudah boleh diterima umum termasuk dari kalangan masyarakat bukan Islam sendiri di negara ini.
"Kalau kita jadikan perkara ini suatu yang payah, dari perspektif dakwah ianya akan memberikan gambaran yang negatif di kalangan orang bukan Islam. Apakah kita mahu Islam dilihat sebagai suatu agama yang menyusahkan?" soalnya.
Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil meminta agar MFP tidak bertindak gopoh dalam mengeluarkan fatwa sedemikian.
Katanya, walaupun pengekalan nasab seperti yang diputuskan MFP itu tidak salah dari segi syarak tetapi seorang saudara baru itu perlulah dibinkan dengan nama yang sesuai.
Beliau bersetuju dengan pandangan Pegawai Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) negeri Perlis, Abdul Rahim Abdullah yang disiarkan sebuah akhbar hari ini yang meminta agar diperhalusi fatwa tersebut memandangkan ada nama nasab seseorang itu tidak bersesuaian dan boleh membawa maksud yang bercangah dengan akidah Islam.
"Pengekalan nama nasab yang tidak sesuai perlu dielakkan. Memang betul penggunaan "bin Abdullah" tidak pernah dibuat pada zaman Rasulullah, tetapi adakah Nabi membenarkan seorang itu dibinkan Abdul Uzza yang bermaksud hamba berhala?
"Kita tahu Majlis Fatwa memang sudah berbincang dan mempunyai hujah mereka sebelum membuat keputusan, tapi banyak perspektif lain lagi perlu dilihat memandangkan perkara ini melibatkan orang yang mahu memeluk Islam dan pandangan umum terhadap Islam itu sendiri," katanya.
No comments:
Post a Comment