KANGAR, 18 Jan - Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan (PTPP) 2006-2010 yang dilancarkan Perdana Menteri semalam tidak bermakna sekiranya pendidikan Islam dikesampingkan.
Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin berkata demikian ketika diminta mengulas tentang PTPP yang bermatlamat untuk mewujudkan pendidikan berkualiti untuk semua.
"Dalam sistem pendidikan negara, sudah terbukti beberapa kali pembaharuan yang dibuat tidak dapat memberikan kesan kepada masyarakat bila pendidikan agama tidak diberikan penumpuan, sebaliknya masyarakat terus dibelenggu dengan pelbagai masalah sosial dan keruntuhan akhlak," katanya yang ditemui Harakahdaily.
Mengulas lanjut, beliau melihat apa yang dibentangkan ini lebih berbentuk pembangunan fizikal dan banyak menyentuh aspek pengukuhan bidang pengajaran berdasarkan sains dan teknologi masa kini sedangkan aspek moral dan akhlak hanya diberikan penumpuan yang minimum.
"Sepatutnya sudah sampai masa Kementerian Pendidikan memberikan masa yang lebih dan tumpuan kepada pendidikan agama memandangkan masalah akhlak dan gejala sosial di kalangan remaja yang semakin teruk hari ini," sambungnya.
Katanya lagi, tidak guna untuk mendidik pelajar 'berfikir di luar kotak' kalau mereka tidak mampu menjaga akhlak dan moral.
"Sungguhpun ada disentuh tentang Islam Hadhari dalam asas pembangunan PTPP ini, saya tidak nampak bagaimana Islam Hadahari mampu membawa seseorang itu menjadi insan yang benar-benar bertakwa kepada Allah," katanya.
Pada beberapa kali sidang Dewan Undangan Negeri Perlis, beliau sendiri sering membangkitkan tentang penumpuan kepada pendidikan agama di peringkat sekolah.
Antaranya, Ustaz Hashim turut menyeru agar ditambah lebih banyak sekolah menengah agama berasrama penuh di dalam negara ini.
"Bagi PTPP ini saya tidak meletakkan banyak harapan. Kalau silap langkah keadaan akan menjadi lebih parah kerana tiada penumpuan khusus diberikan kepada pembangunan insan menurut landasan agama," ujarnya.
No comments:
Post a Comment