Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, January 19, 2007

Kalaulah ahli Umno faham 9 Amanat Berjihad Ahmad Badawi.....

Oleh Basri Hussain
Para kepimpinan dan ahli Umno perlu menghayati kembali pesanan bekas pemimpin mereka, Dato' Ahmad Badawi Abdullah Fahim seperti yang disiarkan di ruangan rencana Berita Harian baru-baru ini.

Dalam ruangan tersebut, penulisnya menggariskan sembilan Amanat Berjihad Ahmad Badawi serta petikan ucapannya suatu masa dahulu.

Beliau yang juga ayahanda kepada Perdana Menteri Malaysia sekarang berpesan agar berjuang dengan ikhlas dan kerana Allah.

Perkara inilah yang perlu diberikan keutamaan dalam perjuangan, bukannya untuk mengharapkan habuan dunia sama ada kuasa, pangkat atau wang ringgit.

Keduanya, setiap pemipin perlu berani, berdisiplin, mematuhi pemimpin dan tidak menikam kawan dari belakang.
Jika kita lihat dalam Umno sekarang, berani itu mungkin tidak menjadi masalah tetapi dalam bab berdisiplin mungkin boleh dipertikaikan.

Bukan sedikit pemimpin Umno yang dikenakan tindakan oleh jawatankuasa disiplin parti mereka kerana pelbagai salahlaku, rasuah politik dan sebagainya.

Dalam mematuhi pemimpin pula, ahli Umno cukup hebat. Malah ada pula yang patuh membuta tuli tanpa melihat bagaimana rupa dan tingkahlaku pemimpin tersebut.

Walau jelas pemimpin tidak berakhlak, terlibat dengan penyelewengan dan rasuah tetapi mereka masih diangkat dan disanjung malah ditaati.

Begitu juga, bila Ahmad Badawi menyarankan agar tidak menikam kawan dari belakang, dalam perebutan kuasa dan jawatan pelbagai helah digunakan. Dalam Umno sampai membunuh pun ada!

Berikutnya, Ahmad Badawi berpesan agar tidak menggunakan landasan politik untuk mencari wang dan kekayaan serta jangan menggunakan wang untuk mendapat tempat dalam parti politik.

Sudah ternyata dalam Umno amalan rasuah politik berleluasa dan kuasa politik digunakan untuk mencari kekayaan.

Cuba kita senaraikan pemimpin Umno dari Ketua Bahagian sehinggalah ke Perdana Menteri, cuba tunjuk seorang yang susah hidupnya atau hidup dalam penuh kesederhanaan.

"Islam melarang perbuatan rasuah di kalangan pemerintah dan rakyat, kerana perbuaan rasuah itu sama jahatnya dengan merompak dan menyamun," demikian petikan ucapan Ahmad Badawi suatu ketika dahulu.

Rata-rata mereka berkereta mewah, rumah besar sedangkan rakyat biasa ramai yang masih hidup pada tahap yang amat menyedihkan dan menanggung bebanan hidup yang semakin hari semakin meruncing.

Dalam apa keadaan sekalipun, setiap perjuangan jangan meninggalkan sembahyang fardu, demikian pesan beliau yang seterusnya.

Tentu kita masih ingat seorang pemimpin tertinggi Umno yang pernah membentangkan belanjawan negara sehingga melampaui waktu solat asar.

Rencana tersebut turut memetik kata-kata Ahmad Badawi yang berbunyi, "Kalau orang Melayu mengetepikan Islam selepas merdeka, maka mereka yang berjuang politik tidak akan ke mana, hanya menjadi alat bagi kepentingan orang lain.

Mari kita lihat bagaimana status Islam dan syariatnya di negara kita pada masa ini. Bagaimanakah perlaksanaan Islam? Di mana duduknya Al-Quran dan As-sunnah dalam pemerintahan negara? Malah kemurnian Islam kini cuba digugat oleh pelbagai golongan namun,
pihak pemerintah yang diterajui Umno seolah-olah membiarkannya sahaja.

Pesannya lagi, kalau menjadi pemimpin mestilah ada Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatanah. Jika diambil satu sahaja sifat ini iaitu amanah, kita sudah dapat menyimpulkan bahawa ianya sudah tiada lagi berdasarkan hujah-hujah yang diberikan di atas, apatah lagi amanah yang dipikul untuk mendaulatkan islam serta menjadi khalifah di atas muka bumi ini.

Kalau ada perselisihan dalam harakah (parti atau organisasi), hendaklah berusaha mencari jalan damai, pesan Ahmad Badawi lagi.

Tidakkah di dalam Umno sendiri yang selalu berlaku pecah belah. Pada tahun 1987 umpamanya, Umno berpecah kepada Team A dan Team B sehingga membawa kepada pengharaman parti itu pada tahun berikutnya dan penubuhan parti Semangat 46 kemudiannya.
Tidakkah mereka tahu mencari jalan damai?

Beliau turut berpesan agar pemimpin jangan sombong dan jangan menghina rakyat.

Pemimpin Umno memang mesra rakyat khususnya wakil rakyat mereka. amun kesombongan tidak sahaja ditunjukkan melalui hubungan individu. Gaya hidup mewah dalam keadaan rakyat hidup menderita juga membuktikan kesombongan dan menghina rakyat.

Pesan terakhir Ahmad Badawi ialah jangan menukarkan politik dengan ekonomi, akibatnya kita menjadi hamba dan negara tergadai.

Sudah jelas dengan kuasa politik yang ada, pemimpin Umno serta kroni mereka telah bersekongkol untuk mengaut khazanah dari bidang ekonomi sehingga harta negara berlegar di kalangan mereka sahaja.

Rakyat terus hidup merana sedangkan pemimpin hidup mewah. Siapakah menguasai politkik negara? Siapakah yang terlibat menjual kepentingan negara kepada bangsa asing? Siapakah yang berkuasa sehinggakan tanah-tanah, rumah-rumah dan premis perniagaan banyak
di beli orang asing di Johor? Tidakah ini menggadai negara namanya.

Ahli-ahli Umno seharusnya menjadikan 9 Amanat berjihad Ahmad Badawi ini sebagai satu teks khusus untuk difahami dan dihadamkan sebelum mahu bergelut dalam perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara seperti yang mereka laung-laungkan.





No comments: